Jadilah Golongan Ini..
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}
3/29/11
"Mulai saat ni, aku adalah musuh utama kau"
"Aku akan buat hidup kau sengsara macam yang aku rasa"
"Aku bersumpah atas nama arwah ayah aku, aku akan buat kau hancur, sedikit demi sedikit"
"Aku nak kau masuk neraka sebab kita dan putus silaturrahim. Tak gunalah semua amalan kau"
Bagaimana jika ada seseorang menghantar mesej sebegini kepada anda? Apakah yang anda rasa? Takut? Geram? Sedih? atau sedang ketawa? Inilah satu lagi episod hidup saya.Saya telah dianggap musuh oleh individu yang pada mulanya seorang kawan. Tapi akhirnya berikrar sayalah musuh utamanya kerana gagal mendapatkan apa yang dia mahukan. Sedihnya apabila nilai sahabat itu disandarkan pada rasa ingin dihormati dan semua jasa mahu dibalas dan dihargai manusia. Melahirkan perbuatan tidak pernah ikhlas dan sentiasa mahukan penghargaan dari manusia. Jika itu tidak diperoleh, hati jadi sakit. Sakit yang akhirnya menjadi hasad.
Mungkin saya juga tak mampu memenuhi kehendak semua orang meskipun saya selalu mencuba. Saya menerima kekurangan ini. Pada awalnya saya merasakan saya boleh mengubah seseorang dan terus berusaha, namun hidayah itu milik Allah. Kita hanya berusaha dan menyampaikan, selebihnya Allah yang memberi keputusannya. Rupanya saya yang dikhianati dan di'guna'kan untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Akhirnya saya sendiri yang terkesan dengan tindakannya dan terpaksa menjauhkan diri untuk mengelakkan dari terus di'guna' sebagai perisai semua kisah ciptaannya.
Tindakan saya menjauhkan diri dengan niat mahu dia tahu perbuatannya salah nampaknya tidak berhasil. Malah saya dipersalahkan olehnya kerana tidak mahu lagi menolongnya dan telah membuatkan orang memandang serong kepadanya. Saya dijadikan punca orang lain memandang serong semua perbuatannya. Dia akhirnya menyimpan hasad kepada saya dan mahu melihat saya susah suatu masa kelak. Jika anda di tempat saya, apa yang anda rasa?
Tujuan saya menulis cuma untuk mendapatkan sedikit pandangan pembaca tentang musuh yang sedang saya hadapi. Walaupun saya tidak menganggap dia musuh, tapi nampaknya saya telah dimusuhi dan ada perkara yang mahu diperlakukan. Mungkin anda pernah berhadapan dengan perkara ini. Saya boleh sahaja tidak menghiraukannya. Tetapi mungkin dia masih boleh dibantu atau terus dielak hingga akhir hayat.
"Ketahuilah bahwa sekiranya semua makhluk berkumpul untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, niscaya mereka tidak akan bisa memberikan kamu manfaat kecuali apabila hal itu telah ditakdirkan kepadamu. Dan sekiranya mereka berkumpul untuk mendatangkan suatu bahaya kepadamu, niscaya mereka tidak kuasa mendatangkan bahaya itu kepadamu, kecuali apabila hal itu telah ditakdirkan untukmu."
Mutiara Kata
"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS