9/30/12
Saya cuma ingin berkongsi pendapat tentang keutamaan hidup kita. Bagi saya dalam apa pon keputusan hidup kita, kita perlu membuat keutamaan berdasarkan apa yang kita fahami dalam hidup. Dan pilihan itu adalah berdasarkan apa yang kita fahami tentang tujuan hidup. Antara dua pilihan atau lebih dari dua pilihan, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik. Bagi kita ummat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. maka jika enyentuh tentang kehidupan akhirat tentunya kita mahukan syurga dan jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan REDHA ALLAH SWT.
Sebenarnya pilihan ini dibuat berdasarkan apa yang telah kita lalui. Pengalaman. Kemudian lihat pula sejauh mana ilmu kita boleh menilai pilihan itu. Kita perlu faham kenapa seseorang penjenayah memilih untuk membuat jenayah. Apakah mereka tidak tahu jenayah adalah satu kesalahan dan dosa? Tapi mereka tetap mahu lakukannya. Ini sangat berkait dengancara kehidupan mereka. Siapa mereka berkawan dan apa yang mereke telah lalui? Dan semua itu adalah di luar pengetahuan saya.
Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pon, kita perlu utamakan pilihan yang mendapat redha dari Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegahNya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya. Selain dari itu adalah pilihan yang salah. Dalam membuat pilihan sama ada untuk menjaga hati manusia atau menjaga Allah, tentulah kita perlu menjaga Allah. walaupun terpaksa menyakitkan hati manusia. Tentulah agama melarang kita menyakiti sesama insan, tetapi yang manakah adalah penting? Redha Allah atau kesenangan hati manusia?
Dalam ketaatan kepada Ibu bapa. Agama meletakkan sempadan dalam mentaati ibu bapa. Ketaatan yang boleh menyebabkan kita melanggar perintah Allah adalah dilarang. Maka seorang anak boleh ingkar jika ibu bapa mereka menyuruh melakukan kemungkaran. Seoarang anak wajib menolak permintaan yang melanggar perintah Allah secara baik dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan itu, malah jika keadaan masih lagi di luar kawalannya, ambillah keputusan untuk tinggal berjauhan dan mohonlah pertolongan Allah. Allah pasti membantu hambaNya selalu mengutamakan perintahnya.
Jika seorang lelaki mengajak seorang wanita bercinta seperti yaang berlaku dalam kisah muda-mudi hari ini. Wanita itu akhirnya termakan pujukan si lelaki kerana kasihan dan mahu menjaga hatinya. Adakah pilihan wanita itu betul? Adakah pilihan wanita itu selari dengan apa yang Allah mahu? Akhirnya melahirkan perasaan yang lebih mendalam hingga boleh menjadikan wanita itu melanggar banyak lagi perintah. Adat orang bercinta berdua-duaan. Sama ada secara realiti atau maya. Lumrah nafsu si lelaki akan meminta lebih lagi 'bukti' cinta. Si wanita akan menurut dengan alasan ingin menjaga hati. Namun jelas melanggar apa yang Allah mahu. Tindakan wanita itu mungkin betul jika si lelaki benar-benar mahu mengahwininya pada masa terdekat. Jika tidak, hubungan cinta yang terlalu lama hanya membawa kemungkaran demi kemungkaran dan fitnah yang tidak akan disedari oleh si pelaku. Ini hanya disedari setelah perkara buruk berlaku. Ketika itu penyesalan adalah sia-sia.
Sememangnya banyak pilihan yang berlaku dalam hidup ini membuatkan kita buntu dan keliru dengan kepelbagaiannya. Namun jika kita membuat pilihan yang mengutamakan redha Allah, maka kita tidak mungkin rugi. Lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Banyak pilihan yang menyebabkan kita menyesal di kemudian hari dan sebenarnya kita telah menyedarinya ketika pilihan itu dibuat. Kerana kita berharap pilihan akibat pilihan itu adalah berlainan. Sebenarnya tidak. KITA BOLEH MEMBUAT PILIHAN, TETAPI TIDAK BOLEH MEMILIH AKIBAT PILIHAN ITU. Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi nyata.
9/24/12
Malam Semalam mak dan abah telah berankat ke Makkah. Tanah Suci yang menjadi tempat idaman semua makhluk hidup. Akhirnya Allah memberi kesempatan kepada mak dan abah untuk hadir sekali lagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Melengkapkan rukun Islam yang kelima. Aku sungguh bersyukur dengan perkara ini. Aku juga akan terus memohon agar kelak Allah akan memanggil aku ke sana untuk menjadi tetamu agung. Semoga ada kesempatan.
