11/2/11

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terangjelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
Huraian:
Hadis ini merupakan salah satu pokok syariat Islam. Abu Daud Al-Sijistani berkata "Islam bersumber pada empat hadis". Disebutkan antaranya adalah hadis ini. Para ulama telah bersepakat tentang keagungan dan banyaknya manfaat hadis ini.
Yang Hala dan Yang Haram.
Perkara yang halal dan haram dalam syariat adalah amat jelas.
Yang Halal: Tidak dilarang serta terang hukumnya.
- Makan makanan dari biji-bijian, tumbuh-tumbuhan dan daging haiwan yang halal.
- Minum air susu dan segala minuman yang tidak dilarang.
- Memakai pakaian daripada benang dan bulu yang tidak dilarang.
- Bekerja atau berusaha mencari kehidupan dengan jalan yang tidak dilarang.
Yang Haram : Dilarang serta terang hukumnya.
- Makan bangkai, darah, daging, tulang, lemak dan sepertinya daripada haiwan yang dilarang.
- Minum minuman yang memabukkan.
- Mendedahkan aurat atau memakai sutera bagi lelaki atau memakai pakaian dari sumber yang haram.
- Mencari rezeki daripada jalan yang haram seperti mencuri, merompak, menipu, riba, judi dan sebagainya.
Syubhah: bererti kesamaran. Hukum perkara yang syubhah tidak dapat dipastikan sama ada halal atau haram.
Sebahagian ulama membahagikan shubhah kepada tiga bahagian.
Pertama : Sesuatu yang sudah diketahui manusia haramnya tetapi orang itu masih lagi ragu-ragu akan keharamannya. Contohnya makan daging haiwan yang tidak diketahui cara penyembelihannya. Makan daging haiwan seperti ini menjadi haram kecuali telah terbukti penyembelihannya mengikut syariat.
Kedua: Sesuatu yang halal tetapi masih diragui kepastian halalnya. Seperti seorang lelaki yang mempunyai isteri tetapi masih ragu-ragu adakah dia telah menjatuhkan talak kepada isterinya itu atau belum. Atau adakah isterinya seorang perempuan hamba atau sudah merdeka. Halal semacam ini pada dasarnya adalah harus sehingga sudah jelas haramnya. dasarnya adalah hadis riwayat Abdullah bin Zaid yang ragu-ragu tentang hadas, padahal sebelumnya dia yakin telah bersuci.
Ketiga: Seseorang itu ragu-ragu sama ada sesuatu itu halal atau haram dan tidak ada apa-apa petunjuk yang menunjukkan perkara itu halal atau haram. Hal semacam ini lebih baik dijauhi sepertimana sabda Nabi SAW apabila menjumoai sebiji kurma yang telah jatuh di rumah baginda. lalu baginda bersabda " Kalau saya tidak takut kurma ini adalah barang zakat, sudah tentu saya memakannya". Adapun orang yang mengambil sikap terlalu berhati-hati yang berlebihan seperti tidak mahu menggunakan air bekas yang ternyata masih suci kerana khuatir telah terkena najis, atau tidak mahu solat di tempat yang terdapat bekas air kencing yang telah kering, atau mencuci pakaian yang masih bersih keran khuatir telah terkena najis dan sebagainya. Sikap seperti ini tidak perlu diikuti kerana berlebih-lebihan adalah tanda was-was. Was-was adalah hasil bisikan syaitan.
Kawasan Larangan:
Jika raja atau tuan tanah telah menetapkan kawasan larangan yang tidak boleh dimasuki oleh manusia lain, Allah SWT juga ada kawasan larangan yang tidak boleh dilalui manusia. Kawasan larangan tersebut adalah segala perbuatan maksiat dan tegahan sama ada yang berkaitan dengan diri mahupun yang berhubung dengan kehormatan dan harta benda seperti seperti pembunuhan, penzinaan, kecurian, penindasan, kezaliman dan bermacam keburukan lain.
Hati:
Hati adalah seketul daging dalam tubuh manusia yang menjadi pembentuk hidup seseorang, menggerak dan mengelokkan, mencederakan dan mengawal tingkah laku seseorang. Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ingat kebesaran Allah. Malakukan yang halal, meninggalkan yang haram dan menjauhi yang syubhah, takut jatuh kepada yang haram. Hati yang risak adalah hati yang mudah dipengaruhu nafsu dan hasutan syaitan hingga mudah melakukan maksiat kepada Allah dan meninggalkan suruhanNya.
