Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}
Showing posts with label Politikus. Show all posts
Showing posts with label Politikus. Show all posts

Ulama juga perlu ditarbiyah-harakahdaily

6/8/09

Zulkifli Yahya
Tue | May 26, 09 | 12:13:24 pm MYT

Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad Yusof Pulau Pisang, Kedah pernah 'memarahi' seorang ahli Badan Perhubungan PAS Kedah kerana mengkritik Dewan Ulamak. Baginya institusi ulama sangat mulia kerana mereka adalah pewaris Nabi. Justeru, ia tidak wajar diperlekehkan.

Tindakan Tuan Guru Haji Ahmad Yusof yang dilakukan beliau di hadapan Almarhum Ustaz Fadzil Noor itu adalah betul. Dia mempertahankan kemuliaan institusi ulama. Namun tindakan individu yang mengkritik Dewan Ulamak itu juga tidaklah pula salah.

Beliau tidak bermaksud mengkritik kemuliaan institusi ulama sebagai pewaris nabi. Beliau hanya cuba mendedahkan kelemahan individu dalam kepimpinan ulama yang menyebabkan Dewan Ulamak tidak berperanan seperti yang sepatutnya.

Kepimpinan ulama dalam PAS bermula tahun 1983. Kemunculannya adalah seiring dengan kebangkitan revolusi Islam Iran pimpinan Ayatollah Khomeini. Tidaklah diketahui, ianya suatu perancangan, suratan atau kebetulan.

Selepas 27 tahun berlalu baru dapat dikenal pasti bahawa konsep kepimpinan ulama dalam PAS berbeza dengan di Iran. Kepimpinan ulama di Iran dikuasai dan didominasi oleh majlis syura ulamanya. Mereka benar-benar berautoriti, berwibawa, disegani dan dihormati. Ia menjadi tempat rujukan. Yang penting ialah tempat rujukan isu politik dan kepimpinan; yang sentiasa berubah dan bercelaru.

Adakah kepimpinan ulama dalam PAS begitu? Saya melontarkan soalan dan semua orang bebas memberikan jawapan. Tapi apa yang sangat pasti ialah 'kepimpinan ulama' dalam PAS diterima sebulat suara oleh setiap anggota PAS di mana-mana peringkat jua.

Kepimpinan ulama difahami sebagai kemimpinan mesti berteraskan Islam dan pemimpin adalah orang yang faham Islam atau menjadikan sumber ilmu Islam sebagai asas rujukan. Ia tidak mesti bermakna batang tubuh pemimpin mesti ulamak. Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pernah memimpin Pemuda sekalipun mereka bukan ulama yang mendapat pendidikan formal di bidang agama.

Semua faham hal itu. Cuma, kalau 'itulah saja' maksud kepimpinan ulamak, maka ia tidak bermula dari tahun 1983. Mungkin sejak PAS ditubuhkan lagi, kepimpinan ulamak sudah bermula. Jangan lupa bahawa antara agenda penting terbit dari kepimpinan ulama ialah penubuhan Majlis Syura Ulamak yang dimasukkan dalam perlembagaan parti.

Selepas PAS Pusat merayakan Jubli Perak, kepimpinan ulamak nampaknya tidak sehebat kepimpinan ulamak di Iran yang benar-benar memperkasa majlis syura ulamak, sehingga keputusan entiti tersebut dipertikaikan lagi. Ulamak Iran juga tidak terdedah (atau mendedahkan diri) kepada kontroversi.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mat Daud Iraqi baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu 'rasuah politik' dalam PAS yang mengundang kemarahan banyak pihak. Rasuah adalah kerja terkutuk yang sangat hina. Ia menjadi sebab musuh politik PAS, Umno, hancur lebur.

Dalam PAS jangankan perbuatan merasuah untuk naik jadi pemimpin, niat untuk merasuah dalam hati kecil pun seharusnya jangan ada. Ekoran kenyataan Ustaz Mat Daud itu, ramai tercari-cari siapa dia 'pemimpin terkutuk' yang ada dalam PAS itu.

Kenyataan itu bukan setakat mengundang keresahan pemimpin PAS, tapi membuka ruang yang sangat luas kepada anggota bukan PAS, khususnya Umno untuk mentohmah PAS. Ia memberi imej yang sangat buruk terhadap PAS. "Tengok, Umno dan PAS sama saja ... taik rasuah!"

