Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Syukur yang selalu dilupakan

5/1/12


“Apa yang ada, jarang disyukuri, apa yang tiada, sering dirisaukan. Nikmat yang di kecap, barukan terasa, bila hilang di dalam genggaman”

Inilah sebahagian lirik nasyid yang dinyanyikan satu kumpulan nasyid suatu masa dahulu. Tentang syukur. Kita memahami syukur apabila perkataan ‘terima kasih’ di ucapkan untuk manusia atau ‘alhamdulillah’ ketika berdoa kepada Allah. Ucapan ini selalu kita dengar dan boleh menjadi sekurang-kurangnya penyejuk hati apabila mendengarnya atau semasa melafazkannya.

Saya pernah mendengar seorang penceramah berpendapat, “Syukur itu bukan kadangkala tarafnya lebih tinggi daripada sabar”. Kerana ramai antara kita mampu bersabar apabila ditimpa musibah, kerana hanya itu yang mampu kita lakukan. Bersabar dan bersabar. Tapi tak ramai antara kita mampu bersyukur ketika mendapat nikmat. Mungkin mulutnya boleh mengucapkan kalimah syukur, namun perbuatannya sukar untuk menggambarkan kesyukuran itu. Malah yang paling sukar dilakukan adalah melafazkan kesyukuran ketika ditimpa musibah dan kesedihan.

Kita suka untuk bersyukur apabila mendapat nikmat. Tapi selalunya kita selalu lupa untuk bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita selalu sedih apabila tak mampu membeli kasut yang cantik dan mahal, namun lupa bahawa kita telah dikurniakan kaki yang hebat. Apabila kaki kita sakit dan tak boleh digunakan, barulah kita terasa betapa hanya kaki itu adalah nikmat yang tak terhingga. Namun kita tak mampu menggunakannya untuk membuat perkara kebaikan seperti hadir ke masjid dan majlis-majlis ilmu sebagai tanda syukur.
Kita selalu fikir musibah itu suatu yang tidak disukai dan perlu dielakkan. Itu benar, kita tidak boleh sengaja mencari musibah dan menzalimi diri sendiri. Namun apabila benar-benar telah ditimpa musibah, kita tak mampu untuk bersyukur. Cuba fikirkan kita selalu mahu nak elakkan kesedihan tapi sedih banyak membawa manusia kepada Tuhan. Ramai manusia berjaya kembali kepada Tuhannya selepas musibah yang datang kepadanya. Dulunya dia melihat musibah itu menjatuhkannya, tapi hari ini dia akan melihat jika dia tidak ditimpa musibah itu, tentulah dia tidak mendapat apa yang dia ada pada hari ini. Betapa bersyukurnya dia pada ketika itu.

Seorang pelayar yang karam kapalnya dan terdampar di sebuah pulau tidak berpenghuni. Pelayar itu akur dan redha dengan apa yang berlaku dan cuba untuk hidup sendiri di pulau itu. Suatu hari selepas mencari makanan, pondok yang dibinanya di tepi pantai terbakar hangus. Habis barang kelengkapannya untuk memburu dan membuat makanan hangus terbakar. Ketika itu dia terduduk sedih mengenangkan nasibnya yang selalu malang. Terkeluar juga dari mulutnya, “Oh Tuhan, kenapa Aku??” akibat terlalu kecewa dengan ujian yang menimpanya. Tidak lama selepas itu dating sebuah kapal untuk membawanya pulang. Pelayar itu bertanya, bagaimana mereka tahu dia ada di pulau itu. Anak kapal itu menjawab mereka terlihat asap dari pulau tersebut. Ketika itu barulah pelayar itu tahu bahawa Tuhan membakar pondoknya untuk menyelamatkannya.

Sungguh hebat perancangan Tuhan hingga tak tercapai dek akal cetek manusia. Kita sangka Tuhan kejam dan hanya mahu memberi kita musibah. Namun jika kita percaya kepadaNya, sebenarnya Dia mahu menyelamatkan kita dan ketika itulah kita akan bersyukur dengan musibah yang menimpa. Wallahualam.
Posted by Insan Biasa at 11:07 PM  
0 comments

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png