3/7/17
Assalamualaikum..
Sungguh pantas masa berlalu, rupanya aku ada sebuah blog yang telah aku lupakan. Zaman meanulis blog di universiti sungguh menggamit kenangan yang indah. Semua mahu dicurahkan di blog. Hari ini sudah ada facebook, twitter dan instagram menjadikann dunia blog sangat asing. Setiap hari boleh meluahkan perasaan di platform sosial hingga hari ini dan terlalu muak untuk menulis. Akhirnya dunia blog pon ditinggalkan. Rindu untuk punya masa menulis seperti dulu.
Muka Mus'ab baru 2 bulan. Kini hampir 3 tahun..
12/4/13
Apabila mula berjinak-jinak dengan dunia pekerjaan, selain
ingin mendapat pekerjaan yang digemari, nikmat yang diharapkan bagi pekerja
baru adalah mendapat majikan yang baik. Jika majikan adalah seorang yang
sungguh bertimbang rasa, iklim pekerjaan pasti indah dan menggalakkan
penghasilan mutu kerja yang berkualiti. Tekanan kerja pasti berkurangan dan
apabila pulang ke rumah, kita boleh pulang dengan hati yag tenang dan akan
wujud perasaan tak sabra untuk kerja keesokan harinya.
Namun langit tak selalunya cerah, hidup tak selalu indah.
Sejauh mana keinginan kita untuk mendapat hidup yang indah, kehendak Allah
pasti mengatasi segalanya. Jika ditakdirkan Allah mahu menguji kita dengan
majikan yang zalim, pentingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa, sudah
tentu ini akan mencabar tahap kesabaran kita setiap hari. Hari-hari yang
dilalui pasti ditempuh dengan panas hati dan tekanan yang tidak berkesudahan.
Namun atas desakan hidup dan tuntutan untuk mencari nafkah keluarga, kesabaran
adalah senjata terakhir yang paling berkesan. Selain itu, beberapa berkara
boleh kita lakukan untuk menjadikan persekitaran lebih positif
Majikan juga adalah
manusia lemah yang banyak kelemahan.
Perkara pertama yang perlu kita akui adalah memahami hakikat
kelemahan seorang hamba. Walau sehebat mana pangkat dan pendidikan majikan itu,
beliau takkan boleh lari dari sifat kehambaan yang lemah dan serba kekurangan.
Walaupon majikan tidak pernah mengakui kelemahan beliau, dan sememangnya itulah
sikap angkuh manusia. Sebagai pekerja, kita seharusnya bersyukur kerana boleh
mengambil ikhtibar daripada tingkah laku majikan itu. Mengakui kelemahan
majikan itu akan menjadikan kita insaf betapa ampuhnya manusia walau sehebat
manapun pangkat dan pendidikan kita.
Minimumkan salahfaham
dengan majikan
Seperkara lagi yang boleh cuba diusahakan adalah
mengurangkan salah faham dengan pihak majikan atau pentadbir. Apabila kita
sudah selalu di layan dengan buruk oleh majikan, sudah tentu dalam minda kita
sudah tertanam persepsi apa juga yang dilakukan akan dipandang remeh dan tidak
dihargai. Hal ini akan membuatkan kita tidak bermotivasi untuk berkerja dan
kualiti kerja akan merudum. Perkara ini pasti memberi kesan kepada keberkatan
rezeki yang diperoleh. Untuk mengelakkan hal ini, kita seharusnya cuba untuk
hanya menjalankan skop tugas yang diamanahkan oleh kita sahaja tanpa perlu
mengambil tahu perjalanan tugas yang lain. Ini boleh mengelakkan kita
berprejudis dengan perkara yang sepatutnya tidak berkaitan dengan tugas hakiki
kita.
Jadikan majikan
contoh yang ingin dijauhi.
Sebagai pekerja bawahan, kita telah merasai keadaan yang tak
menyenangkan kerana pengabaian oleh majikan, jika suatu hari nanti kita di
tempat majikan, berazamlah supaya tidak mengulangi sikap majikan. Apabila kita
melihat contoh yang tidak baik, berusahalah untuk menhindarinya.
Setidak-tidaknya berdoalah supaya Allah tidak melupakan kita akan kesusahan ini
dan kita sendiri tidak mengikut contoh yang buruk. Hal ini kerana sudah menjadi
lumrah dunia, pangkat adalah satu ujian dari Allah. Mungkin majikan kita sedang
diuji ole pangkatnya. Adakah jika kita di tempat majikan kelak juga tidak
terlepas dari ujian ini?
Selalu sedar hanya
Allah sahaja yang layak menilai kita
Rasa tidak puas hati dengan majikan akan lebih membuak-buak
apabila semua yang kita lakukan tidak dihargai oleh majikan. Sebenarnya hal ini
mampu mengajar kita erti ikhlas. Jika kita melakukan kerja untuk mencari
kepuasan manusia, nescaya kita akan selalu kecewa dan hampa kerana umumnya
manusia tak selalu mampu menghargai. Namun jika apa yang kita lakukan
semata-mata untuk mencari redha Allah, maka kita takkan perlu risaukan apa
pandangan orang lain terutama majikan kita. Apa yang kita mesti faham adalah
amanah yang diberi perlu dijalankan sebaik mungkin untuk keberkatan rezeki.
