Dalam hidup ni, kita akan melalui fasa tertentu, fasa bayi, budak, remaja, dewasa dan orang tua. Dalam semua fasa ini menuntut perubahan. Sama ada kita berubah mengikut persekitaran atau kerana kemahuan yang lebih baik. Atau buruk. Orang bijak pandai ada menyebut “Manusia yang berjaya adalah manusia yang memaksa dirinya berubah, bukan yang terpaksa berubah apabila terpaksa”.
Aku kagum apabila melihat orang sekitarku yang mampu berubah. Tentunya kepada perubahan yang lebih baik. Aku dapat melihat bagaimana gigihnya mereka mencuba dan aku dapat melihat bagaimana Allah membantu mereka. Aku selalu melihat mereka sebagai ‘self reflect’ untuk diriku. Bagiku perubahan sungguh sukar. Aku tidak pasti sama ada aku takut untuk berubah atau aku tak punya kegigihan. Namun yang pasti sehingga hari ini aku rasakan perubahan diriku amat sedikit. Malah mungkin masih di takuk lama. Malah mungkin berubah kepada yang lebih buruk. Jika aku selalu fikirkan ini. Aku rasa amat sedih.
“Dari yang kurang baik kepada yang lebih baik” itu lebih baik dari “baik” tanpa peningkatan.
Aku bertuah dilahirkan dalam keluarga yang hebat. Bagiku hebat. Ayahku mengajar agama, ibuku suri rumah sepenuh masa. Semasa kecil mak selalu pesan kepadaku “muaz jangan buat jahat ye..kamu anak ustaz”. Aku selalu ingat itu. Abah pula selalu membawaku ke masjid, kadang-kala aku dipaksa ikut sebab aku sendiri kadang kala malas.
Aku juga bertuah di sekolah rendah aku dikelilingi orang yang hebat. Cikgu selalu puji aku kerana aku bijak baca doa. Selalu dapat markah tinggi terutama dalam subjek pendidikan Islam dan jawi. Di sekolah menengah juga aku bersahabat dengan ‘budak surau’ yang menjadikan aku juga seperti mereka. Di matrikulasi, di universiti. Aku juga berkawan dengan orang yang baik dan banyak membantuku menjadi ‘manusia’. Setelah aku bekerja, aku juga dikelilingi orang baik. Pendakwah, ustaz, dan mereka yang selalu menegurku.
Jika aku melihat kembali kehidupanku, antara kurniaan Allah yang sungguh aku tak mampu untuk syukuri adalah persekitaran yang hebat. Subhanallah. Aku berfikir jika aku diberi persekitaran yang teruk seperti latar belakang mereka yang bermasalah. Mungkinkah aku jadi seperti aku. Jika aku menjadi manusia jahat, mampukah aku berubah menjadi lebih baik? Jika bukan kerana belas kasihan Allah, mungkinkah aku di sini?
Di mana-mana sahaja aku berada, hanya dengan kenal namaku, mereka sangka aku ‘baik’. Ya itu aku hargai. Tapi aku sedih kerana aku tahu aku bukan seperti sangkaan mereka. Jika bukan kerana Allah yang menutup aibku, tentulah mereka tidak memandangku begitu. Kerana itu aku selalu cuba untuk jadi lebih baik. Namun aku selalu gagal untuk berubah. Kerana itu juga aku kagum melihat orang sekitarku berubah. Ya, kehidupan mereka sebelum ini kulihat teruk. Tapi sampai satu masa meraka tekad untuk berubah dan mereka mampu melakukannya.
Aku sememangnya begini, sejak dulu aku dididik begini, dan aku masih tidak berubah. Masih lagi dengan apa yang aku ada sejak aku di bangku sekolah. Mereka melihat itu dan mereka sangka bagus dan baik. Hakikat yang aku lalui tidak seperti aku. Masih di takuk yang lama. Aku tidak membuat sebarang peningkatan. Tapi orang lain mampu lakukan. Kenapa aku tidak?
Dahulu aku selalu sangka Allah akan menuntun setiap gerak-geriku. Dengan itu setiap langkahku adalah dalam kemahuan Allah. Tapi aku salah, akulah yang memilih untuk bergerak. Allah Cuma memberikanku pilihan dan melihat sama ada mampukah aku memilih. Ternyata aku banyak salah. Perjalanan hidup ini memberi pelajaran besar bagaimana Allah mahu kita berubah mengikut keinginan kita, mengikut keikhlasan yang ada dalam jiwa kita. Kemudian barulah disertai dengan pertolongan Allah. Aku hanya dapat melihat itu dalam hidup orang lain. Aku masih belum nampak itu dlam hidupku. Tapi aku akan sentiasa mencuba. Seiring perjalanan waktu yang akan mengajarku. Aku harap aku masih sempat. Selagi hayatku terus meningkat. Selagi umurku terus bertambah.
1 Februari 2012-26 Tahun