Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Hadith ke-13 : Ukhwah Islamiyyah

3/28/12


Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radhiyallahu anhu, pelayan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda: “Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga ia mencintai milik saudaranya (sesama muslim) seperti ia mencintai miliknya sendiri”.

[Bukhari no. 13, Muslim no. 45 Ahmad no.18076]

Huraian Hadis
Para ulama berkata bahawa “tidak beriman” yang dimaksudkan ialah imannya tidak sempurna, bukan tidak beriman langsung. Maknanya seseorang itu tidak sempurna imannya apabila tidak mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.

Abu Amr bin Salah berkata :"Perbuatan seperti itu terkadang di anggap sukar untuk dilaksanakan seseorang. Sebenarnya tidak demikian, kerana apa yang dimaksudkan ialah iman seseorang tidak sempurna sehingga dia mencintai kebaikan untuk saudaranya sesama Muslim seperti mencintai kebaikan untuk dirinya sendiri".

Perkara ini dapat dilaksanakan dengan melakukan sesuatu hal yang baik bagi dirinya, misalnya:
- Tidak berebut-rebut di tempat orang ramai.
- Tidak berniat untuk menghilangkan nikmat yang dimiliki orang lain.

Perkara in sebenarnya mudah dilakukan oleh orang yang berhati baik, sulat dilakukan oleh orang yang berhati jahat.

Pengajaran
1. Hubungan muslim dengan muslim yang lain seperti satu jasad. Dia mencintai saudaranya seperti mencinta dirinya sendiri.
2. Jauhilah perasaan hasad dengki kerana ia bertentangan dengan kesempurnaan iman.
3. Iman boleh bertambah atau berkurang. Iman boleh bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.
4. Kita hendaklah bersatu hati sesama umat Islam.

Rujukan : Buku Hadis 4o Imam Nawawi oleh Ustaz Zahazan dan Ustaz Muhammad Zakaria

Aku dan Printer....

3/27/12

Sengaja ingin berkongsi tentang kejadian yang berlaku semalam, saya ada beli printer Canon 3in1. Ini Printer ke-5 saya beli buatan Canon sejak di Universiti. Apa yang menyakitkan hati adalah Catridgenya yang selalu rosak. Kerana mahal, kebanyakan orang lebih suka refill berbanding beli yang baru. Kerana harga Cadridge pond ah macam beli printer yang baru. Tapi bagi amatur seperti saya, refill adalah sesuatu yang bermasalah besar. Setiap kali selepas refill pasti printer tak dapat lagi digunakan. Geram, marah dan benci. Pernah dulu hampir berputus asa dah tak mahu beli printer.

Tapi selepas keluar edisi printer yang memuatkan sekali isian semula di luar, saya kembali ingin mencuba. Tapi nampaknya juga gagal kerana tak memahami cara penggunaannya. Setiap kali mahu guna perlu membuka penutup refill, akibat tak tahu, printer tetap rosak dan dah tak terkira kerugian akibat membeli printer sahaja. Untuk orang yang sederhana macam saya tentulah itu merugikan. Kadang kala terfikir juga adakah saya ni memang tak boleh nak dapat printer yg baik. Sudah ditulis bahawa ‘Muazzin takkan dapat printer yang baik’ di dahi ni.

Sebenarnya sebagai Muslim, tak boleh fikir macam tu. Baik buruk sesuatu bukanlah kerana malang atau sialnya seseorang dengan sesuatu barang. Itu hanya ujian. Aduh…Sabar je dengan perkara ni. Baru-baru ni printer ni dibeli di semenanjung kerana ada promosi murah. Kemudian bawa ke Labuan. Mungkin dalam flight berlaku hentakan yang merosakkannya. Kerana sayang dengan printer tu, saya tetap mahu baikinya dan membeli cadridge baru. Rugi pon rugilah, mungkin bukan rezeki. Tapi malangnya tetap rosak selepas hanya sebulan. Geramnya hati ini. Nak dipukul printer ni nanti tangan pula yang sakit. Aduh….

