9/28/11
Andai aku pergi tak kembali
Terima kasih aku ucapkan
Untuk mak dan abah yang ku cintai
Membesarkanku penuh sabar dan cekal
Jasamu hanya mampu dibalas rabbi
Andai aku pergi tak kembali
Kepada kawan kawan yang kukenali
Dan yang mengenali diri ini
Mengenali anda adalah anugerah Ilahi
Menambah suka dukaku berjalan di bumi
Sedihku ada yang menemani
Gelakku ada yang sertai
Andai aku pergi tak kembali
Tiadalah yang aku kesal
Kerana aku sudah punya semua
Keluarga yang bahagia
Kenalan yang pelbagai ragam
Membawa diri mengenal erti hidup
Yang penuh warna warni
Andai aku pergi tak kembali
Maafkanlah aku
Jika kupunya musuh
Aku punya kurang yang nyata
Tak mampu memuaskan hatimu
Kerana aku hanya hamba yang lemah
Yang juga meminta dari yang Maha Sempurna
Jadi mintalah kepada Dia
Andai aku pergi tak kembali
Aku akan gembira
Kerana punya mak
Doanya tidak terhijab
Yang boleh mendoakan aku di sana
Berada di kalangan orang yang soleh
Andai aku perhi tak kembali
Sedikit kekesalan
Tiada doa anak yang soleh
Yang boleh menemaniku kelak
Namun rahmat Allah itu luas
Semoga kekurangan ini ada kelebihannya.
Andai aku pergi tak kembali
Izinkan diri ini
Menyusun sepuluh jari
Memohon maaf atas khilaf
Itulah manusia
Izinkan ku pergi
Berehat dari kepenatan dunia
Menuju kepada rahmat Ilahi
12:13am...28/september/2011
Sekadar cubaan....
9/24/11

Alhamdulillah,saya baru sahaja tamat membaca buku La Tahzan, karangan Dr 'Aidh Alqarni. Setelah 6 bulan membelinya, baru hari ni saya berjaya tamatkannya. Benar saya malas membaca, dan saya tidak istiqamah untuk terus membaca. Kelemahan ini sungguh sukar diatasi dan saya sedang mencuba. Lebih-lebih lagi buku seperti ini yang hanya memuatkan tulisan satu warna tanpa imej dan tiada illustrasi yang menarik. Tentulah saya cepat jemu. Apa yang mendorong saya untuk meneruskan pembacaan adalah saranan beberapa ustaz seperti Ust. Zahazan dan Dr Asri yang menggalakkan membacanya untuk mengambil iktibar dan mendidik hati. Jadi saya memaksa diri menghabiskannya.
Tidak dinafikan dan tak boleh disangkal, buku ini banyak memberi input yang berguna. Kata-kata yang indah, memujuk, mengajak dan memberitahu kita betapa apa yang ada di sisi kita sebenarnya sudah lebih dari apa yang kita pinta. Betapa manusia sering bersedih apabila tidak mendapat sesuatu hingga lupa untuk bersyukur dengan apa yang ada. Betapa teruknya penyakit yang melanda hati ini hingga selalu membuatkan rasa gelisah,risau,gundah gulana,sedih,hati sempit dan tidak tenang.
Perasaan takut yang sia-sia.
Manusia selalu takut dengan apa yang akan terjadi esok. Sedangkan hal itu belum tentu akan berlaku. Akibatnya kita sering mengundang keresahan yang sia-sia. Sedih pada yang belum tentu. Kajian membuktikan apa saja perkara akan datang yang menghantui manusia kebanyakkannya tidak akan berlaku. Jadi mengapa bersedih? Jika perkara itu sedah berlaku sekalipun, ia tetap sudah berlaku. Bagaimana kesedihan yang kita alami langsung tidak akan mengubah perkara sedih itu menjadi gembira. Jadi mengapa bersedih? Kesedihan akan mengundang penyakit, menggembirakan musuh dan menambah beban.
Ini bukanlah bermakna kita langsung tidak boleh bersedih. Bersedih adalah fitrah manusia apabila ditimpa musibah. Rasulullah SAW sendiri mengalirkan air mata kesedihan ketika kematian Khadijah dan Abu Talib. Apa yang menjadi masalah adalah rasa sedih yang mewujudkan rasa putus asa dengan hidup dan hilang rasa redha dengan kehendak Allah yang maha berkehendak. Kesedihan yang membawa bencana kepada diri dan orang lain. Ketidakupayaan manusia mengawal kesedihan membuatkan manusia itu mensia-siakan nikmat Allah yang sedia ada dan sekaligus menjadi kufur dengan nikmat itu. Nauzubillah.
Rahmat Allah itu maha luas dan sentiasa menanti mereka yang mahu mencarinya. Tanpa jemu dan lelah. Allah SWT sedang menanti hambaNya yang mahu merintih di sepertiga malam. Memohon dengan kerendahan diri yang hina untuk mendapat perlindungan Yang Maha Agung. Kita selalu mahu meminta pada manusia yang pada hakikatnya tak punya apa-apa. Tapi kita lupa nak meminta nak meminta pada yang mempunyai segala-galanya. Kita selalu berharap pada manusia, akibatnya kita selalu kecewa kerana manusia tak kekal bersama kita, tapi kita lupa berharap pada yang kepadanyalah semua makhluk bergantung harap. Dan harapan makhluk tidak ada yang hampa apabila disandarkan kepadaNya.

"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
(At-Taubah : Ayat 40)
9/11/11

"Islam didirikan atas lima perkara iaitu: Bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan ramadhan"
(Riwayat al-Bukhari Kitab Al-Imam no.8 Muslim al-Imam no.16)
Huraian Islam Ibarat bangunan:Rasulullah SAW menyamakan Islam umpama bangunan yang kukuh dan tegak di atas tiang-tiang yang mantap.
1. Kalimah SyahadahKalimah Syahadah tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya serta membenarkan kenabian Muhammad SAW merupakan hal yang paling asas berbanding rukun-rukun yang lain.
2. Dirikan SolatUmat Islam dituntut memdirikan solat dengan sempurna dengan syarat dan rukunnya, adab-adabnya dan sunnah-sunnahnya agar dapat merasakan kemanisan buahnya dalam diri seorang Muslim.
3. Keluarkan zakatWajib mengeluarkan zakatdaripada harta orang kaya yang telah cukup nisab(kuantiti) dan haul(tempoh) lalu memberikannya kepada asnaf(yang layak menerima)
4. Tunaikan HajiWajib menunaikan Haji ke Mekkah bagi yang mampu.
5. Puasa.Wajib berpuasa pada bulan ramadhan.
Sesiapa yang mengingkari salah satu daripada satu rukun ini, dia bukan dari kalangan seorang Muslim mengikut Ijtimak Ulama.
Sumber Huraian: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed, Muhammad Zakaria
9/5/11

Kita semua ada sifat mahu menolong. Itu baik. Manusia bersifat tak sempurna. Bantu membantu akan menjadikan hidup ini lebih baik dan indah. Kita juga adakalanya memerlukan pertolongan orang lain dalam sesuatu hal yang bukan kepakaran kita. Demikian pula sebaliknya. Maka sifat ingin menolong dijadikan Allah dalam diri manusia sebagai bukti keadilan Allah yang Maha Adil. Apabila kita melihat seseorang dalam kesusahan atau punya kekurangan, ada terasa ingin membantu dan mengisi kekurangan itu. Maka kita bantu sehingga kekurangan itu hilang dan orang lain akan merasa bahagia.
Namun dalam membantu juga ada batas yang perlu dilihat dan diambil perhatian. Orang yang membantu tidak bolah memudaratkan diri sendiri ketika bantuan sedang diberi. Jika kita sedar diri sedang terisiko dalam memberi bantuan, eloklah menghindarkan diri dan bantulah dalam lingkungan kemampuan kita. Kerana mudarat yang kita dapat semasa memberi bantuan mungkin boleh merosakkan diri dan akhirnya kita tidak boleh lagi memberi bantuan bukan sahaja pada seorang individu, malah kepada individu lain.
Al Misal kita mengambil situasi keselamatan dalam sebuah kapal terbang, Anak kapal akan sentiasa mengingatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan. Semasa memakai alat bantuan pernafasan, penjaga perlu memakaikan alat itu pada dirinya dahulu sebelum membantu orang yang berada dalam jagaannya. Kita lihat hal ini seperti mementingkan diri sendiri, tetapi inilah cara yang paling efektif supaya penjaga itu boleh terus membantu orang yang di bawah jagaan mereka. Jika ada apa-apa berlaku kepada penjaga tersebut akibat mementingkan orang dibawah jagaannya, tentulah terputus bantuan penjaga ini terhadap mereka di bawah jagaannya dan mudarat ini adalah lebih besar.