Sakit telinga untuk mendengarnya sedangkan apa yang dicanangkan tidak berlaku pun. Kalaupun berlaku (andaian yang tidak masuk akal), apakah bijak menggunakan saluran media tali barut BN, yang tidak pernah bersimpati terhadap perjuangan Islam, untuk menyelesaikan masalah?

Laporkan saja pada jawatankuasa kerja PAS Pusat untuk diambil tindakan. Andai kenyataan liar seperti itu diucapkan oleh pemimpin bawahan PAS, ia tetap mencetuskan kontroversi. Apatah lagi yang mengucapkannya ialah Ketua Dewan Ulamak PAS.

Namun selagi kita manusia, ulama atau bukan ulama, tetap tidak tersisih dari melakukan kesalahan. "Nabi Muhammad adalah pemimpin dan juga imam. Ada ketika Baginda khusyuk solat sampai mengerjakan Maghrib empat rakaat tetapi kemudiannya ditegur makmum.

Rasulullah s.a.w. akur dan mengerjakan sujud sahwi," kata Dato' Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. "Ini bukan kesilapan, tetapi petunjuk ringkas dari Rasulullah s.a.w. bahawa pemimpin boleh ditegur, dibantu dan diberi pandangan."

Betul, ulama boleh ditegur. Pengisian kepimpinan ulama juga boleh dipersoal atau diperbetulkan. Melakukan kesilapan adalah perkara biasa, tetapi apabila ulama yang melakukan kesilapan ia mesti dianggap luar biasa. Barulah institusi ulama akan dihormati. Justeru, ulamak juga perlukan pentarbiahan di samping mereka mentarbiyah orang lain. -

Sumber : harakahdaily.net

Penulis : Ulama pun kene tarbiyyah..Apa lagi manusia biasa macam aku ni..
Posted by Insan Biasa at 6:26 PM 0 comments  

Nizar MB Perak, permohonan tangguh keputusan oleh Zambry ditolak

5/11/09


Mon | May 11, 09 | 4:10:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan yang dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh seluruh rakyat Malaysia diumumkan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim.

Menurut Abdul Aziz, Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri dan beliau merujuk keputusan mahkamah terhadap kes Dato' Stephen Kalong Ningkan.

Sementara itu permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan tersebut bagi mengemukakan rayuan ditolak mahkamah.

Hakim Abdul Aziz dalam penghakiman yang dibacakan mulai jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 2.50 petang tadi berpendapat, Sultan Perak sepatutnya menitahkan Dewan Undangan Negeri Perak bersidang bagi mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar selaku Menteri Besar.

Sambil merujuk kepada kes duluan (precedent) membabitkan Dato' Stephen Kalong Ningkan di Sarawak, beliau berpendapat Menteri Besar baru tidak wajar dilantik selagi Menteri Besar sedia ada belum meletakkan jawatan.

Beliau juga berpuashati bahawa Nizar tidak pernah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah seperti didakwa para peguam Zambry.

Para peguam Nizar dalam penghujahan mereka sebelum ini menegaskan bahawa jika Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah, beliau akan mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pakatan Rakyat dan BN kini masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, PAS, DAP dan KeADILan yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat memenangi 31 daripada 59 kerusi Dun Perak.

Bagaimanapun tiga Adun Pakatan Rakyat pada 4 Februari lalu telah mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas dan menyokong BN selepas hilang secara misteri selama lima hari.

Nizar ketika ditemui pemberita berkata akan segera memohon menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan Dun Perak dan membuka laluan kepada pilihan raya negeri bagi mendapatkan mandat baru rakyat.

Nizar memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Beliau dilantik Menteri Besar pada 17 Mac 2008.

Bagaimanapun ekoran tindakan khianat tiga Adun Pakatan Rakyat itu, BN yang mendakwa mendapat majoriti di Dun Perak telah menghadap Sultan bagi membentuk kerajaan negeri.

Tidak memperkenankan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun, Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dun dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Nizar diwakili Sulaiman Abdullah, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa peguam kanan.- tajdid

Sumber - Harakah daily
Posted by Insan Biasa at 6:11 PM 1 comments  

Wakil Rakyat Yang Berumur Sepuluh Tahun

3/30/09



Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah Islam di zaman Bani Umaiyah. Suatu hari wakil dari setiap jajahan telah menghadap baginda untuk melapurkan keadaan di jajahan masing-masing.

