Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Andai aku pergi tak kembali....

9/28/11


Andai aku pergi tak kembali

Terima kasih aku ucapkan

Untuk mak dan abah yang ku cintai

Membesarkanku penuh sabar dan cekal

Jasamu hanya mampu dibalas rabbi


Andai aku pergi tak kembali

Kepada kawan kawan yang kukenali

Dan yang mengenali diri ini

Mengenali anda adalah anugerah Ilahi

Menambah suka dukaku berjalan di bumi

Sedihku ada yang menemani

Gelakku ada yang sertai


Andai aku pergi tak kembali

Tiadalah yang aku kesal

Kerana aku sudah punya semua

Keluarga yang bahagia

Kenalan yang pelbagai ragam

Membawa diri mengenal erti hidup

Yang penuh warna warni


Andai aku pergi tak kembali

Maafkanlah aku

Jika kupunya musuh

Aku punya kurang yang nyata

Tak mampu memuaskan hatimu

Kerana aku hanya hamba yang lemah

Yang juga meminta dari yang Maha Sempurna

Jadi mintalah kepada Dia


Andai aku pergi tak kembali

Aku akan gembira

Kerana punya mak

Doanya tidak terhijab

Yang boleh mendoakan aku di sana

Berada di kalangan orang yang soleh


Andai aku perhi tak kembali

Sedikit kekesalan

Tiada doa anak yang soleh

Yang boleh menemaniku kelak

Namun rahmat Allah itu luas

Semoga kekurangan ini ada kelebihannya.


Andai aku pergi tak kembali

Izinkan diri ini

Menyusun sepuluh jari

Memohon maaf atas khilaf

Itulah manusia

Izinkan ku pergi

Berehat dari kepenatan dunia

Menuju kepada rahmat Ilahi


12:13am...28/september/2011

Sekadar cubaan....

Bedah Buku : La Tahzan

9/24/11


Alhamdulillah,saya baru sahaja tamat membaca buku La Tahzan, karangan Dr 'Aidh Alqarni. Setelah 6 bulan membelinya, baru hari ni saya berjaya tamatkannya. Benar saya malas membaca, dan saya tidak istiqamah untuk terus membaca. Kelemahan ini sungguh sukar diatasi dan saya sedang mencuba. Lebih-lebih lagi buku seperti ini yang hanya memuatkan tulisan satu warna tanpa imej dan tiada illustrasi yang menarik. Tentulah saya cepat jemu. Apa yang mendorong saya untuk meneruskan pembacaan adalah saranan beberapa ustaz seperti Ust. Zahazan dan Dr Asri yang menggalakkan membacanya untuk mengambil iktibar dan mendidik hati. Jadi saya memaksa diri menghabiskannya.

Tidak dinafikan dan tak boleh disangkal, buku ini banyak memberi input yang berguna. Kata-kata yang indah, memujuk, mengajak dan memberitahu kita betapa apa yang ada di sisi kita sebenarnya sudah lebih dari apa yang kita pinta. Betapa manusia sering bersedih apabila tidak mendapat sesuatu hingga lupa untuk bersyukur dengan apa yang ada. Betapa teruknya penyakit yang melanda hati ini hingga selalu membuatkan rasa gelisah,risau,gundah gulana,sedih,hati sempit dan tidak tenang.

Perasaan takut yang sia-sia.

Manusia selalu takut dengan apa yang akan terjadi esok. Sedangkan hal itu belum tentu akan berlaku. Akibatnya kita sering mengundang keresahan yang sia-sia. Sedih pada yang belum tentu. Kajian membuktikan apa saja perkara akan datang yang menghantui manusia kebanyakkannya tidak akan berlaku. Jadi mengapa bersedih? Jika perkara itu sedah berlaku sekalipun, ia tetap sudah berlaku. Bagaimana kesedihan yang kita alami langsung tidak akan mengubah perkara sedih itu menjadi gembira. Jadi mengapa bersedih? Kesedihan akan mengundang penyakit, menggembirakan musuh dan menambah beban.

Ini bukanlah bermakna kita langsung tidak boleh bersedih. Bersedih adalah fitrah manusia apabila ditimpa musibah. Rasulullah SAW sendiri mengalirkan air mata kesedihan ketika kematian Khadijah dan Abu Talib. Apa yang menjadi masalah adalah rasa sedih yang mewujudkan rasa putus asa dengan hidup dan hilang rasa redha dengan kehendak Allah yang maha berkehendak. Kesedihan yang membawa bencana kepada diri dan orang lain. Ketidakupayaan manusia mengawal kesedihan membuatkan manusia itu mensia-siakan nikmat Allah yang sedia ada dan sekaligus menjadi kufur dengan nikmat itu. Nauzubillah.

Rahmat Allah itu maha luas dan sentiasa menanti mereka yang mahu mencarinya. Tanpa jemu dan lelah. Allah SWT sedang menanti hambaNya yang mahu merintih di sepertiga malam. Memohon dengan kerendahan diri yang hina untuk mendapat perlindungan Yang Maha Agung. Kita selalu mahu meminta pada manusia yang pada hakikatnya tak punya apa-apa. Tapi kita lupa nak meminta nak meminta pada yang mempunyai segala-galanya. Kita selalu berharap pada manusia, akibatnya kita selalu kecewa kerana manusia tak kekal bersama kita, tapi kita lupa berharap pada yang kepadanyalah semua makhluk bergantung harap. Dan harapan makhluk tidak ada yang hampa apabila disandarkan kepadaNya.

"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

(At-Taubah : Ayat 40)

Hadis ke-3 : Rukun Islam yang Lima

9/11/11


"Islam didirikan atas lima perkara iaitu: Bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan berpuasa pada bulan ramadhan"
(Riwayat al-Bukhari Kitab Al-Imam no.8 Muslim al-Imam no.16)

Huraian
Islam Ibarat bangunan:
Rasulullah SAW menyamakan Islam umpama bangunan yang kukuh dan tegak di atas tiang-tiang yang mantap.

1. Kalimah Syahadah
Kalimah Syahadah tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya serta membenarkan kenabian Muhammad SAW merupakan hal yang paling asas berbanding rukun-rukun yang lain.

2. Dirikan Solat
Umat Islam dituntut memdirikan solat dengan sempurna dengan syarat dan rukunnya, adab-adabnya dan sunnah-sunnahnya agar dapat merasakan kemanisan buahnya dalam diri seorang Muslim.
3. Keluarkan zakat
Wajib mengeluarkan zakatdaripada harta orang kaya yang telah cukup nisab(kuantiti) dan haul(tempoh) lalu memberikannya kepada asnaf(yang layak menerima)

4. Tunaikan Haji
Wajib menunaikan Haji ke Mekkah bagi yang mampu.

5. Puasa.
Wajib berpuasa pada bulan ramadhan.

Sesiapa yang mengingkari salah satu daripada satu rukun ini, dia bukan dari kalangan seorang Muslim mengikut Ijtimak Ulama.

Sumber Huraian: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed, Muhammad Zakaria

Batasan Dalam Membantu Manusia

9/5/11


Kita semua ada sifat mahu menolong. Itu baik. Manusia bersifat tak sempurna. Bantu membantu akan menjadikan hidup ini lebih baik dan indah. Kita juga adakalanya memerlukan pertolongan orang lain dalam sesuatu hal yang bukan kepakaran kita. Demikian pula sebaliknya. Maka sifat ingin menolong dijadikan Allah dalam diri manusia sebagai bukti keadilan Allah yang Maha Adil. Apabila kita melihat seseorang dalam kesusahan atau punya kekurangan, ada terasa ingin membantu dan mengisi kekurangan itu. Maka kita bantu sehingga kekurangan itu hilang dan orang lain akan merasa bahagia.

Namun dalam membantu juga ada batas yang perlu dilihat dan diambil perhatian. Orang yang membantu tidak bolah memudaratkan diri sendiri ketika bantuan sedang diberi. Jika kita sedar diri sedang terisiko dalam memberi bantuan, eloklah menghindarkan diri dan bantulah dalam lingkungan kemampuan kita. Kerana mudarat yang kita dapat semasa memberi bantuan mungkin boleh merosakkan diri dan akhirnya kita tidak boleh lagi memberi bantuan bukan sahaja pada seorang individu, malah kepada individu lain.

Al Misal kita mengambil situasi keselamatan dalam sebuah kapal terbang, Anak kapal akan sentiasa mengingatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan. Semasa memakai alat bantuan pernafasan, penjaga perlu memakaikan alat itu pada dirinya dahulu sebelum membantu orang yang berada dalam jagaannya. Kita lihat hal ini seperti mementingkan diri sendiri, tetapi inilah cara yang paling efektif supaya penjaga itu boleh terus membantu orang yang di bawah jagaan mereka. Jika ada apa-apa berlaku kepada penjaga tersebut akibat mementingkan orang dibawah jagaannya, tentulah terputus bantuan penjaga ini terhadap mereka di bawah jagaannya dan mudarat ini adalah lebih besar.

Manusia yang paling suka membantu yang pernah kita dengar adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ummatnya dalam keadaan jahil dan mahu membantu ummatnya kembali ke jalan Ilahi semampu beliau. Rasulullah SAW sanggup melakukan apa jua cara asalkan ummatnya faham apa yang disampaikannya. Sehingga sampai satu tahap Musyrikin Mekah mahu membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk bertukar agama buat dalam satu tempoh. Rasulullah hampir bersetuju dengan pertukaran ini kerana secara logiknya mungkin pihak Musyrikin akan merasai kebenaran agama Islam semasa mereka menganut Islam dalam masa yang telah ditetapkan. Namun Allah SWT yang maha bijaksana dan sentiasa memelihara Nabi SAW sebagai kekasihNya memberi jawapan dan menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan tegas kepada tawaran musyrikin Mekah. Bagimu agamanu dan bagiku agamaku.

Jadi dapat kita lihat terdapat batas yang perlu diambil kira dalam membantu manusia. Selagi mana bantuan itu tidak memudaratkan diri dan tidak menjadi maksiat kepada Allah, kita boleh membantu. Tetapi jika bantuan itu membuatkan kita hanyut dan semakin jauh dari Allah SWT, eloklah kita hindarkan dan serahkanlah kepada Allah sebagai sebaik-baik pembantu. Bak kata pepatah "Buat baik berpada-pada".

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
[Al-Ma’idah : 2]

Testing blog from android

9/3/11

"Ramai orang yang dikurniakan hidayah(petunjuk dalam bentuk ilmu),tapi sedikit sahaja yg dikurniakan taufiq(kekuatan untuk melaksanakannya)"
--->mmbmy
Published with Blogger-droid v1.7.4

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png