Manusia yang paling suka membantu yang pernah kita dengar adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ummatnya dalam keadaan jahil dan mahu membantu ummatnya kembali ke jalan Ilahi semampu beliau. Rasulullah SAW sanggup melakukan apa jua cara asalkan ummatnya faham apa yang disampaikannya. Sehingga sampai satu tahap Musyrikin Mekah mahu membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk bertukar agama buat dalam satu tempoh. Rasulullah hampir bersetuju dengan pertukaran ini kerana secara logiknya mungkin pihak Musyrikin akan merasai kebenaran agama Islam semasa mereka menganut Islam dalam masa yang telah ditetapkan. Namun Allah SWT yang maha bijaksana dan sentiasa memelihara Nabi SAW sebagai kekasihNya memberi jawapan dan menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan tegas kepada tawaran musyrikin Mekah. Bagimu agamanu dan bagiku agamaku.
Jadi dapat kita lihat terdapat batas yang perlu diambil kira dalam membantu manusia. Selagi mana bantuan itu tidak memudaratkan diri dan tidak menjadi maksiat kepada Allah, kita boleh membantu. Tetapi jika bantuan itu membuatkan kita hanyut dan semakin jauh dari Allah SWT, eloklah kita hindarkan dan serahkanlah kepada Allah sebagai sebaik-baik pembantu. Bak kata pepatah "Buat baik berpada-pada".
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
[Al-Ma’idah : 2]
9/3/11
"Ramai orang yang dikurniakan hidayah(petunjuk dalam bentuk ilmu),tapi sedikit sahaja yg dikurniakan taufiq(kekuatan untuk melaksanakannya)"
--->mmbmy
Published with Blogger-droid v1.7.4
8/23/11
Pada malam 16 ogos, 17 Ramadhan. Pak Njang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital JB. Aku hanya boleh mendengar dari jauh berita ini. Pak Njang masuk ICU selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkab paru-paru beliau rosak. Cedera dalaman ini akhirnya merebak menjadi punca Pak Njang pergi. Terasa sedih dan sayu tak dapat berjumpa Allahyarham buat kali terakhir. Kali terakhir berjumpa beliau semasa hari Allahyarhamah wan meninggal dunia. Nampaknya Pak Njang adalah anak wan yang paling awal menyusul pemergian wan. Lebih 2 bulan wan pergi, Pak Njang juga turut serta menyahut panggilanNya. Semoga Roh Pak Njang dan Wan tenang di sana dan ditempatkan di tempat orang2 solah dan solehah. Hanya doa dan solat jenazah ghaib pari jauh saya kirimkan. Takziah untuk keluarga Pak Njang. Mak Njang, Ain, Faiz dan Along Azee. Mungkin hari saya juga akan tiba kelak. Semoga ketika itu saya telah bersedia.
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”-Surah Ali Imran: Ayat 185
7/29/11

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:
Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346).
Pokok Perbincangan Hadis :
1) Kedudukan hadis ini - ibu kepada hadis-hadis lain.
mengandungi penjelasan Din secara keseluruhannya.
2) Islam - terangkum ibadat badani/ lisani/ maali/ badani wa maali.
3) Iman - asal iman/ iman dan islam/ qaul - amal juga sebahagian dari iman.
hadis Imatotul atza - tolak pendapat Al Murji’ah. iman kepada qadho’ dan qadar………..
4) Membezakan antara sifat Allah dengan sifat makluk…cth. Ilmu Allah…
5) Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat..
6) Sifat-sifat Jilbril (Ruh Al-Amiin) : rupa asal - 2 kali
- tahun ketiga dilantik menjadi rasul - di langit
- semasa isra’ dan mi’raj - mempunyai enam ratus sayap.
Pengajaran hadis:
Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawie atau bersifat Rabbaanie, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.
Hadis ini menerangkan tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ehsan. Rukun lslam lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullahilharam. Rukun lman enam perkara iaitu percaya atau beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari Qiamat dan beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam, menyempurnakan tuntutan rukun iman dan sifat ehsan. lslam tidak sempurna kalau hanya diambil dari segi zahir sahaja, atau batin sahaja atau aspek kerohanian semata-mata. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya.
llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya. Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah SAW untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.
Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusiapun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.
Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri, yang menjadi hamba kepada anaknya. Di akhir zaman juga berlaku peristiwa si-miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.
7/1/11

Allah yang menguasai segala yang ghaib..Manusia hanya mampu mentafsir dan melihat bukti kekuasaannya berdasarkan yang mereka alami hari ini. Manusia hanya mampu menjangka masa hadapan berdasarkan apa yang berlaku semalam. Dengan pandangan yang sungguh terhad, kita tidak mampu berfikir dan melihat dengan lapang. Allah berpesan supaya kita sentiasa berbaik sangka kepadaNya. Allah mahu kita bergantung padanya. Allah mahu kita menyerahkan segala urusan kita kepadaNya. Dengan itu barulah Allah akan memberi apa yang kita mahu.
Ketika kita diuji dengan keyakinan ini, kita akan ragu-ragu benarkah Allah akan memakbulkan permintaan kita. Kita akan ragu-ragu adakah Allah mendengar doa kita. Kita akan ragu-ragu adakah Allah sedang menguruskan urusan kita. Keraguan ini mendatangkan kesedihan dan kegusaran dalam hati. Sempit hingga sukar bernafas. Sungguh kesabaran dan keyakinan kepadaNya sedang terumbang ambing. Ketika itu persoalan buruk akan timbul dalam diri. Hasil hasutan syaitan yang sentiasa menanam rasa ragu-ragu dalam hati. Adakah aku perlu berputus asa?
Itulah rona-rona hidup, iman itu sedang diuji. Kuncinya sabar dan yakin. Kerana kita berbeza dengan mereka. Mereka sedang diberi kenikmatan. Mungkin mereka juga sedang diuji dengan nikmat itu. Kita tak sedar dengan nikmat yang kita ada. Allah nak kita bersyukur dengan apa yang ada, kemudian barulah Dia akan tambah. Kita tak tahu apa yang terjadi hari tahun depan. Tak tahu ape terjadu bulan depan, tak tahu ape akan terjadi minggu depan, tak tahu apa akan terjadi minggu depan, tak tahu apa akan terjadi esok, tak tahu apa akan terjadi barang sesaat akan datang. Mungkin sebentar lagi giliran kita diuji dengan nikmat dan musibah.
Islam ertinya berserah diri. Serahkan segala-galanya pada Dia. Dialah sebaik-baik perancang. Apa yang penting kita tahu apa yang kita nak, kita usaha dan usaha dengan sabar. Dan bersangka baik dengan Allah. Ini tak semudah kata-kata yang sedang ditulis. Ketika menjalaninya terasa sangat lemah dan tak berdaya. Kerana itu ia dipanggil ujian. Apabila kecewa kita akan bersedih. Adakah aku sedang berputus asa? Segeralah katakan TIDAK. Karana rahmat Allah itu luas. Sedangkan kita belum cukup berdoa dan menangis meminta. Pinta dan terus pinta. Bersabarlah dengan kelemahan itu. Yakinlah dengan apa yang dipinta. Selagi itu sesuatu yang baik. Cubalah untuk yakin Allah sedang mendengarnya dan sedang menguruskannya. Meskipun kita sudah tidak melihat harapannya lagi. Teruslah berharap pada Allah. Cukuplah Allah untukku. Sebaik-baik pembantu dan penolong urusanku.

Sabar je la..Sabar dan sabar ye..
5/24/11

Transformasi. Perkataan yang sering kita dengar akhir-akhir ini. Rata-rata banyak organisasi menggunakan perkataan ini untuk merujuk kepada satu titik tolak perubahan yang pesat ke arah sesuatu yang lebih baik. Tema hari guru pada tahun ini juga menggunakan perkataan 'transformasi' untuk menyuntik semangat para pendidik mengubah sesuatu dalam sistem pendidikan. Dari segi pembelajaran, cara penyampaian, didikan dan pembentukan tingkah laku. Guru-guru sentiasa dilihat sebagai agen transformasi yang berkesan untuk mengubah seorang pelajar menjadi manusia baik amnya kepada yang lebih baik.
Slogan 'transformasi' seperti menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem yang diguna pakai ketika ini. Mana tidaknya, peningkatan masalah juvana semakin membimbangkan. Semakin ramai remaja melihat sekolah sebagai satu 'beban' yang sedang di galas dengan cara terpaksa. Hal ini menyebabkan hilang keihklasan dalam menuntut ilmu. Jika niat sudah terpesong, bagaimana ilmu akan melekat pada pelajar?
