Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Tiada satu pun kepunyaan kita.

3/21/12


Kita sibuk setiap hari berfikir bagaimana untuk menambah harta. Kita sibuk setiap hari berfikir bagaimana untuk naik pangkat lebih cepat. Kita sibuk setiap hari berfikir bagaimana untuk menambat hati orang yang kita sayang. Kita akan berasa sedih dan teramat kecewa lagi marah jika apa yang telah kita rancang dan angan-angankan tidak menjadi dan gagal. Adakalanya kita akan menuding jari e arah orang lain atas kegagalan kita. Kita sangka kita telah melakukan yang terbaik dan layak untuk mendapat apa yang kita idam-idamkan. Maka orang lain akan dianggap penghalang dan ada yang sanggup buat apa sahaja untuk menghilangkan penghalang ini.

Kita selalu lupa untuk melihat apa yang telah kita ada. Kita rasakan apa yang ada di sekeliling kita sentiasa akan kekal menyebabkan kita kurang menghargainya. Kita biarkan apa yang telah ada tanpa cuba untuk memperbaikinya dan menunjukkan penghargaan bahawa kewujudannya di sekitar kita adalah satu rahmat. Akhirnya apabila kita kehilangannya kita akan merasakan jasa dan kekurangan dalam diri kita dan mula berfikir tentang apa yang telah kita lakukan selama dia bersama kita.

Kita selalu berkata ‘ini milikku’ dan menganggap sesuatu barang yang kita beli kepunyaan kita. Adakalanya kita hanya menggunakannya untuk kita sahaja tanpa mahu berkongsi dengan yang lain. Kerana kita menyangka itulah hak kita, maka kita berhak untuk kongsikannya atau gunakannya seorang diri. Ada benarnya dan ada yang tidak benarnya. Kita tidak akan sedar apa sahaja yang ada dalam genggaman kita sekalipun lama kelamaan kita akan penat menggenggamnya lalu kita lepaskan tanpa sedar. Ketika mana apa yang ada di hadapan kita hilang, kita sedikit pun tidak mampu untuk mendapatkannya. Ketika mana apa yang ada di hadapan kita meninggalkan kita, kita takkan mampu untuk menghalangnya pergi dan ia akan tetap pergi. Itulah hakikat semua yang ada pada kita. Maka adakah kita layak berkata ‘ini milikku’?

Orang bijak pandai ada berpesan “Harta letaknya di jantung hati, bukan di tangan”. Pesanan ini untuk mengajarkita jika sesuatu hanya di tangan, kita akan faham satu hari nanti kita perlu melepaskannya kerana kudrat kita takkan mampu memegang apa sahaja selamanya. Maka kita akan mampu menerimanya jika ia meninggalkan kita kelak. Jika kita letakkan sesuatu di jantung hati, kita tidak akan sanggup kehilangannya dan akhirnya akan memberi kesan pada diri jika berlaku kehilangan. Jika kita mencintai seseorang, kita akan menyangka dia adalah milik kita dan diri kita adalah miliknya. Sedangkan kita tahu suatu hari nanti dia akan meninggalkan kita atau kita perlu meninggalkan dia. Maka kehilangan orang tersayang tentunya akan memberi kesan yang besar dalam hidup.

Sifat ingin memiliki dan dimiliki adalah lumrah bagi manusia. Namun kita harus sedar apa sahaja yang kita miliki adalah amanah yang perlu dipelihara dan bersedia kehilangannya suatu masa kelak. Maka kita selalu meletakkan Allah SWT sebagai penghubung segala yang kita miliki. Kerana apa yang kita ada sekarang adalah dariNya dan suatu hari nanti pasti Dia akan mengambilnya tanpa kita punya kuasa untuk menahan. Tanpa kita sedari dan tanpa kita sempat untuk menghargai.

"anak adam(manusia) itu berkata 'hartaku-hartaku'. padahal apa yang sebenarnya menjadi harta milik kamu itu, kecuali apa yang telah engkau makan lalu engkau habiskan dan yang telah engkau gunakan sebagai pakaian lalu engkau rosakkan serta yang telah engkau sedekahkan lalu engkau sempurnakan"-riwayat muslim.

Posted by Insan Biasa at 12:55 AM  
0 comments

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png