Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Sindrom “Aku lebih baik dari dia”.

2/11/12


“Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud (11) Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis: “Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah” (12) Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka ke luarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina” (13).”

(QS.Al-A’raf: 11-13).

Salah satu penyakit jantung hati adalah yang selalu bersarang di jantung hati manusia tapi tak selalu kita sedar kehadirannya adalah perasaan lebih baik dari orang lain. Rasa sombong. Merasakan diri lebih baik dari orang lain akan mengundang keburukan pada diri sendiri. Saat itulah dia akan menjadikan dirinya hina di mata orang lain dan mengundang perasaan tidak enak di kalangan orang sekitarnya. ‘Aku lebih baik dari dia’ akan mewujudkan rasa marah dan geram pada pendengar. Seterusnya mungkin akan mencipta musuh yang tidak disedari.

Kisah kesombongan iblis yang mengakibatkannya tersingkir dari syurga dan menjadi penyebab dendam iblis untuk menyesatkan manusia sudah kita maklum. Namun kita mungkin tak mengambil ibrah daripada kisah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup seharian tentang betapa bahayanya rasa ‘aku lebih baik dari dia’. Iblis berasa tidak layak untuk sujud kepada Adam kerana kesombongan dalam dirinya yang diperbuat daripadan api sedangkan adam hanya dijadikan dari tanah hitam. Kesombongan ini mengatasi kepatuhannya kepada perintah Allah dan yang mempunyai kuasa mutlak atas makhlukNya tanpa perlu dipersoal perintahNya. Kelebihan yang iblis rasakan dalam dirinya akhirnya menjadikannya makhluk yang pertama ingkar kepada penciptanya seterusnya menjadikan dirinya hina.

Akibat perasaan sombong sungguh besar kesannya. Kemurkaan Allah kepada iblis menjadi permulaan kisah sengketa antara manusia dan iblis. Hanya Allah SWT yang mengetahui hikmah kejadian ini. Namun sebagai manusia kita wajar menggunakan anugerah akal ini untuk berfikir sedalamnya dan mencari hikmahnya. Kerana hikmah adalah sesuatu yang hilang dari orang mukmin. Dalam hidup ini, individu, masyarakat, pendakwah dan kumpulan politik perlu sedar akibat kesombongan akan menjadikan manusia hidup dalam sengketa, dipandang hina dan hilang kehormatan diri.

Dalam bidang pekerjaan, persaingan adalah sesuatu yang biasa. Untuk naik ke jawatan yang lebih tinggi, pekerja akan bersaing dan menjadikan dirinya kelihatan lebih baik dari yang lain di hadapan majikan. Hal ini juga adalah sesuatu yang biasa. Namun dalam kita mencuba untuk menjadi sesuatu yang terbaik, ada batas-batas yang perlu diambil kira. Rasa sombong akan mewujudkan sifat dendam jika apa yang dihajati tidak diperoleh. Jika kita berasa layak untuk sesuatu jawatan, namun atas sebab yang tidak diketahui ada orang lain yang mendapat jawatan tersebut. Tentulah kita akan berasa kecewa. Lebih mengecewakan apabila orang lain yang dipilih itu kita rasakan tidak layak kerana berasa ‘aku lebih baik darinya’.

Dalam bidang dakwah pula, penulis mendapati terdapat banyak kumpulan yang menggunakan mentod dan pendekatan dakwah yang berbeza, dan pendekatan ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Namun malangnya, perasaan ‘aku lebih baik darinya’ menjadikan sesuatu kumpulan itu sombong dan selalu membantah metod kumpulan lain. Lebih malang lagi ada yang taksub dengan murabbi masing-masing hingga enggan menerima nasihat dan selalu mengatakan ‘guru aku lebih baik dari kau’. Kita perlu faham walau sehebat mana pun seorang ‘syikh’ atau ‘tok guru’ itu, beliau tetap seorang manusia yang punya kelemahan dan mungkin boleh melakukan kesilapan.

Merendah dirilah dan terimalah kelemahan diri.