Berdoa supaya majikan
sedar dan berubah.
Perkara terakhir yang boleh kita lakukan adalah berdoa untuk
kebaikannya. Inilah cabaran kita. Amat susah untuk mendoakan kebaikan untuk
orang yang berbuat zalim kepada kita. Namun keindahan Islam itu terserlah
melalui peribadi Rasulullah SAW yang selalu membalas keburukan yang dilakukan
kepadanya dengan kebaikan yang akhirnya akan membuahkan perubahan yang besar
kepada bangsa arab khususnya dan dunia amnya.
Hidup penuh dengan cabaran. Jika tiada cabaran, jiwa kita
akan mati. Siapa yang kita jumpa, siapa yang kita kenal sebenarnya
menggambarkan siapa diri kita. Semua yang Allah pertemukan dengan kita
mempunyai hikmah yang perlu difikirkan. Kita boleh melihatnya secara positif
dan boleh juga melihatnya secara negatif. Kita perlu sedar masalah yang dihadapi adalah ujian Allah dan setiap ujian yang
diberi pasti diberi juga keupayaan untuk menghadapinya.
11/21/13
Saya terpanggil untuk mengulas tentang beberapa pengalaman yang saya lalui sepanjang berurusan dengan peniaga-peniaga yang hakikatnya menipu untuk mendapatkan keuntungan. Hanya kerana kita malas untuk cek kesahihan kata-katanya, kita tertipu. Ramai orang akan mengambil kesempatan jika kita kurang ilmu, langsung tiada rasa ingin membantu apabila keuntungan menjadi satu-satunya sasaran dan mengetepikan sifat kemanusiaan. Seorang rakan sekolah yang juga seorang penulis berjaya ketika ini, 'Khairul Fadhli' pernah menasihatkan saya, "Kalau orang tu nak tipu, macam mana pun cara dia mesti dapat tipu, dia akan buktikan macam-macam hingga kita percaya". Penipuan akan tetap berlaku walau bagaimanapun langkah yang diambil. Jika si peniou bijak, kita perlu lebih bijak untuk mengelak diri.
Baru-baru ini adik membeli sebuah motor di peka Kuala Klawang. Harganya RM7000. Pada mulanya saya tak masuk campur pun. Syukur saya tergerak untuk mengira berapa bayaran keseluruhan pada kedai itu. Setelah dikira keseluruhannnya menjadi RM9000 lebih jika hutang 2 tahun. Saya terperanjat mengapa begitu banyak kedai ambil untung atas hutang. Saya kecewa kerana ayah dah beli 3 buah motor di kedai itu sebelum ini, entah berapa banyak abah kena tipu. Semuanya kerana malas nak kira. Maka penjual mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang tinggi. Saya mengambil keputusan untuk membuat pinjaman bank dan memberikannya kepada adik. Pinjaman bank jauh lebih jimat berbanding pinjam dengan kedai. Saya sungguh kecewa dengan penjual berkenaan.
Lama dahulu, mak didatangai orang luar yang pada mulanya mahu tumpang tandas, saya hanya melihat. Selepas tumpang tandas, lama pula boraknya dengan mak. Tiba-tiba saya lihat mak keluarkan duit. Syukur saya bertanya apa yang mak nak buat. Mak kata nak masuk peraduan untuk dapatkan mesen jahit yang lebih besar. Saya menghalang. Orang yang borak dengan mak tadi menelefon bosnya yang juga sedang menjual produk di kawasan kampung kami. Apabila bosnya datang, bos(perempuan) itu juga menjelaskan kepada mak. Saya berkeras menghalang mak dan menyuruh penjual itu beredar. Penjual itu kelihatan marah dengan saya. Lebih marah apabila saya cuba mengambil gambar mereka. Takut agaknya.
Terbaru saya telah membeli dua keping pendrive berkapasiti 64gb dengan harga rm20. Sungguh menggoda promosi yang ditawarkan. Di sini sekali lagi penjual menggunakan sikak tamak manusia untuk mendapat keuntungan. Saiz yang besar memmbuatkan saya tergerak untuk membeli. Memang wujud saiz tersebut jika diuji dengan komputer. Tapi bila dimasukkan dengan data, data semua rosak. Saya bersyukur ada kawan facebook memberitahu.
Hari ini dunia sungguh mencabar. Ramai manusia suka ambil kesempatan atas sifat buruk manusia lain. Sungguh menakutkan jika kitalah mangsanya. Apa yang perlu kita lakukan adalah update ilmu sebanyak mungkin tentang taktik penipuan yang pelbagai. Paling penting selalulah memanjatkan doa kepada yang Maha Pelindung agar menjauhkan kita dari manusia-manusia yang suka melakukan penipuan. Apa yang telah berlaku marilah jadikan pengajaran untuk diri dan orang lain. Mungkin ada dosa yang Allah mahu hapuskan..
