Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Ulama (guru) jalankan tugas nabi-nabi

3/23/09

Mon | Jun 02, 08 | 1:13:46 pm MYT

Kehadiran nabi-nabi di muka bumi ini, adalah dirancang secara khusus oleh Allah SWT untuk menyelamatkan seluruh bangsa manusia agar melakukan peribadatan hanya kepada-Nya dengan ajaran yang tepat seperti yang diajarkan oleh nabi-nabi Ia bertujuan agar manusia hanya menyembah Tuhan yang sebenar iaitu Allah SWT.

Peranan nabi-nabi bukanlah kecil, memandangkan tugas utama mereka adalah mengajak manusia seluruhnya untuk kembali kepada fitrah asal kejadian mereka iaitu menyembah Allah, maka ia tidak terhenti hanya setakat itu, malah mengajar manusia juga ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tauhid kepada Allah.

Mereka (para nabi) juga terdedah kepada tribulasi yang mengancam kedudukan sebagai nabi. Walau bagaimanapun Allah SWT memelihara mereka bukan sahaja mudah ditimpa musibah yang berat-berat, malah memelihara mereka daripada sebarang unsur yang boleh menjejas nama baik serta harga diri.

Tribulasi, ujian semasa menjalankan tugas dakwah adalah perkara biasa yang mesti dilalui mereka yang bergelar 'pendakwah', ia bagi mematang dan memantapkan kesungguhan mereka ketika berdakwah.

Walau bagaimanapun mereka tetap manusia, ia berhadapan dengan jangka hayat yang telah ditetapkan oleh qada' dan qadar Allah, iaitu menghadapi ujian kematian. Hal ini juga termasuk dalam perancangan Allah kerana bagi-Nya golongan pelapis sudah disediakan.

Ia juga menandakan bahawa manusia tidak selama-lamanya bergantung kepada pihak tertentu seperti pengikut-pengikut para nabi terdahulu, begitu juga para sahabat mesti memikul tanggungjawab menyampaikan Islam sejurus selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.

Para sahabat memikul tugas menyampaikan ilmu

Setelah kewafatan baginda Rasulullah s.a.w., walaupun dianggap sebagai satu kehilangan besar dalam sejarah tamadun Islam dan manusia, ia segabai satu pemergian yang telah dirancang Allah, agar tugas yang telah disampaikan sebelum ini dapat disambung oleh generasi selepasnya iaitu para sahabat.

Dalam kesibukan mentadbir negara, para sahabat tidak lupa tanggungjawab memberi kesedaran agama kepada rakyat di bawah pemerintahan mereka. Ini jelas berlaku semasa pemerintahan khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq, ia disambung oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan begitulah seterusnya.

Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka, Mu'az Bin Jabal yang pernah dihantar baginda Rasulullah ke negara Yaman, pernah mengingatkan penduduk negara itu melalui satu ungkapan yang cukup masyhur: "Duduklah bersamaku dan beriman walau sesaat" daripada kehidupan kamu.

Kata-kata Mu�az meninggalkan kesan mendalam pada setiap diri penduduk Yaman, akhirnya menyebabkan mereka rasa bertanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu akidah, fiqh, sirah, tafsir, hadis dan sebagainya yang dianggap sebagai ilmu-ilmu alat terpenting.

Ini bermakna, para sahabat telah menjalankan tugas dan peranan menyampaikan dakwah dan ilmu-ilmu Islam, hingga mereka juga terpaksa menyahut panggilan Ilahi untuk mengadap-Nya.

Maka tugas besar dan penting itu pula diambil alih oleh golongan Tabi'in yang memperlihatkan kesungguhan mereka berdakwah bagi memastikan kesinambungan ilmu-ilmu Islam dan dakwah diterima oleh generasi berikutnya.

Kegemilangan Islam terserlah pada zaman para ulama terbilang, mahu tidak mahu walaupun berdepan dengan pelbagai kerenah pemerintah dan rakyat yang semakin cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan, dakwah Islam tetap diutamakan.

Pemerintah bersaing memuliakan ulama

Apabila Islam berkembang pesat dan semakin mendapat tempat di hati umat melalui pengembangan ilmu dan tamadunnya, terdapat para pemerintah dan ketua-ketua negara pada zaman silam, saling bersaing antara satu sama lain pada memuliakan para ulama, sasterawan serta cendekiawan.

Pernah disebut, bahawa suatu hari pada zaman silam, terdapat seorang pemerintah yang dikenali sebagai Khalifah Harun ar-Rasyid sering menjemput ulama ke istananya untuk menyemak sistem pemerintahannya, mereka dimuliakan dengan sebaik-baiknya oleh khalifah dan kemudiannya memberi hadiah atau sagu hati sebagai tanda ingatan.

Begitu juga sikap segelintir pemerintah yang cintakan agamanya, mereka menghantar utusan bagi mendapatkan khidmat para ulama untuk memantau sistem pemerintahan yang mereka jalankan agar selari dengan tuntutan hukum-hukum Islam.