Maka ramailah yang mengirimkan hajat untuk didoakan di sana. Doa di Masjidilharam adalah kesempatan doa yang tak mungkin dilepaskan oleh setiap orang yang berpeluang ke sana. Tentunya aku salah seorang pengirim doa. Tidak kurang yang meminta di disampaikan salam kepada Rasulullah dan Para sahabat semasa mengunjungi makan mereka. Aku tidak berkesempatan berkata begitu kepada abah. Kerana aku punya pendapat sendiri. Biarpun aku jauh di sini, perasaan cinta akan Baginda nabi tetap dapat kusampaikan dengan amalan sunnah dan selawat ke atas baginda. Allahumma solli ala muhammad. InsyaAllah.
Suasana Di perkarangan rumah
Azan dilaungkan sebelum jemaah berangkat ke Makkah
Sengaja Besarkan gambar ni..Sweet
Semoga Mak dan Abah mendapat haji yang mabrur. Aku sempat menitipkan beberapa doa untuk mak doakan kepadaku semasa berhadapan dengan kaabah. Antara Isi doanya adalah seperti berikut.
Ya Allah, aku pohonkan padamu dengan penuh
harapan agar kau kabulkan permintaan untuk anakku ini.
- Jadikanlah anakku ini seorang
yang berguna kepada semua orang di sekitarnya. Jangan kau biarkan dia
menyusahkan orang lain. Permudahkanlah urusannya, murahkanlah rezekinya.
- Jadikanlah anakku ini seorang
yang soleh dan selalu berusaha mengerjakan kebaikan dengan ikhlas untuk
mengharapkan keredhaanMu. Jangan kau wujudkan perasaan putus asa dalam dirinya
walau sekecil mana pun usahanya.
- Berilah kesempatan kepadanya
untuk selalu memperbaiki dirinya dalam segala hal. Sesungguhnya dia punya
banyak kelemahan dan hanya dengan rahmatMu ya Allah dia akan mampu mengatasi
kelemahan ini.
- Selamatkanlah dia dari segala
tipu daya dunia yang merugikan dan yang boleh menyebabkan dia terjerumus ke
dalam kemurkaanMu.
- Permudahkanlah urusan jodohnya.
Jika dia bertemu jodoh, jadikanlah jodohnya itu mampu mendekatkan dirinya
kepadaMu.
- Jika sampai ajalnya, matikanlah
dia sebagai seorang yang syahid dan dalam keimanan yang tertinggi. Jangan kau
matikan dia dalam keadaan bermaksiat dan kufur.
- Jika dia selalu melakukan dosa
berulang kali, kasihanilah dia ya Allah. Sentiasalah berikan dia kesempatan
untuk memperbaiki diri sehingga dia benar-benar mampu meninggalkan dosa itu.
- Jadikanlah di sekelilingnya
segala yang baik. Ketemukanlah dia dengan mereka yang mampu membantunya
memperbaiki diri. Janganlah kau biarkan dia terpengaruh dengan semua keburukan
yang datang kepadanya setiap hari.
- Jika kau mahu mengujinya,
berikanlah juga dia kekuatan untuk mengetasi ujian itu agar dia tidak hanyut
dengan ujian yang kau beri. Bantulah dia menyedari ujian yang sedang dihadapi
agar dia selalu bersedia menghadapinya.
- Tempatkanlah dia di syurgaMu,
dalam lingkungan kasih sayangMu dan keredhaanMu yang berpanjangan bersama maknya
Maimon bte Hasim dan abahnya, Mohd Yasin Bin Othman.
Inilah secebis harapanku. Jika aku mati dan semua harapan ini termakbul. Aku amat bersyukur. Aku akan terus memohonnya hingga ke akhir hayatku.
9/22/12
Dah lama tidak menulis, nak kata sibuk,
memang bukan lah. Perasaan malas sejak akhir-akhir ini begitu membuak-buak
menguasai diri. Kemudahan di sekitar banyak tapi selalu diabaikan dan
ditangguhkan kegunaannya. Malah kadangkala disalahguna. Adakah ini semulajadi
sifat manusia atau aku yang semakin jauh? Semakin jauh dari apa????
Semaki jauh. Nampaknya aku semakin jauh
dari realiti persekitaranku. Seakan-akan aku mahu mengejar kehidupan yang lain.
