Jadilah Golongan Ini..

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"{Surah Ali Imran : Ayat 104}

3/7/17

Assalamualaikum..

Sungguh pantas masa berlalu, rupanya aku ada sebuah blog yang telah aku lupakan. Zaman meanulis blog di universiti sungguh menggamit kenangan yang indah. Semua mahu dicurahkan di blog. Hari ini sudah ada facebook, twitter dan instagram menjadikann dunia blog sangat asing. Setiap hari boleh meluahkan perasaan di platform sosial hingga hari ini dan terlalu muak untuk menulis. Akhirnya dunia blog pon ditinggalkan. Rindu untuk punya masa menulis seperti dulu.

Muka Mus'ab baru 2 bulan. Kini hampir 3 tahun..
Posted by Insan Biasa at 10:18 AM 0 comments  

HADIS 24 : Hadis Qudsi Tidak menzalimi orang lain

4/21/16



Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman: Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian. Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu. Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku. Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum. Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.
(Hadis riwayat al-lmam Muslim.) 

Pengajaran Hadis
Hadis qudsi ini mempunyai banyak pengajaran antaranya:
(1) Zalim adalah suatu sifat keji yang diharamkan Allah SWT ke atas diriNya dan ke atas hambahambaNya. Barangsiapa yang melakukan kezaliman bererti dia telah melampaui batasan yang digariskan oleh Allah SWT.
(2) Semua hamba adalah berhajat dan bergantung penuh kepada kurniaan dan kemurahan Allah SWT. Dialah Tuhan yang memberikan petunjuk, memberikan rezeki, memberi pakaian dan Dia juga Tuhan Yang Maha Pengampun segala dosa hamba-hambaNya. Sesungguhnya rahmat Allah sentiasa mendahului murkaNya.
(3) Segala permohonan hendaklah hanya diajukan kepada Allah SWT, sama ada permohonan meminta hidayah, rezeki, makanan dan pakaian juga permohonan agar diampunkan segala dosa.
(4) Sesungguhnya Allah SWT Maha Gagah Perkasa. Manusia sekali-kali tidak mampu memberikanNya manfaat dan mudharat.
(5) Segala perbuatan manusia sama ada ketaqwaan atau kejahatan, walaupun pada tahap yang paling maksimum dan paling dahsyat, semuanya tidak akan menambah atau menjejaskan kedudukan Allah SWT walaupun sedikit.
(6) Segala kurniaan Allah kepada seluruh manusia dan jin, biar betapa banyak sekalipun, ia tidak akan mengurangkan apa yang dimilikiNya walaupun sedikit. la hanya umpama air yang terlekat pada sebatang jarum kerdil yang dijunamkan ke lautan luas.
(7) Setiap amalan manusia akan dihitung satu persatu oleh Allah SWT dan Dialah yang akan menyempurnakan pembalasannya, sama ada balasan baik mahupun buruk.

Wallahu a'lam
Posted by Insan Biasa at 3:40 PM 0 comments  

Hadith ke-23 : Kebersihan adalah sebahagian daripada Iman

1/20/16



Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya. 
Hadis riwayat al-lmam Muslim. 

Huraian:
1. Kebersihan sebahagian iman : 
(pendapat ulama’) 
 a) pahala pada kebersihan - berganda sehingga separuh pahala iman. 
 b) yang dikehendaki ialah meninggalkan perkara dosa dan maksiat (an-Nahl: 56). Yang dimaksudkan di sini ialah wudhu’. 
 c) bersih dari hadas besar dan kecil samada dengan air atau tayammun, dan yang dikehendaki iman itu ialah solat. 
 d) yang dimaksudkan dengan bersih itu ialah wudhu’ - menghapuskan dosa-dosa kecil. 

2. Galakkan mengingati Allah ;

 Pengajaran hadis: 
(1) lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. (2) Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat mizannya dan sebagainya. 
(3) Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan. 

Sumber :http://www.geocities.com/bahantarbiyyah

Posted by Insan Biasa at 11:40 AM 0 comments  

Makbulnya doa dan kehendak Allah SWT

7/3/14

Dalam tiga tahu kebelakangan ini, banyak dalam hidup aku dah berubah. Perubahan yang sangat cepat hingga aku rasa kadang-kadang tak mampu nak ikut. Namun aku mesti juga berubah perlahan-lahan walaupun lambat. Alhamdulillah semua perubahan itu adalah positif dan berupa satu nikmat yang tak terhingga. Semuanya adalah apa yang telah aku pinta pada Allah dan tanpa ku sangka, Allah memberikannya dengan cepat. Allah jualah sebaik-baik pemberi rezeki.

Namun makbulnya permintaanku ini bukanlah berkat doa aku satu-satunya. Sudah tentu tidak. Hubungan aku dengan Allah yang 'so-so' tidak memungkinkan aku dikurnia nikmat seperti ini. Aku sendiri tidak tahu adakah termakbulnya permintaan itu adalah kerana doaku atau doa orang yang aku minta doakan untukku. Apa yang aku yakin, orang lain yang mendoakan aku tentulah lebih mustajab doanya. Orang itu tak lain adalah ibu bapaku sendiri.

