Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Sabar itu Tiada Hadnya

4/2/12

Arus hidup hari ini sungguh mencabar. Cabaran demi cabaran berada di setiap penjuru pilihan yang kita buat. Setiap jalan terasa takut untuk di telusuri. Takut andai diri ini tidak kuat akhirnya jatuh tersungkur dan sukar lagi untuk bangun berjalan seperti sebelumnya. Dugaan yang begitu hebat memerlukan persediaan didikan diri yang paling berkesan. Sabar. Sabar dalam menjalani hidup yang penuh ujian akan menjadikan seseorang itu lebih kuat, lebih cekal dan lebih matang untuk terus berjuang. Sifat sabar memerlukan keimanan yang jitu. Kerana sabar itu sebahagian daripada iman. Iman yang sempurna akan dihiasi sifat sabar dan syukur dalam setiap peristiwa sekolah kehidupan.

Namun malang sekali apabila ada segelintir dari kita yang suka menghadkan kesabaran dalam diri mereka. Sampai satu tahap yang tidak mampu ditanggung, kemarahan yang selalu ditahan oleh benteng kesabaran seperti meletup bak letusan gunung berapi menyemburkan kepanasannya hingga menghapuskan hikmah kesabaran yang bina sebelumnya. Akhirnya rasa hormat dan simpati orang lain kepada kita sebelumnya lebur kerana kegagalan kita mengawal kemarahan.

“Takkan asyik aku sahaja yang kena”, “Sampai bila aku harus bersabar?”, “Sabar aku pun ada batasnya”, “Aku dah lama bersabar”. Rungutan seperti ini biasa kita dengar dari mulut orang sekitar kita. Mungkin juga pernah keluar dari mulut kita sendiri. Ungkapan ‘sabar itu ada batasnya’ sebenarnya adalah ungkapan yang salah dan bukan melambangkan nilai murni dalam Islam. Orang yang menghadkan sabar mereka sebenarnya sudah meletakkan titik kelamahan atau satu kayu ukur dalam diri mereka dalam melakukan kebaikan. Kerana kesabaran itu adalah satu kebaikan. Maka orang yang hilang sabarnya sebenarnya sudah hilang sebahagian sifat baik dalam dirinya.

Namun ini bukanlah bermakna kita patut membiarkan diri kita di buli atau dianiaya oleh orang lain. Cukuplah dengan mengelakkan diri daripada pergaduhan yang lebih besar atau mengambil tindakan berdiam diri. Lebih baik daripada kita mengamuk tidak tentu arah dengan kata-kata kesat atau membalas dendam yang akan menimbulkan suasana kacau dan permusuhan yang lebih besar. Sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik-baik ataupun diam”(Muttafaq Alaih). Oleh kerana kemungkinan kata-kata kesat mungkin boleh terkeluar dari mulut ketika kita hilang sabar, diam adalah lebih baik.

Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengajar umatnya untuk menghadkan kesabaran. Malah jika kita merasakan sabar kita sudah sampai ke puncaknya, kita disuruh meningkatkan lagi tahap kesabaran dan teruskan bersabar. Benar jika kita di pihak yang benar, kita dibolehkan membalas balik semua kejahatan orang kepada kita tetapi jika kita mampu bersabar, itu adalah lebih disukai Allah. Firman Allah:

Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. An-Nahl :Ayat 126

Hadis Ibn Umar R.A, "Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai

dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu"

(Al-tirmizi 2507, Ibn Majah 4032)

Maka jelas kita sepatutnya tidak meletakkan had untuk bersabar malah seharusnya meneruskan kesabaran dan tetap dengan sifat itu. Nescaya sesungguhnya kita berada dalam kalangan orang yang berjaya. Ingatlah jika kita sudah mula hilang sabar, itulah saatnya hilangnya semua kemuliaan yang kita cuba pertahankan selama ini dan Allah mulai menjauhi kita. Allah bersama orang yang sabar. Siapakah yang lebih kuat daripada kita jika Allah sentiasa bersama kita?

"Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

Ali Imran: Ayat 200

Posted by Insan Biasa at 8:54 AM  
0 comments

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png