Kehidupan orang lain. Kehidupan yang sebenarnya bukan milik aku. Tapi aku
mahukannya. Sememangnya aku nampaknya sudah hilang rasa syukur dengan apa yang
ku genggam dan mengejar apa yang ada di genggaman orang lain. Aku mahu jadi
orang lain. Sesuatu yang bukan diriku.
Semakin jauh. Aku semakin jauh dari rasa
gembira. Semakin dekat dengan murung. Apa yang ku kejar adalah hanya khayalan
yang aku balut dengan kain kenyataan. Aku sedar hakikat itu tapi hanya
membiarkannya demi mengejar nikmat yang sementara. Sampai suatu saat aku akan
berasa sangat sedih dengan perbuatan itu dan menyesal. Tetapi selepas beberapa
ketika, aku kembali melakukannya. Perasaan murung semakin bertimpa-timpa.
Nampaknya aku berjaya membenamnya di dalam diri. Melihatkan diriku seperti
orang yang hebat, gembira yan bertuah. Kononnya.
Semakin jauh. Aku semakin jauh dengan
Tuhan. Ini nampaknya adalah masalah paling utama. Bagaimana aku boleh rasakan
itu? Pernahkah aku dekat dengan Tuhan. Pernahkah stu saat dalam hidupku
merasakan kehadiran Allah dalam jiwaku? Ya pernah. Maka aku boleh rasakan
kejauhan itu. Hatiku selalu resah. Gelisah. Serba tak kena. Tidak tahu apakah
sebenarnya yang aku ingini. Allah tekah berikan banyak tanda kepadaku untuk
kembali dekat dengannya. Aku melihat tanda itu dan aku mencubanya. Tapi pada
satu ketika aku melepaskannya untuk kembali mengejar nikmat yaang lain. Nikmat
yang sebenarnya aku hanya membawa laknat.
Perubahan yang sentiasa aku cuba lakukan
selalunya berakhir dengan gagal. Namun bukanlah satu kegagalan yang total. Aku
tetap memperoleh sesuatu. Cuma cukup sedikit dari apa yang sepatutnya. Itu
sudah dikira gagallah. Kesedihan hanya tinggal kesedihan. Tidak pon memberi
kesan. Jika ada pun kesannya hanya bersifat sementara dan tenggelam timbul.
Nampaknya aku cuma mengharapkan persekitaran mengubahku sedangkan aku masih
'sayang' untuk meninggalkan keseronokan nikmat yang sentiasa datang meratah
imanku.
21/09/2012...Perjalanan Pulang
8/12/12
[21:35] "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
Pada 26 Julai 2012, Hari rabu, aku terloobat dalam satu kemalangan..Huhu..Malang sungguh. Kejadian berlaku apabila aku hendak keluar dari simpang selepas pulang dari kerja. Entah mengapa aku tidak nampak kereta yang mahu masuk menyebabkan aku terus keluar dari simpang dan melanggar keeta wira tersebut. GAAANGGG!!!!. Bunyi hentaman tiba-tiba kedengaran. Lidah kelu tak dapat berkata apa-apa. Hanya istighfar yang mampu dilafazkan. Aku cuma berharap tiada kecederaan berlaku. Enjin kereta masih hidup. Maka aku mengalihkan kereta dan melihat kereta yang aku langgar tadi. Alhamdulillah mereka sekeluarga selamat. Jelaslah aku yang salah kerana tidak berhati-hati kerana keluar dari simpang.
Nampaknya kali ini aku tidak bernasib baik. Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali perkara yang sama hampir berlaku. Cuma ketika itu mungkin Allah masih mahu memberi aku peluang supaya lebih berhati-hati. Tapi nampaknya kali ini Allah benar-benar mahu aku merasakan akibat perbuatanku sendiri. Ya aku sedikit kesal tetapi perlu mengambil perkara ini sebagai sesuatu yang positif dan bermakna. Ada yang Allah mahu bersihkan dari sebahagian hartaku mungkin.
Apabila berlaku kemalangan, ramailah yang bertanya, maka perlu mempersiapkan diri untuk menjawab seberapa banyak soalan mereka. Soalannya kadangkala sama. "Macam mana boleh langgar kereta orang?", "Tak nampak ke kereta tu?", "Masa tu kau mengantuk ye?", "Penat ke masa tu?puasa?". Ada yang aku jawab, ada yang aku hanya senyum membenarkan tekaan mereka. Sememangnya apabila berlaku kemalangan adalah banyak perkara yang tak masuk akal terjadi. Tapi bagi kes aku ni biasa je. Berpunca dari kelalaian aku sendiri. Tidaklah perkara yang perlukan banyak persoalan.