Jajahan Hijaz telah menghantar seorang budak sebagai wakilnya dan diarahkan berucap terlebih dahulu. Setelah melihat wakil itu seorang budak, Khalifah Umar bertanya: "Wahai budak, biarlah orang-orang yang lebih tua berucap terlebih dahulu. "Mendengar teguran Khalifah itu wakil yang masih budak ini lantas menjawab:

"Ya Amirul Mukminin, manusia sebenarnya dipandang dari dua perkara, iaitu hati dan lidahnya. Apabila Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada seseorang itu lidah yang petah dan hati yang arif, orang itu lebih berhak bersuara. Jika di pandang dari segi umur, ketahuilah hai Amirul Mukminin! Ada orang yang lebih berhak untuk duduk di atas takhta Paduka Tuan itu."

Khalifah amat terkejut mendengar jawapan itu. Ternyata kata-katanya itu bernas sekali, hingga baginda sedar atas keterlanjurannya: "Benar katamu wahai wakil yang terhormat. Cakaplah bagaimana keadaan negerimu sekarang?"

Ya Amirul Mukminin, yang kami hormati, kami adalah wakil-wakil yang mendapat kebahagiaan, bukannya kecelakaan. Kami mengadap Tuanku bukan kerana hendak mengadu hal negeri kami yang tidak aman, sebaliknya kami telah memperolehi apa yang telah kami mohonkan di bawah naungan Tuanku yang adil." Khalifah Umar r.a. merasa hairan melihat betapa fasih dan bijaknya budak itu berucap, lalu baginda bertanya: "Berapa umurmu wahai wakil yang bijaksana.?" Jawab budak itu: "Sepuluh tahun Tuanku."



************************************************************************************

Masa Zaman bani Umaiyah kanak-kanak umur 10 tahun boleh bersuara dgn lantang menzahirkan rasa di hadapan Amirul Mukminin Khalifah Umar Al Khatab.

Zaman Mahathir?

Zaman Pak Lah?

Budak2 10 tahun boleh je nyanyi, menari dengan 'fasih' tanpa sebarang mistake. Tengok Tom-Tom Bak sampai lebam, mak ayah bagi support penuh ala-ala parents yg sporting untuk tunjuk 'bakat' tayang abeh satu Malaysia bangga kembang kempis hidung tengok anak beliau.

Hebat anak-anak.


Wallahualam.

Sumber: http://budakpicisan.blogspot.com/
Posted by Insan Biasa at 3:21 PM 0 comments  

PPSMI...ke mana arahnya...

3/14/09

Bismillahirrahmanirrahim.................

Isu PPSMI sudah banyak dibincangkan di mana-mana blog...Termasuk la blog ni sekarang..Aku terpanggil untuk menulis tentang ini selepas membaca web Dr.M tentang PPSMI..Untuk kesenangan diri..Aku sememangnye tak suke BI ni..Pekse tak penah pon dapat A..Kini aku bakal guru Sains. Aku bakal gunakan BI untuk mengajar..Semasa praktikal ni memang mudah untuk menengah atas..tapi agak sukar untuk menengah bawah..tu pendapat je..Mingkin lain tempat lain cara..Sekolah yang aku ajar ni taraf bestari..Masalahnya mungkin tak ketara sebab muridnya 'selected'...Sepanjang praktikal..Rata-rata guru muda tak setuju dgn PPSMI..Aku?? Aku agak pening dengan situasi sekarang..Ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapak..Ibarat je la..bukan betul2 ye..hm..Aku adalah batch pertama yang merasai pembelajaran dalan BI ni..Batch ujikaji..Kalau la nak di mansuhkan...Tak adil la..Kami dah belajar penat-penat dalam BI sebelum ni..hehe..Kalau nak teruskan pun agak masalah..Sebab dah banyak kerajaan habiskan duit buat ABM BI ni..Bak kene tukar buku teks dalam BM balik pelak..Kroni tertentu jugak yang untung kan...heheh..Apa yang Dr.M katakan memang betul...aku respek jugak dgn dia..respek dgn cara berfikir...bukan semua aku setuju..Ada jugak pro dan kontranya...tapi aku tetap berat pada mansuhkan...hm...heheh...saje tulis post camni..tak ilmiah la...dah la bahasa rojak..maaf...semoga kita diberi petunjuk yang terbaik dalam membuat pilihan...amin...

Kenape ade demonstrasi ni...Aduh...