11/12/13
Hidup ini ada turun naiknya, termasuklah bidang penulisan ni. Saya sudah lama tak menulis. Nampaknya keadaan sungguh menyukarkan untuk menulis. Ditambah dengan kesibukan(kononnya) menjadi suami. Hihihi
Sebenarnya bukan kerana malas. Cuma apa yang perlu ditulis sangat terhad. Amat menyedihkan dengan apa yang diperoleh tak mampu untuk diluahkan. Saya pernah baca apa yang kita katakan atau tulis adalah 20% dari apa yang kita baca. Ini menujukkan tak banyak yang saya peroleh dalam masa yang banyak ini. Saya suka untuk berkongsi apa yang saya baca, tapi saya tak membaca pon, apa juga yang perlu dikongsi. Kini saya melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan pendidikan untuk memaksa diri membaca dan menimba ilmu lebih dari sebelumnya. Saya berharap penulisan boleh menjadi medan dakwah yang efektif untuk saya. Sebagai satu amal jariah yang saya tinggalkan selepas saya ke alam barzakh. Target untuk menghasilkan satu buku sebelum pergi nampaknya masih jauh dari kesampaian. Hanya ada tajuk. Saya berdoa saya mampu lakukannya.
7/26/13
Hari ini, 26 Julai 2013 hampir 3 minggu aku bergelar suami. Alhamdulillah, dalam masa sesingkat ini pun aku sudah merasakan kelainan yang nyata. Terutama dari segi tanggungjawab. Aku dapat rasakan aku belum lagi mampu menunaikan sepenuhnya tanggungjawab ini. Aku masih terikut-ikut zaman bujang yang selalu rilek dan tak serius. Walaubagaimana pun aku sedang belajar untuk berubah. Aku harap dapat memberi yang terbaik untuk sang isteri. Aku sangat bertuah kerana dia sudi menerima aku,di sebalik kekurangan ini. Dia juga sedang belajar hidup berumatangga. Yang mampu kami pohon adalah bimbingan wahyu Allah. Jalan atau syariatnya yang benar hingga ke syurga yang dijanjikan kelak. Ini hanyalah wasilah ke arah redhaNya.
4/16/13
Hari ini terpanggil untuk
menulis. Menulis sebagai seorang pendidik. Sudah lama saya tak kerah minda
untuk menulis. Tapi hari ini teringin untuk melahirkan perasaan yang gembira.
Gembira kerana menerima hadiah-hadiah dari pelajar. Ya, ada rasa gembira. Ada
juga rasa terharu kerana merasakan diri ini tak layak menerimanya dengan apa
yang telah saya lakukan. Namun saya tetap menerimanya dengan senang hati dan
rasa penuh kesyukuran. Terima kasih.
Namun bukan inil tujuan saya
menulis. Kali ini saya ingin membawa pembaca terutamanya pelajar saya tentang
hakikat sebenar penghargaan kepada guru. Benar, memberi hadiah adalah salah
satu cara untuk menghargai guru, tapi ada lagi cara yang lebih berharga dan
tiada tolak bandingnya. Hadiah inilah yang menjadi idaman semua yang bergelar
pendidik. Hadiah ini akan membuat semua pendidik tersenyum puas dan bahagia.
Dan hadiah ini mampu diberikan oleh semua pelajar kerana tidak memerlukan wang
untuk membelinya. Tapi memerlukan usaha yang gigih. Itulah harga sebuah kejayaan.
Melihat pelajar yang berjaya dan
memberi manfaat kepada orang lain adalah hadiah terbaik untuk para pendidik.
Hadiah inilah yang akan menghilangkan segala kepenatan dan kesukaraan sepanjang
menjalankan tugas mendidik. Kejayaan yang diperoleh oleh pelajar bukanlah
semata-mata dalam akademik, malah yang paling utama adalah berjaya menjadi
manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain, menyenangkan hati ibu
bapa dan semua yang berada di sekitarnya. Walau apa pon bidang kerjaya yang
diceburi. Baik doktor, doktor yang menyenangkan pesakit; jurutera, jurutera
yang menghasilkan sesuatu yang memudahkan orang ramai; kontraktor, kontraktor
yang menepati janji seperti dalam kontrak; peguam, peguam yang membela orang
yang benar-benar tidak bersalah; peniaga, peniaga yang jujur dan tak menipu
pelanggan; dan tukang sapu, tukang sapu yang membersihkan laluan orang lain
untuk kemudahan semua.
Suatu hari nanti, jika saya
bertemu dengan pelajar saya. Saya berharap mereka akan jadi orang yang lebih
baik dari saya dalam semua bidang; kerjaya, akhlak dan sahsiah. Biarpun
kerjayanya bergaji kecil dan cukup makan, jika dia berniat baik dan suka
memudahkan orang lain, dialah pelajar yang saya banggakan dan itulah tujuan
saya mendidiknya. Kerana saya percaya 80% kejayaan kita adalah kerana sikap,
hanya 20% sahaja dipengaruhi oleh intelek. Kemahiran intelek boleh menjadi nilai
tambah untuk kejayaan. Jika seseorang pelajar itu kurang pintar dalam subjek
kimia sedangkan dia telah berusaha, dan dia hanya mendapat keputusan yang cukup
makan, tapi saya percaya kegigihannya akan menjadi satu sikap yang murni suatu
hari nanti. Itulah yang menjadi penentu kejayaan kelak. Dan tentulah dia akan
menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang sekitarnya. Kerana itulah jika saya
mendoakan pelajar, saya lebih mendoakan pelajar untuk menjadi manusia yang
bermanfaat untuk orang lain dahulu, kemudia baru mendoakan untuk skor subjek
kimia. Kerana bukan semua kita punya kemahiran intelek yang hebat untuk skor
subjek kimia, tapi semua kita punya kejayaan tersendiri jika tidak putus asa,
terus gigih berusaha dan merendah diri.
