Jadilah Golongan Ini..
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}
4/22/11

Baru-bari ni saya terlibat dengan satu perbualan mengusik yang agak pelik, tapi biasa kita dengar dalam hidup bermasyarakat. "Muazzin dah ada janji dengan orang lain tu, jangan kacau dia la"..Semua faham maksud itu bukan. Maksud 'janji' itu ialah janji untuk sehidup semati dengan seseorang. Kahwin la. Tersenyum je dengar tanpa berkata apa-apa. Serkap jarang yang tak berasas. Namun bukan itu persoalannya. Saya ingin berkongsi tentang hakikat janji itu. Janji seperti ini sering dibuat oleh pasangan yg sedang bercinta. Adakah janji seperti ini relevan?
Di sekeliling saya ramai pasangan bercinta (kawan-kawan saya) yang mengukir janji untuk hidup bersama kelak. Hala tuju ke jinjang pelamin adalah matlamat. Maka janji telah diikat. Namun langit tak selalu cerah, bila ada masalah yang sememangnya perlukan keputusan, janji dahulu akan diungkit. Ada yang setia pada janjinya, lebih ramai yang langsung tak pedulikan janji dan pergi begitu sahaja. Malah ada yang masih pegang janji ini walaupun telah terbukti pasangannya tidak sesuai dijadikan pasangan hidup. Sekali lagi, adakah janji seperti ini relevan?
Terikat dengan janji semasa bercinta menyebabkan ramai pasangan terpedaya dengan janji. Kerana janji sanggup melakukan apa sahaja. Kerana janji sanggup menyerah segalanya. Kerana janji sanggup menunggu hingga ke tua. Kerana janji sanggup menerima segala akibat sekalipun keadaan sudah membuktikan hubungan itu tidak akan membawa bahagia. Sekali lagi, adakah janji seperti ini relevan.
Benar, manusia wajib berpegang pada janji. Malah kita dikira berhutang jika gagal melunaskan janji. Namun perlu kita fikirkan, sebagai seorang Islam, janji yang diikat itu mestilah selaras dengan apa yang diperintah dan dilarang dalam agama. Saya berpendapat janji yang dimeterai oleh pasangan bercinta langsung tidak boleh dipakai. Kerana janji itu sendiri telah melanggar janji yang lebih besar, janji pada Maha Mencipta. Mengapa? Tentulah pasangan bercinta tidak terlepas daripada melakukan banyak perkara yang dilarang semasa hubungan berlangsung. Siapa yang mahu menafikannya? Jika hubungan itu sendiri tidak relevan, adakah janji itu relevan?
Bilakah Janji Itu Termeterai?Janji yang sebenarnya termeterai ketika lafaz "aku terima nikahnya". Inilah sebenar-benar janji yang perlu dipandang tinggi oleh semua pasangan. Inilah sebenar-benar janji yang memerlukan komitmen penuh semua pasangan. Inilah sebenar-benar janji yang perlu dipatuhi dan tidak boleh dilanggar oleh semua pasangan. Inilah janji di bawah redha Ilahi. Janji yang dilindungi rahmat dan kasih sayang Allah. Jika ikatan janji ini ikhlas, Rahmat Allah akan dilimpahkan kepada setiap pasangan yang mematuhinya.

Buat pasangan yang sedang dilamun cinta, berjanjilah dengan janji yang kena pada tempatnya. Seringkali saya mendengar luahan rakan yang keliru dengan janji yang dibuat. Mudah sahaja, janji memang perlu dipatuhi, tapi janji yang menyebabkan kita melanggar perintah agama tentunya tidak lagi perli diikut. Jangan terperangkan denga janji manis palsu yang tidak diketahui akhirnya. Janji memang mudah dibuat, susah dilaksanakan. Maka, berfikirlah sebelam berjanji.
4/13/11