Hidup ini tak selalu baik, kadangkala akan datang sesuatu yang buruk. Begitu juga sebaliknya, keburukan itu tidak akan kekal, akan wujud kebaikan selepasnya. Kadangkala rasa masam, kadangkala rasa manis, kadangkala juga rasa pahit hingga tak mampu nak telan, namun terpaksa juga ditelan. Begitu juga apa yang berlaku kali ini.
7/24/12
Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."
(Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302)
Huraian:
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam : “Jagalah Allah, niscaya kamu
akan mendapati Dia di hadapanmu”, maksudnya hendaklah beramal kerana-Nya dengan
penuh ketaatan sehingga Allah tidak memandangmu sebagai orang yang menyalahi
perintah-Nya, niscaya kamu akan mendapati Allah menjadi penolongmu di saat
situasi sulit, seperti yang pernah terjadi pada kisah tiga orang yang tertimpa
hujan lebat lalu mereka berlindung di dalam gua, kemudian pintu gua tertutup
batu. Pada saat itu mereka berkata kepada sesamanya : “Ingatlah kebaikan yang
pernah kamu lakukan, lalu mohonlah kepada Allah dengan kebaikan itu supaya kamu
diselamatkan”. Kemudian masing-masing menyebut kebaikan yang pernah dilakukan,
maka batu penutup gua itu kemudian terbuka lalu mereka dapat keluar. Kisah
mereka ini popular dan terdapat pada Hadits shahih.
Sabda Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam : “Jika kamu minta, mintalah kepada Allah. Jika
kamu minta tolong, mintalah tolong juga kepada Allah”, memberikan petunjuk
supaya bertawakkal kepada Allah, tidak bertuhan kepada selain-Nya, tidak
menggantungkan nasibnya kepada siapa pun baik sedikit ataupun
banyak.
Allah berfirman :
“Dan barang siapa bertawakkal kepada Allah
maka Allah pasti akan memberinya kecukupan”. (QS. Ath Thalaq : 3)
Pengajaran:
1. Sesiapa yang melaksanakan perintah Allah SWT nescaya Allah akan menjaganya di dunia dan akhirat.
2. Beramal soleh serta melaksanakan perintah Allah SWT dapat menghindarkan bencana dan mengeluarkan seseorang itu dari kesulitan.
3. Jangan meminta selain dari Allah SWT.
4. Manusia tidak akan mengalami apa-apa musibah melainkan dengan kebenaran Allah SWT.
5. Kita hendaklah menghormati waktu dan menggunakannya dengan cermat sebagaimana yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW.
6. Pergunakanlah masa mudam untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan.
7. Orang yang bersyukur akan mendapat perhatian, perlindungan dan pertolongan dari Allah SWT.
8. Hanya kepada Allah kita memanjatkan doa dan meminta pertolongan kerana Dia Maha Dekat, Maha Kuat dan merupakan zat yang tidak pernah bosan memberi.
9. Kita hendaklah bersabar dengan musibah. Kesabarann akan diakhiri dengan kemenangan dan ganjaran yang tinggi dari Allah SWT.
10. Kita hendaklah bersabar dalam bidang dakwah terutama dalam medan perang.
Rujukan : Hadith 40 Imam Nawawi, Ustaz Zahazan Mohamed dan Ustaz Muhmmad Zakaria
5/22/12
Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdurrahman,
Mu’adz bin Jabal radhiyallahu 'anhuma, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam, beliau bersabda : “Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada
dan susullah sesuatu perbuatan dosa dengan kebaikan, pasti akan menghapuskannya
dan bergaullah sesama manusia dengan akhlaq yang baik”.
(HR. Tirmidzi, ia
telah berkata : Hadits ini hasan, pada lafazh lain derajatnya hasan shahih)
Huraian Hadis :
Riwayat hidup Abu Dzar itu banyak. Ia masuk Islam ketika
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masih di Makkah dan beliau menyuruhnya
kembali kepada kaumnya. Namun ketika Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam
menyaksikan tekadnya untuk tinggal di Makkah bersama beliau, maka Rasulullah
Shalallahu ‘alaihi wasallam tidak mampu lagi mencegahnya.
