Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Hadith ke-8: Kehormatan Seorang Muslim

11/30/11


"Saya diutus untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka mengerjakan hal itu, bererti mereka telah menjaga darahnya dan hartanya daripadaku, kecuali menurut hukum Islam, dan perhitungan amal mereka terserah kepada Allah SWT" (Riwayat al-Bukhari no.25, Muslim no. 22 dan Ahmad no.68)

Huraian dan Intisari Hadis
Para ulama mentafsirkan hadis ini berdasarkan sejarah. Tatkala Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar al-Siddiq diangkat sebagai khalifah menggantikan Baginda. Sebahagian daripada orang arab menjadi kafir. Abu Bakar bertekad untu memerangi mereka sekalipun antara mereka ada yang tidak kafir tetapi menolak membayar zakat. Abu Bakar mengemukakan alasan perbuatan itu tetapi Umar berkata kepadanya: "bagaimana engkau memerangi manusia sehingga mereka mengucap La ilaha illallah sedangkan Rasulullah SAW bersabda 'Aku memerangi manusia sehingga mereka mengucap La ilaha illallah dan kelak perhitungannya terserah kepada Allah SWT" Abu Bakar lalu menjawab: 'Sesungguhnya zakat adalah kewajipan yang bersifat kebendaan. Demi Allah, kalau mereka menghalangku daripada mengambil seutas tali unta yang dahulu mereka serahkan sebagai zakat kepada Rasulullah SAW, nescaya aku perangi mereka kerana keenggannya itu'. Kemudia umar mengikut jejak Abu Bakar memerangi kaum tersebut.

Untuk terpeliharanya orang-orang yang seperti itu, tidak cukup dengan hanya mengucap La ilaha Illallah sahaja, kerana sebelumnya mereka sudah mengatakan kalimah tersebut semasa masih sebagai orang yang kafir dan hal itu sudah menjadi keimanannya.

Tersebut juga dalam hadis lain kalimah "...dan sesungguhnya aku adalah Rasul Allah, mereka melaksanakan solat dan menunaikan zakat.

Hukum meninggalkan syahadah, solat dan zakat.
1. Pemerintah dibenarkan melaksanakan hukum bunuh ke atas orang yang mengingkari solat dan menafikan kewajipannya.
2. pemerintah dibenarkan memerangi orang yang membayar zakat.
3. Tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya terhadap harta dan darah kaum muslimin.
4. Pemerintah dibolahkan melaksanakan hukuman mati bagi setiap Muslim yang melakukan perbuatan yang dituntut dijatuhkan hukuman mati seperti; berzina bagi orang yang sudah bernikah(muhsan), membunuh orang lain dengan sengaja dan meninggalkan agama dan jemaahnya(murtad)

Hukum meninggalkan puasa dan haji
Orang yang berpuasa tidak dibunuh tetapi dipenjarakan dan ditahan makan minumnya. Manakala haji pula ialah ibadah yang dapat ditangguhkan.

Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi, Ust Zahazan Mohamad dan Ust Mohammad Zakaria
Posted by Insan Biasa at 9:33 PM 0 comments  

Hadith ke-7 : Agama itu Nasihat

11/28/11


Diriwayatkan daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy r.a. bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda:(Maksudnya)"Agama itu nasihat. Kami bertanya:'untuk siapa?' Baginda menjawab, Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin kaum Muslimin dan bagi manusia umumnya"
(Riwayat Ahmad no. 16982, Muslim no. 55 dan Abu Daud no. 4944)

Huraian dan Intipati
Nasihat bermaksud segala hal yang baik. Dalam bahasa Arab tidak ada perkataan lain yang pengertian setara dengan perkataan 'nasihat'.

Sebagaimana disebut oleh para ulama bahasa Arab tentang kata "Al-Fallah" yang tidak mempunyai padanan ketara, yang mencakupi makna "kebaikan dunia dan akhirat".

Kalimah "agama itu nasihat" atau "agama adalah nasihat" bermaksud bahawa nasihat sebagai tiang dan penyokong agama.

Sebagaimana halnya sabda Nabi SAW yang bermaksud "Haji adalah arafah," yang bermaksud bahawa wuquf di Arafah adalah tiang dan bahagian terpenting dalam ibadah haji.