3/3/09

Dulu Malaysia bangga, rakyatnya aman. Tidak suka berdemonstrasi. Kita sering paparkan keadaan gawat negara lain semasa bereka bergaduh sesama sendiri. Namun kini kita sama seperti mereka. Dan kita sudah tahu mengapa kita boleh jadi seperti mereka. Akhirnya apa yang di gahkan kini makin lenyap. Keharmonian yang dicapai oleh nenek moyang dahulu tercalar dek kerakusan para pemerintah yang mementingkan peribadi lebih dari kehendak rakyat. Sudah semestinya wakil rakyat dipilih untuk menyuarakan suara hati rakyat, keperluan rakyat, apa yang rakyat mahu...rakyat akan gembira andainya pendapat dan keperluan mereka dipenuhi. Mereka tidak akan rasa tertekan dan marah. Pemimpin mereka sama-sama meresakan keperitan yang mereka alami. Pemimpin mereka selalu hadir untuk melihat sendiri kesukaran yang rakyat alami...Ya...Itu mungkin pernah terjadi DULU...

Akibat ketamakan manusia dengan pangkat dan harta, ada pemimpin yang dihijab dengan perkara ini. Manusia naik dengan memijak orang bawah. Naik untuk mencapai sesuatu darjat yang tinggi. Suara rakyat tidak lagi dipandang melainkan mereka mempunyai salur atau 'cable' dan senjata wang. Yang nak main bersih ni dipandang hina. Di ketepikan...Di fitnah dengan pelbagai tohmahan..Ya ALLAH...ape ni....Akibatnya rakyat hanya melihat satu cara untuk menunjukkan apa yang mereka mahu. Demonstrasi atau menunjuk perasaan...Name pon tunjuk perasaan..Sebab apa??Ya..Sebab pemimpin yang diharapkan menyuarakan perasaan mereka gagal melakukan apa yang mereka mahu..Pemimpin mereka hanyut dengan mainan pangkat dan harta menggunung untuk dibawa ke akhirat(cuba la)..Aduhai...Ramai sebenarnya dapat melihat ini..tapi kita seperti sedah terlambat..Penyakit ini melarat dan memakan kesedaran kita tanpa disedari...Kita di Malaysia sudah melihat keadaan ini. Kta tidak melihat yang lebih teruk lagi dan kita tidak mahu melihatnya..Semua kebenaran sudah terlihat tetapi yang salah tetap diangkat..Yang benar dipijak..Senjata kejahilan menjadi alat yang sangat memainkan peranan..Orang yang jahil bercakap tentang perkara yang dia langsung tak tahu..Dan kata-katanya diangkat lalu dijadikan panduan..maka melaratlah kejahilan ini hingga ke hari ini..Agama sudah dipisahkan dengan masyarakat.

Kita memang sudah teruk, tapi belum terlewat lagi..Kini sudah ramai yang sedar akan permainan kotor ini..Ramai yang cuba membetulkannya..salah satu caranya ialah membawa bersama agama untuk dijadikan panduan..Kirana jika tiada agama, kita sedang di ambang keruntuhan tamadun..
Posted by Insan Biasa at 1:50 PM 0 comments  

'Kita sendiri punahkan bahasa Melayu'

2/15/09

Ahmad Lutfi, Anis Nazri & Irwan Muhd
Sun | Feb 15, 09 | 10:35:31 am MYT

ENAM tahun sudah berlalu sejak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 'dipaksakan' di sekolah.
Iklan




Suara bantahan terus bergema, malah makin lantang dan bertenaga, terutama melalui Gabungan Mansuh PPSMI (GMP). Sokongan rakyat dan masyarakat intelektual terhadap GMP begitu memberangsangkan sekali.

Ikuti wawancara wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, ANIS NAZRI dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN, bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN MD SALLEHdengan Pengerusi GMP, Dato' Dr Hassan Ahmad, yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, di pejabatnya, Yayasan Karyawan di Pusat Bandar Damansara, baru-baru ini.

HARAKAH: Isu mengenai PPSMI sudah berlanjutan sejak enam tahun lalu. Jika dahulu para pejuang bahasa tidak nampak begitu menonjol seperti sekarang, dengan melancarkan kempen membantah dasar ini di khalayak ramai di Kompleks Membeli-belah Sogo, 1 Feb lalu. Mengapa agaknya baru sekarang bertindak sedemikian?