10/10/11
Jika kita mahu memberi sesuatu kepada seseorang? Wajarkah kita bertanya dahulu bahawa dia mahu atau tidak? Atau kita terus memberinya? Saya berpendapat, tidak perlu bertanya orang itu mahu atau tidak.
Jika kita mahu memberi sesuatu, terus sajalah memberi. Jika kita bertanya, kita seperti mahu tahu reaksi orang tersebut atas pemberian kita. Hal ini seperti kita mengharapkan sesuatu darinya setelah pemberian itu. Bukankah ini mempengaruhi keikhlasan kita untuk memberi. Jika kita benar ikhlas untuk memberi, kita tidak perlu fikirkan apakah reaksi si penerima, jika dia gembira dan menghargainya, kita bersyukur. Jika dia marah tidak menghargainya, kita bersabar. Asalkan kita tahu hal itu betul dan wajar. Apa yang kita perlu fikirkan adalah pahala dari Allah SWT.
Selain itu, jika kita bertanya dahulu sebelum memberi, dikhuatiri kita akan memberi harapan kepada si penerima untuk menerima sesuatu. Sedangkan kita tidak tahu pada masa akan datang kita boleh memberinya atau tidak. Kerana apa sahaja boleh berlaku yang menyebabkan si penerima akan berasa hampa dan kecewa. Ini akan mempengaruhi emosi si penerima dan boleh mewujudkan rasa marah dan geram.
Jadi, untuk memberi, terus sajalah memberi tanpa perlu berfikir reaksi si penerima, kerana kita cuma mahukan ganjaran dari Allah, bukan manusia. Jika kita bertanya, seperti kita takut untuk menerima jika pemberian itu akan membawa sesuatu yang buruk. Kita dituntut bertawakal kepada Allah apabila mahu membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Jadi untuk memberi, bertawakallah pada Allah akan kesannya pada masa akan datang. Kita sendiri boleh berfikir kesan buruk baiknya pemberian itu. Allah sahajalah yang akan memberi ganjaran atau balasan atas semua yang kita lakukan, meskipun ganjaran atau balasan itu berasal dari manusia.
Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali Imran: 159)
10/6/11

Ummul Mukminin, Ummu Abdillah, Aisyah r.anha berkata,
bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa mengada-adakan yang baru(bidaah) dalam urusan(agama) kami ini, amalan yang bukan bahagian daripadanya, dia tertolak." (Riwayat al-Bukhari no. 2550, Muslim no.4586 dan Abu Daud no.4608)
Huraian dan Intisari Hadis.
Hadis ini merupakan salah satu pedoman penting dalam agama Islam dan kalimah pendek yang penuh pengertian yang dikurniakan kepada Nabi SAW.
Hadis ini dengan tegas menolak setiap perkara bidaah dalam setiap perkara(dalam urusan agama) yang direka dan diada-adakan. Sebahagian ahli usul fiqh menjadikan hadis ini sebagai dasar kaedah bahawa setiap yang dilarang dinyatakan sebagai hal yang merosakkan.
Islam adalah agama yang berdasarkan ittibak ( mengikut berdasarkan dalil) dan bukan ibtidak(mengada-adakan sesuatu tanpa dalil) dan Rasulullah SAW telah bersabda menjaganya daripada sikap yang berlebih-lebihan dan mengada-adakan.
Hadis ini patut dihafal,disebarluaskan dan dan digunakan sebagai bantahan kepada kaum yang ingkar, karana isinya mencakup semua hal. Adapun hal-hal yang tidak merupakan pokok agama sehingga tidak dilarang dalam sunnah, maka tidak tercakup dalam larangan ini, seperti menulis Al-Quran dalam mushaf walaupun Rasulullah SAW tidak pernah menulis Al-Quran.
Begitu juga membukukan pendapat para ahli fiqah yang bertaraf mujtahid yang menerangkan alasan masalah-masalah furuk daripada pokoknya, iaitu sabda Rasulullah SAW.
