Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Hadith ke 38 : Bermegah-megah dengan Masjid

3/17/11

Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".
H.R Abu Daud

Keterangan

Di antara tanda hampirnya hari qiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah dengan bangunan masjid. Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir manusia sahaja.

Penulis : Banyak saf di masjid..Tapi yang diduduki manusia hanya saf pertama..

Posted by Insan Biasa at 10:58 PM 0 comments  

Hadith ke-37 : Bilakan Akan Terjadi Kehancuran?


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Maka Nabi saw. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi saw. menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat".
H.R Bukhari

Keterangan

Pada hari ini banyak urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, sedangkan orang yang layak untuk menjalankan urusan tersebut tidak diberi peluang yang sewajarnya. Ini bermakna saat kehancuran tidak lama lagi akan terjadi.

Penulis : Bila pandangan ulama sudah tidak diambil peduli..Bila pemimpin sudah gagal menjalankan tanggungjawab membina masyarakat..Melebihkan membina negara daripada membina manusia.
Posted by Insan Biasa at 10:37 PM 0 comments  

"Saya Tertidur Sir"

3/12/11



Pelajar : Kenapa kamu tak datang semalam?
Cikgu : Saya tertidur sir..
Pelajar : Tidur? saya kene kejut kamu ke?kenapa hari ni tak tidur juga(nada menyindir)

Dulu masa saya belajar, alasan tidur sangat takut digunakan kerana sangat tidak relevan. Kalau guna alasan tu juga membolehkan cikgu itu menghukum pelajar berkenaan dengan hukuman yang setimpal. kini pelajar dengan senang hati memberi alasan ini dengan muka tersenyum tanpa rasa bersalah dan takut. Seolah-olah alasan ini adalah alasan yang sungguh kukuh. Di mana rasa bersalah mereka? Di mana rasa hormat seorang pelajar kepada guru dan ilmu yang sedang dituntut? Jika diambil tindakan, guru pula yang dipersalahkan. Saya beberapa kali berleter dalam kelas dengan gelagat pelajar yang tidak sensitif dengan akibat yang bakal mereka tanggung kerana meninggalkan kelas. Kerana beberapa orang yang buat hal, semua kena ceramah..

P/S : Saya mengaku dulu saya kuat tidur jugak. Sejak masuk asrama. Tapi bukan alasan saya meninggalkan kelas. Bagi saya lebih baik tertidur di dewan kuliah daripada tertidur di bilik. Sekurang-kurangnya ada usaha untuk dengar kuliah. Tapi tertidur kerana terlalu mengantuk. Masih boleh dimaafkan..
Posted by Insan Biasa at 9:56 AM 3 comments  

Hadith ke-36 : Lima Maksiat Yang Disegerakan Balasannya

3/5/11


Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara­-perkara itu ialah:
  1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

  2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.

  3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

  4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

  5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".

H.R Ibnu Majah

Keterangan

Hadis di atas rnenerangkan bahawa:

  1. Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.

  2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.

  3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.

  4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (sepeti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah swt.

  5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada mengenepikan hukum­hukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Posted by Insan Biasa at 11:17 AM 0 comments  

Hadis ke-35 : Lima Belas Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “ Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
  1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

  3. Zakat dijadikan hutang.

  4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

  5. Anak derhaka terhadap ibunya,

  6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

  7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

  8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

  9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

  11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

  12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

  13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

  14. Muzik banyak dimainkan.

  15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain".

H.R Termizi

Keterangan

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

Penulis : Benarlah apa yang disabdakan

Posted by Insan Biasa at 11:05 AM 0 comments  

Terbaik Yang Subjektif

3/3/11

"Kau nampak muram..Apa masalah apa lagi ni??Soal Pak Kasim kepada pemuda di hadapannya yang sedang termenung panjang.
"Nampak ke?hehe.." dia cuba tersenyum...senyum kambing...
"Apa yang kau menungkan ni Mal?" Tanya Pak Kasim membuka bicara...Dia tahu Ikmal sedang dalam duka. Sememangnya apabila berduka Ikmal akan mancarinya. Meminta nasihat orang tua buat mengubat luka.