Saya juga mengharapkan doa dari
para pelajar agar terus diberi kekuatan untuk mendidik dan terus diberi
kesempatan untuk sentiasa memperbaiki cara penyampaian yang kurang memuaskan.
Jika suatu hari nanti saya sudah tiada, saya berharap akan mendapat aliran
pahala oleh mereka yang masih mengamalkan ilmu yang saya kongsikan dengan cara
yang betul.
Semoga berjaya para pelajarku J
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya :
"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain."
(Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami' al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no:3289)
3/28/13
Sebelum ini saya pernah menyebarkan satu hadis yang berbunyi "Rahsiakan Pertunangan, War-warkan perkahwinan. Sebaran ini dibuat di laman sosial facebook. Pada masa itu saya selalu mendengar hadis ini dan pernah mambacanya dalam artikel-artikel di internet, namun saya terlupa untuk melihat tentang taraf hadis ini. Alhamdulillah, Allah membuka hati saya untuk mencari dengan lebih mendalam tentang hadis ini. Setelah bertanya dengan rakan-rakan yang lebih berilmu, malah juga dibincangkan oleh mufti, saya dapati terdapat kelemahan pada hadis ini dan perlulah saya memperbetulkannya. Semoaga Allah mengampunkan saya atas kealpaan ini (T_T).
Pembetulan itu berbunyi begini.
Ayat: "Rahsiakan Pertunangan"
diriwayatkan oleh al-Dailami di dlm musnadnya. Dihukum lemah oleh al-Albani di
dalam al-Silsilah al-Dhoiefah dan Dhoief al-Jami' al-Saghir. Ayat:
"War-warkan perkahwinan" adalah sahih, hadis antaranya diriwayatkan
oleh Ahmad. Cuma sebahagian ulama ada yg beranggapan sunat menyembunyikan
pertunangan jika bimbangkan hasad orang. Mereka didalilkan dgn hadis:
Tolong-menolonglah kamu semua dlm menjayakan hajat2 manusia dgn sembunyikannya,
kerana setiap yg memiliki kebaikan itu biasanya didengki oleh orang lain.
Riwayt al-Tabarani. Namun hadis ini tidak khusus kepada prtunangn sebaliknya
anjuarn supaya sembunyikan setiap perkara di hadapan org yang dengki. wallahu a'lam.
Maka jelaslah ayat "Rahsiakan pertunangan" adalah bertaraf lemah. Dan hadis yang lemah tidaklah boleh dijadikan hujjah. Hanya boleh di amalkan untuk diri sendiri. Saya khuatir ada yang menganggap hadis ini wajib dilakukan dan cuba sedaya-upaya untuk merahsiakan pertunangannya kerana tidaklah dalam semua keadaan, pertunangan itu perlu dirahsiakan, malah perlu diberitahu jika ada yang bertanya. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan ataupun salah faham. Mungkin pihak yang bertanya mempunyai tujuan untuk bertanya 'hajat' orang lain atau diri sendiri. Maka hal pertunangan itu tidak boleh disembunyikan, juga tidak boleh dihebohkan seperti perkahwinan.
Pertunangan yang keterlaluan.
Adapun semasa saya berkongsi tentang hadis "rahsiakan pertunangan" sebelum ini adalah untuk memberi pendapat tentang 'trend' masakini yang terlalu menonjolkan hal pertunangan hingga melibatkan pembaziran yang tidak munasabah, dengan pelamin, mak andam, photograper dan khemah. Hingga menyusahkan banyak pihak termasuk diri sendiri. Namun disebabkan mahu mengikut 'ternd' masakini, kita terlupa 'trend' yang di ajar Nabi. Nabi cuma menyuruh agar mewar-warkan perkahwinan, bukan pertunangan. Jadi biarlah pertunangan dilakukan dengan sederhana dan 'cukup syarat'.
-Tammat-
Satu lagi 'trend' terkini saya lihat pada muda-mudi kini adalah menganggap hubungan 'couple' mereka adalah seperti bertunang. Ini adalah kerana pendapat sesetengah ulama yang dilihat di youtube. Apa yang dikakatakn ulama itu tidaklah salah, namun ada yang menggunakannya sebagai sesuatu yang rasmi untuk lebih meyakinkan mereka dan meng'halal'kan sesetengah cara berhubung. Namun pendapat saya, apa yang diperkatakan oleh ulama itu adalah cara pertunangan yang mudah dalam Islam, hanya satu janji oleh pihak lelaki dan perempuan, tidak mewajibkan majlis yang membawa pembaziran dan beban, Itu sahaja. Pertunangan bukan hanya persetujuan empunya diri, namun perlu melibatkan keluarga. Wallahu a'lam
9/30/12
Saya cuma ingin berkongsi pendapat tentang keutamaan hidup kita. Bagi saya dalam apa pon keputusan hidup kita, kita perlu membuat keutamaan berdasarkan apa yang kita fahami dalam hidup. Dan pilihan itu adalah berdasarkan apa yang kita fahami tentang tujuan hidup. Antara dua pilihan atau lebih dari dua pilihan, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik. Bagi kita ummat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. maka jika enyentuh tentang kehidupan akhirat tentunya kita mahukan syurga dan jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan REDHA ALLAH SWT.