Menurut Imam Nawawi, nasihat itu adalah wajib sekadar yang mampu dengan syarat seorang itu mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, suruhannya akan dipatuhi dan dirinya tidak diancam. Tanpa syarat ini tidaklah diwajibkan.

Tentang pentafsiran kata "nasihat" dan berbagai cabangnya, Al-Khathabi dan ulama-ulama lain mengatakan:
1. Nasihat Untuk Allah
- Beriman semata-mata kepadaNya
- Menjauhi diri daripada perbuatan syirik dalam iktikad dan ibadat.
- Menjauhi diri daripada sikap ingkar terhadap suruhanNya.
- Mengagungkan Allah dengan sifat-sifat sempurnanya
- MenyucikanNya daripada segala sifat kekurangan.
- MentaatiNya.
- Menjauhi diri daripada perbuatan dosa.
- Mencintai dan membenci sesuatu semata-mata keranaNya.
- Berjihad menghadapi musuh.
- Mengakui dan bersyukur atas semua nikmatNya.
- Ikhlas dalam segala urusan.
- Mengajak manusia melakukan perkara yang baik.
- Bersikap lemah lembut kepada sesama manusia.

Al-Khathabi seterusnya berkata: "Secara prinsipnya, kebaikan daripada sifat-sifat baik tersebut kembali kepada pelakunya sendiri kerana Allah tidak memerlukan kebaikan daripada sesiapa pun"

2. Nasihat untu KitabNya.
- Beriman kepada kitab-kitabNya.
- Beramal mengikut petunjuk dan pengajarannya.
- Dimulia dan ditinggikan kehormatannya dengan memandang keutamaannya
daripada segala kitab lain.
- Yakin pedomannya adalah panduan hidup untuk selamanya di segala tempat dan zaman.
- Membaca ayatnya dengan cara yang betul.
- Memahami maksud ayatnya.
- Mencari rahsia dan memerhati hukumnya.
- Mendalami ilmu pengetahuan tentangnya.
- Berubah untuk menyesuaikan diri dan pengajarannya.

3. Nasihat untuk Rasul-Nya.
- Membenarkan kerasulannya.
- Mempercayai ajaran yang dibawanya.
- Mematuhi suruhan dan meninggalkan larangannya.
- Membnela agamanya.
- Memusuhi siapa yang melawannya.
- mencintai siapa yang mencintainya.
- Menghidupkan perjalanan dan sunnahnya pada diri dan dalam masyarakat.

4. Nasihat untuk para pemimpin Kaum Muslimin.
- Menolong dan menyokong mereka dalam perkara kebenaran dan keadilan.
- Patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan.
- Tegur mereka dengan cara sepontan.
- Mengingatkan mereka ketika mereka lalai daripada kewajipan.
- Jangan menghasut orang ramai untuk berpecah belah.

5. Nasihat untuk manusia umum.
- Memimpin mereka ke jalan yang benar.
- Mengawasi mereka daripada terjerumus ke jalan yang salah.
- Mengajar mereka.
- Belajar daripada mereka.
- Saling menolong antara mereka dalam perkara kebaikan.
- Saling menghormati.
- Saling mencintai.
- Bersama-sama menjaga kemaslahatan hidup dengan menjauhi sifat-sifat
yang membangkitkan fitnah dan permusuhan.
- memahamkan mereka bahawa setiap orang adalah anggota dalam masyarakat.

Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi, Ust Zahazan Mohamad dan Ust Mohammad Zakaria
Posted by Insan Biasa at 2:51 PM 0 comments  

Krisis nilai..apabila kepentingan diri mengatasi segalanya..

11/2/11


Baru-baru ini kita digemparkan dengan satu rakaman video cctv yg menunjukkan bagaimana seorang kanak-kanak digilis oleh sebuah van dan lori dan di sebuah jalan yg sibuk dilalui manusia. Malangnya bukan sahaja kanak-kanak itu dibiarkan oleh pemandu yg melanggarnya, malah orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu seperti tidak nampak kanak-kanak tersebut sedang menderita kesakitan. 18 orang yang melintasi kawasan berkenaan langsung tidak mengendahkan kejadian itu dan berlalu pergi. Dalam suasana kita di Malaysia,logikkah perkara ini berlaku? Tetapi ini sudah berlaku di China.