Kita berhadapan dengan krisis nilai yang kronik. Nyawa manusia tidak lagi di anggap sesuatu yang berharga. Rasa hormat, rendah diri, berlapang dada sudah tidak lagi menjadi perhatian. Kita lihat ramai profesional yang melibatkan diri dalam jenayah yang membimbangkan. Mereka kelihatan pandai belajar, tetapu jahil nilai. Akibatnya, ramai pesakit hospital tidak mendapat rawatan sepatutnya, bangunan runtuh kerana jurutera yang tak amanah, ahli politik penipu, ahli perniagaan menindas pelanggan dan pemimpin rasuah. Jika mereka mengenal nilai amanah, hormat, rendah diri dan integriti, hal ini tidak mungkin berlaku.
Solusinya, dalam kita mahu menjana transformasi kecemerlangan pelajar, pastikan juga kira menjana trnasformasi nilai dalam diri pelajar. Pastikan pelajar tahu nilai ilmu dengan mengamalkannya, bukan hanya belajar untuk lulus ujian, tetapi belajar untuk kehidupan. Namun tanggungjawab ini tidak boleh terletak pada bahu tenaga pengajar sahaja. Institusi kekeluargaan adalah peranan utamanya. Di sinilah pelajar mula mengenal kasih sayang dan tujuan hidup dari ibu bapanya. Keruntuhan institusi keluarga yang kian membimbangkan kini tidak dapat tidak menjadi faktor penyumbang keruntuhan moral pelajar. Kesedaran pendidik menyampaikan pelbagai pengajaran untuk membentuk nilai dalam diri pelajar. Tugas kita cuma menyampaikan dan melakukan yang terbaik. Selanjutnya semoga Allah membantu dalam usaha murni ini. Tidak banyak sedikit. Sedikit-sedikit lama jadi bukit. Transformasi...bertukarlah..
5/9/11

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : hadis nombor 1908.
Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam lslam.
Pokok perbincangan hadis :
1) Sebab keluar Hadis ini - kisah Hijrah Ummu Qais
2) Kenapa niat penting :
- untuk bezakan ibadat dengan adat.
- untuk tentukan qasad amal - adakah untuk Allah atau lainnya.
3) Hukum melafazkan niat(jahr) - bid’ah mungkarah :
tidak thabit dalam quran dan sunnah - (asal ibadah haram kecuali berdalil) - fuqaha’ Syafie : sunnat. haram sekiranya dengan jahr niat boleh mengganggu orang lain (solat).
4) Kesan niat baik pada perkara yang harus :
dikira sebagai qurbah (hampir dengan Allah), dan diberi pahala baginya.
makan minum - niat nak buat ketaatan/ memberi nafkah - (hak anak/isteri)
jima’@ bergaul dgn isteri - dikira ibadah (memberi hak).
5) Beberapa Langkah Perkara Harus bertukar menjadi Qurbah:
- Tidak boleh jadikan gambaran luaran perkara harus sebagai qurbah. Cth- berdiri di bawah
panas matahari …..(hadis nazar seorang lelaki)
- Perkara yang mubah sebagai wasilah kepada ibadah.
- Mengambil ia sebagai tasyri’ ilahi - yakin bahawa ianya harus/ tidak melampau/ menepati
syariat.
- Menganggap ianya sebagai juz’ie - tak boleh berpanjangan sehingga membinasakan diri -
sprt - tak makan - berdosa.
Antara Pengajaran Hadis:Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah. Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya. Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.
5/5/11
Saya masih ingat suatu ketika saya melihat sebuah kereta yang cantik dan menarik..Berwarna biru..Ketika dalam perjalanan ke dewan kuliah di UPSI..Saya melihatnya dengan penuh minat. Tapi dalam hati saya berkata.."Aku tak mungkin memilikinya..Aku cuma biasa-biasa je"..Sewaktu itu saya tak sedar nikmat Allah itu luas dan saya hanya perlu meminta kepada yang Maha Pemurah...Mungkin itulah yang Allah nak tunjukkan pada saya betapa dia Maha Pemurah..Hari ini saya diberi pinjam sesuatu yang saya tak menjangka boleh menggunakannya..Terima Kasih ya Allah atas pinjaman ini..InsyaAllah akan saya gunakan pada jalanMu..Kadangkala saya lupa apa yang diberi sudah melebihi apa yang saya pinta...Semoga Allah ampunkan khilaf ini.