Sabda
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam kepada Abu Dzar “Bertaqwalah kepada Allah
di mana saja engkau berada dan susullah sesuatu perbuatan dosa dengan kebaikan,
pasti akan menghapuskannya”.
Hal ini sejalan dengan firman Allah :
“Sesungguhnya segala amal kebajikan menghapus segala perbuatan dosa”. (QS. Huud
: 114)
Sabda beliau “bergaullah sesama manusia dengan akhlaq yang baik”
maksudnya bergaullah dengan manusia dengan cara-cara yang kamu merasa senang
bila diperlakukan oleh mereka dengan cara seperti itu. Ketahuilah bahwa yang
paling berat timbangannya di akhirat kelak adalah akhlaq yang baik. Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda : “Sesungguhnya orang yang paling aku
cintai di antara kamu dan yang paling dekat kepadaku posisinya pada hari kiamat
adalah orang yang paling baik akhlaqnya diantara kamu”.
Akhlaq yang baik
adalah sifat para nabi, para rasul dan orang-orang mukmin pilihan. Perbuatan
buruk hendaklah tidak di balas dengan keburukan, tetapi dimaafkan dan diampuni
serta dibalas dengan kebaikan.
5/20/12
Di suatu pagi yang hampir nak tengahari.
Mak : Tadi mak pergi rumah wancik, wancik tanye kau bile nak bertunang bang? Zul (Sepupu sebaya) kau dah bertunang.
Aku diam lama dan senyum, jelas aku tiada jawapan untuk pertanyaan wancik pada mak.
Mak : Kau tu dulu tumpu kat sorang je, lain kali sediakan la 2-3 orang, kalau tak dapat yang satu tu, boleh pilih yang satu lagi.
Aku diam je lagi sambil kerut dahi...Mak ni pandai-pandai je buat jalan cerita macam drama yang dia tengok kat tv...haha..mak..mak..
"Abang taknak yang kerja la mak" baru aku bersuara, sebenarnya itu bukan jawapan, saja nak membalas kata-kata mak....
"Oooo..yeke" mak bangun dan terus ke dapur
Dulu semasa belajar mak selalu ingatkan jangan bermain cinta, tumpukan pada pelajaran, maka aku tak punya rencana untuk bercinta, pun begitu tak juga tumpu pada pelajaran. Cuma melihat rakan-rakan yang punya teman buat aku rasa aku tak punya komitmen sebegitu. Jadi cuma pandai bersahabat sederhana.
Setelah bekerja di Labuan, aku cepat juga berfikir tentang kahwin. Tapi mak kelihatan tidak begitu setuju. Katanya paling kurang dah 5 tahun bekerja dan ada simpanan 20k, tapi setelah diberi rasional mak kata ok, asalkan kau yakin dan bersedia.
Jujur aku mengaku tak selesa betul dengan pertanyaan tentang jodoh...Jawapan yang paling 'famous' adalah 'nanti bila ada jodoh, adalah'..Ramai yang berkata, 'kau ni kurang usaha, nak sesuatu kena usaha'..
Mungkin orang sekitar hanya berkata mengikut apa yang mereka lihat pada kita, sedangkan mereka hanya berjumpa kita beberapa jam sehari, bagaimana mereka boleh menilai keseluruhan hidup kita, jika mereka menilai kita, dan kita tahu itu salah, janganlah marah kerana meraka tidak tahu. Pujuk aku pada hati..hihi
Hanya Allah yang tahu sejauh mana aku sudah berusaha, dan hanya Dia yang menentukan akhirnya. Kita manusia ada keterbatasan tertentu. Orang lain boleh buat itu, tapi kita boleh, kita boleh buat ini, tapi orang lain tak mampu. Begitu juga dengan usaha, semua orang boleh berusaha. Mungkin dengan cara yang sama, atau cara yang sedikit berbeza. Tapi kejayaannya tetap ditentukan yang Maha Merancang.
Ini adalah antara jawapan golongan hawa bila aku bertanyakan mereka tentang itu...teman belajar? Rakan sekerja? rakan jauh? atau yang tak pernah jumpa pon....jawapannya hampir sama...
Seolah-olah aku ni SANGAT baik. Kadangkala aku ketawa apabila mendengarnya, kerana aku tahu itu bukanlah sebab sebenar. Faham..Dia taknak la tu..huhuhu..
