Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Tawakkal yang tak mudah difahami

12/12/12


Tawakkal atau berserah diri mungkin mudah kita faham maksudnya, tapi tak semudah pelaksanaan dalam hidup. Dulu semasa di sekolah, selepas tamat exam, ramai yang cakap "dah usaha, tawakkal je la". Maka dulu maksud tawakkal hanya difahami bila dah usaha. Apabila kononnya dah bertungkus lumus belajar, tiba masa untuk bertawakkal. Tapi setelah kita meningkat dewasa, pandangan kita makin luas, pengertian hidup juga semakin mendalam, saya dapati maksud tawakkal nampaknya lebih dari 'berserah selepas berusaha'.

Baru-baru ini Labuan dikunjungi oleh seorang pendakwah bernama Ust Fadli Yusof. Beliau berkongsi tentang pengalamannya berdakwah di Pensiangan Sabah. Satu kawasan pedalaman yang memerlukan masa 6 jam untuk ke sana dari bandar besar. Sungguh saya kagum dengan kekentalan jiwa pendakwah ini sanggup mengharungi kesusahan untuk menyampaikan risalah Allah. Sungguh Allah telah membekalkan beliau jiwa besar yang sukar saya gambarkan. Dalam mengharungi jalan dakwahnya, ada yang bertanya dari mana beliau dapat sumber kawangan? jawapan beliau mudah, dari sumbangan orang ramai melalui iklan yang beliau buat di facebook dan blog. Selain itu, beliau tiada kerjaya lain. Jadi bagaimana beliau menyara keluarga? Jawab beliau juga melalui sumbangan itu. Pernah juga beliau kekurangan duit tiket flight untuk pulang ke semenanjung.

Saya kembali berfikir tentang diri sendiri. Setiap hari saya bekerja untuk menyimpan wang kononnya untuk kegunaan masa hadapan. Itulah yang sering di momokkan oleh orang sekeliling. Nampaknya Ust Fadli Yusof tidak begitu. Beliau langsung tak risau tentang simpanan wang. Kadang kala saya sendiri ketawa kerana kita selalu kata menyimpan untuk masa depan, tapi kita tak tahu pun esok adakah kita masih bernyawa. Saya selalu teragak-agak untuk menderma, risau jika saya dermakan semua, tiadalah lagi untuk saya. Tapi Ust Fadli Yusof tidak begitu. Beliau tak teragak-agak untuk menggunakan semua miliknya selagi dalam ruang kemampuan beliau.

Selalu saya dan rakan-rakan berborak tentang umrah. Kami berpendapat kalau nak pergi umrah, biarlah kewangan kami kukuh dahulu. Walaupun duit dah cukup, kalau guna semuanya untuk umrah, lepas balik umrah nanti rasa 'sesak'. Maksud sesak itu mungkin kekurangan dalam perbeanjaan. Tapi bila difikirkan dalam diri saya ketika itu wujud rasa tak yakin dengan rezeki yang Allah bagi. Wujud rasa kedekut dengan Allah, yang empunya rezeki. Aduh sungguh kasihan dengan diri sendiri. Adakah Allah akan membiarkan hambaNya yang membelanjakan rezeki pemberianNya untuk ke rumahNya. Sudah tentu tidak!!!

Saya pernah keliru dengan tindakan seorang rakan yang kuat ikut jemaah tabligh. Dia sanggup ke India untuk keluar 40 hari hingga terlepas peluang temuduga guru. Ketika itu saya berpendapat habislah peluang kerjayanya. Tapi akhirnya dia berjaya dalam temuduga kedua dan berjaya menjadi guru. Ketika itu saya dapat sebenarnya rakan saya itu memahami konsep tawakkal yang lebih dalam dan sukar saya fahami.

Jika dilihat dalam sirah. Tawakkal Nabi SAW dan para sahabat juga tiada tolok bandingnya. Menyerahkan segala-galanya untuk agama. Penyerahan mereka secara total menyebabkan mereka tak pernah risau dengan rezeki. Malah sentiasa cukup dengan apa yang telah dikurniakan. Biarpun sedikit, tetap cukup. Berbeza dengan hidup kita hari ini. Biarpun banyak, masih rasa mahu tambah dan tambah, kemudian risau apa yang ada akan hilang. Ya Allah, ampunkanlah kelalaian hambaMu ini.

Seorang tuan haji pernah nasihatkan saya "Tawakkal itu bukan selepas usaha, sebelum usaha lagi dah tawakkal". Sebelum Ust Fadil mengakhiri kuliahnya, beliau sempat berkongsi cerita tentang perihal anaknya yang bertanya "ayah nak pergi jauh-jauh ni ada duit ke?". Beliau bertanya kembali kepada anaknya "kalau ayah suruh kamu pergi kedai beli barang, ayah suruh dengan tangan kosong je ke?Mesti ayah bagi kamu duit kan?". Anaknya mengangguk. "Begitu juga Allah, jika Allah suruh ayah berdakwah, Allah takkan biar ayah pergi dengan tangan kosong, mesti Allah akan bagi bekalan nanti". Begitulah hebatnya tawakkal beliau. Suatu hari nanti aku berharap mampu memahami dan mempraktikkannya dalam hidup ini.
Posted by Insan Biasa at 12:22 AM 1 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png