Demikian juga mengarang kitab-kitab nahu, ilmu kiraan faraad dan sebagainya yang semuanya bersandarkan Rasulullah SAW dan perintahnya. Kesemua usaha ini tidak termasuk dalam ancaman hadis tersebut. Malah sebahagian ulama mengistilahkan ianya sebagai bidaah hasanah.
Oleh itu tidaklah dilarang mengada-adakan apa-apa cara atau peraturan baru yang lebih sesuai dengan zaman kontemporari yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW selagi tidak ada keterangan daripada Al-Quran dan hadis yang melarangnya.
10/2/11

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Huraian:Kalimah 1:kalimah "...yang jujur, benar lagi membenarkan" bermaksud Rasulullah SAW adalah seorang yang jujur dan benar. Apa yang diturunkan kepada Baginda adalah benar-benar wahyu Allah.
Sebahagian ulama berkata bahawa kalimah "Sesungguhnya dikumpulkan penciptaan setiap kamu di dalam rahim ibu" ialah pertemuan air mani(sperma) yang terpancar ke dalam rahim, lalu Allah pertemukan dengan telur dalam rahim tersebut selama 40 hari.
Diriwayatkan oleh ibnu Masud bahawa dia mentafsirkan kalimah di atas dengan menyatakan:
Nuthfah yang dipancarkan ke dalam rahim bila Allah mengkehendaki untuk menjadi seorang manusia, maka nutfah itu mengalir dalam seluruh pembuluh darah perempuan hingga sampai kepada kuku dan rambut kepalanya.
Kemudian tinggal selama 40 hari lalu berubah menjadi darah yang terletak didalam rahim. Itulah yang dimaksudkan dengan "..dikumpulkan penciptaan setiap kamu". Setelah 40 hari, nuthfah kemudia menjadi 'alaqah(segumpal darah).
Kalimah 2:Kalimah "...kemudia diutuskan malaikat untuk diutuskan malaikat kepadanya" ialah malaikat yang mengurus rahim.
Kalimah 3:Kalimah "...ada seorang antara kamu melakukan amalan syurga" menunjukkan orang tersebut melakukan amalan yang benar dan amalan itu benar-benar mendekatkan pelakunya ke syurga hingga jarak antara orang itu dengan syurga cuma sehasta.Malangnya telah berlaku takdir ke atas dirinya hingga dia melakukan perbuatan ahli neraka. Perhitungan semua amal baik bergantung pada apa yang telah kita lakukan. Akan tetapi apabila ternyata pada akhir tertutup dengan amal yang buruk, naka seperti yang dinyatakan seperti dalam hadis,
"Segala amal perhitungan bergantung pada amal terakhirnya"
maksudnya situasi ini terbatas untuk orang tertentu dan amalan tertentu sahaja.
Adapun hadis yang disebut oleh imam Muslim dalam kitabul iman daripada kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Seseorang melakukan amalan ahli syurga pada pandangan manusia tapi sebenarnya dia ahli neraka"
Ini bermakna perbuatan yang dilakukan orang itu pada dasarnya tidak benar dan dilakukan untuk mendapat pujian dan untuk menjadi terkenal. Hadis tersebut menunjukkan bahawa yang perlu dilihat adalah niat si pelakunya dan bukan zahir perbuatannya. Orang yang selamat daripada rayak adalah semata-mata daripada kurniaan dan rahmat Allah.
Kalimah 4:Kalimah '..Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, ada seorang antara kamu yang melakukan amalan ahli syurga...lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka hingga dia masuk ke dalamnya" adalah satu kejadian yang jarang-jarang berlaku dan ia bukanlah hal yang umum. Perkara ini adalah disebabkan kemurahan, keluasan dan rahmat Allah kepada manusia hingga apa sahaja perkara buruk yang terjadi kepada manusia menjadi baik. Amat jarang-jarang sekali orang yang baik berubah menjadi tidak baik. Segala puji dan kurniaan adalah milik Allah semata-mata.
Pendirian ahli sunnah wal jamaah tentang takdir Allah ialah "segala kejadian yang berlaku adalah ketentuan Allah dan takdirNya" sama ada dalam hal kebaikan dan keburukan atau dalam keadaan yang bermanfaat dan merbahaya.
firmah Allah:

"Dan Dia(allah) tidak diminta bertanggungjawab atas segala tindakan-Nyatetapi mereka yang diminta bertanggungjawab"
(Surah Al Anbia': ayat 23)
Kita tak dapat memastikan seseorang itu akan masuk syurga atau neraka berdasarkan amalannya didunia ini.