Dalam hidup ni adakalanya kita dah cuba yang terbaik pon tak dapat hasil yang baik. Macam printer ni la juga, dah beli yang berjenama pun, masih selalu rosak. Hai la badan, sabarrr. Tapi itu bukanlah alasan untuk kita berputus asa dan tidak terus mencuba yang terbaik. Saya percaya Allah hanya mahu lihat bagaimana kita berusaha mahukan apa yang kita dapat dan bagaimana kita mahu mengakui Dia adalah penentu pengakhirannya sama ada baik dan buruk. Jika kita pinta pada Allah dan berusaha untuk mendapatkannya. Dia pasti berikan atau jika tidak diberi pun, itu adalah hak Allah. Tapi Allah tu maha penyantun pada hampaNya. Apa yang kita dapat ini sudah lebih dari apa yang di pinta. Subhanallah.



Pernah juga dalam hidup ini, kita hanya berusaha sedikit, tapi kita dapat keuntungan yang besar. Contohnya saya beli jam murah je. RM 15 di kedai tepi jalan. Malas nak beli jam mahal-mahal sebab takut hilang. Lagi pun saya tak pandai bergaya dengan aksesori berjenama dan mahal ni. Baju dan seluar pun yang murah-murah je. Asal boleh pakai dan menutup aurat. Jadi hanya beli jam murah. Sekadar nak tengok waktu cukuplah. Saya jangkakan jam ini hanya bertahan beberapa bulan. Tapi Alhamdulillah sudah lebih setahun rasanya jam ini masih berfungsi dengan baik. Malah jam ini pernah terendam dan terbasuh di dalam mesin basuh. Masih lagi hidup sihat dan boleh digunakan.

Jadi rezeki tu bagi saya adalah rahsia Allah. Kita percaya setiap makhluk hidup sudah ditentukan rezekinya hatta ulat dalam batu pun kata orang. Jadi tak perlulah risau tentang ini. Kita Cuma berusaha. Akhirnya ditentukan Allah. Kepada Dia sahaja kita bergantung harap. Mungkin printer ni sudah ditakdirkan bukan rezeki saya. Tapi saya tetap tak putus asa beli printer. Cuma dah tak beli jenama Canon lagi. Beralih ke jenama Hp. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor, printer bukan satu jenama je. Haha, boleh pula.


Posted by Insan Biasa at 10:35 PM 1 comments  

Tiada satu pun kepunyaan kita.

3/21/12


Kita sibuk setiap hari berfikir bagaimana untuk menambah harta. Kita sibuk setiap hari berfikir bagaimana untuk naik pangkat lebih cepat. Kita sibuk setiap hari berfikir bagaimana untuk menambat hati orang yang kita sayang. Kita akan berasa sedih dan teramat kecewa lagi marah jika apa yang telah kita rancang dan angan-angankan tidak menjadi dan gagal. Adakalanya kita akan menuding jari e arah orang lain atas kegagalan kita. Kita sangka kita telah melakukan yang terbaik dan layak untuk mendapat apa yang kita idam-idamkan. Maka orang lain akan dianggap penghalang dan ada yang sanggup buat apa sahaja untuk menghilangkan penghalang ini.

Kita selalu lupa untuk melihat apa yang telah kita ada. Kita rasakan apa yang ada di sekeliling kita sentiasa akan kekal menyebabkan kita kurang menghargainya. Kita biarkan apa yang telah ada tanpa cuba untuk memperbaikinya dan menunjukkan penghargaan bahawa kewujudannya di sekitar kita adalah satu rahmat. Akhirnya apabila kita kehilangannya kita akan merasakan jasa dan kekurangan dalam diri kita dan mula berfikir tentang apa yang telah kita lakukan selama dia bersama kita.

Kita selalu berkata ‘ini milikku’ dan menganggap sesuatu barang yang kita beli kepunyaan kita. Adakalanya kita hanya menggunakannya untuk kita sahaja tanpa mahu berkongsi dengan yang lain. Kerana kita menyangka itulah hak kita, maka kita berhak untuk kongsikannya atau gunakannya seorang diri. Ada benarnya dan ada yang tidak benarnya. Kita tidak akan sedar apa sahaja yang ada dalam genggaman kita sekalipun lama kelamaan kita akan penat menggenggamnya lalu kita lepaskan tanpa sedar. Ketika mana apa yang ada di hadapan kita hilang, kita sedikit pun tidak mampu untuk mendapatkannya. Ketika mana apa yang ada di hadapan kita meninggalkan kita, kita takkan mampu untuk menghalangnya pergi dan ia akan tetap pergi. Itulah hakikat semua yang ada pada kita. Maka adakah kita layak berkata ‘ini milikku’?