Pada tahun 2012, mak dan abah pergi menunaikan fardhu haji. Aku mengambil kesempatan untuk meminta mereka mendoakan aku supaya cepat dapat jodoh. Doa di hadapan kaabah. Dan doa itu didoakan oleh mak dan abah. Sudah tentu kebarangkalian untuk makbul itu tinggi. Itulah fikirku. Alhamdulillah, 6 Julai 2013 adalah hari pernikahanku. Pada tahun 2013 pula, mak induk dan mak tam pergi menunaikan fardhu haji. Aku juga mengambil kesempatan untuk mengirim doa supaya aku dikuria zuriat yang soleh/solehah. Itu adalah isi utama doa yang aku kirim. Selain itu aku juga minta doa dipermudah urusan belajar dan mendapar biasiswa. Alhamdulillah, aku dapat juga biasiswa walaupun ada masalah pada awalnya. Pada 20 Mei 2014, seorang anak lelaki dilahirkan. Aku rasakan meminta orang mendoakan di tanah suci mekah adalah salah satu cara yang baik untuk hajat kita makbul.

Jadi aku mahu mencadangkan kepada pembaca blog ini supaya mengambil kesempatan kepada bakal haji untuk mengirim doa kepada mereka. Apa lagi jika mereka adalah ibu bapa atau ahli keluarga kita. Kita tidak tahu doa siapakah akan makbul. Tapi kita boleh usaha untuk terus berdoa dan meminta orang lain mendoakan. Itu tidak salah. Di samping berusaha untuk merealisasikan hajat itu. Kudrat dan rahmat Allah sahaja yang kita harapkan. Semuanya berlaku atas kehendak Allah. Kita sebagai manusia hanya perlu meminta dan berusaha. Allah sangat mengasihani kita. Walaupun aku selalu melanggar perintah Allah dalam sengaja atau tidak, Allah tetap memakbulkan kebanyakan hajat yang aku pinta. Sungguh sifat maha pengasihNya lebih luas dari kemurkaannya.


"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan"
(Ar Rahman)

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya."
(Surah Ad-Dhuha,ayat 11)
Posted by Insan Biasa at 8:41 AM 0 comments  

Bersabar Dengan Kezaliman Majikan

12/4/13


Apabila mula berjinak-jinak dengan dunia pekerjaan, selain ingin mendapat pekerjaan yang digemari, nikmat yang diharapkan bagi pekerja baru adalah mendapat majikan yang baik. Jika majikan adalah seorang yang sungguh bertimbang rasa, iklim pekerjaan pasti indah dan menggalakkan penghasilan mutu kerja yang berkualiti. Tekanan kerja pasti berkurangan dan apabila pulang ke rumah, kita boleh pulang dengan hati yag tenang dan akan wujud perasaan tak sabra untuk kerja keesokan harinya.

Namun langit tak selalunya cerah, hidup tak selalu indah. Sejauh mana keinginan kita untuk mendapat hidup yang indah, kehendak Allah pasti mengatasi segalanya. Jika ditakdirkan Allah mahu menguji kita dengan majikan yang zalim, pentingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa, sudah tentu ini akan mencabar tahap kesabaran kita setiap hari. Hari-hari yang dilalui pasti ditempuh dengan panas hati dan tekanan yang tidak berkesudahan. Namun atas desakan hidup dan tuntutan untuk mencari nafkah keluarga, kesabaran adalah senjata terakhir yang paling berkesan. Selain itu, beberapa berkara boleh kita lakukan untuk menjadikan persekitaran lebih positif

Majikan juga adalah manusia lemah yang banyak kelemahan.
Perkara pertama yang perlu kita akui adalah memahami hakikat kelemahan seorang hamba. Walau sehebat mana pangkat dan pendidikan majikan itu, beliau takkan boleh lari dari sifat kehambaan yang lemah dan serba kekurangan. Walaupon majikan tidak pernah mengakui kelemahan beliau, dan sememangnya itulah sikap angkuh manusia. Sebagai pekerja, kita seharusnya bersyukur kerana boleh mengambil ikhtibar daripada tingkah laku majikan itu. Mengakui kelemahan majikan itu akan menjadikan kita insaf betapa ampuhnya manusia walau sehebat manapun pangkat dan pendidikan kita.

Minimumkan salahfaham dengan majikan
Seperkara lagi yang boleh cuba diusahakan adalah mengurangkan salah faham dengan pihak majikan atau pentadbir. Apabila kita sudah selalu di layan dengan buruk oleh majikan, sudah tentu dalam minda kita sudah tertanam persepsi apa juga yang dilakukan akan dipandang remeh dan tidak dihargai. Hal ini akan membuatkan kita tidak bermotivasi untuk berkerja dan kualiti kerja akan merudum. Perkara ini pasti memberi kesan kepada keberkatan rezeki yang diperoleh. Untuk mengelakkan hal ini, kita seharusnya cuba untuk hanya menjalankan skop tugas yang diamanahkan oleh kita sahaja tanpa perlu mengambil tahu perjalanan tugas yang lain. Ini boleh mengelakkan kita berprejudis dengan perkara yang sepatutnya tidak berkaitan dengan tugas hakiki kita.