Kini saya sedar, jika kita mahukan sesuatu, kita hanya perlu meminta dengan penuh rendah diri, dan jika Allah tidak memberinya, bersabarlah..Mungkin Allah sedang menangguhkannya untuk memberikan kepada kita pada satu waktu yang lebih baik..Yang penting jangan berhenti meminta dan bersangka baik dengan Allah..Allah itu Maha Mendengar. Berdoa dan meminta adalah sifat hamba..Jangan sombong untuk meminta..Manusia bersifat lemah dan sentiasa perlukan Tuhannya..
"barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyediakannya jalan keluar, dan mengurniakannya dengan rezeki yang tidak disangka-sangka"
(Al-Quran)
5/3/11
Wan bersama cucu-cucu tercinta..
Dalam jam 7 pagi, 26 April 2011, Hari selasa, Wan Arbi bte Kasim telah kembali ke rahmatullah menyahut panggilan ilahi. Pemergian yang sudah dijangka oleh semua ahli keluarga. Wan pergi menemui yang Maha Esa akibat sakit tua yang semakin teruk dari hari ke hari. Lama kelamaan fungsi badan sudah kurang baik. Sebagai ahli keluarga, kami telah berusaha supaya wan cepat sembuh, namun Allah lebih berkuasa atas segalanya dan kami menerima ini sebagai takdir yang tidak mampu ditolak. Semoga wan ditempatkan di kalangan muslimah yang beriman dan dirahmati Allah. Wan adalah salah satu sebab utama kami sekeluarga berkumpul di hari raya, kini wan telah pergi. Selamatlah wan disana..Doa anak cucu wan sentiasa bersama wan. Al-Fatihah...
Salasilah wan..
12 Orang anak
31 cucu
24 cicit
4/22/11

Baru-bari ni saya terlibat dengan satu perbualan mengusik yang agak pelik, tapi biasa kita dengar dalam hidup bermasyarakat. "Muazzin dah ada janji dengan orang lain tu, jangan kacau dia la"..Semua faham maksud itu bukan. Maksud 'janji' itu ialah janji untuk sehidup semati dengan seseorang. Kahwin la. Tersenyum je dengar tanpa berkata apa-apa. Serkap jarang yang tak berasas. Namun bukan itu persoalannya. Saya ingin berkongsi tentang hakikat janji itu. Janji seperti ini sering dibuat oleh pasangan yg sedang bercinta. Adakah janji seperti ini relevan?
Di sekeliling saya ramai pasangan bercinta (kawan-kawan saya) yang mengukir janji untuk hidup bersama kelak. Hala tuju ke jinjang pelamin adalah matlamat. Maka janji telah diikat. Namun langit tak selalu cerah, bila ada masalah yang sememangnya perlukan keputusan, janji dahulu akan diungkit. Ada yang setia pada janjinya, lebih ramai yang langsung tak pedulikan janji dan pergi begitu sahaja. Malah ada yang masih pegang janji ini walaupun telah terbukti pasangannya tidak sesuai dijadikan pasangan hidup. Sekali lagi, adakah janji seperti ini relevan?
Terikat dengan janji semasa bercinta menyebabkan ramai pasangan terpedaya dengan janji. Kerana janji sanggup melakukan apa sahaja. Kerana janji sanggup menyerah segalanya. Kerana janji sanggup menunggu hingga ke tua. Kerana janji sanggup menerima segala akibat sekalipun keadaan sudah membuktikan hubungan itu tidak akan membawa bahagia. Sekali lagi, adakah janji seperti ini relevan.
Benar, manusia wajib berpegang pada janji. Malah kita dikira berhutang jika gagal melunaskan janji. Namun perlu kita fikirkan, sebagai seorang Islam, janji yang diikat itu mestilah selaras dengan apa yang diperintah dan dilarang dalam agama. Saya berpendapat janji yang dimeterai oleh pasangan bercinta langsung tidak boleh dipakai. Kerana janji itu sendiri telah melanggar janji yang lebih besar, janji pada Maha Mencipta. Mengapa? Tentulah pasangan bercinta tidak terlepas daripada melakukan banyak perkara yang dilarang semasa hubungan berlangsung. Siapa yang mahu menafikannya? Jika hubungan itu sendiri tidak relevan, adakah janji itu relevan?
