Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terangjelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
Huraian:
Hadis ini merupakan salah satu pokok syariat Islam. Abu Daud Al-Sijistani berkata "Islam bersumber pada empat hadis". Disebutkan antaranya adalah hadis ini. Para ulama telah bersepakat tentang keagungan dan banyaknya manfaat hadis ini.
Yang Hala dan Yang Haram.
Perkara yang halal dan haram dalam syariat adalah amat jelas.
Yang Halal: Tidak dilarang serta terang hukumnya.
- Makan makanan dari biji-bijian, tumbuh-tumbuhan dan daging haiwan yang halal.
- Minum air susu dan segala minuman yang tidak dilarang.
- Memakai pakaian daripada benang dan bulu yang tidak dilarang.
- Bekerja atau berusaha mencari kehidupan dengan jalan yang tidak dilarang.
Yang Haram : Dilarang serta terang hukumnya.
- Makan bangkai, darah, daging, tulang, lemak dan sepertinya daripada haiwan yang dilarang.
- Minum minuman yang memabukkan.
- Mendedahkan aurat atau memakai sutera bagi lelaki atau memakai pakaian dari sumber yang haram.
- Mencari rezeki daripada jalan yang haram seperti mencuri, merompak, menipu, riba, judi dan sebagainya.
Syubhah: bererti kesamaran. Hukum perkara yang syubhah tidak dapat dipastikan sama ada halal atau haram.
Sebahagian ulama membahagikan shubhah kepada tiga bahagian.
Pertama : Sesuatu yang sudah diketahui manusia haramnya tetapi orang itu masih lagi ragu-ragu akan keharamannya. Contohnya makan daging haiwan yang tidak diketahui cara penyembelihannya. Makan daging haiwan seperti ini menjadi haram kecuali telah terbukti penyembelihannya mengikut syariat.
Kedua: Sesuatu yang halal tetapi masih diragui kepastian halalnya. Seperti seorang lelaki yang mempunyai isteri tetapi masih ragu-ragu adakah dia telah menjatuhkan talak kepada isterinya itu atau belum. Atau adakah isterinya seorang perempuan hamba atau sudah merdeka. Halal semacam ini pada dasarnya adalah harus sehingga sudah jelas haramnya. dasarnya adalah hadis riwayat Abdullah bin Zaid yang ragu-ragu tentang hadas, padahal sebelumnya dia yakin telah bersuci.
Ketiga: Seseorang itu ragu-ragu sama ada sesuatu itu halal atau haram dan tidak ada apa-apa petunjuk yang menunjukkan perkara itu halal atau haram. Hal semacam ini lebih baik dijauhi sepertimana sabda Nabi SAW apabila menjumoai sebiji kurma yang telah jatuh di rumah baginda. lalu baginda bersabda " Kalau saya tidak takut kurma ini adalah barang zakat, sudah tentu saya memakannya". Adapun orang yang mengambil sikap terlalu berhati-hati yang berlebihan seperti tidak mahu menggunakan air bekas yang ternyata masih suci kerana khuatir telah terkena najis, atau tidak mahu solat di tempat yang terdapat bekas air kencing yang telah kering, atau mencuci pakaian yang masih bersih keran khuatir telah terkena najis dan sebagainya. Sikap seperti ini tidak perlu diikuti kerana berlebih-lebihan adalah tanda was-was. Was-was adalah hasil bisikan syaitan.
Kawasan Larangan:
Jika raja atau tuan tanah telah menetapkan kawasan larangan yang tidak boleh dimasuki oleh manusia lain, Allah SWT juga ada kawasan larangan yang tidak boleh dilalui manusia. Kawasan larangan tersebut adalah segala perbuatan maksiat dan tegahan sama ada yang berkaitan dengan diri mahupun yang berhubung dengan kehormatan dan harta benda seperti seperti pembunuhan, penzinaan, kecurian, penindasan, kezaliman dan bermacam keburukan lain.
Hati:
Hati adalah seketul daging dalam tubuh manusia yang menjadi pembentuk hidup seseorang, menggerak dan mengelokkan, mencederakan dan mengawal tingkah laku seseorang. Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ingat kebesaran Allah. Malakukan yang halal, meninggalkan yang haram dan menjauhi yang syubhah, takut jatuh kepada yang haram. Hati yang risak adalah hati yang mudah dipengaruhu nafsu dan hasutan syaitan hingga mudah melakukan maksiat kepada Allah dan meninggalkan suruhanNya.