Jadikan majikan contoh yang ingin dijauhi.
Sebagai pekerja bawahan, kita telah merasai keadaan yang tak menyenangkan kerana pengabaian oleh majikan, jika suatu hari nanti kita di tempat majikan, berazamlah supaya tidak mengulangi sikap majikan. Apabila kita melihat contoh yang tidak baik, berusahalah untuk menhindarinya. Setidak-tidaknya berdoalah supaya Allah tidak melupakan kita akan kesusahan ini dan kita sendiri tidak mengikut contoh yang buruk. Hal ini kerana sudah menjadi lumrah dunia, pangkat adalah satu ujian dari Allah. Mungkin majikan kita sedang diuji ole pangkatnya. Adakah jika kita di tempat majikan kelak juga tidak terlepas dari ujian ini?

Selalu sedar hanya Allah sahaja yang layak menilai kita
Rasa tidak puas hati dengan majikan akan lebih membuak-buak apabila semua yang kita lakukan tidak dihargai oleh majikan. Sebenarnya hal ini mampu mengajar kita erti ikhlas. Jika kita melakukan kerja untuk mencari kepuasan manusia, nescaya kita akan selalu kecewa dan hampa kerana umumnya manusia tak selalu mampu menghargai. Namun jika apa yang kita lakukan semata-mata untuk mencari redha Allah, maka kita takkan perlu risaukan apa pandangan orang lain terutama majikan kita. Apa yang kita mesti faham adalah amanah yang diberi perlu dijalankan sebaik mungkin untuk keberkatan rezeki.

Berdoa supaya majikan sedar dan berubah.
Perkara terakhir yang boleh kita lakukan adalah berdoa untuk kebaikannya. Inilah cabaran kita. Amat susah untuk mendoakan kebaikan untuk orang yang berbuat zalim kepada kita. Namun keindahan Islam itu terserlah melalui peribadi Rasulullah SAW yang selalu membalas keburukan yang dilakukan kepadanya dengan kebaikan yang akhirnya akan membuahkan perubahan yang besar kepada bangsa arab khususnya dan dunia amnya.


Hidup penuh dengan cabaran. Jika tiada cabaran, jiwa kita akan mati. Siapa yang kita jumpa, siapa yang kita kenal sebenarnya menggambarkan siapa diri kita. Semua yang Allah pertemukan dengan kita mempunyai hikmah yang perlu difikirkan. Kita boleh melihatnya secara positif dan boleh juga melihatnya secara negatif. Kita perlu sedar masalah yang dihadapi  adalah ujian Allah dan setiap ujian yang diberi pasti diberi juga keupayaan untuk menghadapinya. 

Bagaimana manusia memperalat sikap malas dan tamak daalam diri manusia lain?

11/21/13

Saya terpanggil untuk mengulas tentang beberapa pengalaman yang saya lalui sepanjang berurusan dengan peniaga-peniaga yang hakikatnya menipu untuk mendapatkan keuntungan. Hanya kerana kita malas untuk cek kesahihan kata-katanya, kita tertipu. Ramai orang akan mengambil kesempatan jika kita kurang ilmu, langsung tiada rasa ingin membantu apabila keuntungan menjadi satu-satunya sasaran dan mengetepikan sifat kemanusiaan. Seorang rakan sekolah yang juga seorang penulis berjaya ketika ini, 'Khairul Fadhli' pernah menasihatkan saya, "Kalau orang tu nak tipu, macam mana pun cara dia mesti dapat tipu, dia akan buktikan macam-macam hingga kita percaya". Penipuan akan tetap berlaku walau bagaimanapun langkah yang diambil. Jika si peniou bijak, kita perlu lebih bijak untuk mengelak diri.

Baru-baru ini adik membeli sebuah motor di peka Kuala Klawang. Harganya RM7000. Pada mulanya saya tak masuk campur pun. Syukur saya tergerak untuk mengira berapa bayaran keseluruhan pada kedai itu. Setelah dikira keseluruhannnya menjadi RM9000 lebih jika hutang 2 tahun. Saya terperanjat mengapa begitu banyak kedai ambil untung atas hutang. Saya kecewa kerana ayah dah beli 3 buah motor di kedai itu sebelum ini, entah berapa banyak abah kena tipu. Semuanya kerana malas nak kira. Maka penjual mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang tinggi. Saya mengambil keputusan untuk membuat pinjaman bank dan memberikannya kepada adik. Pinjaman bank jauh lebih jimat berbanding pinjam dengan kedai. Saya sungguh kecewa dengan penjual berkenaan.