HASSAN AHMAD: Saya fikir begini, kita perlu takrifkan apa itu pejuang bahasa. Ada orang berfikir pejuang bahasa ialah aktivis bahasa, melaung sana melaung sini. Pejuangan bahasa ini adalah perjuangan ilmu, mempertahankan konsep dan prinsip yang benar. Bahasa Melayu dan pendidikan dalam bahasa Melayu tidak pernah menjadi masalah sepanjang sejarah bahasa Melayu, tiba-tiba ada pihak yang menyekat dan dijadikannya masalah.

Pejuang bahasa hari ini ini terdiri daripada sarjana bahasa, ahli sains dan matematik yang telah terdidik dalam bahasa Melayu. Para ilmuan ini bergerak ke tempat umum kerana saluran lain sudah tertutup. Media-media perdana tidak menyiarkan suara-suara kebenaran ini. Jadi rakyat tidak dapat mendengar hujah yang benar mengenai dasar ini. Yang banyak disiarkan ialah hujah pihak yang membuat dasar.

Namun, dengan adanya media alternatif, seperti blog, masyarakat semakin terdedah untuk membaca berita yang lebih bebas dan benar. Beberapa banyak orang memberitahu saya, takkanlah pelajar di sekolah kebangsaan luar bandar yang tidak mengetahui atau lemah bahasa Inggerisnya, tiba-tiba tidak pandai matematik yang diajarkan dalam bahasa yang mereka tidak faham itu; ada di antara mereka mendapat tiba-tiba boleh dapat markah 'A'.

Statistik itu diragui oleh banyak orang. Rakyat tak tahu cerita sebenar.

Sudah beribu pelajar, ahli sains, profesor dan pensyarah pelbagai bidang sains dan matematik yang terdidik dalam bahasa Melayu sejak 30 tahun dahulu. Apakah mereka ini tidak maju dalam bidang-bidang itu kerana diajarkan dalam bahasa Melayu?

Apakah sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Melayu di Malaysia lebih rendah daripada sains dan matamatik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris di universiti luar negeri, seperti di Universiti Harvard, dan lain-lain?

Adakah Matematik di Harvard atau Oxford misalnya dua campur dua sama dengan lima (2 + 2 = 5)? Ilmunya sama. Konsepnya sama, tidak kira dalam bahasa apa pun ilmu itu diajarkan.

Sebanyak lima rundingan meja bulat diadakan bersama ahli pejuang bahasa dan pendidikan. Namun, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai Dato' akhirnya ke jalan raya. Menteri Pelajaran menyifatkan tindakan GMP ini akan membuatkan kerajaan tidak dapat membuat keputusan secara waras. Apa reaksi Dato' dengan kenyataan tersebut?

Sebenarnya, GMP bukan gerakan jalanan. Ini gerakan mempertahankan tamadun bangsa, bahasa Melayu, pendidikan Melayu. Kita cuba berfikir secara waras.

Kita bukan kumpulan 'gila bahasa Melayu'. Kita bukan gerakan antikemajuan, antibahasa Inggeris, antikerajaan. Tapi cuba fikir, dasar yang salah ini telah dilaksanakan selama enam tahun.

Apakah kita perlu tunggu enam tahun untuk mengkaji baik buruknya, sedangkan keburukannya sudah diketahui umum. Yang tidak waras atau istilah lain yang lebih tertib, yang tidak rasional, ialah orang yang membuat keputusan ini dalam tahun 2003, konon hendak tunjukkan bahasa Inggerislah yang boleh memajukan bangsa Melayu dan negara ini, bahasa Melayu tak boleh.

Masalahnya mereka tidak mahu mendengar pandangan dan hujah orang lain yang lebih rasional. Apa guna ada rundingan jika pihak berkuasa tidak mempedulikan fakta yang sebenar. Perlu kena tunggu enam tahunkah? Dalam tempoh itu masalah makin lama makin menjadi kompleks dan bertambah parah.

Baru-baru ini pejuang bahasa nampak ke hadapan. Selain sebab yang dikatakan tertutupnya saluran rundingan, ada yang berkata pejuang bahasa ini agak lambat bertindak secara lantang seperti sekarang. Kenapa agak lambat bertindak?

Hakikatnya, ketika kerajaan mula-mula membuat keputusan yang salah itu, banyak pihak telah menentangnya. Bukan Melayu sahaja, kaum lain pun tentang dasar ini. Orang Cina yang saya sendiri jumpa menentang PPSMI.

Surat khabar Cina menceritakan keburukan dasar ini, berdasarkan hujah ilmu dan kajian yang ilmiah. Surat khabar Melayu seolah-olah takut hendak menyiarakan pandangan dan hujah yang menentang keputusan itu, seolah-olah mereka tidak membela bahasa mereka sendiri, tetapi menyokong bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu bagi bangsa Melayu.

