Jika kita mahu memberi sesuatu kepada seseorang? Wajarkah kita bertanya dahulu bahawa dia mahu atau tidak? Atau kita terus memberinya? Saya berpendapat, tidak perlu bertanya orang itu mahu atau tidak.
Jika kita mahu memberi sesuatu, terus sajalah memberi. Jika kita bertanya, kita seperti mahu tahu reaksi orang tersebut atas pemberian kita. Hal ini seperti kita mengharapkan sesuatu darinya setelah pemberian itu. Bukankah ini mempengaruhi keikhlasan kita untuk memberi. Jika kita benar ikhlas untuk memberi, kita tidak perlu fikirkan apakah reaksi si penerima, jika dia gembira dan menghargainya, kita bersyukur. Jika dia marah tidak menghargainya, kita bersabar. Asalkan kita tahu hal itu betul dan wajar. Apa yang kita perlu fikirkan adalah pahala dari Allah SWT.
Selain itu, jika kita bertanya dahulu sebelum memberi, dikhuatiri kita akan memberi harapan kepada si penerima untuk menerima sesuatu. Sedangkan kita tidak tahu pada masa akan datang kita boleh memberinya atau tidak. Kerana apa sahaja boleh berlaku yang menyebabkan si penerima akan berasa hampa dan kecewa. Ini akan mempengaruhi emosi si penerima dan boleh mewujudkan rasa marah dan geram.
Jadi, untuk memberi, terus sajalah memberi tanpa perlu berfikir reaksi si penerima, kerana kita cuma mahukan ganjaran dari Allah, bukan manusia. Jika kita bertanya, seperti kita takut untuk menerima jika pemberian itu akan membawa sesuatu yang buruk. Kita dituntut bertawakal kepada Allah apabila mahu membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Jadi untuk memberi, bertawakallah pada Allah akan kesannya pada masa akan datang. Kita sendiri boleh berfikir kesan buruk baiknya pemberian itu. Allah sahajalah yang akan memberi ganjaran atau balasan atas semua yang kita lakukan, meskipun ganjaran atau balasan itu berasal dari manusia.
Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali Imran: 159)
Ummul Mukminin, Ummu Abdillah, Aisyah r.anha berkata,
bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa mengada-adakan yang baru(bidaah) dalam urusan(agama) kami ini, amalan yang bukan bahagian daripadanya, dia tertolak." (Riwayat al-Bukhari no. 2550, Muslim no.4586 dan Abu Daud no.4608)
Huraian dan Intisari Hadis.
Hadis ini merupakan salah satu pedoman penting dalam agama Islam dan kalimah pendek yang penuh pengertian yang dikurniakan kepada Nabi SAW.
Hadis ini dengan tegas menolak setiap perkara bidaah dalam setiap perkara(dalam urusan agama) yang direka dan diada-adakan. Sebahagian ahli usul fiqh menjadikan hadis ini sebagai dasar kaedah bahawa setiap yang dilarang dinyatakan sebagai hal yang merosakkan.
Islam adalah agama yang berdasarkan ittibak ( mengikut berdasarkan dalil) dan bukan ibtidak(mengada-adakan sesuatu tanpa dalil) dan Rasulullah SAW telah bersabda menjaganya daripada sikap yang berlebih-lebihan dan mengada-adakan.
Hadis ini patut dihafal,disebarluaskan dan dan digunakan sebagai bantahan kepada kaum yang ingkar, karana isinya mencakup semua hal. Adapun hal-hal yang tidak merupakan pokok agama sehingga tidak dilarang dalam sunnah, maka tidak tercakup dalam larangan ini, seperti menulis Al-Quran dalam mushaf walaupun Rasulullah SAW tidak pernah menulis Al-Quran.
Begitu juga membukukan pendapat para ahli fiqah yang bertaraf mujtahid yang menerangkan alasan masalah-masalah furuk daripada pokoknya, iaitu sabda Rasulullah SAW.
Demikian juga mengarang kitab-kitab nahu, ilmu kiraan faraad dan sebagainya yang semuanya bersandarkan Rasulullah SAW dan perintahnya. Kesemua usaha ini tidak termasuk dalam ancaman hadis tersebut. Malah sebahagian ulama mengistilahkan ianya sebagai bidaah hasanah.