Lama dahulu, mak didatangai orang luar yang pada mulanya mahu tumpang tandas, saya hanya melihat. Selepas tumpang tandas, lama pula boraknya dengan mak. Tiba-tiba saya lihat mak keluarkan duit. Syukur saya bertanya apa yang mak nak buat. Mak kata nak masuk peraduan untuk dapatkan mesen jahit yang lebih besar. Saya menghalang. Orang yang borak dengan mak tadi menelefon bosnya yang juga sedang menjual produk di kawasan kampung kami. Apabila bosnya datang, bos(perempuan) itu juga menjelaskan kepada mak. Saya berkeras menghalang mak dan menyuruh penjual itu beredar. Penjual itu kelihatan marah dengan saya. Lebih marah apabila saya cuba mengambil gambar mereka. Takut agaknya.

Terbaru saya telah membeli dua keping pendrive berkapasiti 64gb dengan harga rm20. Sungguh menggoda promosi yang ditawarkan. Di sini sekali lagi penjual menggunakan sikak tamak manusia untuk mendapat keuntungan. Saiz yang besar memmbuatkan saya tergerak untuk membeli. Memang wujud saiz tersebut jika diuji dengan komputer. Tapi bila dimasukkan dengan data, data semua rosak. Saya bersyukur ada kawan facebook memberitahu.

Hari ini dunia sungguh mencabar. Ramai manusia suka ambil kesempatan atas sifat buruk manusia lain. Sungguh menakutkan jika kitalah mangsanya. Apa yang perlu kita lakukan adalah update ilmu sebanyak mungkin tentang taktik penipuan yang pelbagai. Paling penting selalulah memanjatkan doa kepada yang Maha Pelindung agar menjauhkan kita dari manusia-manusia yang suka melakukan penipuan. Apa yang telah berlaku marilah jadikan pengajaran untuk diri dan orang lain. Mungkin ada dosa yang Allah mahu hapuskan..

Posted by Insan Biasa at 3:41 PM 0 comments  

Tak banyak masuk, tak banyak juga yang keluar....

11/12/13


Hidup ini ada turun naiknya, termasuklah bidang penulisan ni. Saya sudah lama tak menulis. Nampaknya keadaan sungguh menyukarkan untuk menulis. Ditambah dengan kesibukan(kononnya) menjadi suami. Hihihi

Sebenarnya bukan kerana malas. Cuma apa yang perlu ditulis sangat terhad. Amat menyedihkan dengan apa yang diperoleh tak mampu untuk diluahkan. Saya pernah baca apa yang kita katakan atau tulis adalah 20% dari apa yang kita baca. Ini menujukkan tak banyak yang saya peroleh dalam masa yang banyak ini. Saya suka untuk berkongsi apa yang saya baca, tapi saya tak membaca pon, apa juga yang perlu dikongsi. Kini saya melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan pendidikan untuk memaksa diri membaca dan menimba ilmu lebih dari sebelumnya. Saya berharap penulisan boleh menjadi medan dakwah yang efektif untuk saya. Sebagai satu amal jariah yang saya tinggalkan selepas saya ke alam barzakh. Target untuk menghasilkan satu buku sebelum pergi nampaknya masih jauh dari kesampaian. Hanya ada tajuk. Saya berdoa saya mampu lakukannya.
Posted by Insan Biasa at 1:08 PM 0 comments  

Perjalanan menuju redhaNya..

7/26/13

Hari ini, 26 Julai 2013 hampir 3 minggu aku bergelar suami. Alhamdulillah, dalam masa sesingkat ini pun aku sudah merasakan kelainan yang nyata. Terutama dari segi tanggungjawab. Aku dapat rasakan aku belum lagi mampu menunaikan sepenuhnya tanggungjawab ini. Aku masih terikut-ikut zaman bujang yang selalu rilek dan tak serius. Walaubagaimana pun aku sedang belajar untuk berubah. Aku harap dapat memberi yang terbaik untuk sang isteri. Aku sangat bertuah kerana dia sudi menerima aku,di sebalik kekurangan ini. Dia juga sedang belajar hidup berumatangga. Yang mampu kami pohon adalah bimbingan wahyu Allah. Jalan atau syariatnya yang benar hingga ke syurga yang dijanjikan kelak. Ini hanyalah wasilah ke arah redhaNya.
Posted by Insan Biasa at 7:50 PM 2 comments  

Hadiah Sebenar Untuk Seorang Guru.

4/16/13



Hari ini terpanggil untuk menulis. Menulis sebagai seorang pendidik. Sudah lama saya tak kerah minda untuk menulis. Tapi hari ini teringin untuk melahirkan perasaan yang gembira. Gembira kerana menerima hadiah-hadiah dari pelajar. Ya, ada rasa gembira. Ada juga rasa terharu kerana merasakan diri ini tak layak menerimanya dengan apa yang telah saya lakukan. Namun saya tetap menerimanya dengan senang hati dan rasa penuh kesyukuran. Terima kasih.