Yang diceritakan, menteri kata itu, kata ini. Banyak pelajar dapat 'A'. Pelajar dari sekolah mana? Pelajar dari sekolah kebangsaan di kampung dan di ceruk rantau negeri ini ke?

Cuba pegawai-pegawai kerajaan Kementerian pergi duduk dalam bilik darjah di sekolah luar bandar yang daif itu, dan lihat apakah benar pelajar itu faham apa yang diajarkan kepada mereka dalam bahasa Inggeris, bahasa yang mereka tidak tahu.

Kita sedang mengalami proses membodohkan diri kita sendiri, proses jahiliah. Islam sudah tinggalkan zaman jahiliah, kita masih hidup dalam zaman jahiliah, zaman orang tidak menghormati ilmu dan kebenaran.

Segala masalah yang timbul itu adalah disebabkan kerajaan membuat keputusan yang salah. Sepatutnya masalah tidak timbul lagi setelah 50 tahun kita merdeka.

Banyak orang berharap dasar itu akan diubah selepas pilihan raya 2004. Rupanya kita hanya sibuk dengan isu jambatan bengkok. Dasar yang lebih bengkok, iaitu PPSMI itu, tidak diselesaikan.

Yang kasihannya pelajar yang berada di luar bandar. Yang tiada mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan pembelajaran ini seperti yang terdapat di bandar. Wujud suasana tidak adil bagi pelajar-pelajar itu dalam hal dasar ini.

Bagaimana Dato' terdorong untuk mengetuai gerakan ini?

Saya sebenarnya didatangi oleh sekumpulan orang muda meminta saya mengetuai gerakan ini, kerana, menurut mereka, sudah tiada orang yang mahu berjuang lagi untuk mempertahankan bahasa mereka.

Saya terima dengan syarat gerakan ini bergerak bukan untuk berperang melawan sesiapa tetapi semata-mata untuk meminta supaya pihak yang berkuasa memansuhkan PPSMI demi kebaikan dan kepentingan bangsa, pendidikan dan kemajuan negara berdasarkan model kita di Malaysia, bukan di Britain atau di Amerika Syarikat.

Kita tak usahlah berdolak-dalik lagi. Kita mempunyai banyak hujah, fakta dan hasil kajian untuk meyakinkan rakyat dan khususnya orang-orang dan pihak yang tidak faham tentang keburukan PPSMI itu.

Tugas saya dalam gerakan ini lebih banyak bersifat memberi nasihat dan sebagai tenaga pengimbang, memimpin gerakan yang kebanyakannya ditenagakan oleh orang muda yang sangat prihatin terhadap masalah bangsa, mengimbangi antara perasaan dengan realiti. Ketika ada yang datang bertanya kepada saya, saya fikir kenapa tidak? Jadi saya pun terima.

Dato' mengatakan tadi, bahawa media Melayu tidak begitu terbuka berbanding media Cina, isunya sekarang sejauh mana usaha-usaha ini boleh menekan kerajaan. Di mana kita lihat apabila kerajaan rasa survival politik mereka tergugat, barulah mereka akan bertindak. Jika sekadar tanda tangan dan hantar ke kerajaan, ia tidak begitu menekan. Sejauh mana usaha itu boleh memberi tekanan kepada kerajaan?

Tekanan bagaimana yang kita mahu buat? Rampasan kuasa? Tentera? Itu bukan caranya. Kita mahu menyedarkan pihak yang berkuasa dengan sebaik-baiknya bahawa PPMSI itu salah dan hendaklah segera dimansuhkan sebelum imej kerajaan sendiri akhirnya tergugat dan rosak dan mungkin akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Saya yakin kerajaan akan berfikir waras, dan kini mulai mendengar desakan. Jika tidak, saya percaya pilihan raya umum nanti mereka boleh telungkup. Orang Umno sendiri banyak yang bantah PPSMI. Cuma mereka takut. Ini kelemahan Melayu, takut menentang kesalahan, padahal mereka sepatutnya berani kerana kebenaran.

Jadi, perancangan awal GMP untuk mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat bagi membantah dasar PPSMI ini akan diteruskan Mac ini?

Ya, setakat ini perhimpunan tersebut akan diteruskan Mac ini. Tapi ini bukan perhimpunan demonstrasi, perhimpunan jalanan, tetapi ialah kumpulan yang mewakili ratusan ribu, mungkin berjuta rakyat yang menentang dasar itu. GMP hanya mewakili mereka.

