Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Hadiah Sebenar Untuk Seorang Guru.

4/16/13



Hari ini terpanggil untuk menulis. Menulis sebagai seorang pendidik. Sudah lama saya tak kerah minda untuk menulis. Tapi hari ini teringin untuk melahirkan perasaan yang gembira. Gembira kerana menerima hadiah-hadiah dari pelajar. Ya, ada rasa gembira. Ada juga rasa terharu kerana merasakan diri ini tak layak menerimanya dengan apa yang telah saya lakukan. Namun saya tetap menerimanya dengan senang hati dan rasa penuh kesyukuran. Terima kasih.

Namun bukan inil tujuan saya menulis. Kali ini saya ingin membawa pembaca terutamanya pelajar saya tentang hakikat sebenar penghargaan kepada guru. Benar, memberi hadiah adalah salah satu cara untuk menghargai guru, tapi ada lagi cara yang lebih berharga dan tiada tolak bandingnya. Hadiah inilah yang menjadi idaman semua yang bergelar pendidik. Hadiah ini akan membuat semua pendidik tersenyum puas dan bahagia. Dan hadiah ini mampu diberikan oleh semua pelajar kerana tidak memerlukan wang untuk membelinya. Tapi memerlukan usaha yang gigih. Itulah harga sebuah kejayaan.

Melihat pelajar yang berjaya dan memberi manfaat kepada orang lain adalah hadiah terbaik untuk para pendidik. Hadiah inilah yang akan menghilangkan segala kepenatan dan kesukaraan sepanjang menjalankan tugas mendidik. Kejayaan yang diperoleh oleh pelajar bukanlah semata-mata dalam akademik, malah yang paling utama adalah berjaya menjadi manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain, menyenangkan hati ibu bapa dan semua yang berada di sekitarnya. Walau apa pon bidang kerjaya yang diceburi. Baik doktor, doktor yang menyenangkan pesakit; jurutera, jurutera yang menghasilkan sesuatu yang memudahkan orang ramai; kontraktor, kontraktor yang menepati janji seperti dalam kontrak; peguam, peguam yang membela orang yang benar-benar tidak bersalah; peniaga, peniaga yang jujur dan tak menipu pelanggan; dan tukang sapu, tukang sapu yang membersihkan laluan orang lain untuk kemudahan semua.

Suatu hari nanti, jika saya bertemu dengan pelajar saya. Saya berharap mereka akan jadi orang yang lebih baik dari saya dalam semua bidang; kerjaya, akhlak dan sahsiah. Biarpun kerjayanya bergaji kecil dan cukup makan, jika dia berniat baik dan suka memudahkan orang lain, dialah pelajar yang saya banggakan dan itulah tujuan saya mendidiknya. Kerana saya percaya 80% kejayaan kita adalah kerana sikap, hanya 20% sahaja dipengaruhi oleh intelek. Kemahiran intelek boleh menjadi nilai tambah untuk kejayaan. Jika seseorang pelajar itu kurang pintar dalam subjek kimia sedangkan dia telah berusaha, dan dia hanya mendapat keputusan yang cukup makan, tapi saya percaya kegigihannya akan menjadi satu sikap yang murni suatu hari nanti. Itulah yang menjadi penentu kejayaan kelak. Dan tentulah dia akan menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang sekitarnya. Kerana itulah jika saya mendoakan pelajar, saya lebih mendoakan pelajar untuk menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain dahulu, kemudia baru mendoakan untuk skor subjek kimia. Kerana bukan semua kita punya kemahiran intelek yang hebat untuk skor subjek kimia, tapi semua kita punya kejayaan tersendiri jika tidak putus asa, terus gigih berusaha dan merendah diri.

Saya juga mengharapkan doa dari para pelajar agar terus diberi kekuatan untuk mendidik dan terus diberi kesempatan untuk sentiasa memperbaiki cara penyampaian yang kurang memuaskan. Jika suatu hari nanti saya sudah tiada, saya berharap akan mendapat aliran pahala oleh mereka yang masih mengamalkan ilmu yang saya kongsikan dengan cara yang betul.

Semoga berjaya para pelajarku J

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 


Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya :
"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain." 
(Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami' al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no:3289)
Posted by Insan Biasa at 9:19 PM  
1 comments
Si Tracey said...

yeap :) ada satu perasaan lain yang gembira bila menerima hadiah dari murid...:) bukan sebab isi yang di dalam..but there's somethingg..:)

May 15, 2013 at 11:03 PM  

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png