Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata:
"Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagibertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah.Kemudian hendaklah engkau beristiqamah."
Hadis riwayat al-lmam Muslim no.38; an-Nasai no 11489 dan ibn Majah no. 3972
Beliau menyuruh orang tersebut supaya sentiasa memperbaharui imannya dengan ucapan lisan dan mengingat di dalam hati, serta menyuruh dia secara teguh melaksanakan amal-amal soleh dan menjauhi semua dosa.
Hal ini kerana seseorang itu tidak dikatakan istiqamah jika dia menyimpang walaupun hanya sebentar. hal ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Sesungguhnya mereka yang berkata 'Allah tuhan kami' kemudian mereka beristiqamah..."(Surah Fussilat: ayat 30)
Beriman kepada Allah semata-mata kemudian hatinya tetap teguh pada keyakinannya dan taat kepada Allah sampai mati.
Umar bin Khaattab ra berkata:
"Mereka(para sahabat) istiqamah demi Allah dalam mentaati Allah dan tidak sedikit pun mereka itu berpaling, sekalipun seperti berpalingnya musang"
Maksudnya, mereka lurus dan teguh dalam melaksanakan sebahagian besar ketaatannya kepada Allah, baik dalam keyakinan, ucapan, mahupun perbuatan dan mereka terus menerus berbuat begitu(sampai mati). Demikianlah pendapat sebahagian besar para mufasir. Inilah makna hadis tersebut, in sya Allah.
Begitu pula firman Allah SWT yang bermaksud, "Hendaklah kamu beristiqamah seperti yang diperintahkan kepadamu"
Abul Qassim al-Qusyairi berkata:"Istiqamah adalah satu tingkatan yang menjadi penyempurnaan dan pelengkap semua urusan. Dengan istiqamahlah, segala kebaikan dengan semua aturannya dapat diwujudkan. Orang yang tidak istiqamah dalam melakukan usahanya, pasti isa-sia dan gagal."
Dia berkata pula:"Ada yang berpendapat bahawa istiqamah itu hanya dapat dijalankan oleh orang-orang besar, kerana istiqamah adalah menyimpang daripada kebiasaan, menyalahi kebiasaan adat seharian, teguh di hadapan Allah dengan kesungguhan dan kejujuran.
Pengajaran.
1. Beriman kepada Allah SWT harus mendahului ketaatan.
2. Amal soleh dapat menjaga keimanan.
3. Melaksanakan iman dan amal soleh harus berjalan serentak.
4. Sifat beristiqmah merupakan darjat yang tinggi.
5. Para sahabat mempunyai keinginan yang kuat untuk menjaga agama dan meningkatkan keimanan.
6. Perintah untuk istiqmah dalam bertauhid dan ikhlas dalam beribadah hingga ke akhir hayat hanya kepada Allah semata-mata