Apabila mula berjinak-jinak dengan dunia pekerjaan, selain
ingin mendapat pekerjaan yang digemari, nikmat yang diharapkan bagi pekerja
baru adalah mendapat majikan yang baik. Jika majikan adalah seorang yang
sungguh bertimbang rasa, iklim pekerjaan pasti indah dan menggalakkan
penghasilan mutu kerja yang berkualiti. Tekanan kerja pasti berkurangan dan
apabila pulang ke rumah, kita boleh pulang dengan hati yag tenang dan akan
wujud perasaan tak sabra untuk kerja keesokan harinya.
Namun langit tak selalunya cerah, hidup tak selalu indah.
Sejauh mana keinginan kita untuk mendapat hidup yang indah, kehendak Allah
pasti mengatasi segalanya. Jika ditakdirkan Allah mahu menguji kita dengan
majikan yang zalim, pentingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa, sudah
tentu ini akan mencabar tahap kesabaran kita setiap hari. Hari-hari yang
dilalui pasti ditempuh dengan panas hati dan tekanan yang tidak berkesudahan.
Namun atas desakan hidup dan tuntutan untuk mencari nafkah keluarga, kesabaran
adalah senjata terakhir yang paling berkesan. Selain itu, beberapa berkara
boleh kita lakukan untuk menjadikan persekitaran lebih positif
Majikan juga adalah
manusia lemah yang banyak kelemahan.
Perkara pertama yang perlu kita akui adalah memahami hakikat
kelemahan seorang hamba. Walau sehebat mana pangkat dan pendidikan majikan itu,
beliau takkan boleh lari dari sifat kehambaan yang lemah dan serba kekurangan.
Walaupon majikan tidak pernah mengakui kelemahan beliau, dan sememangnya itulah
sikap angkuh manusia. Sebagai pekerja, kita seharusnya bersyukur kerana boleh
mengambil ikhtibar daripada tingkah laku majikan itu. Mengakui kelemahan
majikan itu akan menjadikan kita insaf betapa ampuhnya manusia walau sehebat
manapun pangkat dan pendidikan kita.
Minimumkan salahfaham
dengan majikan
Seperkara lagi yang boleh cuba diusahakan adalah
mengurangkan salah faham dengan pihak majikan atau pentadbir. Apabila kita
sudah selalu di layan dengan buruk oleh majikan, sudah tentu dalam minda kita
sudah tertanam persepsi apa juga yang dilakukan akan dipandang remeh dan tidak
dihargai. Hal ini akan membuatkan kita tidak bermotivasi untuk berkerja dan
kualiti kerja akan merudum. Perkara ini pasti memberi kesan kepada keberkatan
rezeki yang diperoleh. Untuk mengelakkan hal ini, kita seharusnya cuba untuk
hanya menjalankan skop tugas yang diamanahkan oleh kita sahaja tanpa perlu
mengambil tahu perjalanan tugas yang lain. Ini boleh mengelakkan kita
berprejudis dengan perkara yang sepatutnya tidak berkaitan dengan tugas hakiki
kita.
Jadikan majikan
contoh yang ingin dijauhi.
Sebagai pekerja bawahan, kita telah merasai keadaan yang tak
menyenangkan kerana pengabaian oleh majikan, jika suatu hari nanti kita di
tempat majikan, berazamlah supaya tidak mengulangi sikap majikan. Apabila kita
melihat contoh yang tidak baik, berusahalah untuk menhindarinya.
Setidak-tidaknya berdoalah supaya Allah tidak melupakan kita akan kesusahan ini
dan kita sendiri tidak mengikut contoh yang buruk. Hal ini kerana sudah menjadi
lumrah dunia, pangkat adalah satu ujian dari Allah. Mungkin majikan kita sedang
diuji ole pangkatnya. Adakah jika kita di tempat majikan kelak juga tidak
terlepas dari ujian ini?
Selalu sedar hanya
Allah sahaja yang layak menilai kita
Rasa tidak puas hati dengan majikan akan lebih membuak-buak
apabila semua yang kita lakukan tidak dihargai oleh majikan. Sebenarnya hal ini
mampu mengajar kita erti ikhlas. Jika kita melakukan kerja untuk mencari
kepuasan manusia, nescaya kita akan selalu kecewa dan hampa kerana umumnya
manusia tak selalu mampu menghargai. Namun jika apa yang kita lakukan
semata-mata untuk mencari redha Allah, maka kita takkan perlu risaukan apa
pandangan orang lain terutama majikan kita. Apa yang kita mesti faham adalah
amanah yang diberi perlu dijalankan sebaik mungkin untuk keberkatan rezeki.
Berdoa supaya majikan
sedar dan berubah.
Perkara terakhir yang boleh kita lakukan adalah berdoa untuk
kebaikannya. Inilah cabaran kita. Amat susah untuk mendoakan kebaikan untuk
orang yang berbuat zalim kepada kita. Namun keindahan Islam itu terserlah
melalui peribadi Rasulullah SAW yang selalu membalas keburukan yang dilakukan
kepadanya dengan kebaikan yang akhirnya akan membuahkan perubahan yang besar
kepada bangsa arab khususnya dan dunia amnya.
Hidup penuh dengan cabaran. Jika tiada cabaran, jiwa kita
akan mati. Siapa yang kita jumpa, siapa yang kita kenal sebenarnya
menggambarkan siapa diri kita. Semua yang Allah pertemukan dengan kita
mempunyai hikmah yang perlu difikirkan. Kita boleh melihatnya secara positif
dan boleh juga melihatnya secara negatif. Kita perlu sedar masalah yang dihadapi adalah ujian Allah dan setiap ujian yang
diberi pasti diberi juga keupayaan untuk menghadapinya.