Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Aduh..sakit batang hidung aku...

5/22/09

CINTA ANTA DAN ANTI

'Sesungguhnya mukmin itu bersaudara'..(surah al-hujarat:ayat 10)

"Tidak beriman seseorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis riwayat al-bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan ia juga menerangkan tentang tanggungjawab seorang muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua ayat dan hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seseorang muslim itu mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang bermakna "persaudaraan" sering dijadikan tema untuk persaudaran ikhlas yang bertunjangkan iman dan taqwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi muslim zaman moden. Inilah yag menjadi pengamalan anak-anak harakah islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan islam di tahun 70 an.

Kebangkitan islam yang telah menemukan di Malaysia telah kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank islam dan pelbagai laig di atas nama islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat secular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru didalam fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwah"

Cinta Remaja Dakwah

Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah , isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya cinta yang mereka alami ini telah di "islamik' kan seperti mana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "cinta Ukhuwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup,naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana-anti-anta"

Sms, yahoo messenger,Friendster,email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan islam. Bermula denga kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai….kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan kilosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastic berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta "anta-anti"ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa dipertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat. Wal'iyadhubillah…


Salah faham ukhuwah fillah

Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh pak lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh pak lebai tersebut. tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti disetiap kad, sms dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "ukhuwah fillah kekal abadi"…sekali lagi, makna ukhuwwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu"jemaah" dengan mereka. Aduh…lagi hebat daripada filem "love story" yang pernah popular di tahun 70 an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema "ukhuwwah fillah" menjadi "camoufladge" keatas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, siorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga. Sekali lagi slogan "ukhwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur,dan ia bertentangan dengan mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertal jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka… ini yang paling menarik. Lebih hebat lagi,kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70'an dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan "Abuyya"nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta ana-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhwah fillah membawa ke Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah islamik? Atau penulis yang ketinggalan zaman sehingga naïf terhadap trend muda mudi masa kini? Ataupun fiqh islamiyy juga perlu diubahkan untuk sesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau tidak sihatnya budaya ini. Semoga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

Sumber : http://haidaralkarar.blog.com/

Posted by Insan Biasa at 5:57 PM  
0 comments

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdEnBN4V4CGW5opiEerpYosiJQ0M2hpI3oe7jYotLrYzqloJZqj2dTfvmF0tpWbyYbCEJbkE5oXASmwUR8R1UVtzVrUD7fr2ZJHVLGTi0c1ziBPI421oxUo3UGX9ooH45aqGRV1kwBzaWE/s1600/welcome_03.png