Apabila kita merasakan diri lebih baik dari yang lain, itulah saat kejatuhan kita. Kata orang bijak pandai, ‘jika kamu merasakan dirimu sudah pandai dari yang lain, itulah saat kebodohanmu’. Jadi sebanyak mana pun kita telah belajar, kita perlun sedar masih banyak yang perlu kita ketahui, sehebat mana pun kita dalam sesuatu bidang, kita perlu akui masih ramai yang lebih baik dari kita. Perasaan ini akan melenyapkan perasaan sombong dalam jantung hati dan menjadikan kita mahu lebih berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Benar, kita dituntut berusaha mengatasi kelemahan diri. Namun sebagai manusia yang bersifat lemah, apabila satu kelemahan sudah berjaya diatasi, sedarlah masih terlalu banyak kelemahan yang masih bersarang dalam diri. Kelemahan ini adalah satu tanda kesempurnaan ciptaan Allah yang menjadi tanda kita adalah manusia.

Jika kita berasa lebih baik dari yang lain, kita akan sukar untuk menerima nasihat dari orang yang kurang baik pada pandangan kita. Mungkin orang yang kurang baik pada pandangan kita itu lebih taqwanya pada pandangan Allah. Saidina Umar pernah memanggil seorang budak kecil guru kerana budak itu mengajar beliau sesuatu di luar pengetahuannya. Malah ramai pembesar-pembesar Islam terdahulu memohon golongan rakyat dan para ilmuan lain yang terlihat kesalahan dalam pentadbiran mereka untuk menegur mereka sebagai penampan dalam pentadbiran. Jadi tidak ada ruginya seseorang pemimpin berlapang dada menerima teguran yang benar dari orang bawahan. Hal ini malahan akan menjadikan seseorang pemimpin lebih dihormati oleh rakyatnya.

Kumpulan-kumpulan dakwah juga perlu berlapang dada menerima pendekatan pendakwah yang tidak sealiran dengan mereka. Dalam aspek metodologi dakwah pastinya banyak yang boleh diterima, sekalipun metod itu dilihat kurang berkesan, asalkan ia sesuatu yang baik dan tidak memesongkan aqidah, kita perlu berlapang dada menerimanya.Tidak perlu wujud perkataan ‘cara aku lebih berkesan’ Tentunya pendekatan dakwah Rasulullah SAW yang paling berkesan. Namun atas dasar waqi’ dan budaya sesuatu kawasan, pastinya akan terdapat perbezaan cara dan gaya. Rasulullah SAW juga pernah menjawab jawapan yang berbeza untuk satu soalan yang sama. Ini kerana Rasulullah menjawabnya mengikut individu yang bertanya. Mungkin lain orangnya, lain cara jawapannya. Lain tempatnya, lain pendekatannya. Lain padang, lain belalang.

Sombong adalah perasaan yang menyebabkan tersingkirnya iblis dari syurga. Justeru jika kita masih punya rasa sombong dalam diri, layakkah kita ke syurga? Perasaan sombong wujud dalam jantung hati tanpa kita sedari. Tetapi jika kita sudah menyedarinya, segeralah berbuat sesuatu agar ia tidak menjadi tabiat yang susah untuk dibuang. Merendah diri adalah kunci untuk menyingkirkan perasaan ini. Rasa rendah diri yang sederhana tidak akan menjadikan kita bersifat pesimis, malah akan menjadikan diri lebih berusaha untuk terus cemerlang di dunia, sejahtera di akhirat.

"Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau tiada dapat menembus bumi dan takkan sampai engkau setinggi gunung…."
Al-Isra' a: 37.

Posted by Insan Biasa at 2:12 PM 0 comments  

Kagum dengan orang yang mampu berubah

2/1/12

Dalam hidup ni, kita akan melalui fasa tertentu, fasa bayi, budak, remaja, dewasa dan orang tua. Dalam semua fasa ini menuntut perubahan. Sama ada kita berubah mengikut persekitaran atau kerana kemahuan yang lebih baik. Atau buruk. Orang bijak pandai ada menyebut “Manusia yang berjaya adalah manusia yang memaksa dirinya berubah, bukan yang terpaksa berubah apabila terpaksa”.