Ake belum mengerti sejauh mana tahap serius yang dimahukan oleh seorang wanita supaya mereka yakin aku bukan main-main. Aku belum faham apa yang mereka maksudkan matang. Adakah tak tengok naruto bermaksud sudah matang?
Mungkin semuanya tentang masa yang sesuai(perfect timining). Kalau bertanya tak kena masa dan ketikanya tak jadi juga. hihihi. Apa yang berlaku sebenarnya mengurangkan keyakinan. Mujurlah aku bukan seorang yang mudah putus asa. Selagi masih hidup.
P/s 1: Ada kawan kata "Kalau pinggan kat dapur pon payah nak basuh, takyah kate nak kahwin la"...Apa kena mengena basuh pinggan dengan kahwin..Haha sebenarnya ada..Ada banyak benda kecil yang kita rasa tak penting pon, kita selalu abaikan. Tapi itulah asasnya dan itulah yang menunjukkan siapa kita.
P/s2 : Teringin juga ada yang datang dan berkata "Saya perlukan awak, awaklah yang terbaik untuk saya"..hihi..tapi tu dalam mimpi je la...hmmm..memang hidup ni umpama mimpi..bila la nak bangun ni...
5/11/12
Dari Abu Ya'la, Syaddad bin Aus radhiyallahu 'anhu, dari
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau telah bersabda : “ Sesungguhnya
Allah mewajibkan berlaku baik pada segala hal, maka jika kamu membunuh hendaklah
membunuh dengan cara yang baik dan jika kamu menyembelih maka sembelihlah dengan
cara yang baik dan hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan yang
disembelihnya”.
[Muslim no. 1955]
Huraian hadis:
|
Kalimat “hendaklah membunuh dengan cara yang baik” berlaku umum
mencakup menyembelih, membunuh dalam Qishash, ataupun hukuman pidana lainnya.
Hadits ini termasuk salah satu Hadits yang mengandung berbagai macam prinsip
atau kaidah. Membunuh dengan cara yang baik itu ialah membunuh tanpa sedikit pun
unsur penganiayaan atau penyiksaan. Menyembelih dengan cara yang baik yaitu
menyembelih hewan dengan lemah lembut, tidak merebahkannya ketanah dengan keras
dan juga tidak menyeretnya, menghadapkannya ke kiblat, membaca basmalah dan
hamdalah, memotong urat nadi lehernya dan membiarkannya sampai mati baru
dikuliti, mengakui nikmat dan mensyukuri pemberian Allah, karena Allah telah
menundukkannya kepada kita, padahal Dia berkuasa untuk menjadikannya sebagai
musuh kita dan telah menghalalkan dagingnya untuk kita, padahal Dia berkuasa
untuk mengharamkannya.
|
5/5/12
Hari ni aku nak kongsi satu kisah benar, antara perkara yang aku anggap hebat berlaku dalam hidup aku yang sederhana ni.
Suatu hari ketika sedang dalam perjalanan ke dewan kuliah, aku melalui satu tempat. Di tempat tu ada sebuah kereta warna biru
"cantiknya"
Aku berkata dalam jantung hati, kemudian berlalu pergi.
"Tak mungkin aku boleh dapatkannya' hanya lihat sajalah"
Itu juga terkeluar dalam mulut jantung hati. Aku seolah-olah mengidamkannya tapi aku perlu sedar diri bahawa tak mungkin aku perolehinya dalam keadaan aku pada masa itu. Bagaimana pun kita perlu sedar diri. Di mana kita berpijak.
Hari ini 5 Mei 2012, setelah 2 tahun aku di beri pinjam, alhamdulillah ia masih dalam keadaan baik dan semakin baik. Dia sama dalam keadaan aku melihatnya di satu sudut jalan dahulu, sewaktu aku berkata-kata dalam hati bahawa aku hanya mampu melihatnya. Tapi apa yang berlaku hari ini membuatkan aku terfikir sewaktu itu ada satu kuasa Yang Maha Mendengar yang berkata kepadaku.
"Di dalam kekuasaanKu, kau boleh memilikinya"
Semuanya membuatkan aku kadangkala berfikir hajat manusia yang tidak dilafazkan juga didengari oleh Allah SWT, bagaimana pula hajat yang selalu dilafazkan? Sudah tentu Dia akan juga memakbulkannya. Pada masa dan saat yang sesuai. Hajat orang yang selalu buat dosa pun Dia akan kabulkan, sesungguhnya Dia adalah yang Maha Pemberi Nikmat dan Maha Pemurah. Apakah alasan kita untuk tidak berasa syukur dan berterima kasih? Bagaimana untuk bersyukur dan berterima kasih? tentulah dengan menjadi hamba yang soleh. Melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang. Dan naluri semulajadi manusia sebenarnya tahu perkara apa yang disuruh dan apa yang dilarang.