Sebenarnya pilihan ini dibuat berdasarkan apa yang telah kita lalui. Pengalaman. Kemudian lihat pula sejauh mana ilmu kita boleh menilai pilihan itu. Kita perlu faham kenapa seseorang penjenayah memilih untuk membuat jenayah. Apakah mereka tidak tahu jenayah adalah satu kesalahan dan dosa? Tapi mereka tetap mahu lakukannya. Ini sangat berkait dengancara kehidupan mereka. Siapa mereka berkawan dan apa yang mereke telah lalui? Dan semua itu adalah di luar pengetahuan saya.
Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pon, kita perlu utamakan pilihan yang mendapat redha dari Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegahNya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya. Selain dari itu adalah pilihan yang salah. Dalam membuat pilihan sama ada untuk menjaga hati manusia atau menjaga Allah, tentulah kita perlu menjaga Allah. walaupun terpaksa menyakitkan hati manusia. Tentulah agama melarang kita menyakiti sesama insan, tetapi yang manakah adalah penting? Redha Allah atau kesenangan hati manusia?
Dalam ketaatan kepada Ibu bapa. Agama meletakkan sempadan dalam mentaati ibu bapa. Ketaatan yang boleh menyebabkan kita melanggar perintah Allah adalah dilarang. Maka seorang anak boleh ingkar jika ibu bapa mereka menyuruh melakukan kemungkaran. Seoarang anak wajib menolak permintaan yang melanggar perintah Allah secara baik dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan itu, malah jika keadaan masih lagi di luar kawalannya, ambillah keputusan untuk tinggal berjauhan dan mohonlah pertolongan Allah. Allah pasti membantu hambaNya selalu mengutamakan perintahnya.
Jika seorang lelaki mengajak seorang wanita bercinta seperti yaang berlaku dalam kisah muda-mudi hari ini. Wanita itu akhirnya termakan pujukan si lelaki kerana kasihan dan mahu menjaga hatinya. Adakah pilihan wanita itu betul? Adakah pilihan wanita itu selari dengan apa yang Allah mahu? Akhirnya melahirkan perasaan yang lebih mendalam hingga boleh menjadikan wanita itu melanggar banyak lagi perintah. Adat orang bercinta berdua-duaan. Sama ada secara realiti atau maya. Lumrah nafsu si lelaki akan meminta lebih lagi 'bukti' cinta. Si wanita akan menurut dengan alasan ingin menjaga hati. Namun jelas melanggar apa yang Allah mahu. Tindakan wanita itu mungkin betul jika si lelaki benar-benar mahu mengahwininya pada masa terdekat. Jika tidak, hubungan cinta yang terlalu lama hanya membawa kemungkaran demi kemungkaran dan fitnah yang tidak akan disedari oleh si pelaku. Ini hanya disedari setelah perkara buruk berlaku. Ketika itu penyesalan adalah sia-sia.
Sememangnya banyak pilihan yang berlaku dalam hidup ini membuatkan kita buntu dan keliru dengan kepelbagaiannya. Namun jika kita membuat pilihan yang mengutamakan redha Allah, maka kita tidak mungkin rugi. Lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Banyak pilihan yang menyebabkan kita menyesal di kemudian hari dan sebenarnya kita telah menyedarinya ketika pilihan itu dibuat. Kerana kita berharap pilihan akibat pilihan itu adalah berlainan. Sebenarnya tidak. KITA BOLEH MEMBUAT PILIHAN, TETAPI TIDAK BOLEH MEMILIH AKIBAT PILIHAN ITU. Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi nyata.
9/24/12
Malam Semalam mak dan abah telah berankat ke Makkah. Tanah Suci yang menjadi tempat idaman semua makhluk hidup. Akhirnya Allah memberi kesempatan kepada mak dan abah untuk hadir sekali lagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Melengkapkan rukun Islam yang kelima. Aku sungguh bersyukur dengan perkara ini. Aku juga akan terus memohon agar kelak Allah akan memanggil aku ke sana untuk menjadi tetamu agung. Semoga ada kesempatan.
Maka ramailah yang mengirimkan hajat untuk didoakan di sana. Doa di Masjidilharam adalah kesempatan doa yang tak mungkin dilepaskan oleh setiap orang yang berpeluang ke sana. Tentunya aku salah seorang pengirim doa. Tidak kurang yang meminta di disampaikan salam kepada Rasulullah dan Para sahabat semasa mengunjungi makan mereka. Aku tidak berkesempatan berkata begitu kepada abah. Kerana aku punya pendapat sendiri. Biarpun aku jauh di sini, perasaan cinta akan Baginda nabi tetap dapat kusampaikan dengan amalan sunnah dan selawat ke atas baginda. Allahumma solli ala muhammad. InsyaAllah.
