Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Cabaran Guru : Ke Arah Pendidikan Berkualiti Dunia dan Akhirat

5/21/08

Umum mengutahui masyarakat kini dilanda arus gelombang globalisasi yang sukar untuk ditafsirkan baik buruknya. Setiap lapisan mempunyai masalah sosial yang hampir sama terutama golongan remaja. Budaya hedonisme dan pelbagai lagi ‘ism’ barat di agung-agungkan. Maka puaslah pakar-pakar mengkaji hingga ke akar umbi punca masalah ini seterusnya pelbagai cara telah dicadangkan. Antara pihak yang dipertanggungjawabkan dalam untuk mengubat keadaan ini adalah pihak sekolah dan individu yang terlibat tentulah seorang guru. Sekolah adalah tempat penyebaran ilmu secara khususnya. Tetapi di sekolah jualah tempat bermulanya pelajar-pelajar mengetahui dan memahami institusi sosial untuk diamalkan dalam masyarakat.
Kita sering tertanya-tanya, apakah yang terjadi dengan sistem pendidikan kita. Mengapa sistem pendidikan kita tidak mampu melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi intelek dan rohani dan jika ada, golongan ini cuma sedikit. Pelajar hanya mempelajari pelbagai teori nilai murni dari tetapi tidak secara praktikal. Pelajar boleh mendapat markah yang cemerlang dalam subjek agama tetapi akhirnya kecundang di lembah penyeludupan. Kebijaksanaan mereka seolah-olah di batasi oleh sesuatu yang telah lama tersimpan dalam jiwa masyarakat dan amat susah untuk dibuang. Jawapannya ada pada sistem pendidikan kita sendiri. Jika dilihat dengan mata kasar, kita sendiri tidak perasan bagaimana sistem pendidikan kita telah dipengaruhi oleh sistem sekular yang memakan masyarakat dalam diam.
Sejarah telah membuktikan bagaimana penjajah berjaya membawa ideologi sekular secara senyap. Bermula dengan pengenalan sistem residen yang memisahkan pentadbiran dengan agama. Soal agama dan adat hanya dikuasai oleh sultan. Walaupun ini nampak baik dan tanda tolak ansur penjajah, tetapi di sinilah bermulanya kejayaan penjajah memisahkan agama dengan hidup masyarakat. Maka kesannya kita mula rasai pada hari ini. Sistem pendidikan kita menggunapakai pelbagai teori-teori pemikiran barat seperti Sigmund Freud, Brunner, Bloom, Ausubel, Vygotsky, Piaget yang kebanyakannya kafir dan atheis(tidak percaya Tuhan) berbanding tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Khaldun, dan Imam Al-Ghazali. Kurikulum yang berkiblatkan tokoh-tokoh barat hanyalah berasaskan pemikiran akal manusia dan tiada panduan wahyu. Akhirnya kita hanyut mengagumi pemikiran ini dan benar-benar meninggalkan agama ke belakang.
Maka kini kita melihat bagaimana hasil pengamalan teori ini menghasilkan masyarakat sekular yang semakin meningkat bilangannya. Tidak dinafikan pendidikan kita banyak melahirkan ramai tokoh intelektual yang boleh dibanggakan. Tetapi tidak ramai yang mengamalkan nilai murni Islam seperti yang dipelajari. Hal ini kerana kebiasaan seperti yang di alami semasa pembelajaran mereka iaitu memisahkan agama dengan kehidupan harian. Agama hanya diamalkan ketika majlis-majlis tertentu seperti nikah, kenduri doa selamat, kenduri kahwin dan kematian. Soal pergaulan dan aktiviti muamalat tidak boleh dicampur aduk. Kita perlu sedar kesilapan ini dan cuba untuk memperbaikinya. Meskipun kita tidak mampu mengubah sistem yang telah ditetapkan, kita masih boleh bertindak secara individu.
Sebagai guru yang membawa pelbagai ilmu. Guru perlu menggabungkan agama dalam pengajaran dan pembelajaran. Setiap yang diajar perlu dikaitkan dengan kebesaran Tuhan. Kini guru perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu termasuk ilmu agama. Walaupun di universiti tidak diwajibkan mengambil kursus agama kerana sistem yang telah dicemari ideologi sekular, guru perlu bijak membawa diri dengan mencari ilmu agama dengan pelbagai cara. Saya tertarik dengan satu topik yang pernah dikeluarkan oleh majalah I sebelum ini dimana golongan protaz (professional ustaz) amat diperlukan dalam masyarakat. Guru adalah satu profesion yang mulia dan peranannya sangat penting. Kebijaksaan guru memasukkan elemen agama dalam pengajaran dan pembelajaran boleh membawa pelajar menghayati kekuasaan Tuhan. Inilah yang dikatakan ilmu yang dapat meningkatkan iman sungguhpun subjek itu adalah biologi, kimia, fizik ataupun matematik.
Kita tidak mahu masyarakat terus dibelenggu kemusnahan yang hadir dalam diam dan tidak dapat dilihat kesannya dengan jelas dalam masa yang singkat. Kemusnahan ini akhirnya akan diwarisi oleh anak-anak kita. Maka langkah pencegahan perlu diambil. Saya yakin, jika nilai agama dapat diterapkan dalam setiap subjek, roh Islam itu akan timbul dan masalah golongan intelek yang buta agama dapat dikurangkan. Kita tidak mahu hanya melahirkan insan yang cemerlang dalam pelajaran tetapi gagal dalam pergaulan masyarakat. Hingga kini kita gagal membendung gejala sosial yang sangat teruk seperti pelacuran, ajaran sesat, rasuah, dera dan tidak dinafikan mereka yang terlibat kebanyakannnya mereka yang berpelajaran. Kita tidak mahu pelajar kita menjadi seperti Sufiah yang semua telah tahu kisah hidupnya yang menyedihkan. Kita mahu melahirkan modal insan yang mampu mengubah masyarakat yag sakit dengan pelbagai ‘ism’ barat seperti sekularism dan hedonism. Guru adalah agen perubahan dan peluang untuk mengubah masyarakat perlu digunakan sebaiknya. Apa jua yang kita lakukan, Islam perlu di bawa. Itu sahaja kunci untuk menyelamatkan diri dan masyarakat.WaAllahu A’lam.
Mohd Muazzin Bin Mohd Yasin
Persatuan Mahasiswa Sains
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Perak
Posted by Insan Biasa at 12:28 PM  
1 comments
hsyafeart said...

Assalamualaikum. Artikel yang baik. Boleh bagi Tg ni untuk perutusan akan datang. Hehe. Anyway keep up da good work. lawat2 la blog aku juga ye...

May 26, 2008 at 11:33 PM  

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png