Beberapa hari yang lepas terdengar berita nama sekolah saya akan ditukar kepada nama seorang tokoh...
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas..akan bertukar kepada
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato. Haji Abu Hasan Haji Sail....Wajarlah bertukar nama..Dari dahulu sudah saya dengar desas desus mahu letak nama tokoh pada sekolah, kini telah berhasil. Walau bagaimanapun saya tetap akan sematkan nama SMKA Pedas pada hati dan bibir. Kerana ketika zaman sayalah nama ini digunakan. Jika ditanya saya bersekolah di mana, PEDASlah jawapan saya. Kerana saya bangga dengan nama ini..SMKA Pedas menyimpan banyak memori yang saya tak mungkin lupakan. Guru-guru yang berjasa, rakan-rakan yang banyak menyimpan kenangan pahit dan manis...
Zaman sekolah banyak memberi saya cara berfikir yang tetap saya gunakan hingga kini. Di sekolah Pedas juga saya mendapat kefahaman agama yang membuatkan saya tahu bertapa Islam itu indah. Sekolah Pedas mula mengajar saya erti keazaman untuk berusaha dan memperbaiki diri. Tidak keterlaluan jika saya katakan Sekolah Pedas yang membentuk pemikiran Islam yang saya peroleh hingga kini. Walaupun masih tidak sempurna, namun di sinilah pencetusnya, dan saya amat menghargainya. Terima Kasih SMKA Pedas..Para Guru(Cg Azizah, Cg Roziah, Cg Razib, Ust Aimi, Ust Fauzi, Cg Zulkifli, Cg Md Diah, Ust Hashim, Ust Ramzan, Cg Mustapa, Cg Ruzaini, Ust Md Shah, Cg Karim, dan ramai lagi yang tak dapat disebut) dan semua rakan-rakan sebaya, senior atau junior. Saya bangga bersekolah di SMKA Pedas dan saya akui Sekolah ini banyak memberi kesan kepada saya dalam banyak segi. Siapa saya sekarang bermula di sekolah ini. Namanya telah bertukar, kenangannya tetap kekal dan nama SMKA pedas tetap dihati saya..Saya akan sebutkan nama ini hingga ke akhir hayat saya.
Tribute to SMKA Pedas...
Terkenang sebuah memori lalu
Kisah persahabatan kita bersama
Di dalam satu pengajian
Menuntut ilmu dan pengalaman
Mengingatkanku pengorbananmu
Terpahat padu di kalbuku
Bersama rakan taulan dan guru
Tawa riangmu menghiburkan hatiku
Indahnya suasana ketika itu
Terjalin ukhuwah sejati
Nasihatmu sungguh bermakna bagiku
Mengenalkanku erti kehidupan
Susah payah kita hadapi bersama
Itulah asam garam dalam kehidupan
Ya Tuhanku tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkanlah maghfirah dan kasih sayang-Mu
Agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat
Lirik: Shauqi
Lagu: Munirah
Solo: Mohd Sobri Abdullah
Album : Amal Kerana Allah
4/7/11