P/s: Kita perlu sedar apa yang ada pada hari ini adalah pinjaman dan satu hari nanti akan kembali kepadanya. Sifat dunia yang fana bermaksud akan hancur, maka sepatutnya istilah selama-lamanya/abadi/eternal adalah tidak relavan selagi kita masih di dunia. Istilah itu hanyalah khayalan untuk menyedapkan hati manusia atau untuk menidakkan bahawa kita akan kehilangan apa yang kita ada pada hari ini. Hanya Allah SWT bersifat Maha Kekal.
5/2/12
Assalamualaikum....
Pagi ni terbangun awal dan tertengok MHI. MHI temuramah dua artis sosial yang pernah dapat awards kerana followers yang ramai dan mendapat undi yang tinggi oleh pembaca. Seorang dalam youtube(yang main gitar dalam bilik tu), seorang dalam blogger. Hanya berminat nak tengok blogger sebab aku pon ade blog, kalau bab nyanyi dalam youtube tu memang takkan la. Ada la gambar blogger dapat awards tu. Tiba-tiba ter'inspire' dengan mereka ni. Jadi google la nama mereka. Apa yang hebat sangat minah ni sampai dapat awards,(ada nada jeles), haha. Fatin Liyana. Wah blogspot juga. Sama.
Bila dilihat dia banyak berkongsi tentang travelog hidup dan tips-tips penjagaan. Betullah kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan, luas jugalah pengalaman. Banyaklah yang boleh dikongsi dan ditulis. Dia seorang pelajar dalam bidang perubatan di universitas Bandung(Wow). Seorang bakal doktor dan masih ada masa nak menulis. Orang kata perubatan ni kursus killer dan kena berkepit dengan buku je baru boleh lulus. Orang kata la, sebab aku pon tak pernah ambil kursus perubatan kan. Tapi dia ni macam banyak je masa siap boleh jalan sana sini dan tulis tips di blog. Alamak terkagum.
Tengok pula followers dia, 30+++....Aduh ramainya follow, nak bandingkan dengan followers aku dalam ribuan kali ganda juga, 50 je, jadi jangan angan-angan nak bandingkan. Ilmu? Budak medic tu, mestilah banyak yang dibaca dan banyak lagi yang dia tahu. Huh terasa kecil je. Dia macam suka camera juga, jadi tahu la juga kualiti gambar yang suka dilihat dan cantik. Boleh la buat hias blog supaya lebih menarik. Satu lagi kelebihan yang aku langsung tak ada. Kata dia la, kalau nak tulis, tulis dari hati Sama dengan kata-kata seorang sahabat aku. Tulis apa yang kita rasa, dan niat untuk nak bagi orang lain rasa benda yang sama. Yang ni mungkin boleh diperbaiki la. Tulis dari hati..tulis dari hati..tulis dari hati...
Apapun syabas diucapkan kepada adik Fatin kerana kongsi ilmu yang bermanfaat dengan pembaca. Semoga tulisan itu akan menyentuh banyak. Jelaslah tulisan ini untuk menyatakan perasaan cemburu kepada orang yang lebih hebat. Tak salah ada perasaan cemburu dan iri hati atas kelebihan orang lain untuk memotivasikan diri supaya jadi seperti dia. Yang salahnya apabila melakukan sesuatu untuk menjatuhkan seseorang apabila berlakunya hasad. Nauzubillah.
P/s: Kedua-dua orang selebriti sosial ni cantik dan comel. Walaupun susah nak akui tapi terpaksa juga akui dalam dunia nyata ni, rupa yang mantap boleh menjadi penyumbang terbesar. Jujur saya kata benda pertama yang saya lihat nila buka blog beliau adalah profile picture. Saya tak tahu yang lain tapi hati ni berkata 90% orang yang buka blog ni akan lihat gambarnya dulu. Setuju atau tak terpulang, itu yang berlaku pada saya. Jadi tak mustahil bila kebanyakan yang buka blog ini dan tekan follow hanya kerana gambar, baca sikit-sikit je. Lihat saja di facebook, letak je muka comel-comel dan manja, lihatlah berapa ramai yang akan like walaupun tak tahu pa faedahnya dan langsung tiada nilai ilmiah. Apapun blog adik Fatin memang layak difollow kerana perkongsian yang luas dan bermanfaat. Tahniah dan syabas sekali lagi.