"Saya pelik la Pak Kasim..Apa kurangnya saya? Kenapa dia tak pilih saya?"
"oh..Masalah perempuanlah ni?hm...Adat lelaki, bermuram kalau bukan soal kerjaya, soal wanita..haha" Senda Pak Kasim berseloroh cuba menghiburkan Ikmal..Tapi nampaknya Ikmal tak ketawa. Hambar, Ikmal masih senyum kambing.
"Macam kena 'reject' je ni..kenapa boleh jadi macam tu..Apa kurangnya kau?"Sambung Pak Kasim
"Saya pon tak faham la Pak Kasim...Kita ni sepatutnya nak yang terbaik..Tapi ada yang tak nak rupanya"
"Tak nak? Kenapa tak nak"
"Katanya dia tak cukup baik untuk saya..Saya terlalu baik..Tak layak untuknya"Ikmal memandang jauh, dahinya berkerut.
"Ooo..Pelik tu..Tapi tu cuma katanya sahaja..Kalu dah tak nak, macam-macam la alasan"
"Terlalu baik pon boleh jadi alasan rupanya"
"Tapi mal, kau kena tahu, takkan dia nak kata kau yang tak cukup baik untuk dia, dia dah cuba jaga hati kau tu"
"Saya tak boleh terima alasan macam tu Pak Kasim"
"Anggaplah kau bukan yang terbaik untuk dia..Kau kena faham, terbaik tu subjektif..Semua orang takkan sama"
"Subjektif? luas sangat ke"Soal Ikmal hairan. Pak Kasim memang ada idea tentang masalahnya.
"Kau memang baik Mal, tapi bukan untuk dia. Biarlah dia cari apa maksud baik yang dia nak. Mungkin maksud baik dalam definisi dia tu tiada pada kau mal. kau kena sabar"Pak Kasim mula menasihat. Ikmal sudah dianggap anaknya.Pada Pak Kasim Ikmal memang pemuda baik, pandai ambil hati orang tua, bertanggungjawab, dan yang paling penting, Ikmal ada latar belakang agama yang baik, biarpun tak belajar tinggi hingga ke Al-Azhar, Ikmal minat untuk belajar lebih lagi. Pak Kasim nampak itu pada diri Ikmal.

"Susah rupanya nak faham ya Pak Kasim, betul kata Pak Kasim, Saya dah cuba nak jadi terbaik, nampaknya belum baik lagi.
"Kau dah memang baik Mal, cuma kita ni manusia, ada nafsu, ada keinginan. kadangkala kita akan buat sesuatu yang salah juga..Kita takda yang sempurna. Tapi kita kena sentiasa usaha nak betulkan diri dan jadi yang terbaik" Ceramah Pak Kasim semakin panjang.
"Kadang-kadang saya fikir juga, inilah akibat saya sangka saya dah cukup baik, hakikatnya saya masih tidak dipilih. Malang rasanya" Keluh Ikmal. Memandang ke bawah. Benarlah kata orang bijak pandai "Apabila kau telah merasa cukup baik, sebenarnya kau telah membuka pintu kejahatanmu"
"Kau sedang dipilihlah Mal"Pak Kasim memujuk
"Dipilih?"
"Ya dipilih. Tapi bukan dipilih oleh manusia, kau sedang dipilih Allah untuk diuji. Kau sebenarnya beruntung"
"Kenapa beruntung Pak Kasim?"Ikmal mula senyum.Senang hati barangkali Allah memilihnya.
"Yalah, sekarang kau dah sedar kau tak cukup baik, kau dah tahu kau salah dalam menilai dirimu sendiri, jadi kau akan terus berusaha untuk jadi yang terbaik. Kalau kau tak dapat apa yang kau nak, kau akan sentiasa berusaha mendapatkannya. Berbanding orang yang mudah mendapatkan sesuatu, dan menyangka telah diberi yang terbaik. padahal dia sedang dibiarkan
Allah hanyut dengan nikmat dunia"
"Macam tu rupanya ya..Biarlah tidak dipilih di kalangan manusia, tapi dipilih oleh Allah"
"Ya" Pak Kasim mengangguk "Tapi kau kena ingat, kau akan sentiasa kecewa kalau kau nak kelihatan baik di mata manusia sahaja" Sambung Pak Kasim.
"Baik depan manusia?"
"Buat baik kerana Allah, untuk dapatkan keredhaannya, bukan untuk dikagumi manusia. Kau nak kelihatan baik sahaja di hadapan orang yang kau suka untuk mengaguminya. Padahal itu bukan diri kau mal. kau menipu diri sendiri" Jelas Pak Kasim panjang lebar. Ikmal terdiam sebentar. kata-kata itu benar-benar kena pada batang hidungnya.
"Saya dah sedar Pak Kasim, saya yang bersalah. banyak lagi perlu belajar"
"Takpa Mal, kita manusia buat salah tu biasalah, yang penting takkan ulang lagi. Kau sedang kecewa dengan manusia sebab kau berharap pada manusia, kau kurang berharap pada pencipta manusia. Jangan macam tu Mal, betulkan niat, Harap hanya pada Allah, barulah rahmat akan terbuka luas" Nada Pak Kasim memujuk. Ikmal senyum, nampaknya dia sudah faham apa makna terbaik. Mungkin benar dia bukan yang terbaik untuk wanita itu. Atau wanita itu bukan yang terbaik untuknya. Dan dia akan mendapat yang lebih baik. Terbaik tu memberi makna yang luas. Seorang anak terbaik untuk ibu bapanya, seorang isteri terbaik untuk suaminya, seorang pekerja terbaik pada majikannya, dan yang paling penting, seorang hamba yang terbaik pada Penciptanya. Jika semua orang sukakan benda yang sama, susahlah kita nak buat pilihan. Itulah lambang kebijaksanaan Allah yang Maha Bijaksana mengatur kehidupan sesuai dengan fitrah. Tinggal manusia yang perlu mencarinya berpandukan Syariat yang telah dibekalkan dalam Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW.

“Supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapa diantara kamu yang terbaik amalnya.” (Al Mulk:2)
Posted by Insan Biasa at 12:10 AM 2 comments  

Hadith ke-34 : Al-Quran Akan Hilang dan Ilmu Akan Diangkat

3/2/11



Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).

H.R Ibnu Majah

Keterangan

Hadis di atas tadi menerangkan kepada kita bahawa pada suatu masa nanti:

  1. Ilmu tentang Islam akan diangkat.

  2. Al-Quran juga akan diangkat daripada permukaan bumi ini.

  3. Orang ramai hanyalah mengenali beberapa istilah Islam, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan istilah-istilah itu.

  4. Begitu pula mereka hanya sekadar mampu mengucapkan kalimat "Lailaha illallah", tetapi mereka tidak memahami apa tuntutan kalimat suci itu terhadap mereka.

Walau bagaimana pun Allah swt. dengan belas kasihannya masih menghargai keimanan mereka yang sedikit itu dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga


Penulis : Mungkin belum berlaku lagi perkara di atas, tapi mungkin sudah terjadi golongan yang tak faham makna sebenar solat, puasa, zakat dan ibadah syariat lain. Hanya dilakukan kerana satu adat dan kebiasaan. Nauzubillah

Posted by Insan Biasa at 11:55 PM 0 comments  

Hadith ke-33 : Islam Hanya Pada Nama




Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".
H.R al-Baihaqi

Keterangan

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.

Penulis : Ya Allah, masukkanlah aku dalam golongan yang benar dan keluarkanlah aku dari golongan yang salah.
Posted by Insan Biasa at 11:42 PM 1 comments  

Dari Hati Seorang Lelaki


Terasa ingin berkongsi sedikit pengalaman hidup yang semakin singkat ini. Mungkin tidak seberapa, sekadar ingin mengisi masa. Jika ada manfaatnya, alhamdulillah. Jika kosong isinya, harap ditegur. Saya juga masih belajar di samping mengajar. Mereka yang saya ajar juga banyak mengajar saya erti hidup. Hidup yang tak selalu cerah. Tapi kita boleh cerahkannya. Selagi mana ada hidupan, di situ ada harapan.