Islam adalah agama yang menyeluruh. Islam mencakupi semua perbuatan kita di dunia. Daripada makan hinggalah cara membasuh najis juga dititikberatkan oleh Islam. Dalam hal ibadah juga Islam menunjukkan cara yang betul dan sesuai dengan fitrah manusia. Namun manusia tak semuanya sama. Allah menganugurahkan pelbagai cara manusia berfikir. Kita semua pasti mempunyai pendapat yang berbeza. Pendapat yang pelbagai ini boleh dikongsi untuk dinilai kebaikan setiap pendapat dan dilaksanakan mana yang lebih baik.
Perbezaan yang melahirkan permusuhan.Malangnya Islam hari ini berpecah kerana berbeza pendapat. Terutama dalam hal dakwah dan pembinaan daulah. Masing-masing terlalu emosi mempertahankan cara mereka hingga sanggup menuduh saudara seagama sendiri salah dan terpesong. Malah sampai ke tahap mengkafirkan saudara sandiri. Lebih teruk lagi apabila berlakunya pertumpahan darah yang sia-sia kerana terlalu fanatik mempertahankan kefahaman masing-masing. Akhirnya kita sendiri yang rugi dan ketinggalan dalam banyak hal dunia dan hampir semuanya dipelopori oleh orang bukan Islam. Orang Islam dilihat mundur dan hilang kegerunan terhadap mereka.
Method Dakwah Yang BerbezaSaya tidaklah pandai dalam bidang dakwah. Saya bukan orang yang arif dalam dakwah. Tapi jika ada semboyan yang memanggil untuk memberi tenaga dalam bidang dakwah. Saya akan cuba memberi sepenuh tenaga dan daya saya. Saya melihat ramai para daie yang bergerak dalam jemaah dan cuba mencari kekuatan untuk memberi kefahaman mengikut method dakwah mereka. Para daie mencari ahli dan membuat kumpulan liqa untuk membari kefahaman yang sebenar tentang Islam dan apa yang ummat ini perlu lakukan. Saya sendiri perubah menyertai beberapa jemaah dan Alhamdulillah, saya lihat cara ini boleh sedikit sebanyak mengenalkan saya dengan agama. Tapi tak semua kumpulan jemaah mempunyai method yang sama. Ada yang faham Islam hanya boleh dikembangkan dengan politik. Ada yang faham Islam hanya boleh diperjuang dengan menggulingkan sistem sekarang dan mendaulatkan semula sistem khalifah. Ada yang faham Islam perlu disebarkan dengan mengajak orang lain melakukan dakwah fardhiah. Dan banyak lagi method yang berbeza. Namun malangnya ada di kalangan pendokong Islam ini cuba menenggelamkan jemaah yang lain. Wujud pula situasi persaingan seperti mahu lihat jemaah mana yang lebih hebat. Dan jemaah mana yang paling ramai pengikutnya. Siapakah yang rugi jika ini berlaku??
Bukankah Kita Satu Aqidah?Bukankah perbezaan ini sesuatu yang sepatutnya baik. Bukan semua orang mempunyai cara yang sama untuk didakwah. Rasulullah SAW pernah menjawab dengan jawapan yang berbeza kepada orang yang berbeza apabila beliau ditanya tentang amalan yang paling afdal. Ini menunjukkan method dakwah tidak semestinya sama. Jadi tidak bolehkah kita menerima method dakwah orang lain kerana mereka juga mengajak orang berbuat kebaikan. Mungkin kita tidak nampak hasilnya seperti yang kita harapkan. Tetapu kesatuan ummah kini adalah satu keperluan yang memuncak. Banyak bala yang menimpa umat Islam kini adalah kerana kita semua berpecah dan sombong dengan cara masing-masing. Akhirnya Islam dipandang serong dan ,menyukarkan dakwah itu sendiri. Bukankah kita satu agama? Adakah kerana berbeza cara kita tidak boleh bersatu. Bukankah kita menyembah Tuhan yang sama? Apakah kerana sedikit berbeza dalam ibadah sunat membuatkan kuta semua bermasam muka. Rugilah kita. Saya masih mentah dalam dakwah. Saya mahu melihat pemimpin dakwah bersatu hati membantu dakwah itu sendiri dan bersama memerangi musuh. Dan saya mahu menyertainya.
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri(pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
(Annisa' : Ayat 59)

Satu lagi perkongsian yang akan dimuatkan dalam blog ini. Mudah untuk didapati di mana-mana, tapi saya tetap mahu berkongsi. Sebagai satu penegasan untuk diri terus membaca. Mungkin rakan-rakan telah membacanya, bukan setakat membaca, amalkanlah. Inilah teras pengetahuan aqidah yang mantap dan unggul disusun oleh seorang yang hebat ilmunya. Sesiapa yang mengamalkannya bermakna sudah mengamalkan Islam hampir seluruhnya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada penulisnya. Semoga Allah memberi kefahaman kepada semua yang mahu cuba memahami dan mengamalkannya. InsyaAllah.
3/29/11