Aku kagum apabila melihat orang sekitarku yang mampu berubah. Tentunya kepada perubahan yang lebih baik. Aku dapat melihat bagaimana gigihnya mereka mencuba dan aku dapat melihat bagaimana Allah membantu mereka. Aku selalu melihat mereka sebagai ‘self reflect’ untuk diriku. Bagiku perubahan sungguh sukar. Aku tidak pasti sama ada aku takut untuk berubah atau aku tak punya kegigihan. Namun yang pasti sehingga hari ini aku rasakan perubahan diriku amat sedikit. Malah mungkin masih di takuk lama. Malah mungkin berubah kepada yang lebih buruk. Jika aku selalu fikirkan ini. Aku rasa amat sedih.

“Dari yang kurang baik kepada yang lebih baik” itu lebih baik dari “baik” tanpa peningkatan.

Aku bertuah dilahirkan dalam keluarga yang hebat. Bagiku hebat. Ayahku mengajar agama, ibuku suri rumah sepenuh masa. Semasa kecil mak selalu pesan kepadaku “muaz jangan buat jahat ye..kamu anak ustaz”. Aku selalu ingat itu. Abah pula selalu membawaku ke masjid, kadang-kala aku dipaksa ikut sebab aku sendiri kadang kala malas.

Aku juga bertuah di sekolah rendah aku dikelilingi orang yang hebat. Cikgu selalu puji aku kerana aku bijak baca doa. Selalu dapat markah tinggi terutama dalam subjek pendidikan Islam dan jawi. Di sekolah menengah juga aku bersahabat dengan ‘budak surau’ yang menjadikan aku juga seperti mereka. Di matrikulasi, di universiti. Aku juga berkawan dengan orang yang baik dan banyak membantuku menjadi ‘manusia’. Setelah aku bekerja, aku juga dikelilingi orang baik. Pendakwah, ustaz, dan mereka yang selalu menegurku.

Jika aku melihat kembali kehidupanku, antara kurniaan Allah yang sungguh aku tak mampu untuk syukuri adalah persekitaran yang hebat. Subhanallah. Aku berfikir jika aku diberi persekitaran yang teruk seperti latar belakang mereka yang bermasalah. Mungkinkah aku jadi seperti aku. Jika aku menjadi manusia jahat, mampukah aku berubah menjadi lebih baik? Jika bukan kerana belas kasihan Allah, mungkinkah aku di sini?

Di mana-mana sahaja aku berada, hanya dengan kenal namaku, mereka sangka aku ‘baik’. Ya itu aku hargai. Tapi aku sedih kerana aku tahu aku bukan seperti sangkaan mereka. Jika bukan kerana Allah yang menutup aibku, tentulah mereka tidak memandangku begitu. Kerana itu aku selalu cuba untuk jadi lebih baik. Namun aku selalu gagal untuk berubah. Kerana itu juga aku kagum melihat orang sekitarku berubah. Ya, kehidupan mereka sebelum ini kulihat teruk. Tapi sampai satu masa meraka tekad untuk berubah dan mereka mampu melakukannya.

Aku sememangnya begini, sejak dulu aku dididik begini, dan aku masih tidak berubah. Masih lagi dengan apa yang aku ada sejak aku di bangku sekolah. Mereka melihat itu dan mereka sangka bagus dan baik. Hakikat yang aku lalui tidak seperti aku. Masih di takuk yang lama. Aku tidak membuat sebarang peningkatan. Tapi orang lain mampu lakukan. Kenapa aku tidak?

Dahulu aku selalu sangka Allah akan menuntun setiap gerak-geriku. Dengan itu setiap langkahku adalah dalam kemahuan Allah. Tapi aku salah, akulah yang memilih untuk bergerak. Allah Cuma memberikanku pilihan dan melihat sama ada mampukah aku memilih. Ternyata aku banyak salah. Perjalanan hidup ini memberi pelajaran besar bagaimana Allah mahu kita berubah mengikut keinginan kita, mengikut keikhlasan yang ada dalam jiwa kita. Kemudian barulah disertai dengan pertolongan Allah. Aku hanya dapat melihat itu dalam hidup orang lain. Aku masih belum nampak itu dlam hidupku. Tapi aku akan sentiasa mencuba. Seiring perjalanan waktu yang akan mengajarku. Aku harap aku masih sempat. Selagi hayatku terus meningkat. Selagi umurku terus bertambah.

1 Februari 2012-26 Tahun

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png