“Apa yang ada, jarang disyukuri, apa yang tiada, sering
dirisaukan. Nikmat yang di kecap, barukan terasa, bila hilang di dalam
genggaman”
Inilah sebahagian lirik nasyid yang dinyanyikan satu
kumpulan nasyid suatu masa dahulu. Tentang syukur. Kita memahami syukur apabila
perkataan ‘terima kasih’ di ucapkan untuk manusia atau ‘alhamdulillah’ ketika
berdoa kepada Allah. Ucapan ini selalu kita dengar dan boleh menjadi
sekurang-kurangnya penyejuk hati apabila mendengarnya atau semasa
melafazkannya.
Saya pernah mendengar seorang penceramah berpendapat,
“Syukur itu bukan kadangkala tarafnya lebih tinggi daripada sabar”. Kerana
ramai antara kita mampu bersabar apabila ditimpa musibah, kerana hanya itu yang
mampu kita lakukan. Bersabar dan bersabar. Tapi tak ramai antara kita mampu
bersyukur ketika mendapat nikmat. Mungkin mulutnya boleh mengucapkan kalimah
syukur, namun perbuatannya sukar untuk menggambarkan kesyukuran itu. Malah yang
paling sukar dilakukan adalah melafazkan kesyukuran ketika ditimpa musibah dan
kesedihan.
Kita suka untuk bersyukur apabila mendapat nikmat. Tapi selalunya
kita selalu lupa untuk bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita selalu sedih
apabila tak mampu membeli kasut yang cantik dan mahal, namun lupa bahawa kita
telah dikurniakan kaki yang hebat. Apabila kaki kita sakit dan tak boleh
digunakan, barulah kita terasa betapa hanya kaki itu adalah nikmat yang tak
terhingga. Namun kita tak mampu menggunakannya untuk membuat perkara kebaikan
seperti hadir ke masjid dan majlis-majlis ilmu sebagai tanda syukur.
Kita selalu fikir musibah itu suatu yang tidak disukai dan
perlu dielakkan. Itu benar, kita tidak boleh sengaja mencari musibah dan
menzalimi diri sendiri. Namun apabila benar-benar telah ditimpa musibah, kita
tak mampu untuk bersyukur. Cuba fikirkan kita selalu mahu nak elakkan kesedihan
tapi sedih banyak membawa manusia kepada Tuhan. Ramai manusia berjaya kembali
kepada Tuhannya selepas musibah yang datang kepadanya. Dulunya dia melihat
musibah itu menjatuhkannya, tapi hari ini dia akan melihat jika dia tidak
ditimpa musibah itu, tentulah dia tidak mendapat apa yang dia ada pada hari
ini. Betapa bersyukurnya dia pada ketika itu.
Seorang pelayar yang karam kapalnya dan terdampar di sebuah
pulau tidak berpenghuni. Pelayar itu akur dan redha dengan apa yang berlaku dan
cuba untuk hidup sendiri di pulau itu. Suatu hari selepas mencari makanan,
pondok yang dibinanya di tepi pantai terbakar hangus. Habis barang
kelengkapannya untuk memburu dan membuat makanan hangus terbakar. Ketika itu
dia terduduk sedih mengenangkan nasibnya yang selalu malang. Terkeluar juga
dari mulutnya, “Oh Tuhan, kenapa Aku??” akibat terlalu kecewa dengan ujian yang
menimpanya. Tidak lama selepas itu dating sebuah kapal untuk membawanya pulang.
Pelayar itu bertanya, bagaimana mereka tahu dia ada di pulau itu. Anak kapal
itu menjawab mereka terlihat asap dari pulau tersebut. Ketika itu barulah
pelayar itu tahu bahawa Tuhan membakar pondoknya untuk menyelamatkannya.
Sungguh hebat perancangan Tuhan hingga tak tercapai dek akal
cetek manusia. Kita sangka Tuhan kejam dan hanya mahu memberi kita musibah.
Namun jika kita percaya kepadaNya, sebenarnya Dia mahu menyelamatkan kita dan
ketika itulah kita akan bersyukur dengan musibah yang menimpa. Wallahualam.