Orang bijak pandai ada berpesan “Harta letaknya di jantung hati, bukan di tangan”. Pesanan ini untuk mengajarkita jika sesuatu hanya di tangan, kita akan faham satu hari nanti kita perlu melepaskannya kerana kudrat kita takkan mampu memegang apa sahaja selamanya. Maka kita akan mampu menerimanya jika ia meninggalkan kita kelak. Jika kita letakkan sesuatu di jantung hati, kita tidak akan sanggup kehilangannya dan akhirnya akan memberi kesan pada diri jika berlaku kehilangan. Jika kita mencintai seseorang, kita akan menyangka dia adalah milik kita dan diri kita adalah miliknya. Sedangkan kita tahu suatu hari nanti dia akan meninggalkan kita atau kita perlu meninggalkan dia. Maka kehilangan orang tersayang tentunya akan memberi kesan yang besar dalam hidup.

Sifat ingin memiliki dan dimiliki adalah lumrah bagi manusia. Namun kita harus sedar apa sahaja yang kita miliki adalah amanah yang perlu dipelihara dan bersedia kehilangannya suatu masa kelak. Maka kita selalu meletakkan Allah SWT sebagai penghubung segala yang kita miliki. Kerana apa yang kita ada sekarang adalah dariNya dan suatu hari nanti pasti Dia akan mengambilnya tanpa kita punya kuasa untuk menahan. Tanpa kita sedari dan tanpa kita sempat untuk menghargai.

"anak adam(manusia) itu berkata 'hartaku-hartaku'. padahal apa yang sebenarnya menjadi harta milik kamu itu, kecuali apa yang telah engkau makan lalu engkau habiskan dan yang telah engkau gunakan sebagai pakaian lalu engkau rosakkan serta yang telah engkau sedekahkan lalu engkau sempurnakan"-riwayat muslim.

Posted by Insan Biasa at 12:55 AM 0 comments  

Hadith ke-11: Tinggalkan yang Meragukan

3/19/12


Dari Abu Muhammad, Al Hasan bin ‘Ali bin Abu Thalib, cucu Rasululloh Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kesayangan beliau radhiallahu 'anhuma telah berkata : “Aku telah menghafal (sabda) dari Rasululloh Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu, bergantilah kepada apa yang tidak meragukan kamu “.
(HR. Tirmidzi no 2518 dan berkata Tirmidzi : Ini adalah Hadits Hasan Shahih, an-Nasai no.5711,8/327-328, Ibn Hibban dan al Hakim)

Huraian Hadis:

Kalimat “yang meragukan kamu” maksudnya tinggalkanlah sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan bergantilah kepada hal yang tidak meragukan. Hadits ini kembali kepada pengertian Hadits keenam, yaitu sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya banyak perkara syubhat”.

Meninggalkan yang syubahah akan membawa seseorang itu kepada sifat warak. Ia merupakan manfaat umum untuk menjaga diri daripada was-was syaitan.

Timba Bukan Milikku

Ibrahim Adham pernah ditanya,"Kenapa tuan tidak minum air zamzam?"Lalu dia menjawab,"Jika sekiranya aku mempunyai timba, nescaya aku minum, sedangkan timba yang ada adalah timba kerajaan adalah syubahah.

Apabila bertembung yang syak dan yang yakin, kita hendaklah mendahulukan yang yakin dan meninggalkan yang syak. Misalnya seseorang telah mengambil wudhu dengan yakin kemudian timbul syak, adakah wudhunya dikira terbatal? Maka dia dikira orang yang berwudhu.

Orang yang terlibat dengan yang haram tetapi hendak menghentikan yang syubhah terlebih dahulu adalah tidak betul. Tinggalkanlah yang haram dahulu.