Bilakah Janji Itu Termeterai?Janji yang sebenarnya termeterai ketika lafaz "aku terima nikahnya". Inilah sebenar-benar janji yang perlu dipandang tinggi oleh semua pasangan. Inilah sebenar-benar janji yang memerlukan komitmen penuh semua pasangan. Inilah sebenar-benar janji yang perlu dipatuhi dan tidak boleh dilanggar oleh semua pasangan. Inilah janji di bawah redha Ilahi. Janji yang dilindungi rahmat dan kasih sayang Allah. Jika ikatan janji ini ikhlas, Rahmat Allah akan dilimpahkan kepada setiap pasangan yang mematuhinya.

Buat pasangan yang sedang dilamun cinta, berjanjilah dengan janji yang kena pada tempatnya. Seringkali saya mendengar luahan rakan yang keliru dengan janji yang dibuat. Mudah sahaja, janji memang perlu dipatuhi, tapi janji yang menyebabkan kita melanggar perintah agama tentunya tidak lagi perli diikut. Jangan terperangkan denga janji manis palsu yang tidak diketahui akhirnya. Janji memang mudah dibuat, susah dilaksanakan. Maka, berfikirlah sebelam berjanji.
4/13/11

Beberapa hari yang lepas terdengar berita nama sekolah saya akan ditukar kepada nama seorang tokoh...
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas..akan bertukar kepada
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato. Haji Abu Hasan Haji Sail....Wajarlah bertukar nama..Dari dahulu sudah saya dengar desas desus mahu letak nama tokoh pada sekolah, kini telah berhasil. Walau bagaimanapun saya tetap akan sematkan nama SMKA Pedas pada hati dan bibir. Kerana ketika zaman sayalah nama ini digunakan. Jika ditanya saya bersekolah di mana, PEDASlah jawapan saya. Kerana saya bangga dengan nama ini..SMKA Pedas menyimpan banyak memori yang saya tak mungkin lupakan. Guru-guru yang berjasa, rakan-rakan yang banyak menyimpan kenangan pahit dan manis...
Zaman sekolah banyak memberi saya cara berfikir yang tetap saya gunakan hingga kini. Di sekolah Pedas juga saya mendapat kefahaman agama yang membuatkan saya tahu bertapa Islam itu indah. Sekolah Pedas mula mengajar saya erti keazaman untuk berusaha dan memperbaiki diri. Tidak keterlaluan jika saya katakan Sekolah Pedas yang membentuk pemikiran Islam yang saya peroleh hingga kini. Walaupun masih tidak sempurna, namun di sinilah pencetusnya, dan saya amat menghargainya. Terima Kasih SMKA Pedas..Para Guru(Cg Azizah, Cg Roziah, Cg Razib, Ust Aimi, Ust Fauzi, Cg Zulkifli, Cg Md Diah, Ust Hashim, Ust Ramzan, Cg Mustapa, Cg Ruzaini, Ust Md Shah, Cg Karim, dan ramai lagi yang tak dapat disebut) dan semua rakan-rakan sebaya, senior atau junior. Saya bangga bersekolah di SMKA Pedas dan saya akui Sekolah ini banyak memberi kesan kepada saya dalam banyak segi. Siapa saya sekarang bermula di sekolah ini. Namanya telah bertukar, kenangannya tetap kekal dan nama SMKA pedas tetap dihati saya..Saya akan sebutkan nama ini hingga ke akhir hayat saya.
Tribute to SMKA Pedas...
Terkenang sebuah memori lalu
Kisah persahabatan kita bersama
Di dalam satu pengajian
Menuntut ilmu dan pengalaman
Mengingatkanku pengorbananmu
Terpahat padu di kalbuku
Bersama rakan taulan dan guru
Tawa riangmu menghiburkan hatiku
Indahnya suasana ketika itu
Terjalin ukhuwah sejati
Nasihatmu sungguh bermakna bagiku
Mengenalkanku erti kehidupan
Susah payah kita hadapi bersama
Itulah asam garam dalam kehidupan
Ya Tuhanku tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkanlah maghfirah dan kasih sayang-Mu
Agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat
Lirik: Shauqi
Lagu: Munirah
Solo: Mohd Sobri Abdullah
Album : Amal Kerana Allah
4/7/11

Islam adalah agama yang menyeluruh. Islam mencakupi semua perbuatan kita di dunia. Daripada makan hinggalah cara membasuh najis juga dititikberatkan oleh Islam. Dalam hal ibadah juga Islam menunjukkan cara yang betul dan sesuai dengan fitrah manusia. Namun manusia tak semuanya sama. Allah menganugurahkan pelbagai cara manusia berfikir. Kita semua pasti mempunyai pendapat yang berbeza. Pendapat yang pelbagai ini boleh dikongsi untuk dinilai kebaikan setiap pendapat dan dilaksanakan mana yang lebih baik.