"Mulai saat ni, aku adalah musuh utama kau"
"Aku akan buat hidup kau sengsara macam yang aku rasa"
"Aku bersumpah atas nama arwah ayah aku, aku akan buat kau hancur, sedikit demi sedikit"
"Aku nak kau masuk neraka sebab kita dan putus silaturrahim. Tak gunalah semua amalan kau"
Bagaimana jika ada seseorang menghantar mesej sebegini kepada anda? Apakah yang anda rasa? Takut? Geram? Sedih? atau sedang ketawa? Inilah satu lagi episod hidup saya.Saya telah dianggap musuh oleh individu yang pada mulanya seorang kawan. Tapi akhirnya berikrar sayalah musuh utamanya kerana gagal mendapatkan apa yang dia mahukan. Sedihnya apabila nilai sahabat itu disandarkan pada rasa ingin dihormati dan semua jasa mahu dibalas dan dihargai manusia. Melahirkan perbuatan tidak pernah ikhlas dan sentiasa mahukan penghargaan dari manusia. Jika itu tidak diperoleh, hati jadi sakit. Sakit yang akhirnya menjadi hasad.
Mungkin saya juga tak mampu memenuhi kehendak semua orang meskipun saya selalu mencuba. Saya menerima kekurangan ini. Pada awalnya saya merasakan saya boleh mengubah seseorang dan terus berusaha, namun hidayah itu milik Allah. Kita hanya berusaha dan menyampaikan, selebihnya Allah yang memberi keputusannya. Rupanya saya yang dikhianati dan di'guna'kan untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Akhirnya saya sendiri yang terkesan dengan tindakannya dan terpaksa menjauhkan diri untuk mengelakkan dari terus di'guna' sebagai perisai semua kisah ciptaannya.
Tindakan saya menjauhkan diri dengan niat mahu dia tahu perbuatannya salah nampaknya tidak berhasil. Malah saya dipersalahkan olehnya kerana tidak mahu lagi menolongnya dan telah membuatkan orang memandang serong kepadanya. Saya dijadikan punca orang lain memandang serong semua perbuatannya. Dia akhirnya menyimpan hasad kepada saya dan mahu melihat saya susah suatu masa kelak. Jika anda di tempat saya, apa yang anda rasa?
Tujuan saya menulis cuma untuk mendapatkan sedikit pandangan pembaca tentang musuh yang sedang saya hadapi. Walaupun saya tidak menganggap dia musuh, tapi nampaknya saya telah dimusuhi dan ada perkara yang mahu diperlakukan. Mungkin anda pernah berhadapan dengan perkara ini. Saya boleh sahaja tidak menghiraukannya. Tetapi mungkin dia masih boleh dibantu atau terus dielak hingga akhir hayat.
"Ketahuilah bahwa sekiranya semua makhluk berkumpul untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, niscaya mereka tidak akan bisa memberikan kamu manfaat kecuali apabila hal itu telah ditakdirkan kepadamu. Dan sekiranya mereka berkumpul untuk mendatangkan suatu bahaya kepadamu, niscaya mereka tidak kuasa mendatangkan bahaya itu kepadamu, kecuali apabila hal itu telah ditakdirkan untukmu."
Gambar Hiasan
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka". H.R Muslimi |
| Keterangan Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah: -
Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir. -
Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya. -
Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt. -
Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa. -
Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal. -
Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu. -
Gempa bumi di Timur. -
Gempa bumi di Barat. -
Gempa bumi di Semenanjung Arab. -
Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman. Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”. |

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluarga ku (keturunan ku) yang namanya sama dengan namaku”. H.R Termizi |
| Keterangan Hadis ini menerangkan kepada kita bahawasanya dunia ini tidak akan qiamat sehinggalah bangsa Arab dan juga bangsa Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah saw., iaitu Imam Mahdi. Ia akan melaksanakan keadilan di permukaan bumi ini dan akan diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Ia akan memerintah selama tujuh tahun. Kemudian keluarlah Dajal dan turun pula Nabi Isa 'alaihis salam, dan Nabi Isalah yang akan membunuh Dajjal itu. Menurut kebanyakan ulama, Imam Mahdi akan lahir disaat umat Islam berpecah-belah dan dimasa pemerintahannya semua umat Islam akan bersatu dan berjaya menundukkan seluruh bangsa yang ada di dunia ini dbawah kekuasaan Islam. |
Penulis : Kelahiran yang ditunggu..Janji yang pasti..
3/26/11