Kita juga tidak boleh berbangga dan terlalu yakin dengan amalan yang kita lakukan di dunia ini kerana kita tidak tahu apakah kesudahan kita kelak.
Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi, Ust Zahazan Mohamad dan Ust Mohammad Zakaria
9/28/11
Andai aku pergi tak kembali
Terima kasih aku ucapkan
Untuk mak dan abah yang ku cintai
Membesarkanku penuh sabar dan cekal
Jasamu hanya mampu dibalas rabbi
Andai aku pergi tak kembali
Kepada kawan kawan yang kukenali
Dan yang mengenali diri ini
Mengenali anda adalah anugerah Ilahi
Menambah suka dukaku berjalan di bumi
Sedihku ada yang menemani
Gelakku ada yang sertai
Andai aku pergi tak kembali
Tiadalah yang aku kesal
Kerana aku sudah punya semua
Keluarga yang bahagia
Kenalan yang pelbagai ragam
Membawa diri mengenal erti hidup
Yang penuh warna warni
Andai aku pergi tak kembali
Maafkanlah aku
Jika kupunya musuh
Aku punya kurang yang nyata
Tak mampu memuaskan hatimu
Kerana aku hanya hamba yang lemah
Yang juga meminta dari yang Maha Sempurna
Jadi mintalah kepada Dia
Andai aku pergi tak kembali
Aku akan gembira
Kerana punya mak
Doanya tidak terhijab
Yang boleh mendoakan aku di sana
Berada di kalangan orang yang soleh
Andai aku perhi tak kembali
Sedikit kekesalan
Tiada doa anak yang soleh
Yang boleh menemaniku kelak
Namun rahmat Allah itu luas
Semoga kekurangan ini ada kelebihannya.
Andai aku pergi tak kembali
Izinkan diri ini
Menyusun sepuluh jari
Memohon maaf atas khilaf
Itulah manusia
Izinkan ku pergi
Berehat dari kepenatan dunia
Menuju kepada rahmat Ilahi
12:13am...28/september/2011
Sekadar cubaan....
9/24/11

Alhamdulillah,saya baru sahaja tamat membaca buku La Tahzan, karangan Dr 'Aidh Alqarni. Setelah 6 bulan membelinya, baru hari ni saya berjaya tamatkannya. Benar saya malas membaca, dan saya tidak istiqamah untuk terus membaca. Kelemahan ini sungguh sukar diatasi dan saya sedang mencuba. Lebih-lebih lagi buku seperti ini yang hanya memuatkan tulisan satu warna tanpa imej dan tiada illustrasi yang menarik. Tentulah saya cepat jemu. Apa yang mendorong saya untuk meneruskan pembacaan adalah saranan beberapa ustaz seperti Ust. Zahazan dan Dr Asri yang menggalakkan membacanya untuk mengambil iktibar dan mendidik hati. Jadi saya memaksa diri menghabiskannya.
Tidak dinafikan dan tak boleh disangkal, buku ini banyak memberi input yang berguna. Kata-kata yang indah, memujuk, mengajak dan memberitahu kita betapa apa yang ada di sisi kita sebenarnya sudah lebih dari apa yang kita pinta. Betapa manusia sering bersedih apabila tidak mendapat sesuatu hingga lupa untuk bersyukur dengan apa yang ada. Betapa teruknya penyakit yang melanda hati ini hingga selalu membuatkan rasa gelisah,risau,gundah gulana,sedih,hati sempit dan tidak tenang.
Perasaan takut yang sia-sia.
Manusia selalu takut dengan apa yang akan terjadi esok. Sedangkan hal itu belum tentu akan berlaku. Akibatnya kita sering mengundang keresahan yang sia-sia. Sedih pada yang belum tentu. Kajian membuktikan apa saja perkara akan datang yang menghantui manusia kebanyakkannya tidak akan berlaku. Jadi mengapa bersedih? Jika perkara itu sedah berlaku sekalipun, ia tetap sudah berlaku. Bagaimana kesedihan yang kita alami langsung tidak akan mengubah perkara sedih itu menjadi gembira. Jadi mengapa bersedih? Kesedihan akan mengundang penyakit, menggembirakan musuh dan menambah beban.