Perbezaan yang melahirkan permusuhan.Malangnya Islam hari ini berpecah kerana berbeza pendapat. Terutama dalam hal dakwah dan pembinaan daulah. Masing-masing terlalu emosi mempertahankan cara mereka hingga sanggup menuduh saudara seagama sendiri salah dan terpesong. Malah sampai ke tahap mengkafirkan saudara sandiri. Lebih teruk lagi apabila berlakunya pertumpahan darah yang sia-sia kerana terlalu fanatik mempertahankan kefahaman masing-masing. Akhirnya kita sendiri yang rugi dan ketinggalan dalam banyak hal dunia dan hampir semuanya dipelopori oleh orang bukan Islam. Orang Islam dilihat mundur dan hilang kegerunan terhadap mereka.
Method Dakwah Yang BerbezaSaya tidaklah pandai dalam bidang dakwah. Saya bukan orang yang arif dalam dakwah. Tapi jika ada semboyan yang memanggil untuk memberi tenaga dalam bidang dakwah. Saya akan cuba memberi sepenuh tenaga dan daya saya. Saya melihat ramai para daie yang bergerak dalam jemaah dan cuba mencari kekuatan untuk memberi kefahaman mengikut method dakwah mereka. Para daie mencari ahli dan membuat kumpulan liqa untuk membari kefahaman yang sebenar tentang Islam dan apa yang ummat ini perlu lakukan. Saya sendiri perubah menyertai beberapa jemaah dan Alhamdulillah, saya lihat cara ini boleh sedikit sebanyak mengenalkan saya dengan agama. Tapi tak semua kumpulan jemaah mempunyai method yang sama. Ada yang faham Islam hanya boleh dikembangkan dengan politik. Ada yang faham Islam hanya boleh diperjuang dengan menggulingkan sistem sekarang dan mendaulatkan semula sistem khalifah. Ada yang faham Islam perlu disebarkan dengan mengajak orang lain melakukan dakwah fardhiah. Dan banyak lagi method yang berbeza. Namun malangnya ada di kalangan pendokong Islam ini cuba menenggelamkan jemaah yang lain. Wujud pula situasi persaingan seperti mahu lihat jemaah mana yang lebih hebat. Dan jemaah mana yang paling ramai pengikutnya. Siapakah yang rugi jika ini berlaku??
Bukankah Kita Satu Aqidah?Bukankah perbezaan ini sesuatu yang sepatutnya baik. Bukan semua orang mempunyai cara yang sama untuk didakwah. Rasulullah SAW pernah menjawab dengan jawapan yang berbeza kepada orang yang berbeza apabila beliau ditanya tentang amalan yang paling afdal. Ini menunjukkan method dakwah tidak semestinya sama. Jadi tidak bolehkah kita menerima method dakwah orang lain kerana mereka juga mengajak orang berbuat kebaikan. Mungkin kita tidak nampak hasilnya seperti yang kita harapkan. Tetapu kesatuan ummah kini adalah satu keperluan yang memuncak. Banyak bala yang menimpa umat Islam kini adalah kerana kita semua berpecah dan sombong dengan cara masing-masing. Akhirnya Islam dipandang serong dan ,menyukarkan dakwah itu sendiri. Bukankah kita satu agama? Adakah kerana berbeza cara kita tidak boleh bersatu. Bukankah kita menyembah Tuhan yang sama? Apakah kerana sedikit berbeza dalam ibadah sunat membuatkan kuta semua bermasam muka. Rugilah kita. Saya masih mentah dalam dakwah. Saya mahu melihat pemimpin dakwah bersatu hati membantu dakwah itu sendiri dan bersama memerangi musuh. Dan saya mahu menyertainya.
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri(pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
(Annisa' : Ayat 59)