Bagi pandangan Dato', mengapa dasar ini perlu dibantah dan memberi kesan yang tidak baik kepada pelajar-pelajar?

Hal ini sudah kita jelaskan sedikit tadi. Kajian ilmiah, berdasarkan ilmu pendidikan dan ilmu budaya bahasa atau ilmu bahasa kognitif (yakni, bahasa sebagai alat pemikiran manusia). Kanak-kanak lebih mudah memahami konsep sesuatu ilmu, termasuk sains dan matematik, dalam bahasa asalnya, misalnya kanak-kanak Melayu dalam BM.

Jika ilmu itu diajarkan dalam bahasa yang dia sendiri tidak tahu, ada dua masalah yang akan timbul. Pertama, dia kena belajar bahasa yang dia tidak tahu iaitu BI.

Keduanya, dia kena belajar pelajaran yang dia tidak tahu dalam bahasa yang dia tidak tahu.

Inikan masalah serius? Kanak-kanak itu mendapat pendedahan ilmu dan pengetahuan awal di persekitaran mereka dalam bahasa ibunda mereka.

Ini fakta berdasarkan kajian ilmu, tapi kita membuat keputusan tidak berdasarkan ilmu itu. Itu asasnya. Jika soal pendidikan sudah tidak ada asasnya, kacau dibuatnya.

Ada orang - termasuk orang yang 'berilmu' - yang berkata, apalah orang Melayu nak bising sangat. Hanya dua mata pelajaran sahaja yang terlibat, iaitu sains dan matematik. Itu kata mereka.

Orang 'berilmu' tidak semestinya dia tidak jahil. Yang terlibat bukan dua mata pelajaran sahaja tetapi ialah 89 subjek yang dianggap berteraskan sains.

Jikalau orang Melayu tidak lagi dibenarkan mempelajari sains dan matematik dalam BM, akhirnya tidak ada orang Melayu yang boleh menjadi doktor perubatan, jurutera, ahli kimia, ahli biologi, botani dan lain-lain lagi dalam bahasa Melayu, kerana mereka tidak belajar sains dalam bahasa ini.

Tidak ada orang Melayu yang mampu bercakap dan berbincang tentang pelbagai bidang sains itu dalam bahasa Melayu. Ini sedih. Ini tragedi bagi bahasa Melayu, budaya Melayu, dan bagi bangsa Melayu.

Masalah yang patut diselesaikan oleh kerajaan dan pakar-pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran (kalau masih ada pakar pendidikan di situ) ialah, memperbaiki pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah.

Tidak munasabah, pelajar yang belajar bahasa Inggeris selama sembilan tahun (dari darjah 1 hingga ke peringkat SPM) akhirnya kebanyakannya tidak menguasa bahasa ini dengan baik.

Ini dahsyat! Kalau kaedahnya betul, orang boleh menguasai apa-apa bahasa pun dalam masa yang singkat, tidak sampai 9 tahun!

Kesimpulannya, kanak-kanak ini perlu diajar melalui bahasa ibundanya, tetapi bahasa kedua hendaklah diajar dengan cekap supaya kanak-kanak ini apabila sampai ke peringkat menengah dia juga sudah boleh memahami istilah-istilah sains matematik dalam BI itu, di samping istilah dalam BM.

Maknanya, jika ada pilihan bahawa dasar ini diajar di peringkat menengah, Dato' dan pejuang bahasa ini boleh bersetuju?

Saya tidak setuju. Satu soalan saya hendak tanya kepada pihak yang membuat keputusan ini.

Apakah mereka membuat keputusan itu kerana pengajaran sains matematik yang diajar dalam BM sebelum 2003 itu gagal, menyebabkan ratusan ribu kanak-kanak tidak menguasai matematik sains kerana diajar dalam bahasa ibunda mereka?

Pergilah ke mana-mana negara seperti Korea, Jepun, China, dan semua negeri di Eropah; dan di Finland, misalnya. Sains dan matematik semuanya diajarkan dalam bahasa mereka, tidak dalam bahasa Inggeris.

Finland ialah negara kecil; bahasanya tidak sebesar bahasa Melayu, tetapi negara itu boleh maju dalam bidang sains dan teknologi. Kanak-kanak Finland belajar dalam bahasa mereka.

