Jika kita mahu memberi sesuatu kepada seseorang? Wajarkah kita bertanya dahulu bahawa dia mahu atau tidak? Atau kita terus memberinya? Saya berpendapat, tidak perlu bertanya orang itu mahu atau tidak.
Jika kita mahu memberi sesuatu, terus sajalah memberi. Jika kita bertanya, kita seperti mahu tahu reaksi orang tersebut atas pemberian kita. Hal ini seperti kita mengharapkan sesuatu darinya setelah pemberian itu. Bukankah ini mempengaruhi keikhlasan kita untuk memberi. Jika kita benar ikhlas untuk memberi, kita tidak perlu fikirkan apakah reaksi si penerima, jika dia gembira dan menghargainya, kita bersyukur. Jika dia marah tidak menghargainya, kita bersabar. Asalkan kita tahu hal itu betul dan wajar. Apa yang kita perlu fikirkan adalah pahala dari Allah SWT.
Selain itu, jika kita bertanya dahulu sebelum memberi, dikhuatiri kita akan memberi harapan kepada si penerima untuk menerima sesuatu. Sedangkan kita tidak tahu pada masa akan datang kita boleh memberinya atau tidak. Kerana apa sahaja boleh berlaku yang menyebabkan si penerima akan berasa hampa dan kecewa. Ini akan mempengaruhi emosi si penerima dan boleh mewujudkan rasa marah dan geram.
Jadi, untuk memberi, terus sajalah memberi tanpa perlu berfikir reaksi si penerima, kerana kita cuma mahukan ganjaran dari Allah, bukan manusia. Jika kita bertanya, seperti kita takut untuk menerima jika pemberian itu akan membawa sesuatu yang buruk. Kita dituntut bertawakal kepada Allah apabila mahu membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Jadi untuk memberi, bertawakallah pada Allah akan kesannya pada masa akan datang. Kita sendiri boleh berfikir kesan buruk baiknya pemberian itu. Allah sahajalah yang akan memberi ganjaran atau balasan atas semua yang kita lakukan, meskipun ganjaran atau balasan itu berasal dari manusia.
Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali Imran: 159)