Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Antara Logik akal dan pimpinan wahyu...

6/24/10


Manusia itu begitu unik..Benarlah kita ini sebaik-baik ciptaan..jika mensyukuri nikmat Allah. Tetapi akan menjadi hina jika ingkar dan lalai...Firman Allah :

"sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),"{At-Tin : 4 dan 5}

Kita sememangnya mempunyai pelbagai karekter yang menarik...Dengan pelbagai ragam..Sebagai satu tanda kekuasaan Penciptanya yang Maha Berkuasa..Menciptakan apa yang Dia kehendaki...Dijadikannya sebahagian kita ujian untuk sebahagian yang lain..Firman Allah :

"Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?; dan adalah Tuhanmu Maha Melihat."{Al-Furqan: Ayat 20}

Maka disini aku meneliti satu lagi cara berfikir manusia yang unik dan menarik. Kerana aku tidak pernah menemuinya..Mungkin juga kerana pemikiran ini bertentangan dengan pemikiranku. Atau mungkin aku mahu berfikir sepertinya..Namun latar belakangku membataskannya.

Pemikiran logik adalah lumrah pemikiran ahli sains yang 'extreme' dengan bukti dan kajian tertentu. Apa yang berlaku tidak mungkin dipercayai jika tidak dilihat sendiri..Semuanya mahukan bukti yang nampak di mata..hasil kiraan tertentu yang akhirnya membuahkan keputusan yang sentiasa sama(constant)..Biarpun tidak kelihatan..Contohnya seorang ahli kimia menguji gas di dalam tabung uji dengan kayu uji menyala..dan mengeluarkan bunyi 'pop'..Maka ahli kimia itu akan membuat kesimpulan bahawa gas itu adalah gas hidrogen..Biarpun beliau tak nampak pon gas tu...Itulah logiknya..

Pemikiran logik juga mengatakan setiap perbuatan akan membuahkan akibat tertentu...Jika ada orang buat jahat pada kita, kita boleh buat jahat pada orang tersebut..Jika kita mahukan sesuatu, Kita mesti dapatkan..Walau apa pun yang kita hadapi...Walau apa pun caranya..Walaupun tiada langsung harapan untuk mendapatkannya...Yang penting perlu berusaha..Dan orang yang berusaha pasti akan berjaya..itulah logiknya..

Pemikiran logik susah untuk percaya kuasa ghaib..Hantu, malaikat, mimpi dan lain-lain..Semuanya akan dijelaskan secara saintifik atau dianggap kebetulan alam ini...Kerana kehidupan kita penuh dengan tindak balas..Jika berlaku sesuatu ke atas dirinya, seperti mimpi dan perasaan manusia, itu hanyalah mainan tidurnya. Tiada kaitan dengan perlakuannya semasa sedar. Itulah logiknya...

Mungkin ada benarnya pemikiran logik..Bergantung pada akal dan yakin mampu menyelesaikan semua masalah...Namun hakikatnya manusia sangat lemah..Maka akal memerlukan pimpinan wahyu..Supaya hati ini tidak mudah terpesong oleh tujuan hidup yang sebenar. Pengalaman atau latar belakang kita banyak mempengaruhi pemikiran..Pemikiran yang sudah lama disemai dengan logik mungkin sukar untuk diubah dan memerlukan masa...Pemikiran logik sukar untuk menerima sifat sabar..Pemikarn logik sukar untuk menerima konsep tawakkal..Pemikiran logik akan menjadikan hati sakit dan semakin sakit..Pemikiran logik akan menambah penderitaan jika akhirnya segala usahanya menjadi sia-sia..Maka pimpinan wahyu adalah bahagian yang lebih besar dalam kehidupan. Sabar, Syukur dan Tawakkal memerlukan kekuatan hati..Di samping usaha yang berterusan untuk memperbaiki diri..Kesimpulannya..Aku lebih memerlukan pimpinan wahyu..Walaupun kadangkala aku mengagumi pemikiran logik..

"Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."{Yusuf : ayat 53}

Demonstrasi Hari-Hari

6/7/10



Terputus idea akibat kurang membaca...Maka plagarism berlaku di blog ini..Ingin dikongsikan bersama pendapat dari blog Genta Rasa yang dirasakan perlu dilakukan oleh ummat ini di samping perasaan marah kita terhadap kekejaman musuh Islam...Ikuti cetusan rasa penulis ini yang diilhamkan dalam bentuk perbualan...

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”

“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”

“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.

“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”

“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”

“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Posted by Insan Biasa at 9:56 PM 0 comments  

Hadith ke 25 : Masa Akan Menjadi Singkat




Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Tidak akan terjadi
qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api" (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:
Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan. Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa. Menurut Imam al-Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa ini ialah dicabut keberkatan daripadanya. Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan. Ini adalah satu petanda hampirnya qiamat.

Penulis : manusia semakin merasakan diri mereka semakin sibuk..Mereka cuba mengejar masa dengan mencipta pelbagai perlatan yang mempercepatkan tindakan manusia..namun hakikatnya kita semakin tertekan dengan beban kerja yang semakin bertambah dan menghimpit hidup..Manusia merasakan mereka boleh menghitung masa, namun mereka hanya mampu menisbahkan masa dengan putaran planet dan bulan..Masa adalah milik Allah dan setiap orang sebenarnya mempunyai sela masa yang berbeza..Adakala kita hairan melihat orang yang boleh melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat..Para ulama contohnya yang mempunyai masa untuk menguasai pelbagai bidang ilmu..Sesungguhnya mereka telah dianugerahkan oleh Allah nikmat dan hikmah yang tidak terjangkau akal..merekalah yang patut kita contohi..
Posted by Insan Biasa at 9:34 PM 0 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png