Para utusan dibekalkan surat akuan pemerintah yang ditulisnya sendiri di atas sekeping warkah yang sangat mahal harganya untuk diserahkan kepada mereka agar bersedia untuk menerima jemputan pemerintah berkenaan.

Ia tidak lain adalah untuk menghargai sumbangan ulama dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang benar daripada Allah SWT.

Kisah Khalifah Harun dengan guru anak-anaknya

Suatu hari Khalifah Harun menjemput seorang guru kepada anak-anaknya yang dikenali sebagai Kisaie agar datang ke rumahnya untuk menjamu selera bersama keluarganya.

Kisaie seorang guru agama yang semakin kabur penglihatannya, namun kesempatan yang terluang untuk mendapat keberkatan guru diambil oleh Khalifah Harun untuk mencucurkan air ke atas tangan guru berkenaan selepas selesai menjamu selera.

Kisaie kemudiannya menyuruh agar dibawakan kedua belah seliparnya, pada kesempatan itu, kedua-dua anak khalifah iaitu al-Amin dan al-Makmun masing-masing menerjah ke muka pintu untuk mendapatkan selipar gurunya.

Pada saat itulah terjadi perebutan di antara kedua-duanya. Melihat keadaan itu khalifah memerintahkan agar masing-masing anaknya membawa selipar tersebut sebelah sahaja, mereka berdua akur dengan arahan tersebut.

Selepas tuan guru tersebut keluar dari rumah, salah seorang para hadirin telah bertanya kepadanya: Barangkali mungkin tuan guru kenal orang yang telah mencucurkan air ke atas tangan dan meletakkan selipar di hadapan kaki tuan guru tadi.

Kisaie menjawab: Manalah aku tahu semuanya, boleh jadi yang lakukan semua itu khadam, walau apapun semoga Allah sentiasa memeliharanya.

Orang yang bertanya tadi menjelaskan, bahawa sebenarnya yang mencucurkan air ke atas tangan tuan guru adalah khalifah sendiri sementara kedua-dua anaknya yang telah membawakan kedua-dua belah selipar.

Mendengar penjelasan itu, Kisaie segera memanjatkan doa kepada Allah agar kehidupan baginda khalifah sekeluarga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah, di samping mengangkat taraf martabat dan kedudukan mereka, baik di dunia mahu pun di akhirat.

Allah memuliakan ulama

Allah SWT menegaskan melalui firmannya dalam ayat 122 surah at-Taubah: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)."

Ayat di atas menjelaskan bahawa, menuntut ilmu itu satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ulama mesti belajar secara mendalam tentang urusan ilmu agama yang bertujuan supaya menyedarkan kaumnya daripada terjebak dalam melakukan perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai agama.

Jika tugas menuntut ilmu dapat dicapai dengan baik, kemudian dapat pula menyampaikannya kepada umat agar sentiasa berjaga-jaga dan waspada, tidak ada sebab mengapa mereka tidak dimuliakan Allah, itulah yang akan melonjakkan kedudukan sebenar ulama yang sebenar yang mahu dihasilkan oleh Islam.

Seorang tokoh ulama kontemporari, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menjelaskan dalam bukunya 'Rasul dan Ilmu', apabila ulama mampu menjana lima perkara berikut, pasti mereka akan dimuliakan Allah SWT, sekali gus melonjakkan mereka diri sebagai pewaris tugas nabi-nabi:

  1. Amanah terhadap ilmu yang dipelajari.
  2. Rasa mendalam terhadap tanggungjawab kepada agama, negara, masyarakat.
  3. Memilki ciri kemuliaan diri (untuk menyelamatkan agama daripada penyelewengan).
  4. Memilki ciri tawaduk yang diperlukan.
  5. Beramal sesuai dengan tahap ilmu di dada.

Ulama yang mendapat kehinaan

Perkara ini telah disingkap Allah melalui firman-Nya ayat 176 surah al-'Araf yang bermaksud: "Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."

Sesungguhnya Allah umpamakan ulama yang cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan serta tidak menjalankan tugas menyampaikan Islam ibarat seekor anjing yang hina di sisi Allah SWT.

Kerana ayat tersebut diturunkan ke atas seorang ulama Bani Israil bernama Bal'am Bin Baurak, yang diamanahkan Nabi Musa untuk menyampaikan Islam kepada Firaun memandangkan keilmuannya yang cukup tinggi dibandingkan dengan orang lain pada waktu itu.

Balam bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi sesampainya dia di istana Firaun, dia berpaling tadah tidak mahu menyampaikan tugasnya untuk berdakwah, malah mengikut segala telunjuk Firaun yang menjanjikan pulangan lumayan.

Maka kisah tersebut diabadikan dalam al-Quran sebagai bahan renungan kepada generasi hari ini dan akan datang, agar tidak terperangkap dengan bisik rayu syaitan yang dikutuk Allah sampai hari akhirat. lanh_


Sumber-Harakahdaily...

Ulasan-Ajar kimia pon boleh berdakwah...Memang kimia tu sendiri ilmu ALLAH..-muazzin

Posted by Insan Biasa at 12:05 PM  
0 comments

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png