Oleh itu tidaklah dilarang mengada-adakan apa-apa cara atau peraturan baru yang lebih sesuai dengan zaman kontemporari yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW selagi tidak ada keterangan daripada Al-Quran dan hadis yang melarangnya.
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
Huraian:Kalimah 1:kalimah "...yang jujur, benar lagi membenarkan" bermaksud Rasulullah SAW adalah seorang yang jujur dan benar. Apa yang diturunkan kepada Baginda adalah benar-benar wahyu Allah.
Sebahagian ulama berkata bahawa kalimah "Sesungguhnya dikumpulkan penciptaan setiap kamu di dalam rahim ibu" ialah pertemuan air mani(sperma) yang terpancar ke dalam rahim, lalu Allah pertemukan dengan telur dalam rahim tersebut selama 40 hari.
Diriwayatkan oleh ibnu Masud bahawa dia mentafsirkan kalimah di atas dengan menyatakan:
Nuthfah yang dipancarkan ke dalam rahim bila Allah mengkehendaki untuk menjadi seorang manusia, maka nutfah itu mengalir dalam seluruh pembuluh darah perempuan hingga sampai kepada kuku dan rambut kepalanya.
Kemudian tinggal selama 40 hari lalu berubah menjadi darah yang terletak didalam rahim. Itulah yang dimaksudkan dengan "..dikumpulkan penciptaan setiap kamu". Setelah 40 hari, nuthfah kemudia menjadi 'alaqah(segumpal darah).
Kalimah 2:Kalimah "...kemudia diutuskan malaikat untuk diutuskan malaikat kepadanya" ialah malaikat yang mengurus rahim.
Kalimah 3:Kalimah "...ada seorang antara kamu melakukan amalan syurga" menunjukkan orang tersebut melakukan amalan yang benar dan amalan itu benar-benar mendekatkan pelakunya ke syurga hingga jarak antara orang itu dengan syurga cuma sehasta.Malangnya telah berlaku takdir ke atas dirinya hingga dia melakukan perbuatan ahli neraka. Perhitungan semua amal baik bergantung pada apa yang telah kita lakukan. Akan tetapi apabila ternyata pada akhir tertutup dengan amal yang buruk, naka seperti yang dinyatakan seperti dalam hadis,
"Segala amal perhitungan bergantung pada amal terakhirnya"
maksudnya situasi ini terbatas untuk orang tertentu dan amalan tertentu sahaja.
Adapun hadis yang disebut oleh imam Muslim dalam kitabul iman daripada kitab sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Seseorang melakukan amalan ahli syurga pada pandangan manusia tapi sebenarnya dia ahli neraka"
Ini bermakna perbuatan yang dilakukan orang itu pada dasarnya tidak benar dan dilakukan untuk mendapat pujian dan untuk menjadi terkenal. Hadis tersebut menunjukkan bahawa yang perlu dilihat adalah niat si pelakunya dan bukan zahir perbuatannya. Orang yang selamat daripada rayak adalah semata-mata daripada kurniaan dan rahmat Allah.
Kalimah 4:Kalimah '..Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, ada seorang antara kamu yang melakukan amalan ahli syurga...lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka hingga dia masuk ke dalamnya" adalah satu kejadian yang jarang-jarang berlaku dan ia bukanlah hal yang umum. Perkara ini adalah disebabkan kemurahan, keluasan dan rahmat Allah kepada manusia hingga apa sahaja perkara buruk yang terjadi kepada manusia menjadi baik. Amat jarang-jarang sekali orang yang baik berubah menjadi tidak baik. Segala puji dan kurniaan adalah milik Allah semata-mata.
Pendirian ahli sunnah wal jamaah tentang takdir Allah ialah "segala kejadian yang berlaku adalah ketentuan Allah dan takdirNya" sama ada dalam hal kebaikan dan keburukan atau dalam keadaan yang bermanfaat dan merbahaya.
firmah Allah:
"Dan Dia(allah) tidak diminta bertanggungjawab atas segala tindakan-Nyatetapi mereka yang diminta bertanggungjawab"
(Surah Al Anbia': ayat 23)
Kita tak dapat memastikan seseorang itu akan masuk syurga atau neraka berdasarkan amalannya didunia ini.
Kita juga tidak boleh berbangga dan terlalu yakin dengan amalan yang kita lakukan di dunia ini kerana kita tidak tahu apakah kesudahan kita kelak.
Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi, Ust Zahazan Mohamad dan Ust Mohammad Zakaria