Namun bukan inil tujuan saya menulis. Kali ini saya ingin membawa pembaca terutamanya pelajar saya tentang hakikat sebenar penghargaan kepada guru. Benar, memberi hadiah adalah salah satu cara untuk menghargai guru, tapi ada lagi cara yang lebih berharga dan tiada tolak bandingnya. Hadiah inilah yang menjadi idaman semua yang bergelar pendidik. Hadiah ini akan membuat semua pendidik tersenyum puas dan bahagia. Dan hadiah ini mampu diberikan oleh semua pelajar kerana tidak memerlukan wang untuk membelinya. Tapi memerlukan usaha yang gigih. Itulah harga sebuah kejayaan.

Melihat pelajar yang berjaya dan memberi manfaat kepada orang lain adalah hadiah terbaik untuk para pendidik. Hadiah inilah yang akan menghilangkan segala kepenatan dan kesukaraan sepanjang menjalankan tugas mendidik. Kejayaan yang diperoleh oleh pelajar bukanlah semata-mata dalam akademik, malah yang paling utama adalah berjaya menjadi manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain, menyenangkan hati ibu bapa dan semua yang berada di sekitarnya. Walau apa pon bidang kerjaya yang diceburi. Baik doktor, doktor yang menyenangkan pesakit; jurutera, jurutera yang menghasilkan sesuatu yang memudahkan orang ramai; kontraktor, kontraktor yang menepati janji seperti dalam kontrak; peguam, peguam yang membela orang yang benar-benar tidak bersalah; peniaga, peniaga yang jujur dan tak menipu pelanggan; dan tukang sapu, tukang sapu yang membersihkan laluan orang lain untuk kemudahan semua.

Suatu hari nanti, jika saya bertemu dengan pelajar saya. Saya berharap mereka akan jadi orang yang lebih baik dari saya dalam semua bidang; kerjaya, akhlak dan sahsiah. Biarpun kerjayanya bergaji kecil dan cukup makan, jika dia berniat baik dan suka memudahkan orang lain, dialah pelajar yang saya banggakan dan itulah tujuan saya mendidiknya. Kerana saya percaya 80% kejayaan kita adalah kerana sikap, hanya 20% sahaja dipengaruhi oleh intelek. Kemahiran intelek boleh menjadi nilai tambah untuk kejayaan. Jika seseorang pelajar itu kurang pintar dalam subjek kimia sedangkan dia telah berusaha, dan dia hanya mendapat keputusan yang cukup makan, tapi saya percaya kegigihannya akan menjadi satu sikap yang murni suatu hari nanti. Itulah yang menjadi penentu kejayaan kelak. Dan tentulah dia akan menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang sekitarnya. Kerana itulah jika saya mendoakan pelajar, saya lebih mendoakan pelajar untuk menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain dahulu, kemudia baru mendoakan untuk skor subjek kimia. Kerana bukan semua kita punya kemahiran intelek yang hebat untuk skor subjek kimia, tapi semua kita punya kejayaan tersendiri jika tidak putus asa, terus gigih berusaha dan merendah diri.

Saya juga mengharapkan doa dari para pelajar agar terus diberi kekuatan untuk mendidik dan terus diberi kesempatan untuk sentiasa memperbaiki cara penyampaian yang kurang memuaskan. Jika suatu hari nanti saya sudah tiada, saya berharap akan mendapat aliran pahala oleh mereka yang masih mengamalkan ilmu yang saya kongsikan dengan cara yang betul.

Semoga berjaya para pelajarku J

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 


Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya :
"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain." 
(Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami' al-Shaghir wa Ziyadatihi, al-Maktab al-Islami, cetakan ke-3, Beirut, 1408H, no:3289)
Posted by Insan Biasa at 9:19 PM 1 comments  

Pembetulan Penyebaran Hadis Tentang Rahsiakan Pertunangan.

3/28/13


Sebelum ini saya pernah menyebarkan satu hadis yang berbunyi "Rahsiakan Pertunangan, War-warkan perkahwinan. Sebaran ini dibuat di laman sosial facebook. Pada masa itu saya selalu mendengar hadis ini dan pernah mambacanya dalam artikel-artikel di internet, namun saya terlupa untuk melihat tentang taraf hadis ini. Alhamdulillah, Allah membuka hati saya untuk mencari dengan lebih mendalam tentang hadis ini. Setelah bertanya dengan rakan-rakan yang lebih berilmu, malah juga dibincangkan oleh mufti, saya dapati terdapat kelemahan pada hadis ini dan perlulah saya memperbetulkannya. Semoaga Allah mengampunkan saya atas kealpaan ini (T_T).

Pembetulan itu berbunyi begini.
Ayat: "Rahsiakan Pertunangan" diriwayatkan oleh al-Dailami di dlm musnadnya. Dihukum lemah oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhoiefah dan Dhoief al-Jami' al-Saghir. Ayat: "War-warkan perkahwinan" adalah sahih, hadis antaranya diriwayatkan oleh Ahmad. Cuma sebahagian ulama ada yg beranggapan sunat menyembunyikan pertunangan jika bimbangkan hasad orang. Mereka didalilkan dgn hadis: Tolong-menolonglah kamu semua dlm menjayakan hajat2 manusia dgn sembunyikannya, kerana setiap yg memiliki kebaikan itu biasanya didengki oleh orang lain. Riwayt al-Tabarani. Namun hadis ini tidak khusus kepada prtunangn sebaliknya anjuarn supaya sembunyikan setiap perkara di hadapan org yang dengki. wallahu a'lam.