Ibn Umar telah berkata kepada penduduk Iraq yang bertanya kepadanya tentang hukum najis darah nyamuk:"Mereka bertanya kepadaku tentang darah nyamuk sedangkan mereka telah membunuh Saidina Hussain. Aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud 'kedua-duanya adalah penawar bagiku'

Pengajaran:

1. Meninggalkan perkara syubhah dan mengambil yang halal akan melahirkan sifat warak.

2. Keluar daripada ikhtilaf ulama lebih utama kerana hal tersebut lebih terhindar daripada perbuatan syubhah khususnya jika antara pendapat mereka tidak ada yang dapat dikuatkan.

3. Jika keraguan bertentanga dengan keyakinan, maka ambillah keyakinan.

4. Sesuatu perkara haruslah jelas berdasarkan keyakinan dan ketenangan. Tidak ada harganya keraguan dan kebimbangan.

5. Berhati-hati terhadap sikap meremehkan masalah agama dan ibadah.

6. Siapa yang berjinak-jinak dengan perkara yang syubhah, dia akan berani melakukan perkara yang haram.

Posted by Insan Biasa at 11:07 PM 0 comments  

Hadith ke-10: Baik dan Halal - Syarat diterima Doa

3/18/12


Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada orang mukmin sebagaimana Dia memerintahkan kepada para Rasul. Allah SWT berfirman 'Hai para Rasul, makanlah segala sesuatu yang baik dan kerjakanlah amal soleh'(Surahal-Mukminun 23:51). Dia juga berfirman:'Hai orang yang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada apa yang Kami rezekikan kepadamu.'(Surah al-Baqarah 2:172). Kemudian Rasulullah SAW menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan yang jauh, rambutnya kusut masai dan penuh debu. Dia menadah kedua-dua tangannya ke langit dan berdoa'Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!', sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan perutnya dikenyangkan dengan makanan haram, maka bagaimana akan diterima permohonannya(doanya)?"
(Riwayat Ahmad no.8348, Muslim no.1015 dan at-Tirmizi no.2922)

Huraian Hadis:
Kata "Thayyib" (baik) dalam hadis ini adalah berkenaan dengan sifat Allah maksudnya "bebas daripada segala kekurangan dan celaan)

Hadis ini merupaka salah satu dasar dan landasan pembinaan hukum Islam. Hadis ini berisi unjuran membelanjakan sebahagian daripada harta yang halal dan melarang membelanjakan harta yang haram. Makanan, minuman, pakaian dan sebagainya hendaklah diperoleh dari sumber-sumber yang halal tanpa bercampur baur dengan yang shubhah.

Orang yang ingin memohon doa kepada Allah hendaklah memperhatikan syarat-syarat yang tersebut dalam hadis ini. Hadis ini juga menyatakan seseorang yang membelanjakan hartanya dalam kebaikan bererti dia telah membersihkan dan menyuburkan hartanya. Makanan yang enak tetapi tidak halal menjadi mala petaka bagi mereka yang memakannya dan Allah tidak akan menerima amal kebajikannya.

Pengajaran:
1. Allah tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Maksudnya sesiapa yang bersedekah dari sumber yang haram tidak akan diterima.
2. Sesuatu yang disebut baik adalah apa yang dinilai baik di sisi Allah.
3. Berlarut-larut dalam perbuatn haram akan menghalang seseorang dari termakbul doanya.
4. Orang yang melakukan maksiat tidak termasuk dalam golongan yang termakbul doanya kecuali mereka yang Allah kehendaki.
5. Makanan yang haram merosakkan amal kebajikan dan menjadi penghalang penerimaan amal kebajikan.
6. Dianjurkan berinfak dengan sesuatu yang halal dan dilarang berinfak dari sesuatu yang haram.
7. Seseorang akan diberi ganjaran jika memakan sesuatu yang baik dengan maksud agar dirinya diberi kekuatan untuk taat kepada Allah SWT.
8. Sebahagian daripada sebab dimakbulkan doa adalah:
a) Sedang bermusafir
b) Hati yang sedang mengharap
c) Kondisi yang bersahaja dalam berdoa.
d) Mengangkat kedua-dua tanga ke langit.
e) Merayu dalam berdoa
f) Keinginan yang kuat dalam permintaan.
g) Memakan makanan dan minuman yang halal.
h) Memakai pakaian yang halal.
Posted by Insan Biasa at 10:50 PM 0 comments  

Hadith ke-9: Pilih yang Mudah, Tinggalkan yang Susah.