5/1/12
“Apa yang ada, jarang disyukuri, apa yang tiada, sering
dirisaukan. Nikmat yang di kecap, barukan terasa, bila hilang di dalam
genggaman”
Inilah sebahagian lirik nasyid yang dinyanyikan satu
kumpulan nasyid suatu masa dahulu. Tentang syukur. Kita memahami syukur apabila
perkataan ‘terima kasih’ di ucapkan untuk manusia atau ‘alhamdulillah’ ketika
berdoa kepada Allah. Ucapan ini selalu kita dengar dan boleh menjadi
sekurang-kurangnya penyejuk hati apabila mendengarnya atau semasa
melafazkannya.
Saya pernah mendengar seorang penceramah berpendapat,
“Syukur itu bukan kadangkala tarafnya lebih tinggi daripada sabar”. Kerana
ramai antara kita mampu bersabar apabila ditimpa musibah, kerana hanya itu yang
mampu kita lakukan. Bersabar dan bersabar. Tapi tak ramai antara kita mampu
bersyukur ketika mendapat nikmat. Mungkin mulutnya boleh mengucapkan kalimah
syukur, namun perbuatannya sukar untuk menggambarkan kesyukuran itu. Malah yang
paling sukar dilakukan adalah melafazkan kesyukuran ketika ditimpa musibah dan
kesedihan.
Kita suka untuk bersyukur apabila mendapat nikmat. Tapi selalunya
kita selalu lupa untuk bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita selalu sedih
apabila tak mampu membeli kasut yang cantik dan mahal, namun lupa bahawa kita
telah dikurniakan kaki yang hebat. Apabila kaki kita sakit dan tak boleh
digunakan, barulah kita terasa betapa hanya kaki itu adalah nikmat yang tak
terhingga. Namun kita tak mampu menggunakannya untuk membuat perkara kebaikan
seperti hadir ke masjid dan majlis-majlis ilmu sebagai tanda syukur.
Kita selalu fikir musibah itu suatu yang tidak disukai dan
perlu dielakkan. Itu benar, kita tidak boleh sengaja mencari musibah dan
menzalimi diri sendiri. Namun apabila benar-benar telah ditimpa musibah, kita
tak mampu untuk bersyukur. Cuba fikirkan kita selalu mahu nak elakkan kesedihan
tapi sedih banyak membawa manusia kepada Tuhan. Ramai manusia berjaya kembali
kepada Tuhannya selepas musibah yang datang kepadanya. Dulunya dia melihat
musibah itu menjatuhkannya, tapi hari ini dia akan melihat jika dia tidak
ditimpa musibah itu, tentulah dia tidak mendapat apa yang dia ada pada hari
ini. Betapa bersyukurnya dia pada ketika itu.
Seorang pelayar yang karam kapalnya dan terdampar di sebuah
pulau tidak berpenghuni. Pelayar itu akur dan redha dengan apa yang berlaku dan
cuba untuk hidup sendiri di pulau itu. Suatu hari selepas mencari makanan,
pondok yang dibinanya di tepi pantai terbakar hangus. Habis barang
kelengkapannya untuk memburu dan membuat makanan hangus terbakar. Ketika itu
dia terduduk sedih mengenangkan nasibnya yang selalu malang. Terkeluar juga
dari mulutnya, “Oh Tuhan, kenapa Aku??” akibat terlalu kecewa dengan ujian yang
menimpanya. Tidak lama selepas itu dating sebuah kapal untuk membawanya pulang.
Pelayar itu bertanya, bagaimana mereka tahu dia ada di pulau itu. Anak kapal
itu menjawab mereka terlihat asap dari pulau tersebut. Ketika itu barulah
pelayar itu tahu bahawa Tuhan membakar pondoknya untuk menyelamatkannya.
Sungguh hebat perancangan Tuhan hingga tak tercapai dek akal
cetek manusia. Kita sangka Tuhan kejam dan hanya mahu memberi kita musibah.
Namun jika kita percaya kepadaNya, sebenarnya Dia mahu menyelamatkan kita dan
ketika itulah kita akan bersyukur dengan musibah yang menimpa. Wallahualam.