Kerana aku LELAKI
Tadi dengar kuliah ustaz, tafsir surah An-Nisa' ayat pertama yang menerangkan peranan lelaki yang lebih banyak dari wanita. Banyak dari segi tanggungjawabnya. Sebagai hamba, anak, suami dan ayah. Sememangnya saya tak banyak peranan lagi, namun sangat susah rasanya nak memenuhi peranan yang sedikit itu. Bagaimana nak menambah peranan. Termenung sekejap kalau terfikir perkara ini. Banyak lagi yang perlu dilatih. Banyak lagi yang perlu ditagih. Banyak lagi yang perlu ditempuh. Dah biasa dengan peranan yang sedikit, baru boleh tambah peranan gamaknya. Saya dapati diri ini lebih mudah menulis berbanding bercakap. Kadangkala orang kata saya pendiam, kemudian saya cuba jadi 'kecoh'. Tapi selepas itu rasa kesal kerana ada yang terlepas cakap. Mungkin saya tak sesuai bercakap banyak. Maka tulisan mungkin boleh dijadikan medium interaksi diri. Sebagai catatan harian dan muhasabah diri. Teladan dan sempadan untuk pembaca jika ada. Tegurlah jika tersalah. Saya masih belajar.

P/S : Sebenarnya baru habis membaca buku bertajuk 'Nota Hati Seorang Lelaki' karangan Pahrol Mohd Juoi. Cuba mencontohi beliau. Jika tidak banyak, sedikit. Kongsi hidup dengan melihat dan belajar dari persekitaran dan pengalaman. Setiap yang berlaku di sekitar kita, ada hikmah yang Allah mahu kita mencarinya.
Posted by Insan Biasa at 12:36 AM 2 comments  

Hadith ke-32 : Ulama Tidak Dipedulikan

3/1/11


Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-­mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)."
H.R Ahmad

Keterangan

Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah saw. ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan memangsa musuhnya.

Penulis : Apabila agama di ulas oleh orang yang bukan ahlinya.
Posted by Insan Biasa at 11:40 PM 0 comments  

Hadith ke-31 : Ketiadaan Imam Untuk Solat Berjemaah


Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda;
"Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi imam".
H.R.Ibnu Majah

Keterangan

Walau pun secara pastinya pada hari ini kita belum lagi sampai ke peringkat apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. tadi, namun masyarakat kita sekarang ini sudah menghala ke sana. Banyak kampung-karnpung yang tidak mempunyai Tok Imam yang benar-benar mampu melaksanakan peranan Imam yang sebenar. Kelihatannya, masyarakat kita kekurangan kepada ilmu-ilmu syari'at. Mereka yang berilmu pula ramai yang tidak menghadiri sembahyang berjemaah, maka tinggallah orang-orang yang jahil. Maka apabila hal ini berpanjangan, pasti pada suatu hari nanti akan sampai juga ke peringkat keadaan yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi.

Penulis : dulu di sekolah waktu nak solat jemaah masing-masing tolak kawan suruh jadi imam..kadang-kadang ambil masa yang lama.

Posted by Insan Biasa at 11:19 PM 0 comments  

Antara P.Ramlee, Sudirman dan Rasulullah SAW

2/23/11


Hari ini di radio aku terdengar mereka berkata tentang Sudirman. Nampaknya tak lama lagi hari jadi Allahyarham Sudirman. Maka akan terdengarlah kembali kelunakan suara dan karya-karya Sudirman. Begitu juga apabila tiba bulan kelahiran Allahyarham P.Ramlee,(tak tahu bulan berapa) akan kedengaranlah dan tertontonlah lagi filem-filem Seniman Agung ini. Setipa stesen televisyen akan mengambil bahagian. Kadangkala disiarkan berulang-ulang selama sebulan. Betapa kita meghargai jasa para karyawan tanah air yang menjadi 'ikon' hiburan tanah air suatu ketika dahulu. Sehingga Afdlin Shauki ingin mencari pengganti P.Ramlee bagi menyambung keunggulan lakonan karya P.Ramlee yang masih 'evergreen' hingga kini.