Ini bukanlah bermakna kita langsung tidak boleh bersedih. Bersedih adalah fitrah manusia apabila ditimpa musibah. Rasulullah SAW sendiri mengalirkan air mata kesedihan ketika kematian Khadijah dan Abu Talib. Apa yang menjadi masalah adalah rasa sedih yang mewujudkan rasa putus asa dengan hidup dan hilang rasa redha dengan kehendak Allah yang maha berkehendak. Kesedihan yang membawa bencana kepada diri dan orang lain. Ketidakupayaan manusia mengawal kesedihan membuatkan manusia itu mensia-siakan nikmat Allah yang sedia ada dan sekaligus menjadi kufur dengan nikmat itu. Nauzubillah.
Rahmat Allah itu maha luas dan sentiasa menanti mereka yang mahu mencarinya. Tanpa jemu dan lelah. Allah SWT sedang menanti hambaNya yang mahu merintih di sepertiga malam. Memohon dengan kerendahan diri yang hina untuk mendapat perlindungan Yang Maha Agung. Kita selalu mahu meminta pada manusia yang pada hakikatnya tak punya apa-apa. Tapi kita lupa nak meminta nak meminta pada yang mempunyai segala-galanya. Kita selalu berharap pada manusia, akibatnya kita selalu kecewa kerana manusia tak kekal bersama kita, tapi kita lupa berharap pada yang kepadanyalah semua makhluk bergantung harap. Dan harapan makhluk tidak ada yang hampa apabila disandarkan kepadaNya.

"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
(At-Taubah : Ayat 40)
9/11/11

"Islam didirikan atas lima perkara iaitu: Bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan ramadhan"
(Riwayat al-Bukhari Kitab Al-Imam no.8 Muslim al-Imam no.16)
Huraian Islam Ibarat bangunan:Rasulullah SAW menyamakan Islam umpama bangunan yang kukuh dan tegak di atas tiang-tiang yang mantap.
1. Kalimah SyahadahKalimah Syahadah tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya serta membenarkan kenabian Muhammad SAW merupakan hal yang paling asas berbanding rukun-rukun yang lain.
2. Dirikan SolatUmat Islam dituntut memdirikan solat dengan sempurna dengan syarat dan rukunnya, adab-adabnya dan sunnah-sunnahnya agar dapat merasakan kemanisan buahnya dalam diri seorang Muslim.
3. Keluarkan zakatWajib mengeluarkan zakatdaripada harta orang kaya yang telah cukup nisab(kuantiti) dan haul(tempoh) lalu memberikannya kepada asnaf(yang layak menerima)
4. Tunaikan HajiWajib menunaikan Haji ke Mekkah bagi yang mampu.
5. Puasa.Wajib berpuasa pada bulan ramadhan.
Sesiapa yang mengingkari salah satu daripada satu rukun ini, dia bukan dari kalangan seorang Muslim mengikut Ijtimak Ulama.
Sumber Huraian: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed, Muhammad Zakaria
9/5/11

Kita semua ada sifat mahu menolong. Itu baik. Manusia bersifat tak sempurna. Bantu membantu akan menjadikan hidup ini lebih baik dan indah. Kita juga adakalanya memerlukan pertolongan orang lain dalam sesuatu hal yang bukan kepakaran kita. Demikian pula sebaliknya. Maka sifat ingin menolong dijadikan Allah dalam diri manusia sebagai bukti keadilan Allah yang Maha Adil. Apabila kita melihat seseorang dalam kesusahan atau punya kekurangan, ada terasa ingin membantu dan mengisi kekurangan itu. Maka kita bantu sehingga kekurangan itu hilang dan orang lain akan merasa bahagia.
Namun dalam membantu juga ada batas yang perlu dilihat dan diambil perhatian. Orang yang membantu tidak bolah memudaratkan diri sendiri ketika bantuan sedang diberi. Jika kita sedar diri sedang terisiko dalam memberi bantuan, eloklah menghindarkan diri dan bantulah dalam lingkungan kemampuan kita. Kerana mudarat yang kita dapat semasa memberi bantuan mungkin boleh merosakkan diri dan akhirnya kita tidak boleh lagi memberi bantuan bukan sahaja pada seorang individu, malah kepada individu lain.