3/17/12



Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Abdul Rahman bin Shakhr r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apa yang saya larang kamu lakukan maka jauhilah, dan apa yang saya perintahkan kamu lakukan. Maka kerjakanlah sekadar kemampuan. Sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah banyak pertanyaan dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka(tidak mahu taat dan patuh)

(Riwayat Al-Bukhari, no. 6777 dan Muslim no 1337

Huraian Hadith:
Hadis ini terdapat dalam kitab Muslim daripada Abu Hurairah r.a dia berkata:"Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan kami, sabda baginda yang bermaksud:'Wahai manusia, Allah telah mewajibkan kepadamu haji, kerana itu berhajilah. 'Al-Aqra' bin Habis r.a bertanya: 'Wahai Rasulullah, adakah setiap tahun?' Baginda diam, sampai Al-Aqra' bertanya 3 kali, lalu Nabi SAW menjawab:'Kalau aku katakan ya, nescaya menjadi wajib sedangkan kamu tidak akan sanggup melakukannya.'

Kemudian baginda bersabda: 'Biarlah aku dengan apa yang aku diamkan, kerana kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana banyak bertanya dan membangkang nabi-nabi mereka. Maka jika aku perintahkan melakukan sesuatu, kerjakanlah menurut kemampuanmu, jika aku melarang kamu melakukan sesuatu, maka tinggalkanlah.'

Para ahli usul fiqh mempersoalkan mempersoalkan perintah dalam agama, apakah perintah itu harus dilakukan berulang-ulang atau tidak?

Sebahagian besar ahli usul fiqh dan ilmu kalam menyatakan tidak wajib berulang-ulang. Akan tetapi, yang lain menyatakan setuju atau menolak, tetapi menunggu penjelasan selanjutnya.

Hadis ini dijadikan dalil bagi mereka yang bersikap menanti, kerana sahabat tersebut bertanya:"Adakah setiap tahun?" Sekiranya perintah itu dengan sendirinya mengharuskan pelaksanaan berulang-ulang atau tidak, tentu nabi SAW tidak menjawab dengan kata-kata "kalau aku katakan 'Ya nescaya menjadi wajib dan kamu tidak akan sanggup melakukannya." Bahkan tidak ada gunanya hal tersebut ditanyakan.

Akan tetapi perintah itu mengandungi pengertian tidak perlu dilaksanakan berulang-ulang. Kaum muslimin sepakat bahawa menurut syariat, haji itu hanya wajib dilakukan sekali seumur hidup.

Pengajaran:
Jangan membanyakkan pertanyaan atau soalan tentang perkara yang belum pernah terjadi, sukar difahami dan yang menimbulkan masalah yang menyulitkan dan menyempitkan hukum agama.

Sesuatu yang didiamkan itu merupakan rahmat bagi kamu, maka janganlah bertanyakan lagi seperti firman Allah "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bertanya tentang sesuatu yang jika dijelaskan kepada kamu akan menyusahkan kamu"(Surah Al-Maidah:ayat 101)

Rujukan: Hadis 40 Imam Nawawi terbitan Telaga Biru
Posted by Insan Biasa at 10:20 PM 0 comments  

Kebimbangan tentang penggunaan facebook di kalangan kanak-kanak sekolah

3/13/12


Dalam dunia teknologi maklumat hari ini, internet sedah sebati dalam hidup kita, hampir semua peringkat umur menikmati kemudahan ini hampir di setiap tempat dan hampir di setiap masa. Jika ada yang tidak tahu menggunakan internet akan dianggap ketinggalan zaman dan banyak perkara yang tidak bolah dilakukan akibat tidak cukup maklumat. Maka tidak hairan jika kemudahan internet ini sudah dikuasai oleh seorang kanak-kanak sekolah rendah malah juga kepada kanak-kanak yang belum bersekolah.