Suasana Di perkarangan rumah
Azan dilaungkan sebelum jemaah berangkat ke Makkah
Sengaja Besarkan gambar ni..Sweet
Semoga Mak dan Abah mendapat haji yang mabrur. Aku sempat menitipkan beberapa doa untuk mak doakan kepadaku semasa berhadapan dengan kaabah. Antara Isi doanya adalah seperti berikut.
Ya Allah, aku pohonkan padamu dengan penuh
harapan agar kau kabulkan permintaan untuk anakku ini.
- Jadikanlah anakku ini seorang
yang berguna kepada semua orang di sekitarnya. Jangan kau biarkan dia
menyusahkan orang lain. Permudahkanlah urusannya, murahkanlah rezekinya.
- Jadikanlah anakku ini seorang
yang soleh dan selalu berusaha mengerjakan kebaikan dengan ikhlas untuk
mengharapkan keredhaanMu. Jangan kau wujudkan perasaan putus asa dalam dirinya
walau sekecil mana pun usahanya.
- Berilah kesempatan kepadanya
untuk selalu memperbaiki dirinya dalam segala hal. Sesungguhnya dia punya
banyak kelemahan dan hanya dengan rahmatMu ya Allah dia akan mampu mengatasi
kelemahan ini.
- Selamatkanlah dia dari segala
tipu daya dunia yang merugikan dan yang boleh menyebabkan dia terjerumus ke
dalam kemurkaanMu.
- Permudahkanlah urusan jodohnya.
Jika dia bertemu jodoh, jadikanlah jodohnya itu mampu mendekatkan dirinya
kepadaMu.
- Jika sampai ajalnya, matikanlah
dia sebagai seorang yang syahid dan dalam keimanan yang tertinggi. Jangan kau
matikan dia dalam keadaan bermaksiat dan kufur.
- Jika dia selalu melakukan dosa
berulang kali, kasihanilah dia ya Allah. Sentiasalah berikan dia kesempatan
untuk memperbaiki diri sehingga dia benar-benar mampu meninggalkan dosa itu.
- Jadikanlah di sekelilingnya
segala yang baik. Ketemukanlah dia dengan mereka yang mampu membantunya
memperbaiki diri. Janganlah kau biarkan dia terpengaruh dengan semua keburukan
yang datang kepadanya setiap hari.
- Jika kau mahu mengujinya,
berikanlah juga dia kekuatan untuk mengetasi ujian itu agar dia tidak hanyut
dengan ujian yang kau beri. Bantulah dia menyedari ujian yang sedang dihadapi
agar dia selalu bersedia menghadapinya.
- Tempatkanlah dia di syurgaMu,
dalam lingkungan kasih sayangMu dan keredhaanMu yang berpanjangan bersama maknya
Maimon bte Hasim dan abahnya, Mohd Yasin Bin Othman.
Inilah secebis harapanku. Jika aku mati dan semua harapan ini termakbul. Aku amat bersyukur. Aku akan terus memohonnya hingga ke akhir hayatku.
9/22/12
Dah lama tidak menulis, nak kata sibuk,
memang bukan lah. Perasaan malas sejak akhir-akhir ini begitu membuak-buak
menguasai diri. Kemudahan di sekitar banyak tapi selalu diabaikan dan
ditangguhkan kegunaannya. Malah kadangkala disalahguna. Adakah ini semulajadi
sifat manusia atau aku yang semakin jauh? Semakin jauh dari apa????
Semaki jauh. Nampaknya aku semakin jauh
dari realiti persekitaranku. Seakan-akan aku mahu mengejar kehidupan yang lain.
Kehidupan orang lain. Kehidupan yang sebenarnya bukan milik aku. Tapi aku
mahukannya. Sememangnya aku nampaknya sudah hilang rasa syukur dengan apa yang
ku genggam dan mengejar apa yang ada di genggaman orang lain. Aku mahu jadi
orang lain. Sesuatu yang bukan diriku.
Semakin jauh. Aku semakin jauh dari rasa
gembira. Semakin dekat dengan murung. Apa yang ku kejar adalah hanya khayalan
yang aku balut dengan kain kenyataan. Aku sedar hakikat itu tapi hanya
membiarkannya demi mengejar nikmat yang sementara. Sampai suatu saat aku akan
berasa sangat sedih dengan perbuatan itu dan menyesal. Tetapi selepas beberapa
ketika, aku kembali melakukannya. Perasaan murung semakin bertimpa-timpa.
Nampaknya aku berjaya membenamnya di dalam diri. Melihatkan diriku seperti
orang yang hebat, gembira yan bertuah. Kononnya.
Semakin jauh. Aku semakin jauh dengan
Tuhan. Ini nampaknya adalah masalah paling utama. Bagaimana aku boleh rasakan
itu? Pernahkah aku dekat dengan Tuhan. Pernahkah stu saat dalam hidupku
merasakan kehadiran Allah dalam jiwaku? Ya pernah. Maka aku boleh rasakan
kejauhan itu. Hatiku selalu resah. Gelisah. Serba tak kena. Tidak tahu apakah
sebenarnya yang aku ingini. Allah tekah berikan banyak tanda kepadaku untuk
kembali dekat dengannya. Aku melihat tanda itu dan aku mencubanya. Tapi pada
satu ketika aku melepaskannya untuk kembali mengejar nikmat yaang lain. Nikmat
yang sebenarnya aku hanya membawa laknat.
