“Mak kenapa dalam Islam ni semuanya haram je? Takda yang
halal ke?” Tanya seorang anak kepada ibunya. Tersentak ibunya apabila diajukan
soalan itu. Terfikir sejenak apa yang sedang bermain di fikiran anak kecil
berumur 5 tahun ini sehingga terkeluar persoalan itu. Persoalan itu keluar
setelah mendengar di kaca televisyen satu rancangan ceramah tentang larangan
membuka aurat. Mungkin sebelum ini dia telah mendengar banyak lagi di tempat
lain tentang larangan-larangan atau perkara yang diharamkan dalam Islam.
Persoalan itu terkeluar seolah-olah dia telah melihat satu segi kesukaran dalam
mengamalkan ajaran Islam. Malah jika tiada penjelasan, mungkin ajaran Islam akan
menjadi beban kepadanya.
Apa yang ingin dibincangkan di sini adalah bagaimana
kanak-kanak sekecil itu boleh bertanya sedemikian. Pertanyaan itu adalah hasil
daripada apa yang didengar dan dilihat setiap hari. Sama ada secara langsung
ataupun tidak. Persekitaran kanak-kanak
banyak mengajar dan membentuk persoalan di minda mereka. Persoalan
seperti ini menunjukkan kurangnya contoh yang baik dalam Islam di sekeliling
mereka. Walaupun kanak-kanak hidup di persekitaran yang majoritinyaa orang
Islam, namun nampaknya masyarakat sendiri gagal menerapkan nilai-nilai murni
dan segala keindahan dalam amalan Islam.
Seorang bijak pandai pernah menyebut, “kanak-kanak hari ini
belajar tentang akhlak yang baik tanpa melihat contoh”. Contoh yang dilihat
hanya melalui cerita lakonan dan tidak lagi secara langsung. Biarpun melalui
ibu bapa sekalipun, contoh yang baik sukar dilihat. Hal ini menyebabkan
kanak-kanak tidak dapat menyerap ‘aura’ yang hebat lagi, seterusnya masyarakat
gagal melahirkan individu yang hebat dari segi ilmu dan sahsiahnya. Terlalu banyak
aktiviti hiburan yang berlebihan berbanding aktiviti pemantapan rohani dan
motivasi yang didedahkan terutama melalui televisyen hari ini tidak langsung
membantu pembangunan modal insan yang di idam-idamkan.
Jika pun kanak-kanak di ajar tentang larangan-larangan
tertentu, mereka juga perlu di ajar hikmah di sebalik larangan itu. Agar mereka
tidak salah faham tentang Islam itu sendiri. Di samping itu kanak-kanak perlu
diajar tentang banyak lagi keindahan dalam Islam seperti kasih saying,
bersedekah, menghormai yang tua, menyayangi yang muda, berkongsi nikmat dan
pelbagai lagi keindahan seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Pengajaran ini
memerlukan contoh secara langsung agar lebih mudah meresap ke dalam hati
sanubari mereka. Sesungguhnya cabaran yang di hadapi kanak-kanak hari ini amat
hebat kerana terlalu banyak ‘gangguan’ yang membolehkan mereka menjadi insan
soleh dan solehah. Jadi adalah menjadi kebijaksanaan ibu bapa memberikan mereka
‘nikmat’ dalam membesar. Janganlah kerana kesenangan yang mereka rasakan hari
ini menyebabka mereka memandang sepi cara hidup Islam dan melihat cara hidup
Islam menyusahkan. Berilah kanak-kanak hari ini ‘kesusahan’ yang akan mengajar
mereka erti kesenangan di dunia yang kekal abadi kelak. Wallua’lam.