Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Batasan Dalam Membantu Manusia

9/5/11


Kita semua ada sifat mahu menolong. Itu baik. Manusia bersifat tak sempurna. Bantu membantu akan menjadikan hidup ini lebih baik dan indah. Kita juga adakalanya memerlukan pertolongan orang lain dalam sesuatu hal yang bukan kepakaran kita. Demikian pula sebaliknya. Maka sifat ingin menolong dijadikan Allah dalam diri manusia sebagai bukti keadilan Allah yang Maha Adil. Apabila kita melihat seseorang dalam kesusahan atau punya kekurangan, ada terasa ingin membantu dan mengisi kekurangan itu. Maka kita bantu sehingga kekurangan itu hilang dan orang lain akan merasa bahagia.

Namun dalam membantu juga ada batas yang perlu dilihat dan diambil perhatian. Orang yang membantu tidak bolah memudaratkan diri sendiri ketika bantuan sedang diberi. Jika kita sedar diri sedang terisiko dalam memberi bantuan, eloklah menghindarkan diri dan bantulah dalam lingkungan kemampuan kita. Kerana mudarat yang kita dapat semasa memberi bantuan mungkin boleh merosakkan diri dan akhirnya kita tidak boleh lagi memberi bantuan bukan sahaja pada seorang individu, malah kepada individu lain.

Al Misal kita mengambil situasi keselamatan dalam sebuah kapal terbang, Anak kapal akan sentiasa mengingatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan. Semasa memakai alat bantuan pernafasan, penjaga perlu memakaikan alat itu pada dirinya dahulu sebelum membantu orang yang berada dalam jagaannya. Kita lihat hal ini seperti mementingkan diri sendiri, tetapi inilah cara yang paling efektif supaya penjaga itu boleh terus membantu orang yang di bawah jagaan mereka. Jika ada apa-apa berlaku kepada penjaga tersebut akibat mementingkan orang dibawah jagaannya, tentulah terputus bantuan penjaga ini terhadap mereka di bawah jagaannya dan mudarat ini adalah lebih besar.

Manusia yang paling suka membantu yang pernah kita dengar adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ummatnya dalam keadaan jahil dan mahu membantu ummatnya kembali ke jalan Ilahi semampu beliau. Rasulullah SAW sanggup melakukan apa jua cara asalkan ummatnya faham apa yang disampaikannya. Sehingga sampai satu tahap Musyrikin Mekah mahu membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk bertukar agama buat dalam satu tempoh. Rasulullah hampir bersetuju dengan pertukaran ini kerana secara logiknya mungkin pihak Musyrikin akan merasai kebenaran agama Islam semasa mereka menganut Islam dalam masa yang telah ditetapkan. Namun Allah SWT yang maha bijaksana dan sentiasa memelihara Nabi SAW sebagai kekasihNya memberi jawapan dan menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan tegas kepada tawaran musyrikin Mekah. Bagimu agamanu dan bagiku agamaku.

Jadi dapat kita lihat terdapat batas yang perlu diambil kira dalam membantu manusia. Selagi mana bantuan itu tidak memudaratkan diri dan tidak menjadi maksiat kepada Allah, kita boleh membantu. Tetapi jika bantuan itu membuatkan kita hanyut dan semakin jauh dari Allah SWT, eloklah kita hindarkan dan serahkanlah kepada Allah sebagai sebaik-baik pembantu. Bak kata pepatah "Buat baik berpada-pada".

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
[Al-Ma’idah : 2]
Posted by Insan Biasa at 10:18 PM  
0 comments

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png