Maka jelaslah ayat "Rahsiakan pertunangan" adalah bertaraf lemah. Dan hadis yang lemah tidaklah boleh dijadikan hujjah. Hanya boleh di amalkan untuk diri sendiri. Saya khuatir ada yang menganggap hadis ini wajib dilakukan dan cuba sedaya-upaya untuk merahsiakan pertunangannya kerana tidaklah dalam semua keadaan, pertunangan itu perlu dirahsiakan, malah perlu diberitahu jika ada yang bertanya. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan ataupun salah faham. Mungkin pihak yang bertanya mempunyai tujuan untuk bertanya 'hajat' orang lain atau diri sendiri. Maka hal pertunangan itu tidak boleh disembunyikan, juga tidak boleh dihebohkan seperti perkahwinan.

Pertunangan yang keterlaluan.
Adapun semasa saya berkongsi tentang hadis "rahsiakan pertunangan" sebelum ini adalah untuk memberi pendapat tentang 'trend' masakini yang terlalu menonjolkan hal pertunangan hingga melibatkan pembaziran yang tidak munasabah, dengan pelamin, mak andam, photograper dan khemah. Hingga menyusahkan banyak pihak termasuk diri sendiri. Namun disebabkan mahu mengikut 'ternd' masakini, kita terlupa 'trend' yang di ajar Nabi. Nabi cuma menyuruh agar mewar-warkan perkahwinan, bukan pertunangan. Jadi biarlah pertunangan dilakukan dengan sederhana dan 'cukup syarat'.
-Tammat-

Satu lagi 'trend' terkini saya lihat pada muda-mudi kini adalah menganggap hubungan 'couple' mereka adalah seperti bertunang. Ini adalah kerana pendapat sesetengah ulama yang dilihat di youtube. Apa yang dikakatakn ulama itu tidaklah salah, namun ada yang menggunakannya sebagai sesuatu yang rasmi untuk lebih meyakinkan mereka dan meng'halal'kan sesetengah cara berhubung. Namun pendapat saya, apa yang diperkatakan oleh ulama itu adalah cara pertunangan yang mudah dalam Islam, hanya satu janji oleh pihak lelaki dan perempuan, tidak mewajibkan majlis yang membawa pembaziran dan beban, Itu sahaja. Pertunangan bukan hanya persetujuan empunya diri, namun perlu melibatkan keluarga. Wallahu a'lam

Rujuk : Mufti Perlis

10 Amalan Popular Dalam Masyarakat Tetapi Tidak Dituntut Oleh Islam

3/10/13


10 Amalan Popular Tapi Songsang
Pernahkan anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.

Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

Jangan lupa derma ketika ziarah mayat
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? (Ini mesti ada tujuan lain!!!).

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri padaNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, kain hamis berbau. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)


Sumber : Facebook
Posted by Insan Biasa at 12:27 PM 0 comments  

“Mak kenapa dalam Islam ni semuanya haram je? Takda yang halal ke?”

1/10/13



“Mak kenapa dalam Islam ni semuanya haram je? Takda yang halal ke?” Tanya seorang anak kepada ibunya. Tersentak ibunya apabila diajukan soalan itu. Terfikir sejenak apa yang sedang bermain di fikiran anak kecil berumur 5 tahun ini sehingga terkeluar persoalan itu. Persoalan itu keluar setelah mendengar di kaca televisyen satu rancangan ceramah tentang larangan membuka aurat. Mungkin sebelum ini dia telah mendengar banyak lagi di tempat lain tentang larangan-larangan atau perkara yang diharamkan dalam Islam. Persoalan itu terkeluar seolah-olah dia telah melihat satu segi kesukaran dalam mengamalkan ajaran Islam. Malah jika tiada penjelasan, mungkin ajaran Islam akan menjadi beban kepadanya.

Apa yang ingin dibincangkan di sini adalah bagaimana kanak-kanak sekecil itu boleh bertanya sedemikian. Pertanyaan itu adalah hasil daripada apa yang didengar dan dilihat setiap hari. Sama ada secara langsung ataupun tidak. Persekitaran kanak-kanak  banyak mengajar dan membentuk persoalan di minda mereka. Persoalan seperti ini menunjukkan kurangnya contoh yang baik dalam Islam di sekeliling mereka. Walaupun kanak-kanak hidup di persekitaran yang majoritinyaa orang Islam, namun nampaknya masyarakat sendiri gagal menerapkan nilai-nilai murni dan segala keindahan dalam amalan Islam.