Selalu dulu-dulu dengar tazkirah, terutama waktu kuliah tiga minit(kultim) yang menjadi pengisian waktu maghrib-isyak. Seorang rakan bercerita tentang iman. Iman ada 3 bahagian. Ada yang sentiasa tetap(constant). Itulah iman para malaikat. Ada iman yang sentiasa meningkat. Itulah iman para nabi, rasul dan hamba terpilih. Ada iman yang sentiasa turun, itulah iman orang kafir, munafiq dan fasiq. Ada iman yang boleh turun naik. Itulah iman orang Islam yang 'biasa-biasa' sahaja. Saya nak meletakkan iman saya pada orang yang 'biasa-biasa' ni. Kenapa? Itu hanya tafsiran saya.
Waktu Iman naik.Terasa tenang dan bersemangat. Apa sahaja yang dilakukan menjadi. Saya terasa sangat berguna kepada orang lain. Saya dapat melihat orang lain senang dengan kehadiran saya dan saya rasakan saya diperlukan oleh mereka. Adakalanya saya lebih suka bersendiri dan berfikir tentang apa yang patut saya lakukan di masa akan datang. Apa yang mampu saya lakukan. Waktu ini kepala saya akan selalu berfikir tentang manfaat yang mampu saya lakukan untuk membantu orang lain. Dan biasanya saya mudah untuk melakukannya. Saya selalu akan terfikir jika saya mati sekarang, apa yang saya akan dapat? Seperti banyak persoalan yang saya sedang ajukan pada Tuhan. Dan saya seperti boleh merasakan Tuhan sedang mendengar persoaln saya. Ini akan membuatkan saya lebih sedih dan insaf dengan kesilapan saya yang lalu. Saya akan cuba untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara sia-sia. Keadaan ini sungguh menyenangkan hati saya.
Waktu Iman Jatuh.Saya akan rasa 'kosong'. Saya sering buang masa dan tak mampu berfikir secara logik sekalipun. Saya akan banyak tidur dan bermain untuk mengisi kekosongan yang sedang saya rasa. Saya akan banyak buat 'lawak' bodoh untuk menghiburkan kawan-kawan. Saya suka merapu dan adakalanya kata-kata saya boleh menyakitkan hati orang yang mendengar. Solat saya tidak lagi teratur. Tapi saya masih solat. Saya tidak akan pedulikan kerja yang utama kerana saya tidak ada 'mood'. Masa yang ada saya akn gunakan untuk menonton video. Keseronokan yang saya cari biasanya bersifat sementara dan saya akan menyesal selepas berseronok kerana saya tahu dan sedar cara itu salah dan berdosa. Kerana terasa berdosa saya akan merasakan amalan saya yang lain semakin sia-sia dan tidak mahu melakukan apa-apa amalan baik. Akhirnya saya akan semakin hanyut dengan kelalaian dan keseronokan ini hinggalah satu titik saya terasa begitu jauh dengan Tuhan. Seperti ada suara yang memanggil saya kembali.
Saya bimbang kerana waktu iman naik adalah sangat terhad berbanding waktu iman turun. Saya sedar keadaan ini. Saya adalah manusia biasa yang banyak lemah berbanding kekuatan. Saya menerima segala bentuk terguran meskipun pada awalnya saya seperti membantah. Saya sangat terbuka dengan pandangan orang kepada saya. Saya kerap melakukan kesalahan yang berulang kali saya kesali. Saya berharap ketika malaikat maut menjemput saya, saya dalam keadaan iman yang sedang naik.
P/S : Kerana akhir-akhir ini saya rasa begitu lemah dan hampir berputus asa. Mujur masih ada kesedaran untuk kembali dan rakan-rakan yang menasihat. Saya cukup lemah untuk terjerumus ka dalam lembah dosa. Saya perlukan bimbingan. Saya perlu mencarinya walaupun saya kerap jatuh. Anda bantulah saya. Pencari rahmat Allah.
Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas, terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.” (QS. Az Zumar: 54)
3/24/11

Daripada 'Auf bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi tujuh puIuh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diri ku di dalam kekuasaannya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, mana yang selamat"? Nabi saw. menjawab, “Mereka adalah jamaah". (Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah).
H.R Ibnu Majah |
| Keterangan Yang di maksudkan dengan jamaah yang selamat ini ialah golongan yang tetap berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan juga dengan pendirian sahabat-sababat dan salafus-shaleh, atan pun yang diistilahkan oleh para ulama dengan golongan "Ahlus Sunnah wal Jamaah". Selain dari golongan ini adalah sesat dan akan menjadi penghuni neraka. Penulis : Sekarang pon dah banyak jamaah dan semuanya menyatakan mereka betul. Hingga ada yang berpecah belah. Saya memandang mereka semuanya sama dan baik. Kerana mereka adalah jamaah Islam. Cuma mungkin cara mereka berbeza. Kita tidak menolak kepelbagaian cara dakwah. Saya berharap berada dalam jemaah.
|

Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. hersabda; "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)". H.R Termizi |
| Keterangan Golongan yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah orangorang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasanalasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya sernata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri. Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.
Penulis : Menggunakan agama untuk mendapat sokongan ramai dalam meraih undi. Mengambil hanya sedikit hukum Tuhan dan meninggalkan yang lainnya. Nauzubillah.
|
3/17/11