GMP bukan anti-BI, tapi hendak mempertahankan apa yang benar, tolak yang tidak benar.

Kita mahu kerajaan selesaikan masalah kelemahan bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran kita. Banyak sarjana kita lulusan dalam bahasa Melayu.

Suruh mereka mengajar sains dan matematik di Universiti Oxford, mereka tetap boleh mengajar dalam bahasa Inggeris - sebab bahasa Inggeris mereka cukup baik, dan bahasa Melayu mereka juga cukup baik.

Apakah orang yang membuat keputusan ini fikir hanya mereka yang benar? Dasar itu sahaja yang benar? GMP bukan musuh. Adakah kami yang mempersoalkan dasar ini bodoh, tak betul, tak benar? Kita bangsa Melayu mesti membuat sesuatu berdasarkan kebenaran. Benda yang tiada masalah dijadikan masalah, meleret hingga enam tahun.

Selain dari masalah pimpinan politik, jika Dato' sedar, di peringkat sarjana di universiti juga menghadapi masalah sama. Bukan sahaja matematik dan sains, tapi subjek lain seperti sains sosial, malah khabarnya sastera Melayu yang tidak ada kena mengena pun, pihak pentadbir meminta pensyarah mengajar dalam bahasa Inggeris?

Itulah akibatnya, sudah melarat-larat. Sepatutnya pensyarah ini ditegur kerana melanggar dasar negara. Ada universiti yang mengajar kesusasteraan Melayu dalam bahasa Inggeris. Kan bodoh ni.

Saya menggunakan istilah bodoh ini sebab tidak tahu nak guna istilah apa lagi. Sebab kita sendiri yang punahkan bahasa kita. Bukan negara atau bangsa lain yang suruh kita ajarkan ilmu dalam BI, tapi pemimpin kita sendiri.

Di dunia terdapat puluhan negara yang maju yang menggunakan bahasa sendiri. Jepun, China, Korea yang maju. Mereka guna bahasa ibunda mereka, bukan bererti mereka tidak tahu BI.

Dari segi perkembangan ilmu, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam terjemahkan buku suatu ketika dahulu begitu aktif. Kini seolah-olah tiada buku baharu?

Kita terjemahkan buku, bukan terjemahkan buku yang ilmunya kita boleh tulis sendiri. Ini yang patut digalakkan, iaitu menulis karya ilmu dalam bahasa kita sendiri. Kita patut menterjemahkan buku dalam bahasa lain yang bercorak klasik sahaja. Buku klasik isinya tidak berubah.

Karya pemikir Islam yang agung, seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, dan banyak lagi, ilmuwan Barat sendiri 'tabik' terhadap kehebatan pemikir Islam itu. Karya seperti itulah yang perlu ada terjemahannya dalam bahasa Melayu, bukan asing yang sifatnya popular, yang isinya sering berubah-ubah.

Buku matematik dan sains ini tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu; sarjana kita sendiri boleh menulisnya dalam bahasa Melayu, kecuali jurnal-jurnal ilmu dan hasil kajian ilmu dan saintifik yang benar-benar 'original', bahan seperti itu mungkin perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Teori baru itu pun tidak banyak orang mengetahuinya. Masa Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) ditubuhkan kita menggunakan buku dari Indonesia, malah pensyarah pun dari sana. Yang menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik, tidak ada masalah pun untuk memahami buku dalam bahasa Melayu-Indonesia.

Dengan pelbagai tekanan kini, apa harapan Dato' agar kerajaan menimbang semula dasar ini?

Saya berharap kementerian yang berkenaan pergi melawat sekolah di luar bandar, sekolah yang tercorot. Tengok sendiri keadaan kanak-kanak di situ.

Jangan pergi ke sekolah bandar sahaja, sekolah 'elite'. Itu tidak adil. Buat sekarang, jangan duduk sahaja dalam bilik, buat kajian berdasarkan data dan statistik yang pilih-pilihan (selektif).

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil.

Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia.

PPSMI ini perlu dilihat dari segi konteks yang besar, bukan dari dua tiga orang pembuat dasar. Apa yang akan terjadi pada bangsa Melayu datang jika mereka tidak belajar sains dalam bahasa Melayu?

Adakah mereka boleh mencipta ilmu baru, sains baru, teknologi baru dalam bahasa kita?

Kita kena melihat masalah PPSMI ini dari sudut yang luas itu. - mks. _

Dipetik dari...harakahdaily.net
Posted by Insan Biasa at 10:51 PM 1 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png