Justeru hal ini membawa kita berfikir, mengapa ini berlaku? Apakah yang sedang bermain di fikiran mereka di tempat kejadian hingga sanggup membiarkan kanak-kanak tersebut menggelupur kesakitan seorang diri? Mengapa mereka seperti takut untuk menghulurkan bantuan? Atau adakah benar sudah hilang sifat ingin membantu dan menebalnya sifat pentingkan diri di kawasan itu? Semuanya persoalan ini bermain di fikiran kita. Namun siapakah yang mampu menjawabnya.

Mengikut jawapan mereka yang memahami situasi di China, dengan kepadatan penduduk yang begitu tinggi dan ideologi komunis yang mereka bawa, sesiapa yang membantu seseorang yang tercedera dan membawanya ke hospital, dialah yang akan bertanggungjawab untuk menanggung semua kos perubatan yang tercedera. Jika difikirkan bahawa ideologi komunisme menetapkan harta rakyat adalah hak bersama kerajaan. Maka tidak mustahil situasi ini boleh berlaku,ini bermakna,siapa yang membantu,dia akan lebih mendapat susah.

Kita bersyukur Malaysia adalah negara yang tidak mengamalkan ideologi sesat yang boleh menghilangkan sifat perikemanusiaan manusia. Malah kita masih kuat dengan pegangan agama yang menitikberatkan nilai kasih sayang dan saling menghormati. Rata-rata ramai sahabat yang seperti tidak percaya kejadian ini boleh berlaku apabila menonton video tragis ini di facebook dan youtube. Banyak kekesalan yang di lahirkan. Tidak kurang yang mengutuk dengan penuh emosi.

Sebagai seorang Islam,kita perlu lihat kejadian ini dalam perspektif agama. Apakah yang Allah SWT mahu tunjukkan dari kejadian ini. Kejadian ini seperti sudah dirancang dengan baik kerana berlaku betul-betul di hadapan camera cctv tanpa sedikit cacat pon. Tiada yang terselindung. Semuanya jelas. Inilah yang juga boleh berlaku apabila masyarakat hilang rasa ingin membantu dan bersifat nafsi-nafsi.

Kita tidak boleh memandang ringan hal ini dengan mengatakan ia tak mungkin berlaku di Malaysia. Kita juga secara tidak sedar sedang menuju ka arah itu. Malaysia tadak kurang hebatnya dengan jenayah bunuh dan buang bayi yang semakin tidak terkawal. Jenayah korporat seperti pecah amanah, rasuah dan penipuan semakin berleluasa. Puncanya satu. Manusia mula meninggalkan agama Islam.

Kita sudah tidak mengamalkan budaya Islam. Islam hanya pada nama. Masjid kita banyak tetapi semakin kurang jemaahnya. Kerana hilangnya ruh Islam dalam masyarakat, hilanglah perasaan takutkan Allah dan kita berani berpaling dari perintahnya. Rakaman video tragis kanak-kanak digilis van itu sepatutnya membawa kita berfikir betapa manusia yg pada asalnya sebaik2 kejadian,jika berpaling dari perintah Allah, dia akan menjadi seburuk-buruk makhluk. Nauzubillah. Bersama kita mengambil iktibar tentang perkara ini dan serius dalam menjalankan perintah Allah. Dari seorang pemerintah, ketua kampung, ibu bapa hingga individu sendiri punya peranan dalam agama. Wallahu a'lam.

"sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka)" {At-Tin: Ayat 4-5}

Posted by Insan Biasa at 11:24 PM 0 comments  

Hadith ke-6: Yang Halal dan Yang Haram.


Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terangjelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

Huraian:
Hadis ini merupakan salah satu pokok syariat Islam. Abu Daud Al-Sijistani berkata "Islam bersumber pada empat hadis". Disebutkan antaranya adalah hadis ini. Para ulama telah bersepakat tentang keagungan dan banyaknya manfaat hadis ini.