Namun ketika kita menyambut hari Keputraan Rasulullah SAW, nampaknya tidak seperti menyambut kelahiran seniman yang berdua ini. Hanya sehari berarak membawa sepanduk hingga tengahari, kemudian terasa penat hingga tertinggal solat zohornya. Dan hari itu sahajalah diingati tokoh yang membawa rahmat ke sekalian alam ini. Nampaknya kita sungguh 'bias'. Hanya beberapa hari ditayangkan forum-forum dan ceramah untuk mengembalikan kisah pengoranan kekasih Allah ini. Tidak banyak filam yang boleh menggambarkan syiar yang dibawa oleh manusia agung di sisi Tuhan ini. Kita hanya bersahaja mengamalkan sunnah beliau. Syiar yang dibawa semakin dilupakan dan hanya mahu dipegang oleh segolongan kecil ummat. Bukankah ini yang sedang berlaku?? Di manakah rasa kasih kita kepada manusia yang menyebut kita ketika sampai ajalnya. Ayuh kita teruskan syiar Islam dan memanjatkan selawat ke atas baginda salallahu alaihi wasallam.
Posted by Insan Biasa at 12:07 AM 0 comments  

Hadith ke-30 : Peperangan di kawasan sungai Furat(Iraq) kerana merebut kekayaan.

2/22/11

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; 'Tidak terjadi hari qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, "mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu". Di dalam riwayat lain ada disebutkan; "Sudah dekat suata masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadhir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu".
H.R.Bukhari Muslim

Keterangan

Hadis ini jelas sekali menerangkan bahawa di kawasan Iraq dan disekitarnya akan berkobar peperangan yang berpunca dari merebutkan kekayaan yang ada di sana dan ramai yang terkorban dan masing-masing pihak bercita-cita seandainya merekalah yang terselamat.

Penulis : Bukankah sudah berlaku peperangan di Iraq...Atau selepas ini akan berlaku lagi??
Posted by Insan Biasa at 11:59 PM 0 comments  

Hadith Ke-28 : Kelebihan beribadat di saat Huru-hara


Daripada Ma’qil bin Yasar ra. berkata Rasulullah bersabda:" Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku".
H.R.Muslim

Keterangan

Orang yang mampu beribadat dan menunaikan kewajipan agamanya di saat-saat yang penuh dengan huru hara dan gangguan dari segenap penjuru, dan mampu mengingati Allah swt. di saat-saat orang lain lupa dan di sibukkan dengan perkara-perkara yang melalaikan. Mereka akan diberikan pahala seperti pahala hijrah yang telah dilakukan oleh kaum Muhajirin di zaman Rasulullah saw.

Mudah-mudahan kita termasuk di kalangan mereka yang mampu beribadat walaupun di dalam keadaan dan suasana yang sangat menyibukkan, dan mudah-mudahan kita mendapatkan pahala besar yang telah dijanjikan oleh Rasulullah saw. tadi.

Penulis : Sekarang zaman menumbangkan kerajaan angkuh dan sombong..Diharap pemimpin kita mengambil pengajaran. Jangan sampai rakyat memberontak suruh letak jawatan baru nak ambil tindakan. Utamakan hak rakyat. Jangan makan hasil kami. Buat kerja untuk kami. Bukan kerjakan kami.
Posted by Insan Biasa at 11:47 PM 0 comments  

2010...Dalam kenangan..

1/1/11

Diari 2010 yang penuh kenangan...

Manusia adalah makhluk yang sungguh ajaib...Mampu berubah-ubah..Mampu beradaptasi..Mampu bertahan..Dan mampu tumbang...Apa pun masalahnya..Itulah yang mematangkan kita..Menempuh hari esok yang lebih mencabar..Yang bakal ditangisi kerana gembira atau sedih...Takut dan harap adalah perasaan yang sentiasa hadir dalam doa kepada Allah untuk mendapat yang terbaik dari sisinya..Sabar dan syukur perlu di pahatkan lebih dalam dalam hati untuk membuktikan kehambaan manusia yang tidak mampu menolak kehendak Penciptanya yang Maha Agung..Semoga Tahun ini lebih baik dari Tahan lalu..Jika Tahun lalu bersedih, Tahun ini akan gembira, Jika Tahun lalu marah, Tahun ini akan maafkan, Jika Tahun lalu dendam, Tahun ini akan hilang rasa dendam..Amin..

Masihkah ada sinar di sana?
Posted by Insan Biasa at 11:09 AM 4 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png