Terasa ingin berkongsi sedikit pengalaman hidup yang semakin singkat ini. Mungkin tidak seberapa, sekadar ingin mengisi masa. Jika ada manfaatnya, alhamdulillah. Jika kosong isinya, harap ditegur. Saya juga masih belajar di samping mengajar. Mereka yang saya ajar juga banyak mengajar saya erti hidup. Hidup yang tak selalu cerah. Tapi kita boleh cerahkannya. Selagi mana ada hidupan, di situ ada harapan.
Kerana aku LELAKI
Tadi dengar kuliah ustaz, tafsir surah An-Nisa' ayat pertama yang menerangkan peranan lelaki yang lebih banyak dari wanita. Banyak dari segi tanggungjawabnya. Sebagai hamba, anak, suami dan ayah. Sememangnya saya tak banyak peranan lagi, namun sangat susah rasanya nak memenuhi peranan yang sedikit itu. Bagaimana nak menambah peranan. Termenung sekejap kalau terfikir perkara ini. Banyak lagi yang perlu dilatih. Banyak lagi yang perlu ditagih. Banyak lagi yang perlu ditempuh. Dah biasa dengan peranan yang sedikit, baru boleh tambah peranan gamaknya. Saya dapati diri ini lebih mudah menulis berbanding bercakap. Kadangkala orang kata saya pendiam, kemudian saya cuba jadi 'kecoh'. Tapi selepas itu rasa kesal kerana ada yang terlepas cakap. Mungkin saya tak sesuai bercakap banyak. Maka tulisan mungkin boleh dijadikan medium interaksi diri. Sebagai catatan harian dan muhasabah diri. Teladan dan sempadan untuk pembaca jika ada. Tegurlah jika tersalah. Saya masih belajar.
P/S : Sebenarnya baru habis membaca buku bertajuk 'Nota Hati Seorang Lelaki' karangan Pahrol Mohd Juoi. Cuba mencontohi beliau. Jika tidak banyak, sedikit. Kongsi hidup dengan melihat dan belajar dari persekitaran dan pengalaman. Setiap yang berlaku di sekitar kita, ada hikmah yang Allah mahu kita mencarinya.