Yang Hala dan Yang Haram.
Perkara yang halal dan haram dalam syariat adalah amat jelas.
Yang Halal: Tidak dilarang serta terang hukumnya.
  • Makan makanan dari biji-bijian, tumbuh-tumbuhan dan daging haiwan yang halal.
  • Minum air susu dan segala minuman yang tidak dilarang.
  • Memakai pakaian daripada benang dan bulu yang tidak dilarang.
  • Bekerja atau berusaha mencari kehidupan dengan jalan yang tidak dilarang.
Yang Haram : Dilarang serta terang hukumnya.
  • Makan bangkai, darah, daging, tulang, lemak dan sepertinya daripada haiwan yang dilarang.
  • Minum minuman yang memabukkan.
  • Mendedahkan aurat atau memakai sutera bagi lelaki atau memakai pakaian dari sumber yang haram.
  • Mencari rezeki daripada jalan yang haram seperti mencuri, merompak, menipu, riba, judi dan sebagainya.
Syubhah: bererti kesamaran. Hukum perkara yang syubhah tidak dapat dipastikan sama ada halal atau haram.

Sebahagian ulama membahagikan shubhah kepada tiga bahagian.
Pertama : Sesuatu yang sudah diketahui manusia haramnya tetapi orang itu masih lagi ragu-ragu akan keharamannya. Contohnya makan daging haiwan yang tidak diketahui cara penyembelihannya. Makan daging haiwan seperti ini menjadi haram kecuali telah terbukti penyembelihannya mengikut syariat.

Kedua: Sesuatu yang halal tetapi masih diragui kepastian halalnya. Seperti seorang lelaki yang mempunyai isteri tetapi masih ragu-ragu adakah dia telah menjatuhkan talak kepada isterinya itu atau belum. Atau adakah isterinya seorang perempuan hamba atau sudah merdeka. Halal semacam ini pada dasarnya adalah harus sehingga sudah jelas haramnya. dasarnya adalah hadis riwayat Abdullah bin Zaid yang ragu-ragu tentang hadas, padahal sebelumnya dia yakin telah bersuci.

Ketiga: Seseorang itu ragu-ragu sama ada sesuatu itu halal atau haram dan tidak ada apa-apa petunjuk yang menunjukkan perkara itu halal atau haram. Hal semacam ini lebih baik dijauhi sepertimana sabda Nabi SAW apabila menjumoai sebiji kurma yang telah jatuh di rumah baginda. lalu baginda bersabda " Kalau saya tidak takut kurma ini adalah barang zakat, sudah tentu saya memakannya". Adapun orang yang mengambil sikap terlalu berhati-hati yang berlebihan seperti tidak mahu menggunakan air bekas yang ternyata masih suci kerana khuatir telah terkena najis, atau tidak mahu solat di tempat yang terdapat bekas air kencing yang telah kering, atau mencuci pakaian yang masih bersih keran khuatir telah terkena najis dan sebagainya. Sikap seperti ini tidak perlu diikuti kerana berlebih-lebihan adalah tanda was-was. Was-was adalah hasil bisikan syaitan.

Kawasan Larangan:
Jika raja atau tuan tanah telah menetapkan kawasan larangan yang tidak boleh dimasuki oleh manusia lain, Allah SWT juga ada kawasan larangan yang tidak boleh dilalui manusia. Kawasan larangan tersebut adalah segala perbuatan maksiat dan tegahan sama ada yang berkaitan dengan diri mahupun yang berhubung dengan kehormatan dan harta benda seperti seperti pembunuhan, penzinaan, kecurian, penindasan, kezaliman dan bermacam keburukan lain.

Hati:
Hati adalah seketul daging dalam tubuh manusia yang menjadi pembentuk hidup seseorang, menggerak dan mengelokkan, mencederakan dan mengawal tingkah laku seseorang. Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ingat kebesaran Allah. Malakukan yang halal, meninggalkan yang haram dan menjauhi yang syubhah, takut jatuh kepada yang haram. Hati yang risak adalah hati yang mudah dipengaruhu nafsu dan hasutan syaitan hingga mudah melakukan maksiat kepada Allah dan meninggalkan suruhanNya.
Posted by Insan Biasa at 10:40 PM 0 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png