Al Misal kita mengambil situasi keselamatan dalam sebuah kapal terbang, Anak kapal akan sentiasa mengingatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan. Semasa memakai alat bantuan pernafasan, penjaga perlu memakaikan alat itu pada dirinya dahulu sebelum membantu orang yang berada dalam jagaannya. Kita lihat hal ini seperti mementingkan diri sendiri, tetapi inilah cara yang paling efektif supaya penjaga itu boleh terus membantu orang yang di bawah jagaan mereka. Jika ada apa-apa berlaku kepada penjaga tersebut akibat mementingkan orang dibawah jagaannya, tentulah terputus bantuan penjaga ini terhadap mereka di bawah jagaannya dan mudarat ini adalah lebih besar.
Manusia yang paling suka membantu yang pernah kita dengar adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ummatnya dalam keadaan jahil dan mahu membantu ummatnya kembali ke jalan Ilahi semampu beliau. Rasulullah SAW sanggup melakukan apa jua cara asalkan ummatnya faham apa yang disampaikannya. Sehingga sampai satu tahap Musyrikin Mekah mahu membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk bertukar agama buat dalam satu tempoh. Rasulullah hampir bersetuju dengan pertukaran ini kerana secara logiknya mungkin pihak Musyrikin akan merasai kebenaran agama Islam semasa mereka menganut Islam dalam masa yang telah ditetapkan. Namun Allah SWT yang maha bijaksana dan sentiasa memelihara Nabi SAW sebagai kekasihNya memberi jawapan dan menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan tegas kepada tawaran musyrikin Mekah. Bagimu agamanu dan bagiku agamaku.
Jadi dapat kita lihat terdapat batas yang perlu diambil kira dalam membantu manusia. Selagi mana bantuan itu tidak memudaratkan diri dan tidak menjadi maksiat kepada Allah, kita boleh membantu. Tetapi jika bantuan itu membuatkan kita hanyut dan semakin jauh dari Allah SWT, eloklah kita hindarkan dan serahkanlah kepada Allah sebagai sebaik-baik pembantu. Bak kata pepatah "Buat baik berpada-pada".
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
[Al-Ma’idah : 2]
9/3/11
"Ramai orang yang dikurniakan hidayah(petunjuk dalam bentuk ilmu),tapi sedikit sahaja yg dikurniakan taufiq(kekuatan untuk melaksanakannya)"
--->mmbmy
Published with Blogger-droid v1.7.4
8/23/11
Pada malam 16 ogos, 17 Ramadhan. Pak Njang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital JB. Aku hanya boleh mendengar dari jauh berita ini. Pak Njang masuk ICU selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkab paru-paru beliau rosak. Cedera dalaman ini akhirnya merebak menjadi punca Pak Njang pergi. Terasa sedih dan sayu tak dapat berjumpa Allahyarham buat kali terakhir. Kali terakhir berjumpa beliau semasa hari Allahyarhamah wan meninggal dunia. Nampaknya Pak Njang adalah anak wan yang paling awal menyusul pemergian wan. Lebih 2 bulan wan pergi, Pak Njang juga turut serta menyahut panggilanNya. Semoga Roh Pak Njang dan Wan tenang di sana dan ditempatkan di tempat orang2 solah dan solehah. Hanya doa dan solat jenazah ghaib pari jauh saya kirimkan. Takziah untuk keluarga Pak Njang. Mak Njang, Ain, Faiz dan Along Azee. Mungkin hari saya juga akan tiba kelak. Semoga ketika itu saya telah bersedia.
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”-Surah Ali Imran: Ayat 185
7/29/11

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:
Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346).
Pokok Perbincangan Hadis :
1) Kedudukan hadis ini - ibu kepada hadis-hadis lain.
mengandungi penjelasan Din secara keseluruhannya.
2) Islam - terangkum ibadat badani/ lisani/ maali/ badani wa maali.
3) Iman - asal iman/ iman dan islam/ qaul - amal juga sebahagian dari iman.
hadis Imatotul atza - tolak pendapat Al Murji’ah. iman kepada qadho’ dan qadar………..
4) Membezakan antara sifat Allah dengan sifat makluk…cth. Ilmu Allah…
5) Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat..
6) Sifat-sifat Jilbril (Ruh Al-Amiin) : rupa asal - 2 kali
- tahun ketiga dilantik menjadi rasul - di langit
- semasa isra’ dan mi’raj - mempunyai enam ratus sayap.
Pengajaran hadis:
Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawie atau bersifat Rabbaanie, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.
Hadis ini menerangkan tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ehsan. Rukun lslam lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullahilharam. Rukun lman enam perkara iaitu percaya atau beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari Qiamat dan beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam, menyempurnakan tuntutan rukun iman dan sifat ehsan. lslam tidak sempurna kalau hanya diambil dari segi zahir sahaja, atau batin sahaja atau aspek kerohanian semata-mata. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya.
llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya. Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah SAW untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.
Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusiapun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah SAW. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah SWT. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.
Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri, yang menjadi hamba kepada anaknya. Di akhir zaman juga berlaku peristiwa si-miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.
7/1/11

Allah yang menguasai segala yang ghaib..Manusia hanya mampu mentafsir dan melihat bukti kekuasaannya berdasarkan yang mereka alami hari ini. Manusia hanya mampu menjangka masa hadapan berdasarkan apa yang berlaku semalam. Dengan pandangan yang sungguh terhad, kita tidak mampu berfikir dan melihat dengan lapang. Allah berpesan supaya kita sentiasa berbaik sangka kepadaNya. Allah mahu kita bergantung padanya. Allah mahu kita menyerahkan segala urusan kita kepadaNya. Dengan itu barulah Allah akan memberi apa yang kita mahu.
Ketika kita diuji dengan keyakinan ini, kita akan ragu-ragu benarkah Allah akan memakbulkan permintaan kita. Kita akan ragu-ragu adakah Allah mendengar doa kita. Kita akan ragu-ragu adakah Allah sedang menguruskan urusan kita. Keraguan ini mendatangkan kesedihan dan kegusaran dalam hati. Sempit hingga sukar bernafas. Sungguh kesabaran dan keyakinan kepadaNya sedang terumbang ambing. Ketika itu persoalan buruk akan timbul dalam diri. Hasil hasutan syaitan yang sentiasa menanam rasa ragu-ragu dalam hati. Adakah aku perlu berputus asa?
Itulah rona-rona hidup, iman itu sedang diuji. Kuncinya sabar dan yakin. Kerana kita berbeza dengan mereka. Mereka sedang diberi kenikmatan. Mungkin mereka juga sedang diuji dengan nikmat itu. Kita tak sedar dengan nikmat yang kita ada. Allah nak kita bersyukur dengan apa yang ada, kemudian barulah Dia akan tambah. Kita tak tahu apa yang terjadi hari tahun depan. Tak tahu ape terjadu bulan depan, tak tahu ape akan terjadi minggu depan, tak tahu apa akan terjadi minggu depan, tak tahu apa akan terjadi esok, tak tahu apa akan terjadi barang sesaat akan datang. Mungkin sebentar lagi giliran kita diuji dengan nikmat dan musibah.
Islam ertinya berserah diri. Serahkan segala-galanya pada Dia. Dialah sebaik-baik perancang. Apa yang penting kita tahu apa yang kita nak, kita usaha dan usaha dengan sabar. Dan bersangka baik dengan Allah. Ini tak semudah kata-kata yang sedang ditulis. Ketika menjalaninya terasa sangat lemah dan tak berdaya. Kerana itu ia dipanggil ujian. Apabila kecewa kita akan bersedih. Adakah aku sedang berputus asa? Segeralah katakan TIDAK. Karana rahmat Allah itu luas. Sedangkan kita belum cukup berdoa dan menangis meminta. Pinta dan terus pinta. Bersabarlah dengan kelemahan itu. Yakinlah dengan apa yang dipinta. Selagi itu sesuatu yang baik. Cubalah untuk yakin Allah sedang mendengarnya dan sedang menguruskannya. Meskipun kita sudah tidak melihat harapannya lagi. Teruslah berharap pada Allah. Cukuplah Allah untukku. Sebaik-baik pembantu dan penolong urusanku.

Sabar je la..Sabar dan sabar ye..