Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

Nizar MB Perak, permohonan tangguh keputusan oleh Zambry ditolak

5/11/09


Mon | May 11, 09 | 4:10:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan yang dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh seluruh rakyat Malaysia diumumkan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim.

Menurut Abdul Aziz, Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri dan beliau merujuk keputusan mahkamah terhadap kes Dato' Stephen Kalong Ningkan.

Sementara itu permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan tersebut bagi mengemukakan rayuan ditolak mahkamah.

Hakim Abdul Aziz dalam penghakiman yang dibacakan mulai jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 2.50 petang tadi berpendapat, Sultan Perak sepatutnya menitahkan Dewan Undangan Negeri Perak bersidang bagi mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar selaku Menteri Besar.

Sambil merujuk kepada kes duluan (precedent) membabitkan Dato' Stephen Kalong Ningkan di Sarawak, beliau berpendapat Menteri Besar baru tidak wajar dilantik selagi Menteri Besar sedia ada belum meletakkan jawatan.

Beliau juga berpuashati bahawa Nizar tidak pernah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah seperti didakwa para peguam Zambry.

Para peguam Nizar dalam penghujahan mereka sebelum ini menegaskan bahawa jika Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah, beliau akan mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pakatan Rakyat dan BN kini masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, PAS, DAP dan KeADILan yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat memenangi 31 daripada 59 kerusi Dun Perak.

Bagaimanapun tiga Adun Pakatan Rakyat pada 4 Februari lalu telah mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas dan menyokong BN selepas hilang secara misteri selama lima hari.

Nizar ketika ditemui pemberita berkata akan segera memohon menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan Dun Perak dan membuka laluan kepada pilihan raya negeri bagi mendapatkan mandat baru rakyat.

Nizar memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Beliau dilantik Menteri Besar pada 17 Mac 2008.

Bagaimanapun ekoran tindakan khianat tiga Adun Pakatan Rakyat itu, BN yang mendakwa mendapat majoriti di Dun Perak telah menghadap Sultan bagi membentuk kerajaan negeri.

Tidak memperkenankan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun, Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dun dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Nizar diwakili Sulaiman Abdullah, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa peguam kanan.- tajdid

Sumber - Harakah daily
Posted by Insan Biasa at 6:11 PM  
1 comments
zaireey said...

alhamdulilah kebenaran akhirnya terbukti juga

May 12, 2009 at 12:32 AM  

Post a Comment

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png