Terasa sebak semasa menonton filem ini. Betapa Badrul(watak utama) yang cacat anggota dan lisannya cuba untuk mendapatkan kasih sayang ibunya. Sedangkan ibunya tidak langsung menghargainya dan sentiasa mahu menghalaunya kerana menganggap Badrul membawa sial. Saya terasa malu jika dibandingkan dengan diri ini, masih lagi mahukan yang lebih. Tak pernah berasa puas. Asyik memikirkan yang tak dapat berbanding yang telah ada di sisi. Sedangkan saya memang sudah ada segalanya yang saya perlukan. Keluarga, harta, pekerjaan, kawan-kawan. Selalu saja berasa rendah diri dan cemburu melihat orang lain yang lebih dari diri ini. Ketika itu saya merasakan sayalah yang malang dan tidak bernasib baik. Benarlah Nabi SAW pernah berpesan, Janganlah lihat orang yang lebih darimu, tapi lihatlah yang kurang darimu. Tidak dinafikan, kita tidak boleh merasakan cukup dengan apa yang kita ada, kita perlu sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Tapi untuk yang mamahami konsep 'wasatiyyah', berpada-pada dalam semua tindakan adalah perlu. Tidak boleh terlalu baik hingga diambil kesempatan, tidak boleh juga berbuat kejahatan kerana akan menzalimi diri sendiri dan orang lain. Hargailah apa yang telah kita peroleh dan sentiasa mencuba untuk menjadi yang terbaik.
"Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" [Al Baqarah: 195]
"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik" [Ali Imran:134]
Sekian, untuk renungan hati ini yang lalai

Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid".
H.R Abu Daud
Keterangan
Di antara tanda hampirnya hari qiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Masing-masing negara berbangga dan merasa megah dengan bangunan masjid. Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah. Banyak masjid-masjid yang indah, besar dan cantik, tetapi yang datang bersembahyang di dalamnya hanya segelintir manusia sahaja.
Penulis : Banyak saf di masjid..Tapi yang diduduki manusia hanya saf pertama..

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu masa ketika Nabi saw. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A'rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw., "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Maka Nabi saw. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Nabi saw. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! Saya hai Rasulullah". Maka Nabi saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Nabi saw. menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat".
H.R Bukhari Keterangan
Pada hari ini banyak urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, sedangkan orang yang layak untuk menjalankan urusan tersebut tidak diberi peluang yang sewajarnya. Ini bermakna saat kehancuran tidak lama lagi akan terjadi.
Penulis : Bila pandangan ulama sudah tidak diambil peduli..Bila pemimpin sudah gagal menjalankan tanggungjawab membina masyarakat..Melebihkan membina negara daripada membina manusia.
3/12/11

Pelajar : Kenapa kamu tak datang semalam?
Cikgu : Saya tertidur sir..
Pelajar : Tidur? saya kene kejut kamu ke?kenapa hari ni tak tidur juga(nada menyindir)
Dulu masa saya belajar, alasan tidur sangat takut digunakan kerana sangat tidak relevan. Kalau guna alasan tu juga membolehkan cikgu itu menghukum pelajar berkenaan dengan hukuman yang setimpal. kini pelajar dengan senang hati memberi alasan ini dengan muka tersenyum tanpa rasa bersalah dan takut. Seolah-olah alasan ini adalah alasan yang sungguh kukuh. Di mana rasa bersalah mereka? Di mana rasa hormat seorang pelajar kepada guru dan ilmu yang sedang dituntut? Jika diambil tindakan, guru pula yang dipersalahkan. Saya beberapa kali berleter dalam kelas dengan gelagat pelajar yang tidak sensitif dengan akibat yang bakal mereka tanggung kerana meninggalkan kelas. Kerana beberapa orang yang buat hal, semua kena ceramah..
P/S : Saya mengaku dulu saya kuat tidur jugak. Sejak masuk asrama. Tapi bukan alasan saya meninggalkan kelas. Bagi saya lebih baik tertidur di dewan kuliah daripada tertidur di bilik. Sekurang-kurangnya ada usaha untuk dengar kuliah. Tapi tertidur kerana terlalu mengantuk. Masih boleh dimaafkan..
3/5/11

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah:
-
Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
-
Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.
-
Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.
-
Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
-
Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".
H.R Ibnu Majah
Keterangan
Hadis di atas rnenerangkan bahawa:
-
Penyakit Thaun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.
-
Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
-
Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.
-
Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (sepeti hilangnya Tanah Pelastin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah swt.
-
Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalab berpunca daripada mengenepikan hukumhukum Allah swt. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.
Mutiara Kata
"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS