Baru-bari ni saya terlibat dengan satu perbualan mengusik yang agak pelik, tapi biasa kita dengar dalam hidup bermasyarakat. "Muazzin dah ada janji dengan orang lain tu, jangan kacau dia la"..Semua faham maksud itu bukan. Maksud 'janji' itu ialah janji untuk sehidup semati dengan seseorang. Kahwin la. Tersenyum je dengar tanpa berkata apa-apa. Serkap jarang yang tak berasas. Namun bukan itu persoalannya. Saya ingin berkongsi tentang hakikat janji itu. Janji seperti ini sering dibuat oleh pasangan yg sedang bercinta. Adakah janji seperti ini relevan?
Di sekeliling saya ramai pasangan bercinta (kawan-kawan saya) yang mengukir janji untuk hidup bersama kelak. Hala tuju ke jinjang pelamin adalah matlamat. Maka janji telah diikat. Namun langit tak selalu cerah, bila ada masalah yang sememangnya perlukan keputusan, janji dahulu akan diungkit. Ada yang setia pada janjinya, lebih ramai yang langsung tak pedulikan janji dan pergi begitu sahaja. Malah ada yang masih pegang janji ini walaupun telah terbukti pasangannya tidak sesuai dijadikan pasangan hidup. Sekali lagi, adakah janji seperti ini relevan?
Terikat dengan janji semasa bercinta menyebabkan ramai pasangan terpedaya dengan janji. Kerana janji sanggup melakukan apa sahaja. Kerana janji sanggup menyerah segalanya. Kerana janji sanggup menunggu hingga ke tua. Kerana janji sanggup menerima segala akibat sekalipun keadaan sudah membuktikan hubungan itu tidak akan membawa bahagia. Sekali lagi, adakah janji seperti ini relevan.
Benar, manusia wajib berpegang pada janji. Malah kita dikira berhutang jika gagal melunaskan janji. Namun perlu kita fikirkan, sebagai seorang Islam, janji yang diikat itu mestilah selaras dengan apa yang diperintah dan dilarang dalam agama. Saya berpendapat janji yang dimeterai oleh pasangan bercinta langsung tidak boleh dipakai. Kerana janji itu sendiri telah melanggar janji yang lebih besar, janji pada Maha Mencipta. Mengapa? Tentulah pasangan bercinta tidak terlepas daripada melakukan banyak perkara yang dilarang semasa hubungan berlangsung. Siapa yang mahu menafikannya? Jika hubungan itu sendiri tidak relevan, adakah janji itu relevan?
Bilakah Janji Itu Termeterai?
Janji yang sebenarnya termeterai ketika lafaz "aku terima nikahnya". Inilah sebenar-benar janji yang perlu dipandang tinggi oleh semua pasangan. Inilah sebenar-benar janji yang memerlukan komitmen penuh semua pasangan. Inilah sebenar-benar janji yang perlu dipatuhi dan tidak boleh dilanggar oleh semua pasangan. Inilah janji di bawah redha Ilahi. Janji yang dilindungi rahmat dan kasih sayang Allah. Jika ikatan janji ini ikhlas, Rahmat Allah akan dilimpahkan kepada setiap pasangan yang mematuhinya.
Buat pasangan yang sedang dilamun cinta, berjanjilah dengan janji yang kena pada tempatnya. Seringkali saya mendengar luahan rakan yang keliru dengan janji yang dibuat. Mudah sahaja, janji memang perlu dipatuhi, tapi janji yang menyebabkan kita melanggar perintah agama tentunya tidak lagi perli diikut. Jangan terperangkan denga janji manis palsu yang tidak diketahui akhirnya. Janji memang mudah dibuat, susah dilaksanakan. Maka, berfikirlah sebelam berjanji.