Seorang bijak pandai pernah menyebut, “kanak-kanak hari ini belajar tentang akhlak yang baik tanpa melihat contoh”. Contoh yang dilihat hanya melalui cerita lakonan dan tidak lagi secara langsung. Biarpun melalui ibu bapa sekalipun, contoh yang baik sukar dilihat. Hal ini menyebabkan kanak-kanak tidak dapat menyerap ‘aura’ yang hebat lagi, seterusnya masyarakat gagal melahirkan individu yang hebat dari segi ilmu dan sahsiahnya. Terlalu banyak aktiviti hiburan yang berlebihan berbanding aktiviti pemantapan rohani dan motivasi yang didedahkan terutama melalui televisyen hari ini tidak langsung membantu pembangunan modal insan yang di idam-idamkan.

Jika pun kanak-kanak di ajar tentang larangan-larangan tertentu, mereka juga perlu di ajar hikmah di sebalik larangan itu. Agar mereka tidak salah faham tentang Islam itu sendiri. Di samping itu kanak-kanak perlu diajar tentang banyak lagi keindahan dalam Islam seperti kasih saying, bersedekah, menghormai yang tua, menyayangi yang muda, berkongsi nikmat dan pelbagai lagi keindahan seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Pengajaran ini memerlukan contoh secara langsung agar lebih mudah meresap ke dalam hati sanubari mereka. Sesungguhnya cabaran yang di hadapi kanak-kanak hari ini amat hebat kerana terlalu banyak ‘gangguan’ yang membolehkan mereka menjadi insan soleh dan solehah. Jadi adalah menjadi kebijaksanaan ibu bapa memberikan mereka ‘nikmat’ dalam membesar. Janganlah kerana kesenangan yang mereka rasakan hari ini menyebabka mereka memandang sepi cara hidup Islam dan melihat cara hidup Islam menyusahkan. Berilah kanak-kanak hari ini ‘kesusahan’ yang akan mengajar mereka erti kesenangan di dunia yang kekal abadi kelak. Wallua’lam.
Posted by Insan Biasa at 9:59 PM 0 comments  

Hadith ke-22 : Syarat Masuk Syurga



Daripada Abu Abdullah Jabir ibn Abdullah al-Ansarie r.a., رضي الله عنهما (beliau meriwayatkan):
Bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: Bagaimana pandanganmu jikaaku mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkanperkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apalagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!
Hadis riwayat al-lmam Muslim no.15

Huraian:
makna "mengharamkan yang haram" adalah "menjauhinya". Makna "menghalalkan yang halal" adalah "melaksanakannya" dengan penh yakin akan kehalalannya.

Sahabat yang bertanya kepada Rsulullah SAW ini bernama Nukman Bin QauQal. Pengarang kitab al-Mufhim mengatakan secara umum bahawa Nabi SAW tidak mengatakan dalam hadis ini sesuatu yang bersifat tathawwu'(sunnah). Hal ini menunjukkan bahawa secara umum boleh meninggalkan yang sunnah. Orang Islam hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran asas agama Islam seperti solat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Melakukan yang sunat akan menambah kesempurnaan Islam dan menhampiri diri kepada Allah.

Tiga kategoro orang yang meninggalkan sunnah.
1. Orang yang meningalkan sunnah dan tidak mahu melakukannya sedikit pun, maka tidaklah memperoleh keuntungan yang besar dan pahala yang banyak.
2. Orang yang terus menerus meninggalkan hal-hal yang sunnah. maka dia telah berkurang agamanya dan berkurang pula nilai kesungguhan dalam agamanya.
3. Orang yang meninggalkan sunnah kerana sikap meremehkannya. Maka dia merupakan orang yang fasiq dan patut dicela

Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi karangan Ustaz Zahazan Mohamad dan Usyaz Muhammad Zakaria
Posted by Insan Biasa at 8:52 PM 0 comments  

Hadis ke-21 : Istiqamah dan Iman

1/9/13



Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata:
"Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagibertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah.Kemudian hendaklah engkau beristiqamah."
Hadis riwayat al-lmam Muslim no.38; an-Nasai no 11489 dan ibn Majah no. 3972

Ungkapan "Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu" bermaksud "ajarkan kepadaku satu kalimah pendek, tetapi mengandungi makna yang padat dan berisi tentang pengertian Islam yang mudah difahami, hingga aku tidak perlu lagi penjelasan orang lain untuk menjadi dasar amalan." Maka Rasulullah SAW menjawab : "Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah" ini adalah satu kalimah pendek yang padat yang Allah berikan kepada Rasulullah SAW. Dua kalimah ini telah memberi pengertian iman dan Islam secara utuh.

Beliau menyuruh orang tersebut supaya sentiasa memperbaharui imannya dengan ucapan lisan dan mengingat di dalam hati, serta menyuruh dia secara teguh melaksanakan amal-amal soleh dan menjauhi semua dosa.

Hal ini kerana seseorang itu tidak dikatakan istiqamah jika dia menyimpang walaupun hanya sebentar. hal ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Sesungguhnya mereka yang berkata 'Allah tuhan kami' kemudian mereka beristiqamah..."(Surah Fussilat: ayat 30)

Beriman kepada Allah semata-mata kemudian hatinya tetap teguh pada keyakinannya dan taat kepada Allah sampai mati.