Namun pendedahan kepada kanak-kanak nampaknya tidak selari dengan pemantauan oleh penjaga mereka. Kanak-kanak yang biasa menggunakan internet mudah terdedah dengan pelbagai jenis maklumat , tidak terkecuali maklumat yang buruk. Tap pemantauan ibu bapa atau keprihatinan penjaga tentang apa yang dilayari oleh anak-anak mereka di internet dirasakan tidak selari dengan kebebasan yang diberikan. Benar kita perlu percaya kepada anak-anak, tetapi ibu bapa tidak sepatutnya memberikan kepercayaan seratus peratus tentang apa yang dilakukan oleh anak-anak di internet terutama mereka yang di bawah umur. Hal ini kerana kanak-kanak masih kurang arif menillai pelbagai takrif keburukan yang berada di dunia maya yang terlalu luas buat meraka.

Saya ingin melahirkan rasa bimbang tentang penggunaan laman sosial yang menjadi kegilaan anak muda masa kini, tidak terkecuali kanak-kanak sekolah. Malah kanak-kanak sekolah rendah juga sudah pandai membuat ‘akaun’ di laman social ‘facebook’ untuk berinteraksi dengan kawan-kawan mereka. Pada hemat saya, apa yang terdapat di internet adalah terlalu luas untuk dilayari oleh kanak-kanak. Mereka masih mentah untuk menghadkan kemahuan yang yang terlalu mudah diperoleh di internet.

Jika dilihat dari status-status yang kanak-kanak ini tulis kadangkala mengundang rasa sedih dan kecewa kerana status itu tidak patut ditulis oleh seorang kanak-kanak. Malah mungkin juga boleh mengundang rasa marah sesetengah pihak. Kanak-kanak sekolah yang selalu mengikut perasaan akibat marah kepada mana-mana individu seperti rakan-rakan, guru malah ibu bapa seringkali menggunakan medan laman sosial facebook untuk melepaskan kemarahan mereka dengan luahan hati yang bersifat benci, dendam malah ada yang berbentuk ugutan. Hal ini bukanlah sesuatu yang dilihat ‘sihat’ dan layak dilakukan oleh seorang kanak-kanak. Saya juga kurang selesa melihat status cinta yang selalu dikongsi oleh kanak-kanak sekolah bersama-rakan-rakan mereka. Mereka begitu bangga mewar-warkan makwe atau pakwe masing-masing. Malah ada yang meletakkan gambar bersama couple. Bukankah ini tidak manis dilihat dan perlu dihentikan. Malah bagi yang beragama Islam pasti lebih faham tentang budaya ‘tidak sihat’ ini.

Pastikan kebebasan yang diberi selari dengan pemantauan terhadap anak-anak.

Justeru itu bagi ibu bapa, jika mahu membiarkan anak-anak anda terlibat dengan mana-mana laman sosial, pastikanlah apa yang mereka post pada status mereka adalah sesuatu yang sesuai dengan umur mereka. Pastikanlah juga gambar-gambar yang mereka upload adalah gambar yang sesuai dengan akhlak mereka sebagai seorang anak yang anda dambakan. Janganlah biarkan mereka melakukan apa yang mreka suka lakukan kerana dikhiatiri anak-anak cenderung melakukan sesuatu yang di luar batasan kanak-kanak dan mereka tidak tahu itu tidak baik untuk mereka. Ibu bapalah yang perlu membimbing dan memberitahu mereka apa yang patut dan apa yang tidak patut mereka lakukan. Dikhiatiri mereka mungkin membuatkan mereka menyesal dan merosakkan masa depan kelak.

Saya tidak menyalahkan semua kanak-kanak. Mungkin sebahagian sahaja yang berkelakuan seperti yang saya nyatakan di atas. Masih ramai kanak-kanak sekolah yang tetap taat dan patuh kepada arahan dan nasihat ibu bapa mereka. Namun kepada ibu bapa atau penjaga, tidak cukup dengan hanya menasihati dan mengingatkan mereka. Kanak-kanak patut dipantau sentiasa dan jika tidak mampu memantau mereka. Teruslah halang mereka menggunakan kemudahan ini hingga sampai masa yang sesuai.

Allah berfirman:"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (Tahrim 66:6)



Posted by Insan Biasa at 10:16 AM 0 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png