Perubahan yang sentiasa aku cuba lakukan
selalunya berakhir dengan gagal. Namun bukanlah satu kegagalan yang total. Aku
tetap memperoleh sesuatu. Cuma cukup sedikit dari apa yang sepatutnya. Itu
sudah dikira gagallah. Kesedihan hanya tinggal kesedihan. Tidak pon memberi
kesan. Jika ada pun kesannya hanya bersifat sementara dan tenggelam timbul.
Nampaknya aku cuma mengharapkan persekitaran mengubahku sedangkan aku masih
'sayang' untuk meninggalkan keseronokan nikmat yang sentiasa datang meratah
imanku.
21/09/2012...Perjalanan Pulang
8/12/12
[21:35] "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
Pada 26 Julai 2012, Hari rabu, aku terloobat dalam satu kemalangan..Huhu..Malang sungguh. Kejadian berlaku apabila aku hendak keluar dari simpang selepas pulang dari kerja. Entah mengapa aku tidak nampak kereta yang mahu masuk menyebabkan aku terus keluar dari simpang dan melanggar keeta wira tersebut. GAAANGGG!!!!. Bunyi hentaman tiba-tiba kedengaran. Lidah kelu tak dapat berkata apa-apa. Hanya istighfar yang mampu dilafazkan. Aku cuma berharap tiada kecederaan berlaku. Enjin kereta masih hidup. Maka aku mengalihkan kereta dan melihat kereta yang aku langgar tadi. Alhamdulillah mereka sekeluarga selamat. Jelaslah aku yang salah kerana tidak berhati-hati kerana keluar dari simpang.
Nampaknya kali ini aku tidak bernasib baik. Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali perkara yang sama hampir berlaku. Cuma ketika itu mungkin Allah masih mahu memberi aku peluang supaya lebih berhati-hati. Tapi nampaknya kali ini Allah benar-benar mahu aku merasakan akibat perbuatanku sendiri. Ya aku sedikit kesal tetapi perlu mengambil perkara ini sebagai sesuatu yang positif dan bermakna. Ada yang Allah mahu bersihkan dari sebahagian hartaku mungkin.
Apabila berlaku kemalangan, ramailah yang bertanya, maka perlu mempersiapkan diri untuk menjawab seberapa banyak soalan mereka. Soalannya kadangkala sama. "Macam mana boleh langgar kereta orang?", "Tak nampak ke kereta tu?", "Masa tu kau mengantuk ye?", "Penat ke masa tu?puasa?". Ada yang aku jawab, ada yang aku hanya senyum membenarkan tekaan mereka. Sememangnya apabila berlaku kemalangan adalah banyak perkara yang tak masuk akal terjadi. Tapi bagi kes aku ni biasa je. Berpunca dari kelalaian aku sendiri. Tidaklah perkara yang perlukan banyak persoalan.
Hidup ini tak selalu baik, kadangkala akan datang sesuatu yang buruk. Begitu juga sebaliknya, keburukan itu tidak akan kekal, akan wujud kebaikan selepasnya. Kadangkala rasa masam, kadangkala rasa manis, kadangkala juga rasa pahit hingga tak mampu nak telan, namun terpaksa juga ditelan. Begitu juga apa yang berlaku kali ini.
5/20/12
Di suatu pagi yang hampir nak tengahari.
Mak : Tadi mak pergi rumah wancik, wancik tanye kau bile nak bertunang bang? Zul (Sepupu sebaya) kau dah bertunang.
Aku diam lama dan senyum, jelas aku tiada jawapan untuk pertanyaan wancik pada mak.
Mak : Kau tu dulu tumpu kat sorang je, lain kali sediakan la 2-3 orang, kalau tak dapat yang satu tu, boleh pilih yang satu lagi.
Aku diam je lagi sambil kerut dahi...Mak ni pandai-pandai je buat jalan cerita macam drama yang dia tengok kat tv...haha..mak..mak..
"Abang taknak yang kerja la mak" baru aku bersuara, sebenarnya itu bukan jawapan, saja nak membalas kata-kata mak....
"Oooo..yeke" mak bangun dan terus ke dapur
Dulu semasa belajar mak selalu ingatkan jangan bermain cinta, tumpukan pada pelajaran, maka aku tak punya rencana untuk bercinta, pun begitu tak juga tumpu pada pelajaran. Cuma melihat rakan-rakan yang punya teman buat aku rasa aku tak punya komitmen sebegitu. Jadi cuma pandai bersahabat sederhana.
Setelah bekerja di Labuan, aku cepat juga berfikir tentang kahwin. Tapi mak kelihatan tidak begitu setuju. Katanya paling kurang dah 5 tahun bekerja dan ada simpanan 20k, tapi setelah diberi rasional mak kata ok, asalkan kau yakin dan bersedia.
Jujur aku mengaku tak selesa betul dengan pertanyaan tentang jodoh...Jawapan yang paling 'famous' adalah 'nanti bila ada jodoh, adalah'..Ramai yang berkata, 'kau ni kurang usaha, nak sesuatu kena usaha'..