Umar bin Khaattab ra berkata:
"Mereka(para sahabat) istiqamah demi Allah dalam mentaati Allah dan tidak sedikit pun mereka itu berpaling, sekalipun seperti berpalingnya musang"
Maksudnya, mereka lurus dan teguh dalam melaksanakan sebahagian besar ketaatannya kepada Allah, baik dalam keyakinan, ucapan, mahupun perbuatan dan mereka terus menerus berbuat begitu(sampai mati). Demikianlah pendapat sebahagian besar para mufasir. Inilah makna hadis tersebut, in sya Allah.

Begitu pula firman Allah SWT yang bermaksud, "Hendaklah kamu beristiqamah seperti yang diperintahkan kepadamu"

Abul Qassim al-Qusyairi berkata:"Istiqamah adalah satu tingkatan yang menjadi penyempurnaan dan pelengkap semua urusan. Dengan istiqamahlah, segala kebaikan dengan semua aturannya dapat diwujudkan. Orang yang tidak istiqamah dalam melakukan usahanya, pasti isa-sia dan gagal."
Dia berkata pula:"Ada yang berpendapat bahawa istiqamah itu hanya dapat dijalankan oleh orang-orang besar, kerana istiqamah adalah menyimpang daripada kebiasaan, menyalahi kebiasaan adat seharian, teguh di hadapan Allah dengan kesungguhan dan kejujuran.

Pengajaran.
1. Beriman kepada Allah SWT harus mendahului ketaatan.
2. Amal soleh dapat menjaga keimanan.
3. Melaksanakan iman dan amal soleh harus berjalan serentak.
4. Sifat beristiqmah merupakan darjat yang tinggi.
5. Para sahabat mempunyai keinginan yang kuat untuk menjaga agama dan meningkatkan keimanan.
6. Perintah untuk istiqmah dalam bertauhid dan ikhlas dalam beribadah hingga ke akhir hayat hanya kepada Allah semata-mata
Posted by Insan Biasa at 9:54 PM 0 comments  

Hadith ke-20: Malu Sebahagian Iman

1/7/13



Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari, no. 3296,5769 dan Abu Daud, no. 4796)

Huraian Hadis:
Sabda Rasulullah SAW: "lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu", mengandungi dua maksud:

Pertama:
Bererti ancaman dan peringatan keras, bukan merupakan perintah sebagaimana sabda Baginda: 
"lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu" Yang juga bererti ancaman, sebab kepada mereka telah diajarkan apa yang harus dijalankan adan apa yang harus ditinggalkan.

Demikian juga sabda Naabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menjual khamar(arak), maka hendaklah dia memotong-motong daging babi".

Tidaklah bererti bahawa beliau membenarkan melakukan perbuatan tersebut.

Kedua:
Hendaklah kamu melakukan apa yang tidak malu kamu melakukannya, seperti mana sabda nabi SAW yang bermaksud "Malu itu sebahagian daripada iman"(Riwayat Bukhari dan Muslim)

maksud malu di sini adalah malu yang dapat mendorongnya berbuat kebaikan dan  menjauhkannya berbuat kejahatan. Demikian juga apabila malu dapat mendorong seseorang meninggalkan perbuatan keji kemudian melakukan perbuatan baik, maka malu seperti ini setaraf dengan iman kerana persamaan pengaruhnya kepada seseorang.

Pengajaran:
1. Malu adalah ajaran yang disepakati oleh para Nabi dan tidak terhapus.
2. Jika seseorang meninggalkan rasa malu, makaa hilanglah kebaikan dari dirinya.
3. malu merupaka landasan akhlak mulia dan selalu berpaksikan pada kebaikan.
4. rasa malu dapat dibentuk, maka sesiapa yang memiliki tangungjawab hendaklah memerhati bimbingan mereka seperti suami, isteri, ibu bapa, majikan dan pemerintah.
5. Jangan pula ada rasa malu dalam mengajar hukum hakam agama serta menuntut ilmu dan kebenaran kerana Allah SWT berfirman "Dan Allah tidak malu daripada kebenaran"(33:53)
6. Antara manfaat rasa malu ialah iffah(menjaga diri dari cela) dan wafa'(menepati janji)
7. Rasa malu adalah salah satu cabang iman yang wajib diamalkan

Sumber : Huraian bergambar Hadis 40 Imam Nawawi Ustaz Zahazan dan Ustaz Muhammad Zakaria
Posted by Insan Biasa at 11:14 PM 0 comments  

Mutiara Kata

"Ayam di kepuk mati kelaparan, Itik di air mati kehausan; Alah sabung menang sorak, Ayam menang kampung tergadai," Aminuddin Baki, Pencetus GPMS
http://2.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SRmMm7RX4SI/AAAAAAAAAhA/HjV8wAxl8ng/s1600/welcome_03.png