Mungkin orang sekitar hanya berkata mengikut apa yang mereka lihat pada kita, sedangkan mereka hanya berjumpa kita beberapa jam sehari, bagaimana mereka boleh menilai keseluruhan hidup kita, jika mereka menilai kita, dan kita tahu itu salah, janganlah marah kerana meraka tidak tahu. Pujuk aku pada hati..hihi
Hanya Allah yang tahu sejauh mana aku sudah berusaha, dan hanya Dia yang menentukan akhirnya. Kita manusia ada keterbatasan tertentu. Orang lain boleh buat itu, tapi kita boleh, kita boleh buat ini, tapi orang lain tak mampu. Begitu juga dengan usaha, semua orang boleh berusaha. Mungkin dengan cara yang sama, atau cara yang sedikit berbeza. Tapi kejayaannya tetap ditentukan yang Maha Merancang.
Ini adalah antara jawapan golongan hawa bila aku bertanyakan mereka tentang itu...teman belajar? Rakan sekerja? rakan jauh? atau yang tak pernah jumpa pon....jawapannya hampir sama...
Seolah-olah aku ni SANGAT baik. Kadangkala aku ketawa apabila mendengarnya, kerana aku tahu itu bukanlah sebab sebenar. Faham..Dia taknak la tu..huhuhu..
Ake belum mengerti sejauh mana tahap serius yang dimahukan oleh seorang wanita supaya mereka yakin aku bukan main-main. Aku belum faham apa yang mereka maksudkan matang. Adakah tak tengok naruto bermaksud sudah matang?
Mungkin semuanya tentang masa yang sesuai(perfect timining). Kalau bertanya tak kena masa dan ketikanya tak jadi juga. hihihi. Apa yang berlaku sebenarnya mengurangkan keyakinan. Mujurlah aku bukan seorang yang mudah putus asa. Selagi masih hidup.
P/s 1: Ada kawan kata "Kalau pinggan kat dapur pon payah nak basuh, takyah kate nak kahwin la"...Apa kena mengena basuh pinggan dengan kahwin..Haha sebenarnya ada..Ada banyak benda kecil yang kita rasa tak penting pon, kita selalu abaikan. Tapi itulah asasnya dan itulah yang menunjukkan siapa kita.
P/s2 : Teringin juga ada yang datang dan berkata "Saya perlukan awak, awaklah yang terbaik untuk saya"..hihi..tapi tu dalam mimpi je la...hmmm..memang hidup ni umpama mimpi..bila la nak bangun ni...
5/5/12
Hari ni aku nak kongsi satu kisah benar, antara perkara yang aku anggap hebat berlaku dalam hidup aku yang sederhana ni.
Suatu hari ketika sedang dalam perjalanan ke dewan kuliah, aku melalui satu tempat. Di tempat tu ada sebuah kereta warna biru
"cantiknya"
Aku berkata dalam jantung hati, kemudian berlalu pergi.
"Tak mungkin aku boleh dapatkannya' hanya lihat sajalah"
Itu juga terkeluar dalam mulut jantung hati. Aku seolah-olah mengidamkannya tapi aku perlu sedar diri bahawa tak mungkin aku perolehinya dalam keadaan aku pada masa itu. Bagaimana pun kita perlu sedar diri. Di mana kita berpijak.
Hari ini 5 Mei 2012, setelah 2 tahun aku di beri pinjam, alhamdulillah ia masih dalam keadaan baik dan semakin baik. Dia sama dalam keadaan aku melihatnya di satu sudut jalan dahulu, sewaktu aku berkata-kata dalam hati bahawa aku hanya mampu melihatnya. Tapi apa yang berlaku hari ini membuatkan aku terfikir sewaktu itu ada satu kuasa Yang Maha Mendengar yang berkata kepadaku.
"Di dalam kekuasaanKu, kau boleh memilikinya"
Semuanya membuatkan aku kadangkala berfikir hajat manusia yang tidak dilafazkan juga didengari oleh Allah SWT, bagaimana pula hajat yang selalu dilafazkan? Sudah tentu Dia akan juga memakbulkannya. Pada masa dan saat yang sesuai. Hajat orang yang selalu buat dosa pun Dia akan kabulkan, sesungguhnya Dia adalah yang Maha Pemberi Nikmat dan Maha Pemurah. Apakah alasan kita untuk tidak berasa syukur dan berterima kasih? Bagaimana untuk bersyukur dan berterima kasih? tentulah dengan menjadi hamba yang soleh. Melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang. Dan naluri semulajadi manusia sebenarnya tahu perkara apa yang disuruh dan apa yang dilarang.
P/s: Kita perlu sedar apa yang ada pada hari ini adalah pinjaman dan satu hari nanti akan kembali kepadanya. Sifat dunia yang fana bermaksud akan hancur, maka sepatutnya istilah selama-lamanya/abadi/eternal adalah tidak relavan selagi kita masih di dunia. Istilah itu hanyalah khayalan untuk menyedapkan hati manusia atau untuk menidakkan bahawa kita akan kehilangan apa yang kita ada pada hari ini. Hanya Allah SWT bersifat Maha Kekal.